Baru-baru ini tercetus satu isu tentang pemilihan teks sastera dan komsas yang disuarakan oleh kesatuan guru dan juga beberapa tokoh. Antara cadangan yang diutarakan adalah untuk memilih teks sastera dan komsas hasil karya Sasterawan Negara dan juga pemenang SEA Write Awards. Secara peribadi kenyataan tersebut menampakkan beberapa perkara yang negatif dan sikap mementingkan diri pihak-pihak tertentu.
Secara peribadinya juga saya menyatakan bahawa bukan semua karya Sasterawan Negara sesuai untuk dijadikan teks kajian di sekolah. Memang betul jika dilihat dari sudut sastera per se, karya-karya berkenaan memiliki mutu pemikiran dan falsafah tertentu. Akan tetapi hal ini tidak bermakna teks karya mereka sesuai untuk dikaji oleh golongan remaja yang baru disogokkan dengan sastera. Dalam pemilihan teks yang lalu juga beberapa karya sasterawan negara amat tidak sesuai digunakan kerana unsur struktural karya berkenaan tidak jelas dan mengelirukan. Saya tidak perlu menyebut karya-karya berkenaan tetapi sebagai guru yang terlibat secara langsung dengan pendidikan sastera dan komsas, saya berasa sangat janggal untuk mengajar apabila menggunakan teks hasil buah tangan sasterawan negara tersebut. Ada yang terlalu tinggi pemikirannya, dan ada pula yang langsung tidak layak untuk dibincangkan sama ada secara struktural mahupun formalistik.
Cadangan untuk menggunakan teks karya pemenang SEA Write Awards juga boleh dipertikaikan kewajarannya. Cadangan tersebut lebih bersifat kepentingan peribadi kerana sama seperti karya SN, tidak semua karya pemenang berkenaan sesuai untuk diperkenalkan di peringkat sekolah. Tidak dinafikan, ada sebahagian karya sesuai digunakan, akan tetapi bukan semua.
Pada pandangan saya, pemilihan teks hendaklah diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat pemilihan. Panel pemilih pula biarlah terdiri daripada kalangan guru sastera dan bahasa kerana merekalah nanti yang akan menggunakan teks-teks berkenaan di kelas. Pihak lain tidak wajar campur tangan kerana penglibatan pihak-pihak luar lebih bersikap kepentingan kelompok dan individu yang bakal mencetuskan pelbagai konflik. Kemelut panjang yang terjadi dalam pemilihan teks sebelum ini wajar dijadikan pengajaran.
Pihak Kementerian Pelajaran pula tidak harus melayan pengaruh-pengaruh yang berada di luar kementerian dalam membuat keputusan. Berdasarkan pengalaman lampau terlalu banyak pengaruh luar akan meninggalkan terhadap guru-guru yang bakal melaksanakan pengajaran di kelas.
Sebagai cadangan, sukatan pelajaran kesusasteraan wajar dikaji dengan memasukkan unsur amali atau praktikal supaya murid dapat mengaplikasi kemahiran sastera mereka secara amali. Hal ini lebih bermakna berbanding mempelajari sastera melalui mata pelajaran KM dan Komsas yang bersifat pemahaman semata-mata. Murid-murid wajar dilibatkan secara langsung dalam usaha penghasilan dan mengenali tokoh-tokoh sastera di negara ini secara praktikal, bukan sekadar melalui pembacaan biodata. Dalam kata lain, sudah tiba masa kedudukan sasterawan dan penulis diangkat dan dikenali oleh generasi masa kini.
Hanya sekadar pandangan dan cadangan peribadi.
11 ulasan:
Dr. Ghazali,
izinkan saya linkkan entri cikgu ttg komsas ini ke blog saya.
harap cikgu tak keberatan.
terima kasih.
zaid akhtar,
Setuju 100% harapnya tidak ada penulis yang emosional seperti kes Mastera tempohari apabila senarai pendek keluar nanti.
Mardhiah
Sdr. Zaidakhtar, ambillah mana-mana coretan saya, selagi bahan tersebut dapat dimanfaatkan. Kepada sdr Mardhiah, kita hanya peminat kecil dunia sastera, tunggu dan lihat sahaja perkembangan dunia sastera yang penuh polemik.
Dr. Ghazali Lateh
Saya pula berpendapat begini.
Soal pendidikan bukan hanya eksklusif milik Kementerian Pelajaran dan para guru. Ia adalah milik semua -- kerana produk pendidikan ini akan tersebar ke serata sektor. Semua orang akan merasai impaknya.
Pengaruh luar (apa jua takrifan makna kepada 'pengaruh' itu) -- WAJIB didengari dan dipertimbangkan. Itu namanya 'check and balance'.
Di mana produk 'sekolah' itu akhirnya disalurkan? Salah satu tempat ialah di universiti. Kalau begitu, para sarjana di menara gading BERHAK untuk ambil tahu (bahkan campur tangan!) tentang bagaimana kurikulum di sekolah digubal dan dibentuk.
Sekadar pandangan.
Terima kasih Rem atas pandangan yang bernas. Cumanya, ada kalanya campur tangan yang keterlaluan akan menjadi duri dalam urusan orang lain. Saya ingin mengambil contoh, mengapa mata pelajaran kesusasteraan di peringkat STPM sekarang semakin layu, tidak sampai seribu calon STPM yg mengambil mata pelajaran tsb. Bagi saya puncanya penggubal sukatan, soalan peperiksaan, dan pemeriksa terdiri daripada kalangan sarjana, pensyarah universiti. Wajarnya mereka hanya merancang kurikulum di IPTA. Standard yang diletakkan terlalu tinggi sehingga pelajar STPM takut untuk memilih sastera kerana susah nak lulus. Biarlah di peringkat sekolah, guru-guru sahaja yang mengelolakannya. Apabila calon-calon yang berjaya dalam STPM, barulah pihak pensyarah dan sarjana sastera yang mengambil tugas mereka untuk merencanakan segala-galanya. Bagi saya sarjana/pensyarah yang mendominasi urusan mata pelajaran di sekolah, akan membunuh mata pelajaran itu sendiri. Wallahualam.
Dr. Ghazali Lateh
Sdra. Ghazali,
Ini bukan soal minat. Ini bukan soal senang atau susah. Ini soal ketulenan semangat dan falsafah dalam sastera itu sendiri.
Sastera adalah sastera. Walau ia dijungkir-balik seribu kali, yang dikata 'sastera' itu harus tetap disasterakan.
Sama seperti matematik. Adakah ia susah? Ya, tentu saja. Adakah minat pelajar terhadap subjek ini makin meningkat? Tidak! Kalau ia bukan matapelajaran WAJIB, saya percaya lebih ramai orang mahu belajar sastera daripada matematik.
Kalau mahu senang, kita juga boleh permudahkan subjek matematik (mengikut pendekatan guru sastera yang mahu novel pop diangkat sebagai teks). Bagaimana caranya? Buang silibus kalkulus. Buang silibus statistik. Hanya tinggalkan aspek algebra yang mudah-mudah. Tentu dengan cara ini, matematik akan jadi matapelajaran yang lebih senang dan mudah!
Tapi adakah itu yang kita lakukan dalam matematik? Tidak. Apa yang dibuat ialah meningkatkan kemahiran dan kreativiti para guru matematik. Tingkatkan minat pelajar menerusi pengajaran interaktif dan menarik.
Dalam kes subjek sastera pun, saya fikir begitu juga. Kenapa nak 'dipermudah' atau 'diperlekeh' silibusnya? Kenapa tak tingkatkan kreativiti pelajaran?
Dungu sangatkah pelajar Malaysia berbanding dengan orang putih dalam hal-ehwal sastera? Di UK, pelajar sekolahnya mengkaji teks Shakespeare untuk komponen sastera. Bukan mereka pakai novel popular yang melambak di pasaran. Itu pun, saya fikir para pelajarnya tak tunjukkan minat.
Kuncinya? Kaedah pengajaran harus diperbaiki. Guru-guru kena berusaha tingkatkan kreativiti. Janganlah kerana kita kurang pandai menari, maka kita cari alasan untuk nak tukar lantai.
Itu tak akan menyelesaikan masalah. Saya fikir begitu.
" Itu pun, saya fikir para pelajarnya tak tunjukkan minat."
Pembetulan:
Patut dibaca: "Itu pun, saya fikir para pelajarnya TETAP tunjukkan minat."
Sdra Rem,
Benar, pendekatan memesrakan sastera itu penting bagi menarik minat orang terhadap sastera. Harus diingat, manusia mempunyai minat yang berbeza-beza. Saya sendiri merupakan bekas pelajar Sains tulen, tetapi menceburkan diri dalam bidang sastera kerana adanya dorongan dalaman dan anugerah Ilahi dalam bidang ini. Persoalannya, berapa keratkah yang ada dorongan dalaman untuk meminati sastera. Minat itu perlu diterapkan melalui DUA kaedah, sama ada secara pupukan dan paksaan. Apa yang terjadi dalam Matematik, pendekatan paksaan digunakan, dengan menjadikannya subjek teras. Kalau ada kelonggaran atau diberikan pilihan, maka tidak ramai yang akan memilih. Sastera digubal sebegitu rupa supaya dapat dipupuk bukan dipaksa. Kalau dibuang bahagian-bahagian tertentu dalam Matematik pun, tidak akan ada orang yang mahu mempelajari jika tidak ada dorongan dalaman.
Jadi, dalam sastera mungkin berhasil jika gunakan paksaan seperti yang tuan cadangkan. Akan tetapi kita hanya akan melahirkan robot-robot sastera yang tidak kreatif, jumud, terlalu materialistik. Saya akui, kita harus didedahkan dengan karya-karya avant garde tempatan sebagai pembentuk jati diri, spt pendeddahan Shakespear di UK, tetapi avant garde kita bukanlah karya mereka yang bergelar Sasterawan Negara, atau pemenang SEA Write Award. Sejarah Melayu, Hikayat Pasai, dan lain-lain harus diangkat sebagai asas sastera kita (yg ternyata tinggi falsafahnya). Saya akui juga karya picisan tidak harus diangkat sebagai rujukan, akan tetapi kita harus menghukum dengan dakwaan sebagai merosakkan. Seeloknya, kita ambil jalan tengah yang memberikan peluang kepada semua pihak yang berkarya, bukan segelintir sahaja. Karya picisan yang bermutu merupakan kesinambungan sastera bangsa yang tidak harus dipinggirkan.
Sekadar pandangan.
Dr. Ghazali Lateh
Bahagian "akan tetapi kita harus menghukum" sepatutnya dibaca sebagai "akan tetapi kita tidak harus menghukum".
Isunya bukan paksaan atau pupukan. Isunya, sastera harus diajar sebagai 'sastera'. Kita tidak boleh memilih jalan senang dengan sengaja-sengaja menjadikan 'sastera' itu ringan.
Memang akan wujud pertikaian tentang apa 'kayu-ukur' bahan sastera yang baik. Ini perkara subjektif. Setiap orang akan bagi pendapat yang berbeza-beza. Sebab itu kita kena berbalik semula kepada konsensus nasional yang sudah menggariskan domain sastera yang tulen. Bagaimana? Menerusi pelbagai bentuk penganugerahan (yang tentunya berasaskan saringan). Bukan dipilih begitu-begitu saja.
Apa guna kita berbelanja besar mencari 'permata sastera Melayu' menerusi macam-macam pengukuran: misalnya, Sasterawan Negara, Hadiah Sastera Nasional, dll -- kalau akhirnya bahan-bahan yang ditemui itu tidak diguna untuk memupuk minda generasi muda? Sia-sia.
Di UK misalnya, mereka tidak gunakan karya-karya best-seller (eg. Jeff Archer, JK Rowling, et. al) sebagai manuskrip rujukan di sekolah. Walaupun MINAT anak-anak muda sangat ke arah tulisan-tulisan begitu. Mereka guna karya yang sudah dapat 'pengiktirafan'!
Tiada untung kita dapat praktikkan konsep pupukan kalau bahan yang kita pilih itu tidak berkhasiat. Analoginya begini. Katakan anak kecil kita tidak suka makan bahan-bahan berzat (nasi, sayuran, lauk, etc). Kerana tidak mahu memaksa, maka kita 'pupuk minat' makan mereka dengan memberi apa yang mereka suka. Misalnya, coklat, gula-gula, keropok Pringles dan apa saja yang sesuai dengan 'selera pop' seorang anak kecil.
Persoalannya, wajarkah?
Saya fikir Sdra. juga silap menanggap mengenai tamsilan saya terhadap subjek Matematik. Saya tidak maksudkan begitu. Saya ada menulis hal yang sama dengan huraian lebih perinci di sini:
http://groups.yahoo.com/group/KEMSAS/message/9133
Salam sastera.
Catat Ulasan