Khamis, Disember 26, 2013

Kenangan di Muar

Setelah usang laman ini, saya menjenguk kembali. Barangkali di sini lebih aman mencurahkan rasa hati.

Sabtu, Mei 18, 2013


Dingin

Pawana malam semilir
rebas hujan masih berdesir
lorong-lorong telah buram
mencair bersama cahaya temaram.

Dingin menggigit mimpi
sepi menganjak ke pinggir dinihari
rindu mengapung dan hilang
sendu bersenandung dalam kenang.

Ingin kubangun membasuh pilu
dengan renjisan doa sujud syahdu
agar sisa malam nyedar beradu
dan bangun dalam rona yang baru.

ghazalilateh170513

Khamis, Mei 16, 2013



Yang Dilupakan

Tiga dasawarsa bergelumang aksara
berbicara, berjenaka, berbahasa
membimbing, menegur, dan menunjuk cara
akhirnya diri kehabisan daya
melangkah lelah meninggalkan arena
biarpun tanpa pinta dan rela
lantaran perjalanan tiba di sempadan usia
seperti sewajarnya.

Begitupun mercup juga sedikit bangga
kiranya berhasil menginsankan manusia
beribu-ribu murid yang  kini dewasa
di mana-mana sahaja berada
yang dekat atau jauh di mata
yang  masih ingat atau sudah lupa
kerana mereka pernah disebut nama
suatu ketika.

Kesunyian aku
daripada suara ceria segenap penjuru
tiada lagi anak-anak kecil dan remaja menunggu
tiada lagi gelak tawa di bilik guru
tiada lagi timbunan buku
tiada lagi hadiah hari guru.

Begini nasib seorang pesara
pencen sebagai  seorang guru biasa
kini diri hanya seorang warga tua
menghabiskan kudrat yang tersisa
di pojok usia.

Ketika semuanya meneruskan agenda
aku sendirian menyembunyikan hiba
ketika semuanya meneruskan perjuangan
kiranya akulah guru yang dilupakan.

UPM, Serdang,
16 Mei 2013.




Selasa, Mei 14, 2013

Beri aku waktu
untuk mewajarkan langkah
kerana adakalanya
tindakku di luar ramalan
dan aku sering tersasar
membuat perhitungan.

Isnin, Mei 13, 2013


Di halaman kecil ini
kutumpahkan warna hati
menyimbah ke sana-sini
bersama nurani
dan cebisan seni.

Ahad, Mei 12, 2013

Selamat berjumpa kembali. Sudah lama blog ini ditinggalkan sepi.

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...