Khamis, Julai 19, 2007

Tentang Ceramah dan Seminar

Bersama-sama Aminhad di Tanjung Piai, selepas menjamu selera di restoran yang menganjur ke laut.
(i)

Sudah lama tidak mengemas kini blog ini. Sibuk atau tidak ada apa-apa yang ingin dimasukkan. Perkembangan terkini, aku akan membentangkan kertas kerja dalam Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di UPSI, 29 Julai nanti. Esok aku akan memberikan ceramah teknik menulis karangan di MES. Kemudian esok juga ada mesyuarat peningkatan prestasi Bahasa Malaysia daerah. Sabtu akan akan membimbing calon-calon peperiksaan di SMK Pulau Carey, Kuala Langat.


Rasa-rasanya masa inilah aku dapat menyebarkan sedikit pengetahuan dan pengalaman dalam bidang penulisan karangan.


(ii)

Fikiran agak terganggu apabila berkunjung ke klinik. Tekanan darahku agak tinggi dan memerlukan aku menjaga pemakanan. Nampaknya setelah kembali bertugas, pemakananku agak tidak keruan lagi. Semasa bercuti belajar selama tiga tahun 2004-2006, aku berdisiplin menjaga pemakanan dan riadah. Hasilnya berat badanku berkurang hampir lima kg. Kini aku sudah tidak mempedulikan lagi pemakanan dan riadah. Saban hari menghadap komputer untuk mengejar deadline. Penerbit sering bertanya bahan-bahan untuk diterbitkan. Mahu tidak mahu aku bersengkang mata untuk menyelesaikan segala tugasan mengikut tempoh yang ditetapkan. Sesekali apabila aku terlalu mementingkan pemakanan dan riadah, terdetik pula persoalan, adakah manusia kini (dan aku) mula takut dengan kematian? Wallahualam.


(iii)

Barangkali Amin sudah mengemas kini blognya. Lama sudah tidak ke sana.

Isnin, Julai 09, 2007

Kisah Gagak dan Merpati

Kwek! Kwek! Kweeekkk...!!
Berbunyilah gagak meluahkan perasaan rimas dan gelisah yang menimpa dirinya. Betapa tidak? Hidup dalam keadaan yang serba daif di daerah yang penuh dengan persaingan itu menjadikan si gagak kurus berasa begitu tertekan. Dipandang kiri dan kanak. Semuanya spesies sebangsanya merengek, menjerit, melaung, dan bertelingkah tidak putus-putus. Sampah yang menjadi rebutan, bangkai yang menjadi penganan direbut bagai tidak ada hujungnya.
“Aku mesti pergi dari sini,” kata di gagak kurus itu sendirian. Dia tidak betah lagi hidup dalam dunia gagaknya yang celaru, busuk, dan hitam.
Dengan tidak membuang masa lagi, si gagak kurus pun melonjakkan badan kurusnya ke udara. Dengan kayuhan sayap yang serba lemah, dia menggagahi kudratnya. Hala tujunya tidak dipastikan. Akan tetapi dia nekad akan berhenti di mana-mana ada makanan, biarpun spesies unggas lain yang menguasai kawasan tersebut.
Setelah sekian lama melayah lemah di angkasa, si gagak kurus ternampak satu kawasan unggas yang sedang bersantai di bawah. Kelihatannya kumpulan unggas itu mesra sekali antara satu sama lain. Tidak berebut-rebut seperti kaumnya sebelum ini. Maka tergeraklah hati si gagak kurus untuk turun.
Si gagak kurus pun bertenggek di dahan pokon, tidak jauh dari kawanan unggas yang semakin dekat semakin cantik kelihatannya.
“Ohhh... merpati rupa-rupanya..” bisik hati kecil si gagak kurus. “Alangkah baiknya aku menjadi seperti merpati, berbulu warna-warni, cantik, lembut, tidak berebut-rebut seperti kaumku,” tambah si gagak kurus, terpesona melihat gelagat merpati yang hidup berkumpulan dalam keadaan harmoni.
Lama juga si gagak kurus memerhatikan kemesraan kumpulan merpati itu. Merpati-merpati itu pula seperti mengetahui sedang diperhatikan. Lalu mereka pun bermesra-mesraan antara satu sama lain. Berjalan berlenggok ke sana ke mari, sambil bertegur sapa dengan suara lunak. Sesekali mereka bergurau antara satu sama lain. Kadang-kadang pula si jantan mengiraikan bulunya yang cantik untuk memikat.
Perlakuan merpati-merpati menjadikan si gagak kurus semakin terkesima. Dia bertanya dalam hatinya, mengapakah dia tidak dilahirkan sebagai merpati. Bertunas dalam hatinya akan kekesalannya menjadi gagak. Dia tahu dengan menjadi gagak, statusnya rendah. Gagak sering dibenci oleh sesiapa sahaja. Malah manusia sudah mula mengangkat istinggar, mahu menghapuskan spesies gagak yang hitam itu. Malangnya menjadi gagak, bisik hati kecil si gagak kurus.
“Aku tidak mahu menjadi gagak lagi!!” getus hati si gagak kurus. Dia sudah nekad. Dia sudah bulat hati untuk menjadi merpati.
Maka si gagak kurus pun terus melayah turun. Dia cemburu melihat merpati yang cantik, lembut, dan bercakap dalam bahasa merpati yang bersopan lagi indah. Sedangkan bahasanya penuh dengan kekerasan, carut-marut, dan cabar mencabar.
Setelah menjejakkan kaki berhampiran kumpulan merpati, maka si gagak kurus melompatlah terkedek-kedek ingin masuk ke dalam gerombolan merpati. Maka terkejutlah merpati yang sedang bersenang-senang itu melihat sekujur tubuh berbulu hitam tiba-tiba sahaja sahaja menerjah masuk.
“Siapa tu?” tanya si merpati. Masing-masing terpinga-pinga melihat spesies yang sangat asing bagi mereka.
“Siapa kamu?” tanya bapa merpati sambil mencemikkan paruh seperti memandang jijik terhadap si gagak kurus.
Akan tetapi si gagak tidak memahami bahasa merpati. Dia bercakap dalam bahasa gagaknya yang celaru. Lebih hairanlah burung-burung merpati itu. Pada mereka si gagak tidak ubah seperti makhluk asing dalam dunia mereka yang lemah lembut. Maka si gagak itu disisihkan. Merpati beredar mahu meninggalkan si hitam itu kerana bahasanya langsung tidak difahami.
Si gagak tidak berputus asa, walaupun dia sedar kehadirannya tidak disenangi. Dia melompat terkedek-kedek membuntuti kawanan merpati yang cuba menghindarkan diri.
“Kau tengok, makhluk itu tetap mengikut kita,” bisik ibu merpati kepada rakannya.
“Yalah! Bimbang saya. Nampaknya makhluk itu macam ganas, tidak sesuai dibuat kawan,” rakannya menjawab.
Si gagak hanya tersengih, mengikut ke mana-mana kawanan merpati itu pergi. Jika merpati itu terbang, si gagak itu pun terbang. Hinggap merpati, hinggaplah dia. Akan tetapi dia hanya mengikut dari jauh. Obsesnya untuk menjadi merpati ternyata hebat.
Bunyi jerit pekik yang menjadi tabiatnya kini semakin berkurangan. Dia mula bercakap lembut seperti burung merpati. Akan tetapi bahasanya masih tidak difahami oleh merpati. Kadang-kadang kawanan merpati ketawa berdekah-dekah tatkala si gagak cuba berkomunikasi dengan mereka. Bahasa si gagak ternyata jauh dari kelompok bahasa mereka. Lenggok bicara si gagak juga sukar untuk diterima kerana pengaruh bahasa gagaknya.
“Aku mesti belajar bahasa merpati. Tidak guna aku menjadi merpati jika aku tidak dapat bercakap dalam bahasa merpati,” bisik hati kecil si gagak kurus.
Sejak itu, si gagak kurus pun mulalah belajar bahasa merpati. Dia mendekati anak-anak merpati untuk belajar berdikit-dikit. Lama-kelamaan si gagak semakin diterima oleh merpati yang baik hati itu. Maka ramailah yang mahu mengajar si gagak berbahasa merpati. Alangkah gembiranya si gagak kerana dia semakin berjaya menguasai bahasa merpati.
Selepas itu si gagak pun semakin diterima oleh kawanan merpati itu. Kini si gagak dan merpati pun dapat berkomunikasi dengan baik. Dia sudah pandai bernyanyi dalam bahasa merpati. Dia sudah pandai bersajak, bersyair, bergurindam dalam bahasa merpati. Dia sudah pandai menyindir, mengungkit, mencarut dalam bahasa merpati. Si gagak pun tidak mahu lagi berenggang dengan etnik baharunya itu. Lupalah dia akan asal-usulnya. Setelah berbahasa merpati, dia tidak mahu lagi mengakui bahawa dirinya itu berbangsa gagak. Sementelah merpati itu menerima sahaja sesiapa yang pandai berbahasa sebagai kaum merpati juga.
Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, maka gagak pun mahu mengisytiharkan dirinya sebagai merpati. Maka dipujuklah ketua merpati supaya memberikan pengiktirafan kepada dirinya sebagai merpati. Untuk itu satu majlis besar-besarkan diadakan. Majlis pemasyhuran si gagak kurus sebagai merpati itu pun dirayakan oleh seluruh etnik merpati.
Hari yang ditunggu-tunggu oleh si gagak kurus itu tiba juga akhirnya. Dalam majlis gilang-gemilang itu, si gagak pun duduk sebaris dengan pembesar merpati. Gayanya gaya merpati, bahasanya bahasa merpati, lenggok tuturnya lenggok tutur merpati. Malah dalam diri si gagak kurus itu semuanya berperawakan spesies merpati.
Gembiralah si gagak kerana tidak lama lagi dia tidak lagi disebut dengan nama asalnya. Dia akan menjadi merpati. Dia akan menguasai legasi merpati. Dia akan menjadi entiti yang berpengaruh dalam masyarakat merpati. Niat itu ditanam sejak awal kedatangan dalam kelompok merpati tanpa pengetahuan kaum yang ditumpanginya itu. Merpati tetap dengan kelembutan dan kesopanannya. Tidak sedikit pun berwasangka terhadap pendatang hitam dalam gerombolan mereka itu.
Maka upacara pemasyhuran si gagak sebagai merpati menjadi acara kemuncak. Watikah pemasyhuran pun dibawa ke tengah majlis. Merpati jantan yang tua diberikan tanggungjawab untuk memasyhurkan si gagak kurus itu sebagai merpati.
“Maka dengan ini, menurut perlembagaan kaum merpati, setelah ada pendatang dari spesies lain yang pandai berbahasa merpati, seyogialah diisytiharkan sebagai....”
“Nanti dulu....” tiba-tiba terdengar pekikan merpati muda yang muncul secara tiba-tiba. Semua mata merpati tertumpu ke arah suara itu. Si gagak kurus ternganga tanda rasa terkejut. Kerongkongnya hitam jelas dipandang mata puak merpati.
“Kenapa..?” juak-juak merpati pun melafazkan soalan yang sama kepada merpati muda yang datang tanpa diundang itu.
“Saya rasa, kita kaum merpati tidak boleh begitu mudah menerima spesies lain dalam kelompok kita. Dia hanya berbahasa merpati tetapi dia tidak berbudaya merpati,” ujar merpati muda itu.
“Apa alasan kamu berkata begitu? ” tanya merpati yang lain. “Dia sudah dapat menguasai bahasa kita,” tambahnya.
“Kita jangan terlalu mudah menerima kemasukan spesies lain. Biarpun dia pandai berbahasa merpati, tetapi warna bulunya tidak sama dengan warna bulu kaum kita,” tegas merpati muda itu pula. Kali ini semua mata merpati tertumpu ke arah satu-satu makhluk yang berbulu hitam dalam majlis itu. Si gagak pun tersipu-sipu.
Merpati-merpati tua pun meminta majlis itu ditangguhkan buat sementara waktu. Mereka pun berkumpul di bawah pohon untuk berbincang tentang bantahan merpati muda itu. Si gagak menanti dengan penuh debaran. Wajahnya mula menampakkan kemarahan terhadap merpati muda yang sanggup menghalang niatnya itu.
Akhirnya keputusan pun dibuat oleh ahli mesyuarat merpati di bawah pohon itu. Maka merpati pembawa watikah pemasyhuran tadi ke tengah majlis semula.
“Kami sudah membuat keputusan. Sebelum kaum lain menjadi sebahagian daripada kaum kami, seelok-eloknya, tukarlah sifat luaran dan dalaman. Sekurang-kurangnya tidak ada yang keliru dengan jati diri kaum kami pada masa akan datang,” kata merpati pemasyhur itu dengan suara yang lembut tapi tegas.
Mahu tidak mahu, si gagak kurus terpaksa akur. Selesai sahaja majlis yang gagal itu, dia segera berikhtiar untuk menukar warna bulunya.
“Buluku mesti kucabut. Nanti apabila tumbuh semula, sudah tentu warnanya berubah,” kata si gagak. Sehelai demi sehelai dicabut bulunya demi mahu menukar identitinya. Dia sanggup bersakit-sakit hanya kerana mahu dikenal sebagai merpati.
Setelah habis dicabut bulu sehingga togel, duduklah diam si gagak sementara menanti bulunya tumbuh lagi. Selang seminggu tumbuhlah bulunya. Alangkah sedihnya si gagak apabila yang tumbuh itu tetap juga berwarna hitam. Dicabutnya lagi. Setiap kali bulunya tumbuh, dicabutnya terus selagi tidak tumbuh bulu berwarna seperti warna merpati.
Setelah sekian lama menanti, maka jemulah kawanan merpati menanti bulu gagak itu berubah warna. Seekor demi seekor merpati itu terbang ke angkasa. Akhirnya semua merpati itu berlegar-legar di angkasa mahu meninggalkan si gagak. Si gagak kurus itu mula cemas. Badannya hanya dibaluti kulit yang hitam. Bulunya sudah tidak ada lagi. Dia melompat beberapa kali mahu ikut merpati itu terbang. Malangnya dia gagal. Sayapnya tidak berbulu. Ekornya tidak berbulu. Badannya tidak berbulu.
“Kwekkk, kweekkk, kwekkkk...!!” tiba-tiba si gagak menghamburkan kemarahannya. Kali ini dia tidak berbahasa merpati lagi. Dia bercakap dalam bahasa ibundanya, bahasa gagak. Kawanan merpati semakin sayup dari pandangan mata.
Kini, si gagak sedar bahawa, gagak tetap gagak. Dia tidak mungkin diterima sebagai merpati.

Jumaat, Julai 06, 2007

Catatan Hari Ini

(i)

Alhamdulillah aku telah pun melaksanakan tugas menyampaikan ceramah tentang teknik penulisan esei di PPD Kuala Langat pagi tadi. Selama 4 jam, bercakap menjadikan aku terlalu penat. Akan tetapi hati berasa lega kerana mendapat respons yang baik daripada guru-guru yang hadir. Yang penting aku dapat menyebarkan sedikit pengalaman kepada guru-guru bagi diajar pula kepada murid-murid di sekolah masing-masing. Itu jika teknik tersebut sesuai dengan murid mereka. Aku berhadap guru-guru tidak memberi alasan pencapaian murid mereka rendah untuk tidak mencuba teknik yang aku perkenalkan itu. Sewajarnya, cuba dahulu barulah buat kesimpulan sama ada teknik tersebut sesuai atau tidak.


Sempat juga aku memberikan panduan dalam penulisan kreatif secara ringkas, memandang ada guru yang berminat untuk menulis kreatif. Tambahan pula mereka mengetahui aku memenangi peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru. Oleh sebab masa sangat terhad aku hanya menyentuh secara ringkas tentang penulisan kreatif. Barangkali satu bengkel khusus untuk penulisan kreatif wajar diadakan untuk guru-guru yang berminat.



(ii)

Aku tertarik dengan tulisan Salbiah Ani dalam pojok sastera Berita Minggu baru-baru ini. Beliau mencemuh seorang penyair yang telah begitu obses terhadap penukaran nama Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia. Sebenarnya, beberapa orang penulis sama ada secara terang atau senyap memang sakit hati membaca 'sajak' berkenaan. Apatah lagi gelaran yang dilemparkan terhadap pihak-pihak tertentu sebagai petualang.


Sebenarnya si polan itu telah lama bersikap provikatif dalam karyanya. Entah mengapa karya-karya yang sarat dengan perkauman (dari segi watak, latar, dan temanya) mendapat tempat yang sangat istimewa dalam kancah sastera Melayu (Malaysia). Malah seorang tokoh (yang telah tiada) terlalu menatang si polan ini seperti menatang minyak yang penuh. Akhirnya belang di polan itu terserlah juga. Malangnya, ada antara kita yang tidak menganggap itu sebagai belang.


(iii)

Badan-badan penulis kita kini tidak banyak yang bercakap tentang perjuangan. Semuanya diam dan merestui. Dan fungsi badan-badan penulis ini lebih banyak menganjurkan rombongan daripada memperjuangkan nasib penulis dan sastera Melayu (Malaysia).


(iv)


Aku baru sahaja mendapat buku puisi (yang banyak sisipan esei) Leo AWS. Aku memang bercadang untuk membicarakan karya-karya Leo yang baharu ini dari aspek komunikatif. Akan tetapi bilangan puisinya kali ini amat terhad.


(v)

Amin sudah mengemaskinikan blognya. Tadi petang aku telah mencuci gambar. Antara gambar tersebut ialah gambar aku ketika di Pontian. Mesyuarat di Pontian itu akan disambung di Royal Aldelphi Seremban, 7 - 9 Ogos nanti. Mazlin dah sms maklumat tersebut ketika aku dan keluarga sedang makan-makan di Jalan Jugra.

Rabu, Julai 04, 2007

Teknik Mengarang Menggunakan Formula

Nampaknya teknik mengarang yang kuperkenalkan sejak 2002 mula mendapat perhatian terutama golongan pendidik mata pelajaran Bahasa Melayu (Malaysia?). Besok 6 Julai aku dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang teknik menulis karangan kepada guru-guru Bahasa Melayu Kuala Langat. Kemudian pada 28/29 Julai nanti, aku akan membentangkan kertas kerja seminar tentang teknik tersebut di UPSI. InsyaALlah jika tidak ada aral melintang.

Sebagai guru aku sentiasa mencari kaedah untuk membolehkan murid-murid mengarang dengan baik, hasilnya mereka dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Berdasarkan beberapa orang guru yang pernah menghadiri sesi ceramahku, teknik yang kuperkenalkan itu sangat berkesan. Buktinya sekolah masing-masing mencipta sejarah dalam peningkatan prestasi murid-murid mereka. Alhamdulillah jika benar perkara itu. Dan aku tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja tentang kaedah tersebut.

Akhir-akhir ini aku berasa terbelenggu dengan suatu fenomenon tentang diri aku sendiri. Setelah aku memiliki ijazah kedoktoran, pintu-pintu peluang seakan-akan tertutup berbanding semasa tidak bergelar Dr. dulu. Permohonan untuk bertugas di IPTA semuanya ditolak dengan alasan yang kadang-kadangnya di luar jangkaan. Begitu juga dengan karya-karya yang kutulis semakin tidak diterima.

Kini aku perlu duduk bermuhasabah. Adakah gelaran Dr itu satu kekurangan buat diriku, atau budaya dan pemikiran masyarakat kita yang tidak dapat menerima aku dengan kelulusan dan gelaran itu. Tapi aku percaya dengan ketentuan Allah dan iltizam diri. Aku tidak perlu berhenti untuk melangkah, biarpun orang lain memandang langkahku tidak selari dengan pemikiran mereka. Wallahua'lam!

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...