Rabu, Oktober 31, 2007

30 Oktober 30 Tahun yang Lalu

Selepas maghrib aku bertahlil seorang diri. Hari ini 30 Oktober, 30 tahun yang lalu, arwah bapaku Lateh bin Yusof telah kembali ke rahmatullah di depanku, dua hari setelah aku selesai menduduki LCE. Namun semangat arwah bapaku banyak meresap ke dalam jiwa dan perjuanganku. Cuma aku terkilan tidak dapat membalas jasanya. Ketika hayatnya arwah sangat gigih berusaha walaupun kemiskinan tetap dirasai sehingga ke akhir hayatnya. Dalam usia yang agak lanjut ketika itu, beliau masih menunjang basikal menoreh getah. Sesampai di rumah beliau memproses susu getah di bangsal dekat telaga, memesin getah dengan kudrat yang terhad. Akulah tukang pulas reroda mesin getah sebelum getah itu dijemur untuk rezeki sesuap nasi esoknya. Sebelah petang arwah akan ke sawah. Paling tidak arwah akan menjelajah serata baruh menahan bubu, tuar, sepila, pelompat, taut, mengail puyu, mengelau. Sayangnya, aku tidak sempat mempelajari kehebatan arwah membuat bubu buluh yang unik.
Bapaku juga rajin bercucuk tanam, pantang ada ruang kosong ada-ada sahaja yang akan ditanamnya di laman rumah. Cili, sawi, pucuk manis, ubi kayu, sirih, semuanya ada. Akan tetapi pemergian arwah membawa pelbagai rintangan dalam hidupku.
Oleh sebab itu ketika aku melalui Cyberjaya, ketika ternampak bukit yang masih dipenuhi pokok getah, aku terasa ingin menoreh. Sementelah harga getah semakin mahal. Padahal pada masa dahulu menoreh getah merupakan kerjaya paling rendah statusnya kerana baunya meloyakan.
Semoga roh arwah bapaku diletakkan bersama-sama roh orang yang soleh. Amin.

Khamis, Oktober 25, 2007

Apabila Lirik Lagu Mengabaikan Sastera

Mutakhir ini tercetus polemik tentang kemasukan lagu-lagu Indonesia ke negara kita. Keghairahan rakyat Malaysia mendengar lagu-lagu dari tanah seberang menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penggiat seni suara tanah air. Mereka menyalahkan juruhebah-juruhebah dan stesen-stesen radio dengan dakwaan terlalu memandang tinggi terhadap lagu-lagu dari luar. Memang dakwaan ini sekali imbas ada kebenarannya.
Namun demikian, jika kita renung kembali akan isu ini, kita mungkin bertanya kembali pada diri kita. Lagu dan lirik merupakan satu hasil seni yang dicipta oleh karyawan penuh dengan nilai estetika untuk tatapan awam. Kita berhak menikmati hasil seni yang menjadi santapan jiwa. Dua komponen yang wujud dalam sesebuah lagu ialah melodi dan liriknya.
Sebagai seorang yang meminati sastera, lirik merupakan perkara asas yang diperhatikan apabila mendengar sesebuah lagu. Dalam hal ini ternyata lagu-lagu dari tanah seberang sangat tinggi nilai sasteranya berbanding lagu-lagu tempatan. Jika boleh dibuat perbandingan, jelas lagu-lagu ciptaan tempatan masa kini telah mengabaikan aspek sastera dalam lirik yang dicipta. Kita harus bertanya punca lagu-lagu Melayu dahulu sangat diminati walaupun saingan dari negara sebarang tetap wujud. Lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee misalnya sangat kaya dengan nilai sasteranya. Oleh sebab itu lagu-lagu berkenaan sedap untuk dinikmati hingga hari ini. Begitu juga lagu-lagu pada zaman 70-an dan 80-an, nyanyian Uji Rashid, Hail Amir, Sharifah Aini, Allahyarham Sudirman, dan banyak lagi. Lagu-lagu nyanyian mereka melekat dalam jiwa kita kerana nilai sastera yang tinggi, di samping melodi yang menusuk jiwa.
Perkembangan terkini menunjukkan lirik lagu dari seberang sangat mementingkan nilai estetik yang dipanggil sastera. Biarpun lagu tersebut berirama rock, dangdut, pop, dan sebagainya, liriknya amat menyentuh untuk dihayati. Lagu-lagu kumpulan dari Indonesia itu kebanyakannya memiliki lirik yang sangat utuh nilai seninya sehingga kita tidak dapat menafikan kehadiran lagu-lagu itu di sini. Sebaliknya, lagu-lagu ciptaan komposer dan penulis tempatan gagal bertahan kerana liriknya tidak ada nilai sastera. Perbandingan ini dapat dibuat secara jelas dan sesiapapun akan mengakui hakikat kedangkalan sastera penulis lirik tempatan. Sebagai contoh cubalah kita bandingkan lirik lagu ”Hai” nyanyian Adam AF2 dengan lagu ”Dealova” nyanyian kumpulan Dewa. Begitu juga bandingkan lagu lagu ”Drama” nyanyian Ning, Nikki, dan Yani dengan lagu-lagu nyanyian Rossa mahupun Krisdayanti. Nyata, nilai sastera dalam lirik tempatan tidak wujud. Ditambah pula dengan susunan muzik yang memenuhi selera satu kelompok pendengar sahaja. Oleh sebab itu, pendengar Malaysia hari ini beralih pandangan untuk menikmati lagu-lagu dari seberang. Penggiat muzik tanah air harus bertanya kepada diri, alasan yang menyebabkan lagu-lagu tempatan tidak diminati. Jangan hanya menyalahkan pendengar dan penyiar. Pendengar mendengar yang terbaik. Penyiar pula pasti memilih yang diminati oleh pendengar mereka. Salah siapa?
Natijahnya, penulis-penulis lirik di negara kita perlu merenung kembali kreativiti mereka dalam proses menghasilkan lirik. Jika melodi sesebuah lagu itu kuat, tetapi liriknya tidak ada nilai sastera, lagu tersebut tidak akan diterima juga. Tambahan pula akhir-akhir ini lagu-lagu Melayu sudah kehilangan jati diri akibat terlalu taksub dengan pengaruh muzik barat.
Ternyata lirik perlu diberikan perhatian khusus dalam proses penciptaan lagu. Sastera ialah seni yang meliputi segenap aspek kehidupan, lebih-lebih lagi yang melibatkan kesenian berbahasa. Jangan disebabkan ingin mengikut pengaruh kebaratan, lirik lagu-lagu Melayu tidak ada lagi nilai seninya. Jika aspek ini tidak diberikan perhatian, jangan salahkan pendengar jika mereka tidak lagi meminati lagu ciptaan tempatan.


Rabu, Oktober 17, 2007

Selepas Ramadan dan Lebaran

Salam ukhuwah dan Salam lebaran,

Setelah sekian lama tidak mengemas kini blog, hari ini aku ada sedikit kelapangan untuk berbuat demikian. Itupun setelah meninjau blog rakan-rakan yang terus hidup sempena Ramadan dan Syawal. Baru kembali dari kampung malam tadi, aku rasa ada banyak perkara yang boleh dikongsi. Tentunya tentang labaran tahun ini. Meriah, seperti biasa, cuma aku sering terpesong fikiran mengingat kerja-kerja yang belum selesai.
Sebelum hari raya, ramai yang mengeluh tidak mendapat bayaran bonus. Akan tetapi kulihat orang membeli keperluan hari raya sedikit pun tidak berkurangan. Malah semasa aku ke Kuala Lumpur untuk shopping, kota raya itu seperti dipenuhi aliran semut yang tidak putus-putus. Manusia bertali arus. Aku ingin masuk ke Sogo juga tidak dibenarkan oleh pihak polis yang mengawal lalu-lintas. Nahhh... orang Malaysia (Melayu) memang sering berhabis-habisan apabila musim perayaan menjelang. Begitu juga di Mid Valley, sesak. Aku berpatah balik ke Plaza Alam Sentral di Shah Alam. Sesak juga, tetapi ada parking. Maka di situlah aku membelikan pakaian untuk anak-anak sebelum ke Alamanda pula pada esoknya. Hanya anak-anak yang seronok berhari raya.
Aku teringat pada zaman aku masih kanak-kanak dan remaja. Hari raya bukanlah hari yang menyeronokkan, sementelah kesusahan hidup di kampung memang sukar untuk digambarkan. Apatah lagi jika hujan turun sebelum hari raya, getah tidak dapat ditoreh. Arwah bapaku akan murung sepanjang masa. Walaupun kami tidak meminta pakaian, tetapi seorang bapa tetap akan bersusah hati. Kadang-kadang arwah akan menoreh pada wantu petang untuk mendapatkan sedikit belanja. Jika tidak ketupat dan kari daging tidak akan ada pada pagi raya. Ketika arwah bapa tiada lagi, aku semakin susah. Pernah aku ceritakan aku pernah membawa joran ke tengah baruh ketika orang lain merayakan hari raya. Itulah gambaran kepayahan yang kualami dalam sejarah hidupku. Namun kepayahan itulah yang menjadi bekalan untuk aku membina keperibadian sehingga aku dianugerahi oleh Allah dengan pelbagai kerahmatan dan kenikmatan yang tidak terhingga. Alhamdulillah, syukur kepada Allah azzawajalla.
Aku pulang beraya di Kedah pada hari raya kedua. Namun di Kedah, sambutannya tidaklah semeriah di Selangor. Hari pertama sampai ketiga sahaja agak meriah. Anak-anakku hairan kerana setiap rumah yang kami kunjungi, kuihnya amat terhad berbanding di Selangor, kadang-kadang sampai penuh meja dengan juadah. Tahun lepas aku beraya di kampung, waktu sembahyang aidil fitra juga agak lewat dilaksanakan di masjid tempatku. Pukul 9.30 jemaah masih bertakbir sakan, sedangkan di Banting jam tepat 8.30 Imam sudah terpacak untuk mengetuai solat sunat itu.
Aku akhiri entri kali ini dengan sembah salam untuk kenalan dan pengunjung blog. Barangkali ada perkara yang kurang menyenangkan dalam blog ini, maka ampunkan aku, insan yang tidak lekang dari melakukan kesilapan. Semoga hubungan dan ukhuwah terus kekal mesra selama-lamanya. Aminnnn...
(Sayangnya gambar hari raya tidak dapat dimasukkan atas sebab teknikal)

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...