Khamis, November 20, 2014

Syair Hujan

Hujan dahulu bawa gembira,
Rasa seronok tidak terkira,
Bermain hujan jadi acara,
Anak remaja teruna dara.

Kami tak takut hujan yang lebat,
Yang kami takut ayah menyebat,
Atau mengaji kami terlambat,
Tempat biasa dah kena rembat.

Hujan dahulu orang tak kisah,
Tak perlu risau sekadar basah,
Tidak beracun membawa susah,
Biarpun lama lebat mendesah.

Dalam hujan kami terkinja,
Tanda seronok hati teruja,
Teruna dara berjalan manja,
Hujan pelengkap rindu remaja.

Hujan dahulu jernih airnya,
Tidak beracun selamat adanya,
Longkang dan parit deras alirnya,
Sukanya kami tak perlu tanya.

Tapi sekarang sudah berubah,
Hujan penyebab demam tak kebah,
Terkandung cemar racun bertambah,
Walau sebentar bawa musibah.

Meredah hujan jadi selesema,
Biar sekejap tidaklah lama,
Tibanya musim juga piama,
Maklumat banjir akan bergema.

Hujan mengalir airnya keruh,
Datang bersama petir dan guruh,
Semuanya ngeri takutkan geruh,
Tersilap langkah nyawa ditaruh.

Hujan itu anugerah alam,
Datang bersama langit yang kelam,
Tak kira siang atau pun malam,
Silap manusia bumi tenggelam.

Kurnia Ilahi jangan dinoda,
Rakus manusia bawa petanda,
Bencana alam sering melanda,
Ubahlah sikap betul agenda.





Raya 2024