Selasa, September 30, 2008

Menjelang Syawal

Syawal menjenguk juga setelah sepurnama umat Islam menunaikan ibadah puasa. Syawal mengembalikan ingatan ke kampung halaman, zaman ketika diri masih kecil. Nun jauh di utara, Kampung Bukit Nibung ialah tempat yang penuh nostalgia. Zaman kecilku sehingga berusia 18 tahun aku berada di sana. Hari raya semuanya indah. Bagiku semuanya tidak seindah itu. Aku tidak begitu dapat membezakan antara hari raya dengan hari biasa. Yang kuingat sehari sebelum hari raya orang kampung ke Pekan Bukit Jenun membeli daging. Bagi keluarga kami sekati daging sudah mencukupi, untuk dimasak kari pekat dan dimakan dengan ketupat pulut. Adakalanya arwah bapa akan membawa balik tulang lembu untuk dibuat sup.

Oleh sebab kemiskinan, aku tidak berapa kisah dengan hari raya. Percaya atau tidak aku pernah pergi ke baruh untuk memancing ketika orang lain gembira menyambut hari raya. Atau ke bukit mencari kayu api seperti tiada apa-apa yang berlaku. Itulah bahana kekurangan.


Minggu lalu aku tertarik dengan pelawaan seorang sahabat untuk membeli air botol berbagai-bagai perasa. Lama sudah tidak kulihat air botol seperti ini. Dalam tahun 60-an dan 70-an, air inilah yang menjadi idaman anak-anak. Ketika ibuku mengambil upah menanam padi, air inilah yang adakan disediakan oleh majikan. Jadi, aku dan budak-budak lain akan menempel di batas sawah, menanti waktu ibu-ibu mereka berhenti untuk minum. Seteguk diminum ibu, selebihnya anak-anaklah yang kesedapan menghabiskannya.
Apabila aku terlihat akan air botol itu, pantas sahaja aku memesan satu tong (48 botol). Bukan kerana nafsu kehausan sebab puasa, tetapi aku terlalu bernostalgia zaman kecilku. Sengaja aku beli dengan banyak untuk diberikan dan diceritakan kepada anak-anak tentang nostalgia masa lalu, tetapi setelah dirasa, lantas mereka berkata 'tak sedap'. Barangkali yang sedap padaku masa lampau tidak lagi enak dinikmati pada zaman ini.
Besok, 1 syawal. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.

Isnin, September 29, 2008

Balik Kampung?

Gambar dipetik daripada msomelayu.blogspot.com

BUDAYA BALIK KAMPUNG : ANTARA KEGHAIRAHAN DAN IMPLIKASI


Balik kampung! Ungkapan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Aktiviti ini pula sudah boleh dikatakan menjadi budaya masyarakat Malaysia, terutamanya sempena musim perayaan. Soalan `balik kampung?’ itu sudah menjadi kemestian setiap kali bertemu dengan sahabat handai.
Orang yang bakal balik kampung berasa amat berbangga apabila memberikan jawapan yang positif. Sementara itu, orang yang tidak balik kampung seolah-olah terlalu kecewa, di samping menyatakan pelbagai alasan yang membantutkan hasrat untuk balik kampung itu. Tidak kurang juga yang terpaksa berbohong akan balik kampung walaupun pada hakikatnya dia tidak berbuat sedemikian.
Begitulah hebatnya budaya balik kampung dalam masyarakat kita, terutamanya mereka yang merantau mencari rezeki di bandar-bandar utama. Masyarakat sanggup berbelanja besar untuk balik kampung. Lebih-lebih lagi jika kampung mereka terletak jauh, dan bilangan anak pula ramai. Namun mereka tidak menghiraukan segala bebanan itu, asalkan dapat balik kampung. Keseronokan balik kampung mampu mengatasi segala masalah.
Pelbagai kaedah digunakan untuk balik kampung. Rata-rata masyarakat bandar sekarang sudah memiliki kereta. Balik kampung tidak akan mendatangkan masalah besar kepada mereka. Pihak yang kurang berada pula boleh menggunakan kenderaan awam yang semakin cekap. Oleh sebab itulah sejak sebelum bulan puasa lagi tempahan tiket-tiket bas sudah dibuka. Minggu pertama puasa sudah heboh mengatakan tiket bas sudah habis. Timbul pula istilah `ulat’ iaitu mereka yang mengambil kesempatan daripada keghairahan budaya balik kampung ini. Tiket-tiket dijual dengan harga yang lebih mahal. Pengguna tidak kisah sangat, asalkan mereka dapat balik kampung, harga mahal sedikit tidak menjadi masalah.
Satu hal yang penting ialah budaya ini melibatkan perasaan. Orang yang merantau untuk mencari rezeki di bandar akan berasa cukup puas jika dapat balik kampung pada musim perayaan. Pada masa yang sama, orang yang tinggal di kampung pula seperti menanti kepulangan sanak-saudara dari bandar. Kegagalan orang bandar balik kampung menimbulkan kekecewaan pula dalam kalangan orang kampung.
Dari segi psikologinya, aktiviti balik kampung ini dapat mewujudkan satu ikatan perhubungan yang akrab antara orang yang merantau dan orang yang tinggal di kampung. Jika tidak balik kampung, masyarakat menganggap seseorang itu mempunyai hubungan yang tidak baik dengan saudara mara mereka. Anak-anak yang tidak balik kampung pada musim perayaan pula dianggap sebagai anak yang tidak mengenang jasa.
Sama ada disedari atau tidak, aktiviti balik kampung bermusim ini boleh mencetuskan pelbagai kesan yang negatif. Paling nyata ialah kesan dari segi kewangan. Masyarakat sanggup berbelanja besar, bahkan berhutang untuk balik kampung. Berbagai-bagai jenis perbelanjaan perlu ditanggung, termasuk tambang, senggaraan kenderaan, makan minum, bayaran tol, belanja di kampung, pemberian sagu hati kepada anak-anak buah dan bermacam-macam lagi perbelajaan yang tidak dirancang. Oleh itu budaya balik kampung jelas sekali memerlukan belanja yang besar.
Setiap kali balik kampung, perantau mahu dipandang tinggi oleh pihak yang berada di kampung. Untuk tujuan itu, pelbagai usaha dilakukan agar perantau tidak dipandang rendah. Kalau boleh kereta mesti bertukar setiap kali balik kampung. Kereta yang baharu pasti lebih mahal daripada kereta yang sebelumnya. Pakaian sendiri dan anak-anak mestilah mampu menampakkan kemewahan. Hal itu tidak termasuk barang kemas isteri, jika dia seorang lelaki.
Pendek kata perbelanjaan meningkat secara mendadak setiap kali balik kampung. Bil telefon bimbit pasti meningkat. Begitu juga halnya dengan kos bahan api kenderaan dan bayaran tol. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menggunakan kad kredit, mereka akan berbelanja tanpa kawalan asalkan dapat meraih kepuasan balik kampung yang maksimum.
Keghairahan balik kampung juga akan mendedahkan masyarakat kepada perbagai risiko. Kadar kemalangan jalan raya sering meningkat dengan mendadak setiap kali musim perayaan tiba. Catatan kadar kematian yang tinggi memang mengerikan sesiapa jua. Namun kengerian itu tidak pernah melunturkan semangat ‘balik kampung’ dalam kalangan masyarakat. Sikap berhati-hati di jalan raya hanya wujud sebelum perjalanan balik kampung dimulakan. Semakin lama perjalanan dan semakin dekat destinasi yang dituju, keghairahan semakin memuncak, sekali gus mengikis rasa keprihatinan dan sikap beringat-ingat itu.
Kesesakan di setiap plaza tol berlaku ketika ribuan kereta terpaksa berhenti untuk menjelaskan bayaran tol. Jika kita dari utara ke ibu kota, kita akan tersangkut sebaik sahaja keluar dari terowong di utara Ipoh kerana keadaan di plaza tol Jelapang (yang kini dipindahkan sedikit ke selatan) begitu sesak dengan kenderaan. Selepas itu sekali lagi kita akan tersekat di plaza tol Ipoh Selatan. Pergerakan kereta tersangkut-sangkut. Hentian sebelah dan kawasan rehat menjadi terlalu sesak sehingga untuk masuk ke tandas awam seseorang itu terpaksa berbaris selama setengah jam. Apabila kita menghampiri Kuala Lumpur, kenderaan mula tersangkut bermula di Bukit beruntung, malah seawal Tanjung Malim.
Jika dari selatan pula, perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur amat menyiksakan. Lebih raya bertol bukan lagi kaedah menjimatkan masa dan tenaga. Semuanya, disebabkan keghairahan balik kampung. Perkara ini tidak termasuk masalah-masalah lain yang sering juga berlaku seperti kecurian di rumah yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan, masalah penipuan pihak pengusaha pengangkutan awam dan sebagainya.
Balik kampung juga menjadikan kita berada dalam keadaan terkocoh-kocoh. Ketika di kampung, banyak tempat yang hendak dilawati. Banyak saudara-mara dan sahabat-handai hendak diziarahi, sedangkan masa amat terhad. Banyak undangan yang perlu dipenuhi. Jika tidak kita dianggap tidak memberatkan saudara-mara. Akibatnya kita akan kepenatan danb kekalutan sepanjang masa.
‘Balik kampung’ menjadi suatu kemestian bagi masyarakat kita. Namun keseronokan balik kampung perlu dikawal agar kita tidak menghadapi sebarang masalah akibat aktiviti bermusim ini. Budaya balik kampung perlu diteruskan kerana mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Akan tetapi, seseorang itu perlu lebih rasional kerana aktiviti ini membariskan pelbagai risiko yang menanti jika kita tidak berhati-hati. Balik kampung jangan sampai menjadi suatu keghairahan yang membebankan diri sendiri.
Apakah pandangan tuan-tuan?

Sabtu, September 27, 2008

Pukul 3.22 pagi


Tika ini jam menunjukkan pukul 3.22 pagi. Aku masih menghadap komputer. Bukan menunggu lailatul qadar, tetapi menyiapkan bahan untuk buku yang bakal diterbitkan pada tahun 2009. Beginilah kehidupan seorang penulis. Bekerja dalam kesepian malam. Berjaga bagai pungguk. Namun, sesekali aku tidak menyesal. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang kesumbangkan untuk masyarakat. Bayaran bukanlah segala-galanya. Sebagai manusia, berilah sesuatu untuk masyarakat. Bukan untuk dikenang jua, hanya membantu selagi terdaya.

Ketika orang lain lunak dengan mimpi, aku menyekang mata, memerah minda untuk berkarya. Semoga usaha ini diberkati yang maha Esa.

Rabu, September 24, 2008

Salam Untuk Perantau


Perantau,
Tidakkah kau membilang detik menanti saat keberangkatan pulang, menjenguk kampung halaman? Saat sanak saudara kaum keluarga di kampung halaman mengingatimu setiap waktu, dan menjelang kini lebaran nan syahdu. Tahukah dikau kiranya penantian itu bukanlah bualan yang meniti di bibir tetapi telah merobek sanubari?

Perantau,
Hidupkan nostalgiamu, beramah mesra, bergurau canda, ayah dan bonda di sini tidak pernah lekang menanti dan bercerita tentang anaknya yang jauh di rantau mencari jati diri dan mengukir martabat sejati. Kenanglah sejenak saat-saat indah melangkah pergi dalam dakapan kasih ayah bonda, saudara dan taulan. Kenanglah mereka biarpun dikau jauh di perantauan, mencari pengetahuan, membina kehidupan.

Dan kini datang lagi aidilfitri, tidakkah kau teringat saban hari lagu-lagu syahdu meruap ke udara sukmamu. Dan di perantauan nan jauh itu, adakah kau terdengar merdu lagu kemestian setiap kali lebaran? Tidakkah terbuai hatimu dan melayang ke desamu, mendengar alunan seru, semuanya meruntun kalbu.

Perantau,
Jika tidak berhasil pulang lagi lebaran ini, tabahkan hati merempuh onak dan duri. Lantaran perjalanan hidup mesti terus dimesrai, seorang diri tidak bererti kau sepi. Di sini kami tetap menanti kepulanganmu satu masa nanti. Jika rindu ketika tergema laungan takbir Aidilfitri, sujudlah mengubat hati. Kiranya air mata tidak terbendung jua, lepaskan jurainya sehingga gelora menjadi reda. Justeru, saat-saat manis begini akan datang lagi. Kami di sini setia menanti setahun lagi. Saat kita bertemu kembali.

Perantau,
Kamu berpergian bukan tanpa tujuan. Kamu berkelana bukan atas sebab yang hina. Tenanglah menghadapi saat-saat jauh dari sisi orang-orang tersayang, dan mereka pasti memahami akan keadaan resah diri dan luapan rasa ingin kembali. Jika berkesempatan, sapalah mereka buat sedetik cuma, buat mengubat segala derita berjauhan di hujung dunia. Yang pasti perantau pasti akan kembali, membawa misteri di hujung mimpi.

Sabtu, September 20, 2008

Shopping di Alamanda, Putrajaya



Untuk mengelakkan kesesakan pada minggu depan, aku pergi shopping petang tadi. Shopping di Alamanda agak selesa kerana suasana yang tidak begitu sibuk. Beli sedikit pakaian sendiri dan keluarga, sebagai tambahan. Sebenarnya kali ini sudah kali ketiga aku dan isteri shopping untuk lebaran. Persediaan tahun ini amat sederhana kerana perhatian lebih diberikan kepada urusan pembinaan rumah kami.

Ahad, September 14, 2008

Dalam Melankolia Lebaran


Dalam Melankolia Lebaran,

Oleh Ghazali Lateh

Dalam melankolia lebaran,
waktu takbir mengapung di atmosfera,
aku pulang,
mencari masa silam yang rontok,
di padang usia.

Semilir bayu desa,
tidak lagi menyapa mesra,
kerana waktu bukan lagi keindahan,
yang tersemat pada hijau pepohonan,
sawah ladang bukan lagi permainan,
anak-anak tidak betah,
memijak lecah.

Gerimis pun bercanda,
ketika mencari pusara ayahanda
kehilangan tanda,
justeru kemboja itu,
telah habis umurnya.

Dalam melankolia lebaran,
aku kembali untuk menanti,
nostalgia yang bersilih ganti,
setahun lagi.

Banting,
21 November 2004

Sabtu, September 13, 2008

Pemilihan Teks Komsas: Barangkali ada perkembangan baharu yang kita perlu tahu

Sudah lama isu pemilihan teks komsas untuk kegunaan 2010 hilang dari bicara dan polemik. Beberapa tulisan saya tentang isu tersebut juga disanggah dan tidak kurang juga yang bersetuju. Barangkali, setelah sekian lama sejuk, mungkin ada perkembangan baharu yang boleh kita ketahui.

Rabu, September 10, 2008

Semakin Tawar Hati


Segala kepayahan dan kebuntuan yang kualami kini disebabkan kesilapan orang lain. Urusan pelepasan jawatanku tertangguh disebabkan pihak yang tidak memahami prosedur kerjayanya. Aku menjadi mangsa sehingga aku semakin tawar hati untuk meneruskan segala urusan. Hari ini aku menerima satu lagi tawaran kenaikan pangkat. Barangkali inilah hikmat di sebalik kepayahan yang kulalui sebelum ini. Barangkali juga apa-apa yang berlaku itu sudah ketentuan-Nya.

Isnin, September 08, 2008

Kepenatan

Sejak akhir-akhir ini aku kepenatan amat kerana tenaga dipacu semahu-mahunya. Ke sana dan ke sini bagai langsung tidak ada ruang untuk beristirahat. Namun aku terpaksa bergegas ke sana ke mari kerana urusan diri yang mendesak.

Menunggu isteri bershopping sakan di Jakel.

Gambar rumahku yang kuambil dua hari lepas iaitu pada 6/9/08

Rabu, September 03, 2008

Apa-apa yang terjadi


Banyak perkara yang kulalui, yang menggugat kestabilan emosi. Tapi, aku sentiasa berfikiran positif dan beranggapan apa-apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Aku harus bersabar dan menerima ketentuan Ilahi di samping berusaha untuk menangani segala kemelut ini.

Apa-apa yang terjadi,
terjadilah,
kerana ketentuan-Nya tidak ada dalam jangkauan,
harus jua kuterima seadanya,
dan tidak pernah menyesali langkah-langkah,
kerana hidup perlu terus melangkah,
dan sesekali menoleh,
sekadar melihat jejak hitam dan putih,
kian berbaur,
dan sirna.

Kadang-kadang aku bertanya,
tidak cukupkah kebahagiaan yang kumiliki,
sehingga aku tega terus mencari,
dan mengidami seribu mimpi,
di persada ilusi.

Namun inilah kehidupan,
yang tidak pernah kuhentikan,
kerana kelangsungan tidak ada sempadan,
sehingga detik keberangkatan,
meninggalkan pelabuhan.

Ramadan Yang Putih


RAMADAN YANG PUTIH

Oleh Ghazali Lateh

Dalam langkah menguak duri hari,
padang putih terbentang saujana,
kuhampiri mercup tunas takwa,
bebunga syurga kembang pancawarna,
meliuk dipuput pawana syurga.

Di muka jambatan emas,
hurul aini menuangkan narwastu,
memenuhi segenap cangkir waktu,
di sana sudah berbaris para aulia,
melaungkan zikir tasbih jernih bersilih,
dengan suara semerdu simfoni yang lirih.

Di padang putih ini,
anak-anak hilang di celah rumpun tawaduk,
memilih tangkai benih bernas bersih,
dicambah ketika melewati jambatan itu,
buat bekalan seberkat azimat,
di pintu kiamat.

Nun, santaklah keranjang ibadat,
ketika purnama Syawal cagun tercegat,
berkibar panji-panji taufik dan hidayat,
bersama gema takbir yang hebat.

Inilah padang putih itu,
medan permainan anak-anak mengusir nafsu,
dan semuga nurani insani,
berubah bersih,
setelah melalui Ramadan yang putih!

Banting,
18/11/99

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...