Saya telah melancong ke Bali
bersama-sama keluarga pada 12 – 16 Mac 2016.
Percutian ini sengaja dirancang sempena ulang tahun kelahiran saya. Saya mengambil pakej pelancongan Muslim di
Malaysia. Untuk itu kami menginap di
hotel yang sama sepanjang kami berada di Pulau Bali, kerana hotel berkenaan dikatakan hotel ‘halal’ di Kuta.
Pemandu pelancong kami bernama Kadir, tetapi dia beragama Hindu.
Hari
pertama, kami sampai di Bali pada waktu petang.
Oleh sebab saya membawa cucu yang masih kecil, kami memilih pakej yang
santai. Hari kedua barulah kami
memulakan lawatan. Pulau Bali terkenal
dengan kuil-kuil Hindu yang bersejarah. Jadi, lawatan kami pun banyak ke kuil-kuil. Kami memulakan lawatan ke kilang batik, kawasan
penanaman kopi dan wisata agro, ke Ubud, dan Kintamani. Ubud merupakan kawasan sawah berteres yang
sangat unik dan cantik. Bukit Kintamani
pula merupakan kawasan tanah tinggi yang dingin. Pemandangan gunung berapi dan tasik Batur sangat
cantik. Kami makan tengah hari di
restoren Kintamani yang menyediakan makanan halal. Petangnya kami ke Kuil Tampaksiring yang
dianggap suci. Ramai pengunjung
mengambil peluang mandi di kolam penyucian di dalam kawasan kuil.
Hari
ketiga kami memulakan lawatan dengan menonton tarian Barongan. Ternyata Bali sangat memanfaatkan kesenian
mereka untuk dijadikan tarikan pelancong.
Kemudian kami ke Bajra Sandi, sebuah bangunan berbentuk loceng. Di dalamnya dipamerkan perkembangan Bali
sejak zaman prasejarah sehingga zaman perjuangan menuntut kemerdekaan. Kemudian kami ke Tanah Lot (Tanah Laut), satu
kawasan pinggir laut yang menempatkan kuil-kuil yang lama. Pemandangan sangat unik. Pada hari keempat, kami ke kilang kopi
sebelum ke Puja Mandala, iaitu sebuah lokasi yang menempatkan lima buah rumah
ibadat agama yang berbeza. Ada kuil
Hindu, gereja Protestan, Biara
Buddha, Gereja Katholik, dan Masjid Ibnu
Batutah. Selepas itu kami bergerak ke
Uluwatu (Kepala Batu), juga sebuah kawasan pinggir laut yang menempatkan
kuil-kuil Hindu yang lama. Suatu perkara
yang mencemaskan apabila pemandu pelancong menasihati kami agar berhati-hati
semasa di Uluwatu kerana terdapat monyet yang gemar merampas barangan milik
pengunjung. Antaranya beg, cermin mata,
topi, dan barang makanan. Ternyata benar
perkara itu kerana semasa kami melalui laluan ke pinggir laut, seekor monyet
merampas cermin mata pelancong kulit putih dan mematahkannya. Pelancong terpaksa membayar kepada pekerja
jika mahu mendapatkan kembali barang yang dirampas.
Pada
petang itu kami makan malam di Pantai Jimbaran sambil menikmati matahari
terbenam. Makanannya ialah makanan laut
yang enak. Besoknya, kami bersedia untuk
berlepas pulang seawal jam 11 pagi. Secara
keseluruhannya, lawatan ini sangat menyeronokkan. Bagi mereka yang gemar akan budaya, seni, dan
alam sekitar, Bali menyediakan segalanya.
Saya sempat mengunjungi beberapa outlet untuk membeli pakaian. Kami juga singgah di beberapa buah pusat
ukiran kayu, kedai ole-ole, dan juga pusat kraftangan berasaskan perak. Kebersihan Bali terjaga. Di pinggir jalan dipenuhi dengan pelbagai
pusat kesenian, dan tanaman landskap yang menarik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan