Sabtu, Disember 08, 2018

Travelog India 2018

Travelog India 2018

26 November 2018 saya berangkat ke New Delhi pada jam 7 petang.  Penerbangan ke Delhi mengambil masa 5 jam lebih.  Tiba di sana jam 10.30 malam waktu Delhi.  Perbezaan waktu Delgi dengan Kuala Lumpur adalah 2 jam setengah.  Saya telah menempah hotel berhampiran lapangan terbang. Pada pukul 12.30 baru tiba di hotel untuk merehat diri.  Pada asalnya saya berhasrat untuk berehat di Visitors Lounge sahaja, namun suasana di situ kurang kondusif.  

Besoknya kami bergegas ke lapangan terbang kerana pesawat akan berlepas pada 7.50 pagi.  Namun oleh sebab cuaca di Srinagar kurang baik, penerbangan ditunda ke pukul 9.  Pemeriksaan keselamatan di Indira Ghandi International Airport sangat ketat.  Barisan menunggu pemeriksaan keselamatan sangat panjang.















Penerbangan terlewat hampir dua jam.  Akhirnya kami mendarat di Srinagar dalam pukul 11.30.  Suasana di Srinagar berkabus dan sejuk.  Kami terus mendaftar masuk di Hotel Royal Batoo.  Pada jam 1.00 petang, kami dibawa bersiar-siar di sekitar bandar Srinagar.  Kami melawat beberapa tempat menarik termasuk pasar awam di pinggiran Tasik Dal.  Pada malamnya kami tidak ke mana-mana.

Besoknya, pukul 9.00 pagi, pemandu kami, Nisar tia di hotel.  Kami bertolak ke Gulmarg dalam suasana pagi yang berkabus. Lalu-lintas di jalan agak kelam-kabut.  Bunyi hon kereta membingitkan telinga.  Rupa-rupanya membunyikan hon kenderaaan merupakan satu amalan yang digalakkan di negara India.  Dalam jam 10.30 kami tiba di Gulmarg.  Kami diperlukan mengambil seorang pemandu pelancong untuk memudahkan aktiviti. Kami juga perlu menyewa sepasang pakaian salji untuk aktiviti di kawasan bersalji.  Kami menaiki gondola ke puncak pertama. Terdapat dua stesen gondola yang mengenakan bayaran yang berbeza-beza.  Salji menutupi seluruh kawasan pergunungan Gulmarg.  Kami bernasib baik kerana dua minggu sebelumnya salji turun dengan lebat tetapi semasa kami tiba salji hanya menutupi permukaan tanah.

Kami mrelakukan pelbagai aktiviti seperti menaiki andur salji yang ditarik oleh manusia, bermain ski, menaiki snowbike dan sebagainya.  Setiap aktiviti dikenakan bayaran yang tertentu.  Kami meneroka gunung yang dipenuhi salji dengan snowbike.  Dalam perjalanan pulang, kami singgah di beberapa premis perniagaan seperti gedung permaidani dan pakaian, buah-buahan kering, dan cenderamata.

Pagi berikutnya kami ke Pahalgam.  Pemandangan kawasan pergunungan Pahalgam sangat indah.  Khabarnya lembah Pahalgam merupakan lokasi penggambaran sebuah filem Hindi yang terkena iaitu Bajrangi Baijaan terbitan dan lakonan Salman Khan.  Kami menunggang kuda ke kawasan perkampungan di lereng gunung.  Kemuncak akiviti itu kami sampai ke se buah kawasan yang dinamakan Mini Switzerland, kawasan pemandangan indah seperti di negara Eropah tersebut.  Aktiviti menunggang kuda sangat mencabar dan merupakan pengalaman yang sangat indah.

Keesokannnya kami ke Sonamarg, sebuah kawasan yang sentiasa dilitupi salji.  Pemandangannya sangat indah kerana kawasan pergunungannya memutih ditutupi salji.  Kami menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk meneroka kawasan pedalaman yang mencabar. Kami sampai di kaki gunung yang bersempadan dengan Pakistan. Tempat ini dikenali dengan nama Last of Kashmir.

Hari keempat kami melawat di sekitar Srinagar sambil beli-belah. Petangnya kami dibawa ke Boathouse. Kami akan menginap di rumah bot tersebut satu malam.  Sebelum senja kami menaiki sebuah sampan Shikara untuk melawat di sekitar Tasik Dal.  Kami singgah di beberapa buah kedai di sekitar tasik.

Hari kelima kami kembali ke Delhi. Seperti biasa pemeriksaan keselamatan sangat ketat.  Sebelum masuk ke kawasan lapangan terbang, semua bagasi diimbas oleh pasukan keselamatan.  Kami tidak dibenarkan masuk ke bangunan lapangan terbang walaupun suhu ketika itu 2o C.  Kami beratur dalam kedinginan sehingga dibenarkan masuk.  Semua beg diperiksa sekali lagi. Akhirnya pa 9.40 pagi kami terbang ke Delhi.
Di Delhi, saya telah menempah sebuah hotel di kawasan Jama Masjid, iaitu kawasan majoriti orang Islam.  Kami sangat terkejut dengan suasana lalu-lintas di kawasan ini yang tidak keruan.  Bunyi hon kenderaan sangat bising.  Kenderaan seolah-olah tidak perlu akur kepada peraturan.  Akan tetapi setelah tiga hari berada di situ, kami mula faham akan keadaannya.

Malam itu kami berjalan kaki ke pintu1 Jama Masjid.  Kami makan ayam goreng di Restoren Haji Mohamed Hussain. Pelanggannya penuh.  Di luar kedai, ramai gelandangan yang menanti untuk diberikan makanan.  Ramai kanak-kanak datang meminta wang.  Keadaan lorong sangat sesak dengan ribuan manusia melaluinya. Beca, motorsikal, tut-tut berebut-rebut mahu mendahului antara satu sama lain.

Pagi yang berikutnya, kami bertolak ke Agra untuk melawat Taj Mahal.  Jaraknya agak jauh.  Pemandu kami Ravi sudah menunggu sejak jam 6 pagi.  Kami melalui Lebuh raya Yamuna untuk ke Agra.  Yang agak menjengkelkan ialah kejadian penumpang kenderaan yang membuang air kecil di pinggir lebuh raya walaupun disediakan kawasan R&R yang baik.  

Di Agra, lalu-lintas juga tidak ada sistem.  Semuanya sangat kelam-kabut dan kawasannya sangat berdebu.  Kami dibantu oleh seorang pemandu pelancong untuk memudahkan lawatan.  Hampir dua jam kami menikmati keindahan Taj Mahal yang menakjubkan itu.  Sebelum pulang kami dibawa untuk beli-belah.  

Hari yang berikutnya kami bersiar-sia di sekitar Delhi. Ravi membawa kami ke beberapa tempat menarik termasuk India Gate, President House, dan Rajghat.  Kami menolak untuk melawat tempat-tempat lain kerana terpaksa beratur panjang untuk masuk.  Akhirnya kami pergi ke pasar raya untuk makan dan beli-belah.

Pada hari terakhir, kami sempat lagi menaiki beca dan mengelilingi sekitar kawasan Jama Masjid seperti Spice Bazaar, Meena Bazaar dan pusat-pusat jualan cenderamata.  Kami berangkat pulang pada malam itu dengan Air Asia pada 11.15 malam.  

Banyak perkara yang boleh dikongsi berdasarkan pengalaman hampir 9 hari di India.  Di Srinagar, orangnya baik-baik dan peramah.  Srinagar dipenuhi oleh askar yang berkawal di segenap penjuru bnadar.  Hal ini disebabkan kebangkitan rakyat Kashmir untuk menuntut kebebasan dari India.  Orang Kashmir merupakan etnik yang berbeza daripada orang India.  Bahasa mereka juga berbeza. Majoriti orang Kashmir beragama Islam.  Rata-rata orang Kashmir menjelaskan bahawa mereka mahu sebuah negara yang bebas.

Di Delhi, wujud kepelbagaian etnik, budaya dan agama.  Namun mereka hidup dalam keadaan harmoni.  Bagi pelancong, mereka perlu berhati-hati dengan tawaran perkhidmatan yang diberikan.  Hal ini demikian mereka akan cuba menipu kita dengan mengenakan bayaran yang tinggi berbeza daripada yang dijanjikan.  Yang peliknya, sepanjang saya di India saya tidak menemukan penduduknya bercakap dalam bahasa Tamil. 

Namun, keseluruhannya, pengalaman 10 hari di India adalah sangat  bermakna dan berharga.  Kita dapat membuat perbandingan bahawa betapa baiknya keadaan negara kita jika kita banyak melawat negara luar.


Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...