Sungai Langat suatu petang
Pagi-pagi lagi aku bergegas ke Seremban untuk menghadiri temu duga jawatan tutor/pensyarah sambilan di OUM (Open Universiti Malaysia) cawangan Seremban. Dalam temu duga itu aku ditanya mengapa tidak memohon untuk mengajar di universiti tempatan memandangkan aku memiliki PhD. Aku jawab, memang aku ada memohon. Akan tetapi permohonanku ditolak kerana aku tidak ada kenalan atau kabel di mana-mana universiti. Penemuduga itu juga bersetuju dengan jawapan itu. Nah, itulah hakikatnya sekarang di negara Malaysia yang cemerlang, gemilang, dan terbilang ini. Kadang-kadang aku keliru dengan sistem di negara ini. Kalau sesebuah organisasi diketuai oleh orang dari negeri tertentu, maka seluruh warga akan datang dari negeri yang sama. Kalau seorang ahli politik menjadi menteri, maka semua projek akan berpindah ke kawasannya. Mentaliti begini tidak membantu sebenarnya. Orang awam seperti aku mula bosan dengan sistem kronisme yang totok ini.
Ada kegilaan baharu yang aku alami kini. Kegilaan memancing udang galah di Sungai Langat. Dua hari lepas aku menghabiskan petang duduk di tebing sungai. Setelah dua jam, aku dapat memancing lima ekor udang galah. Kira ok jugalah. Yang penting aku dapat meredakan tekanan. Rasa lapang dada dan indah melihat sinar mantari terbias di muka sungai yang penuh keladak. Anehnya, udang galah masih banyak di sungai ini. Kuasa Allah!
Dalam pada itu aku memerhatikan rakanku Rezaimi yang tekun melontarkan umpan ke laut dan mendapat tujuh ekor udang galah bersepit biru.
Seorang Pemancing
Dia tidak tahu nasibnya,
tetapi yakin dengan umpan,
dan rezeki Tuhan,
menunggu tanpa jemu,
khabar yang tidak tentu,
dari sungai yang kelabu,
Seorang pemancing,
adalah seorang wira,
yang tidak pernah berbicara hampa,
tentang nasib yang ditempa,
kerana esok masih ada,
untuk melontarkan cita-cita,
di sungai usia.
Seorang pemancing,
seorang penanti yang sabar,
tidak pernah berasa gusar,
tetapi kekadang tercabar,
ketika onar menghampar,
dan perit menampar,
hingga nasib terdampar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan