Khamis, Jun 20, 2024

Travelog Maldives Jun 2024

 

Travelog Maldives

 Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.  Kali ini saya ke Maldives.   Perancangannya tak sampai seminggu.  Kami berangkat dengan penerbangan petang (6.45 ptg)  dan sampai di Male jam 8.20 malam waktu tempatan.  Hampir jam 10 kami pun mendaftar masuk ke hotel yang saya tempah lebih awal.

Besoknya,  kami kembali ke lapangan terbang.  Kemudian kami menaiki bot laju ke Pulau Olhuvelli.  Tempoh pelayaran 45 minit.  Kami disambut dengan kalungan bunga dan gendang.  Kami diberikan taklimat dan dihantar ke villa penginapan dengan buggy.  Penginapan kami di atas permukaan laut.  Pemandangan sangat indah, air laut sangat jernih sehingga kelihatan ikan berenang-renang.  Petang itu kami menghabiskan masa bermain di laut.  Suasana pulau sangat cantik dan tenang.  Bersih dan dijaga rapi.  Hanya kami sahaja pelancong dari Malaysia.  Yang lain kebanyakannya orang putih dan ada beberapa keluarga Arab.

Kami menginap satu hari sahaja.  Akan tetapi sangat memuaskan hati kerana suasananya yang damai dan cantik.  Banyak aktiviti laut yang disediakan, namun bayaran untuk menyertainya agak tinggi dan dalam USD. 










Besoknya kami pulang ke Male.  Petang itu kami berjalan-jalan di sekitar kota.  Pulau ini kecil sahaja.  Jalan-jalannya agak sempit.  Motosikal merupakan kenderaan yang popular.  Kami ke Fish Market untuk membeli buah tangan.  Namun tidak banyak buah tangan yang sesuai untuk dibeli.

 Hari terakhir kami bersarapan di Ferry Terminal, Male.  Kemudian kami bergegas ke lapangan terbang kerana penerbangan kami adalah pada 10.45 pagi waktu tempatan.

 

Secara keseluruhannya, percutian kami memuaskan.  Tidak banyak yang dapat diterokai kerana kawasan pelancongan kebanyakan terletak di pulau-pulau.  Belanja di sana agak mahal kerana negara ini menjadikan pelancongan sebagai sumber pendapatan utama. Banyak cukai yang dikenakan terhadap pelancong. 

Khamis, Julai 13, 2023

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

 Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.  Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigresen Malaysia.  Kami juga membeli kad sim untuk kegunaan di Thailand.  Urusan masuk ke Thailand dengan kereta sendiri agak mudah kerana kami masuk pada hari Rabu.  Tidak banyak kenderaan Malaysia yang melintasi sempadan. 



Dalam perjalanan kami tersesat kerana barangkali tersilap taip pada aplikasi waze.  Akhirnya saya terpaksa berhenti dan bertanya penduduk tempatan.   Nasib baik ada yang berbahasa Melayu.  Akhirnya kami berpatah balik dan bermalam di Pekan Satun.  Malam itu kami keluar makan di sebuah kawasan seperti pasar malam. 

Besoknya kami bertolak ke Pakbara sebuah kawasan peranginan tepi laut.   Suasana juga aman kerana tidak banyak pengunjung yang datang pada masa itu.  Kami menginap di sebuah hotel yang benar-benar di tepi laut.  Suasana sangat damai dan menyenangkan.  Malam itu kami makan malam di sebuah restoren pinggir laut yang terkenal iaitu Papaya Mom.  Makanannya enak dan agak murah.



Hari berikutnya kami hanya bersiar-siar di kawasan sekitar dan beli-belah di beberapa premis perniagaan.  Rancangan awal untuk ke Koh Lipe tidak diteruskan kerana kami perlu balik kerana ada komiktmen lain.  Kami bergerak balik menjelang tengah hari.  Dalam perjalanan menuju ke sempadan, kami berselisih dengan banyak kenderaan dari Malaysia yang masuk ke Satun kerana besoknya hujung minggu.





Secara keseluruhannya, Satun hanya pekan biasa tidak seperti Hatyai dan Songkla.  Tarikannya hanya di Pakbara. 

Khamis, Jun 08, 2023

TRAVELOG MANILA 2023

 

Saya membuat perancangan saat akhir untuk bercuti.  Setelah melihat beberapa destinasi, saya akhirnya memilih Manila, memandangkan tempoh percutian hanya empat hari.  Lalu pada 4 Jun saya terbang ke Manila.  Rupa-rupanya untuk ke Filipina, kita perlu memohon e-travel Philipphines 72 jam sebelum perjalanan.  Oleh sebab saya terlepas pandang, saya terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan e-travel tersebut.


Kami sampai di Manila dalam lingkungan pukul 12.30 tengah hari.  Kami mengambil grab untuk ke apartment penginapan.  Kemudian kami ke Venice Grand Canal Mall.  Ada perkhidmatan sampan ala-ala di Venice.  Malam itu kami makam malam di Persian Kebab Restaurant di Makati.  Besoknya,  kami bersiar-siar di Rizal Park sebuah taman peringatan pejuang Filipina Jose Rizal.  Banyak maklumat sejarah tentang Jose Rizal dipamerkan di sini.  Rupa-rupanya Jose Rizal mati akibat dijatuhi hukuman tembak.












Kemudian kami menaiki kereta kuda untuk ke Fort Santiago di Intamuros.  Kawasan ini merupakan Kawasan kota lama yang bersejarah.   Kami berhenti di Dolemite Beach dan membuat keputusan untuk ke Quiapo untuk makan tengah hari.  

Quiapo merupakan Kawasan Muslim dan banyak kedai makanan halal.  Terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Golden Mosque.  Masjid ini sedang dibaik pulih dan keadaannya agak kurang kondusif.  Di sini juga terdapat banyak kedai cenderamata.  



Kami balik ke apartmen dan malam itu hos kami membawa kami ke restaurant halal untuk makan malam.  Kemudian kami dibawa bersiar-siar di sekitar Manila.  Ternyata Manila merupakan sebuah kota yang sangat besar.  Kesesakan kenderaan berlaku sepanjang masa.

Pada hari berikutnya kami ke Antipolo sebuah Kawasan peranginan di luar Manila.  Kami menghabiskan masa di Pinto Art Museum sebuah galeri seni yang sangat cantik.  Tengah hari itu kami Kembali ke Manila dan meneruskan perjalanan ke Baclaran untuk mencari makanan tengah hari.  Setelah bertanya-tanya akhirnya kami dibawa oleh penduduk Muslim tempat ke warung makanan halal.  Rupa-rupanya terdapat ramai orang Islam di Baclaran.  Terdapat juga sebuah masjid.   Petang itu kami meneroka pasar harian dan membeli-belah sebelum pulang esoknya.



Kesimpulannya, percutian pendek ini memuaskan.  Manila merupakan sebuah kota yang padat.  Setiap masa ada sahaja orang berjalan-jalan.  Pelbagai kenderan unik yang tidak ada di Malaysia dapat dilihat di Manila. Kawalan keselamatan juga agak ketat.  Jika mahu masuk ke pasar raya, kita terpaksa melalui alat pengimbas yang disediakan di pintu masuk.  Malahan ingin ke pantai juga ada pengawal yang memeriksa pengunjung. Kami berangkat pulang pada tengah hari 7 Jun.

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...