Ahad, September 18, 2016

TRAVELOG PERTH 2016

Hari Selasa 13 September 2016, saya terbang ke Perth.  Petang itu kami sampai, disambut oleh bekas jiran yang kini menetap di Perth.  Norbaayah dan suaminya Encik Mansor datang ke lapangan terbang dengan membawa bekalan makanan.  Saya telah ditunggu oleh Along (orang Kodiang)  yang membawa saya ke apartmen.  Suhu Perth dingin, angin bertiup menambahkan kedinginan musim bunga.  Kami menginap di Mount Bay Village, kawasan yang berhampiran dengan bandar.


Petang itu saya berjalan untuk mencari kedai bagi membeli plug elektrik.  Nasib baik ada sebuah gerai di stesen bas yang menjual plug berkenaan.  Malam itu kami tidak ke mana-mana memandangkan sudah lewat.  Jam 5 petang kebanyakan kedai di Perth sudah tutup.  Waktu di Perth dan di Malaysia sama, cuma pukul 5 sudah hampir gelap.

Hari kedua kami ke Caversham Wildlife dengan menyewa kereta bersama-sama pemandu.  Encik Razak yang membawa kami. Yang menarik, sebahagian besar pengunjung zoo tersebut adalah orang Malaysia, khususnya Melayu.  Mungkin kerana musim cuti persekolahan sedang berlangsung.  Dapatlah bagi makan kangaroo, dan tengok Farm Show.  Kami makan tengah hari di kawasan taman di luar zoo tersebut.  Encik Razak menempak makanan dari sebuah restoren Melayu di Perth.

Selepas itu kami ke kilang cokelat di Margaret River sebelum meneruskan perjalanan ke Arulean Park.  Di taman ini, kami teruja melihat bunga tulip yang sedang mekar berkembang kerana musim bunga baru bermula.  Pelbagai jenis tulip ditanam di lereng-lereng bukit.  Cantiknya pemandangan di situ. Malam itu kami makan malam di Restoren Makan-makan di Victoria Park.  Encik Mansor dan Norbaayah yang belanja kami makan. 




Hari ketiga kami hanya bersiar-siar di bandar.  Malangnya cuaca kurang baik. Sempat membeli-belah di Chemist Warehouse. Minyak wangi dijual dengan harga yang murah. Begitu juga dengan ubat-ubatan. Saya membeli empat botol minyak wangi untuk dibawa pulang.  Kami makan tengah hari di Insan Cafe, khabarnya pemiliknya orang Pendang, Kedah.  Oleh sebab hujan, kami pulang ke apartmen segera.  Petang itu kami ke Elizabeth Quay.  Hujan dan angin menjadikan suasana sangat dingin.  Saya membeli tiket feri untuk ke Fremantle esok.


Hari Jumaat, kami menaiki feri melewati Sungai Swan ke Fremantle.  Kami ke E Shed Market untuk membeli buah tangan sebelum pulang.  Harga cenderamata agak murah.  Kedai cenderamata itu milik orang Indonesia dan pekerjanya orang Melayu, barangkali pelajar Malaysia di sana.  Sekali lagi Encik Mansor dan Norbaayah datang untuk belanja kami makan fish and chip.  Ada dua restoren yang besar. Yang uniknya, ramai pelanggan terdiri daripada orang Melayu.



Dalam perjalanan pulang kami singgah di Cottesloe Beach. Kami dibelanja minum kopi di Shorehouse. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di King’s Park yang cantik. Akhirnya, kami balik ke apartmen sebelum keluar lagi untuk membeli-belah di Water Town yang terkenal dengan outlet pakaian. Harga pakaian agak murah kerana sedang berlangsung jualan murah.  Sekali lagi orang Melayu mendominasi kawasan ini.

Malam itu kami berkemas kerana akan pulang esoknya.  Pagi 17 September, kami keluar apartmet pada jam 10.30 pagi.  Along datang tepat pada masanya.  Oleh sebab penerbangan kami petang, Along membawa bersiar-siar di sekitar bandar. Along membawa kami makan tengah hari di Restoren Satay on Charcoal, milik penguasaha dari Johor.  Kami selamat sampai ke tanah air pada jam 10 malam.

Perth merupakan bandar yang bersih.  Perkhidmatan bas dalam bandarnya percuma, dikenali dengan nama Central Area Tranport (CAT). Ada gambar kucing di bas tersebut.  Orangnya peramah dan suka membantu. Ramai orang Melayu menetap di Perth. Khabarnya ada 30 ribu semuanya.  Lawatan ke Perth sangat memuaskan hati.

Tiada ulasan:

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...