Jumaat, April 15, 2016

Sajak Reunion

(Sebuah Sajak Reunion)

Sahabat, 
pertemuan adalah rajutan kasih 
yang hilang di arus masa 
kita bergelut untuk kembali 
ke taman masa lalu yang wangi 
tapi kita harus sedar 
kembang kian layu 
lantaran perjalanan sudah jauh  
kita limun denai-denai lampau 
kerana seadanya lumrah 
dan fitrah kehidupan. 

Sahabat, 
jangan kita ungkit kekesalan  
usah ketawakan keberadaan 
ingat... 
kita bukan seperti dasawarsa sirna 
mandiri di luar mata 
apa yang ada kini bukannya masa lalu 
jangan jeling perbezaan 
atau berbisik tentang kekurangan 
seharusnya bertemulah seperti dahulu 
saat-saat baru mengenal dunia 
kita remaja muda belia. 

Sahabat, 
jangan bercerita tentang anak-anak 
kerana akan ada yang kurang enak 
jangan berkisah tentang pangkat 
kerana akan ada yang tersekat 
jangan bernuansa tentang kekayaan 
kerana akan ada yang kerengsaan 
jangan berborak tentang kehebatan 
kerana akan ada kerencatan 
jangan  bercerita tentang jangkauan 
kerana akan ada yang kerisauan 
Jangan bercitra tentang kelebihan 
Kerana ada yang keresahan. 

Sahabat, 
ceritalah tentang denai-denai yang dilalui 
dan kenangan yang paling bererti 
yang sama-sama kita alami 
sebelum berangkat membawa diri 
cerita tentang semua yang kita kongsi 
tentang masalah yang kita atasi 
sehingga kita seperti hari ini. 

Sahabat, 
bertemulah kembali 
agar ukhuwah kembali mewangi. 

Ghazali Lateh,
Banting, 
Selangor. 
14/4/2016


Ahad, April 10, 2016

Seloka Nasib Guru

Nasib guru siapa nak kira,
Silap bertindak dihukum segera,
Tanpa ditimbang budi bicara,
Untuk perjelas duduk perkara.

Memanglah guru perlu bersabar,
Tetapi selalu sampai tercabar,
Yang buruk-buruk cepat tersebar,
Yang baik disimpan di bawah gebar.

Disiplin murid sukar dibendung,
Masa dilahir tidak dibedung,
Guru bagai dicucuk hidung,
Bukannya salah ibu mengandung.

Tindakan diambil memanglah mudah,
Fikirkan juga yang tanggung padah,
Seumur hidup menelan gundah,
Rezeki keluarga mana nak tadah.

Wahai guru tabahkan hati,
Segala tindakan hendaklah perhati,
Jangan sampai menyesal nanti,
Kawal amarah pujuklah hati.

Kita ini orang bawahan,
Dalam bertindak ikutlah arahan,
Jangan terburu hendaklah perlahan,
Segala cabaran harus bertahan.

Ghazali Lateh
Guru Pencen, Banting.
10/4/2016



Ahad, April 03, 2016

Travelog Bali 2016

Saya telah melancong ke Bali bersama-sama keluarga pada 12 – 16 Mac 2016.  Percutian ini sengaja dirancang sempena ulang tahun kelahiran saya.   Saya mengambil pakej pelancongan Muslim di Malaysia.  Untuk itu kami menginap di hotel yang sama sepanjang kami berada di Pulau Bali, kerana hotel  berkenaan dikatakan hotel ‘halal’  di Kuta.  Pemandu pelancong kami bernama Kadir, tetapi dia beragama Hindu. 

                Hari pertama, kami sampai di Bali pada waktu petang.  Oleh sebab saya membawa cucu yang masih kecil, kami memilih pakej yang santai.  Hari kedua barulah kami memulakan lawatan.  Pulau Bali terkenal dengan kuil-kuil Hindu yang bersejarah. Jadi,  lawatan kami pun banyak ke kuil-kuil.  Kami memulakan lawatan ke kilang batik, kawasan penanaman kopi dan wisata agro, ke Ubud, dan Kintamani.   Ubud merupakan kawasan sawah berteres yang sangat unik dan cantik.  Bukit Kintamani pula merupakan kawasan tanah tinggi yang dingin.  Pemandangan gunung berapi dan tasik Batur sangat cantik.  Kami makan tengah hari di restoren Kintamani yang menyediakan makanan halal.  Petangnya kami ke Kuil Tampaksiring yang dianggap suci.  Ramai pengunjung mengambil peluang mandi di kolam penyucian di dalam kawasan kuil.


                Hari ketiga kami memulakan lawatan dengan menonton tarian Barongan.  Ternyata Bali sangat memanfaatkan kesenian mereka untuk dijadikan tarikan pelancong.  Kemudian kami ke Bajra Sandi, sebuah bangunan berbentuk loceng.  Di dalamnya dipamerkan perkembangan Bali sejak zaman prasejarah sehingga zaman perjuangan menuntut kemerdekaan.  Kemudian kami ke Tanah Lot (Tanah Laut), satu kawasan pinggir laut yang menempatkan kuil-kuil yang lama.  Pemandangan sangat unik.  Pada hari keempat, kami ke kilang kopi sebelum ke Puja Mandala, iaitu sebuah lokasi yang menempatkan lima buah rumah ibadat agama yang berbeza.  Ada kuil Hindu, gereja Protestan,  Biara Buddha,  Gereja Katholik, dan Masjid Ibnu Batutah.  Selepas itu kami bergerak ke Uluwatu (Kepala Batu), juga sebuah kawasan pinggir laut yang menempatkan kuil-kuil Hindu yang lama.  Suatu perkara yang mencemaskan apabila pemandu pelancong menasihati kami agar berhati-hati semasa di Uluwatu kerana terdapat monyet yang gemar merampas barangan milik pengunjung.  Antaranya beg, cermin mata, topi, dan barang makanan.  Ternyata benar perkara itu kerana semasa kami melalui laluan ke pinggir laut, seekor monyet merampas cermin mata pelancong kulit putih dan mematahkannya.   Pelancong terpaksa membayar kepada pekerja jika mahu mendapatkan kembali barang yang dirampas. 



                Pada petang itu kami makan malam di Pantai Jimbaran sambil menikmati matahari terbenam.  Makanannya ialah makanan laut yang enak.  Besoknya, kami bersedia untuk berlepas pulang seawal jam 11 pagi.   Secara keseluruhannya, lawatan ini sangat menyeronokkan.  Bagi mereka yang gemar akan budaya, seni, dan alam sekitar, Bali menyediakan segalanya.  Saya sempat mengunjungi beberapa outlet untuk membeli pakaian.  Kami juga singgah di beberapa buah pusat ukiran kayu, kedai ole-ole, dan juga pusat kraftangan berasaskan perak.  Kebersihan Bali terjaga.  Di pinggir jalan dipenuhi dengan pelbagai pusat kesenian, dan tanaman landskap yang menarik. 



Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...