Ahad, Oktober 05, 2008

Yang Unik Kutemui

Semasa aku berkunjung ke Pekan Pagi Jumaat di Kilang Kecil, Pendang, kudapati terdapat sebuah gerai yang menjual tembakau. Di beberapa tempat, pemandangan seperti ini adalah biasa. Orang kampung membeli tembakau yang ditimbang, warna hitam.

Dalam perjalanan balik ke Banting, aku sempat singgah di Changkat Jering. Pagi Sabtu itu ada pasar minggu di sini. Aku sempat merakamkan beberapa gerai yang agak unik. Gambar atas ialah gerai yang menjual belacan. Lihatlah bongkah belacan yang besar-besar. Itu tidak termasuk gerai ikan pekasam. Mengapakah agaknya masyarakat kita terlalu obses dengan yang busuk-busuk?
Gambar di atas pula ialah buah putat. Kalau di Kedah, pucuk putat ialah rencah ulaman untuk menambahkan keenakan laksa. Tapi buah putat tidak dimakan. Di Changkat Jering, buat putat dijual sebagai ulam. Sedap agaknya...






Selasa, September 30, 2008

Menjelang Syawal

Syawal menjenguk juga setelah sepurnama umat Islam menunaikan ibadah puasa. Syawal mengembalikan ingatan ke kampung halaman, zaman ketika diri masih kecil. Nun jauh di utara, Kampung Bukit Nibung ialah tempat yang penuh nostalgia. Zaman kecilku sehingga berusia 18 tahun aku berada di sana. Hari raya semuanya indah. Bagiku semuanya tidak seindah itu. Aku tidak begitu dapat membezakan antara hari raya dengan hari biasa. Yang kuingat sehari sebelum hari raya orang kampung ke Pekan Bukit Jenun membeli daging. Bagi keluarga kami sekati daging sudah mencukupi, untuk dimasak kari pekat dan dimakan dengan ketupat pulut. Adakalanya arwah bapa akan membawa balik tulang lembu untuk dibuat sup.

Oleh sebab kemiskinan, aku tidak berapa kisah dengan hari raya. Percaya atau tidak aku pernah pergi ke baruh untuk memancing ketika orang lain gembira menyambut hari raya. Atau ke bukit mencari kayu api seperti tiada apa-apa yang berlaku. Itulah bahana kekurangan.


Minggu lalu aku tertarik dengan pelawaan seorang sahabat untuk membeli air botol berbagai-bagai perasa. Lama sudah tidak kulihat air botol seperti ini. Dalam tahun 60-an dan 70-an, air inilah yang menjadi idaman anak-anak. Ketika ibuku mengambil upah menanam padi, air inilah yang adakan disediakan oleh majikan. Jadi, aku dan budak-budak lain akan menempel di batas sawah, menanti waktu ibu-ibu mereka berhenti untuk minum. Seteguk diminum ibu, selebihnya anak-anaklah yang kesedapan menghabiskannya.
Apabila aku terlihat akan air botol itu, pantas sahaja aku memesan satu tong (48 botol). Bukan kerana nafsu kehausan sebab puasa, tetapi aku terlalu bernostalgia zaman kecilku. Sengaja aku beli dengan banyak untuk diberikan dan diceritakan kepada anak-anak tentang nostalgia masa lalu, tetapi setelah dirasa, lantas mereka berkata 'tak sedap'. Barangkali yang sedap padaku masa lampau tidak lagi enak dinikmati pada zaman ini.
Besok, 1 syawal. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.

Isnin, September 29, 2008

Balik Kampung?

Gambar dipetik daripada msomelayu.blogspot.com

BUDAYA BALIK KAMPUNG : ANTARA KEGHAIRAHAN DAN IMPLIKASI


Balik kampung! Ungkapan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Aktiviti ini pula sudah boleh dikatakan menjadi budaya masyarakat Malaysia, terutamanya sempena musim perayaan. Soalan `balik kampung?’ itu sudah menjadi kemestian setiap kali bertemu dengan sahabat handai.
Orang yang bakal balik kampung berasa amat berbangga apabila memberikan jawapan yang positif. Sementara itu, orang yang tidak balik kampung seolah-olah terlalu kecewa, di samping menyatakan pelbagai alasan yang membantutkan hasrat untuk balik kampung itu. Tidak kurang juga yang terpaksa berbohong akan balik kampung walaupun pada hakikatnya dia tidak berbuat sedemikian.
Begitulah hebatnya budaya balik kampung dalam masyarakat kita, terutamanya mereka yang merantau mencari rezeki di bandar-bandar utama. Masyarakat sanggup berbelanja besar untuk balik kampung. Lebih-lebih lagi jika kampung mereka terletak jauh, dan bilangan anak pula ramai. Namun mereka tidak menghiraukan segala bebanan itu, asalkan dapat balik kampung. Keseronokan balik kampung mampu mengatasi segala masalah.
Pelbagai kaedah digunakan untuk balik kampung. Rata-rata masyarakat bandar sekarang sudah memiliki kereta. Balik kampung tidak akan mendatangkan masalah besar kepada mereka. Pihak yang kurang berada pula boleh menggunakan kenderaan awam yang semakin cekap. Oleh sebab itulah sejak sebelum bulan puasa lagi tempahan tiket-tiket bas sudah dibuka. Minggu pertama puasa sudah heboh mengatakan tiket bas sudah habis. Timbul pula istilah `ulat’ iaitu mereka yang mengambil kesempatan daripada keghairahan budaya balik kampung ini. Tiket-tiket dijual dengan harga yang lebih mahal. Pengguna tidak kisah sangat, asalkan mereka dapat balik kampung, harga mahal sedikit tidak menjadi masalah.
Satu hal yang penting ialah budaya ini melibatkan perasaan. Orang yang merantau untuk mencari rezeki di bandar akan berasa cukup puas jika dapat balik kampung pada musim perayaan. Pada masa yang sama, orang yang tinggal di kampung pula seperti menanti kepulangan sanak-saudara dari bandar. Kegagalan orang bandar balik kampung menimbulkan kekecewaan pula dalam kalangan orang kampung.
Dari segi psikologinya, aktiviti balik kampung ini dapat mewujudkan satu ikatan perhubungan yang akrab antara orang yang merantau dan orang yang tinggal di kampung. Jika tidak balik kampung, masyarakat menganggap seseorang itu mempunyai hubungan yang tidak baik dengan saudara mara mereka. Anak-anak yang tidak balik kampung pada musim perayaan pula dianggap sebagai anak yang tidak mengenang jasa.
Sama ada disedari atau tidak, aktiviti balik kampung bermusim ini boleh mencetuskan pelbagai kesan yang negatif. Paling nyata ialah kesan dari segi kewangan. Masyarakat sanggup berbelanja besar, bahkan berhutang untuk balik kampung. Berbagai-bagai jenis perbelanjaan perlu ditanggung, termasuk tambang, senggaraan kenderaan, makan minum, bayaran tol, belanja di kampung, pemberian sagu hati kepada anak-anak buah dan bermacam-macam lagi perbelajaan yang tidak dirancang. Oleh itu budaya balik kampung jelas sekali memerlukan belanja yang besar.
Setiap kali balik kampung, perantau mahu dipandang tinggi oleh pihak yang berada di kampung. Untuk tujuan itu, pelbagai usaha dilakukan agar perantau tidak dipandang rendah. Kalau boleh kereta mesti bertukar setiap kali balik kampung. Kereta yang baharu pasti lebih mahal daripada kereta yang sebelumnya. Pakaian sendiri dan anak-anak mestilah mampu menampakkan kemewahan. Hal itu tidak termasuk barang kemas isteri, jika dia seorang lelaki.
Pendek kata perbelanjaan meningkat secara mendadak setiap kali balik kampung. Bil telefon bimbit pasti meningkat. Begitu juga halnya dengan kos bahan api kenderaan dan bayaran tol. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menggunakan kad kredit, mereka akan berbelanja tanpa kawalan asalkan dapat meraih kepuasan balik kampung yang maksimum.
Keghairahan balik kampung juga akan mendedahkan masyarakat kepada perbagai risiko. Kadar kemalangan jalan raya sering meningkat dengan mendadak setiap kali musim perayaan tiba. Catatan kadar kematian yang tinggi memang mengerikan sesiapa jua. Namun kengerian itu tidak pernah melunturkan semangat ‘balik kampung’ dalam kalangan masyarakat. Sikap berhati-hati di jalan raya hanya wujud sebelum perjalanan balik kampung dimulakan. Semakin lama perjalanan dan semakin dekat destinasi yang dituju, keghairahan semakin memuncak, sekali gus mengikis rasa keprihatinan dan sikap beringat-ingat itu.
Kesesakan di setiap plaza tol berlaku ketika ribuan kereta terpaksa berhenti untuk menjelaskan bayaran tol. Jika kita dari utara ke ibu kota, kita akan tersangkut sebaik sahaja keluar dari terowong di utara Ipoh kerana keadaan di plaza tol Jelapang (yang kini dipindahkan sedikit ke selatan) begitu sesak dengan kenderaan. Selepas itu sekali lagi kita akan tersekat di plaza tol Ipoh Selatan. Pergerakan kereta tersangkut-sangkut. Hentian sebelah dan kawasan rehat menjadi terlalu sesak sehingga untuk masuk ke tandas awam seseorang itu terpaksa berbaris selama setengah jam. Apabila kita menghampiri Kuala Lumpur, kenderaan mula tersangkut bermula di Bukit beruntung, malah seawal Tanjung Malim.
Jika dari selatan pula, perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur amat menyiksakan. Lebih raya bertol bukan lagi kaedah menjimatkan masa dan tenaga. Semuanya, disebabkan keghairahan balik kampung. Perkara ini tidak termasuk masalah-masalah lain yang sering juga berlaku seperti kecurian di rumah yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan, masalah penipuan pihak pengusaha pengangkutan awam dan sebagainya.
Balik kampung juga menjadikan kita berada dalam keadaan terkocoh-kocoh. Ketika di kampung, banyak tempat yang hendak dilawati. Banyak saudara-mara dan sahabat-handai hendak diziarahi, sedangkan masa amat terhad. Banyak undangan yang perlu dipenuhi. Jika tidak kita dianggap tidak memberatkan saudara-mara. Akibatnya kita akan kepenatan danb kekalutan sepanjang masa.
‘Balik kampung’ menjadi suatu kemestian bagi masyarakat kita. Namun keseronokan balik kampung perlu dikawal agar kita tidak menghadapi sebarang masalah akibat aktiviti bermusim ini. Budaya balik kampung perlu diteruskan kerana mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Akan tetapi, seseorang itu perlu lebih rasional kerana aktiviti ini membariskan pelbagai risiko yang menanti jika kita tidak berhati-hati. Balik kampung jangan sampai menjadi suatu keghairahan yang membebankan diri sendiri.
Apakah pandangan tuan-tuan?

Sabtu, September 27, 2008

Pukul 3.22 pagi


Tika ini jam menunjukkan pukul 3.22 pagi. Aku masih menghadap komputer. Bukan menunggu lailatul qadar, tetapi menyiapkan bahan untuk buku yang bakal diterbitkan pada tahun 2009. Beginilah kehidupan seorang penulis. Bekerja dalam kesepian malam. Berjaga bagai pungguk. Namun, sesekali aku tidak menyesal. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang kesumbangkan untuk masyarakat. Bayaran bukanlah segala-galanya. Sebagai manusia, berilah sesuatu untuk masyarakat. Bukan untuk dikenang jua, hanya membantu selagi terdaya.

Ketika orang lain lunak dengan mimpi, aku menyekang mata, memerah minda untuk berkarya. Semoga usaha ini diberkati yang maha Esa.

Rabu, September 24, 2008

Salam Untuk Perantau


Perantau,
Tidakkah kau membilang detik menanti saat keberangkatan pulang, menjenguk kampung halaman? Saat sanak saudara kaum keluarga di kampung halaman mengingatimu setiap waktu, dan menjelang kini lebaran nan syahdu. Tahukah dikau kiranya penantian itu bukanlah bualan yang meniti di bibir tetapi telah merobek sanubari?

Perantau,
Hidupkan nostalgiamu, beramah mesra, bergurau canda, ayah dan bonda di sini tidak pernah lekang menanti dan bercerita tentang anaknya yang jauh di rantau mencari jati diri dan mengukir martabat sejati. Kenanglah sejenak saat-saat indah melangkah pergi dalam dakapan kasih ayah bonda, saudara dan taulan. Kenanglah mereka biarpun dikau jauh di perantauan, mencari pengetahuan, membina kehidupan.

Dan kini datang lagi aidilfitri, tidakkah kau teringat saban hari lagu-lagu syahdu meruap ke udara sukmamu. Dan di perantauan nan jauh itu, adakah kau terdengar merdu lagu kemestian setiap kali lebaran? Tidakkah terbuai hatimu dan melayang ke desamu, mendengar alunan seru, semuanya meruntun kalbu.

Perantau,
Jika tidak berhasil pulang lagi lebaran ini, tabahkan hati merempuh onak dan duri. Lantaran perjalanan hidup mesti terus dimesrai, seorang diri tidak bererti kau sepi. Di sini kami tetap menanti kepulanganmu satu masa nanti. Jika rindu ketika tergema laungan takbir Aidilfitri, sujudlah mengubat hati. Kiranya air mata tidak terbendung jua, lepaskan jurainya sehingga gelora menjadi reda. Justeru, saat-saat manis begini akan datang lagi. Kami di sini setia menanti setahun lagi. Saat kita bertemu kembali.

Perantau,
Kamu berpergian bukan tanpa tujuan. Kamu berkelana bukan atas sebab yang hina. Tenanglah menghadapi saat-saat jauh dari sisi orang-orang tersayang, dan mereka pasti memahami akan keadaan resah diri dan luapan rasa ingin kembali. Jika berkesempatan, sapalah mereka buat sedetik cuma, buat mengubat segala derita berjauhan di hujung dunia. Yang pasti perantau pasti akan kembali, membawa misteri di hujung mimpi.

Sabtu, September 20, 2008

Shopping di Alamanda, Putrajaya



Untuk mengelakkan kesesakan pada minggu depan, aku pergi shopping petang tadi. Shopping di Alamanda agak selesa kerana suasana yang tidak begitu sibuk. Beli sedikit pakaian sendiri dan keluarga, sebagai tambahan. Sebenarnya kali ini sudah kali ketiga aku dan isteri shopping untuk lebaran. Persediaan tahun ini amat sederhana kerana perhatian lebih diberikan kepada urusan pembinaan rumah kami.

Ahad, September 14, 2008

Dalam Melankolia Lebaran


Dalam Melankolia Lebaran,

Oleh Ghazali Lateh

Dalam melankolia lebaran,
waktu takbir mengapung di atmosfera,
aku pulang,
mencari masa silam yang rontok,
di padang usia.

Semilir bayu desa,
tidak lagi menyapa mesra,
kerana waktu bukan lagi keindahan,
yang tersemat pada hijau pepohonan,
sawah ladang bukan lagi permainan,
anak-anak tidak betah,
memijak lecah.

Gerimis pun bercanda,
ketika mencari pusara ayahanda
kehilangan tanda,
justeru kemboja itu,
telah habis umurnya.

Dalam melankolia lebaran,
aku kembali untuk menanti,
nostalgia yang bersilih ganti,
setahun lagi.

Banting,
21 November 2004

Sabtu, September 13, 2008

Pemilihan Teks Komsas: Barangkali ada perkembangan baharu yang kita perlu tahu

Sudah lama isu pemilihan teks komsas untuk kegunaan 2010 hilang dari bicara dan polemik. Beberapa tulisan saya tentang isu tersebut juga disanggah dan tidak kurang juga yang bersetuju. Barangkali, setelah sekian lama sejuk, mungkin ada perkembangan baharu yang boleh kita ketahui.

Rabu, September 10, 2008

Semakin Tawar Hati


Segala kepayahan dan kebuntuan yang kualami kini disebabkan kesilapan orang lain. Urusan pelepasan jawatanku tertangguh disebabkan pihak yang tidak memahami prosedur kerjayanya. Aku menjadi mangsa sehingga aku semakin tawar hati untuk meneruskan segala urusan. Hari ini aku menerima satu lagi tawaran kenaikan pangkat. Barangkali inilah hikmat di sebalik kepayahan yang kulalui sebelum ini. Barangkali juga apa-apa yang berlaku itu sudah ketentuan-Nya.

Isnin, September 08, 2008

Kepenatan

Sejak akhir-akhir ini aku kepenatan amat kerana tenaga dipacu semahu-mahunya. Ke sana dan ke sini bagai langsung tidak ada ruang untuk beristirahat. Namun aku terpaksa bergegas ke sana ke mari kerana urusan diri yang mendesak.

Menunggu isteri bershopping sakan di Jakel.

Gambar rumahku yang kuambil dua hari lepas iaitu pada 6/9/08

Rabu, September 03, 2008

Apa-apa yang terjadi


Banyak perkara yang kulalui, yang menggugat kestabilan emosi. Tapi, aku sentiasa berfikiran positif dan beranggapan apa-apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Aku harus bersabar dan menerima ketentuan Ilahi di samping berusaha untuk menangani segala kemelut ini.

Apa-apa yang terjadi,
terjadilah,
kerana ketentuan-Nya tidak ada dalam jangkauan,
harus jua kuterima seadanya,
dan tidak pernah menyesali langkah-langkah,
kerana hidup perlu terus melangkah,
dan sesekali menoleh,
sekadar melihat jejak hitam dan putih,
kian berbaur,
dan sirna.

Kadang-kadang aku bertanya,
tidak cukupkah kebahagiaan yang kumiliki,
sehingga aku tega terus mencari,
dan mengidami seribu mimpi,
di persada ilusi.

Namun inilah kehidupan,
yang tidak pernah kuhentikan,
kerana kelangsungan tidak ada sempadan,
sehingga detik keberangkatan,
meninggalkan pelabuhan.

Ramadan Yang Putih


RAMADAN YANG PUTIH

Oleh Ghazali Lateh

Dalam langkah menguak duri hari,
padang putih terbentang saujana,
kuhampiri mercup tunas takwa,
bebunga syurga kembang pancawarna,
meliuk dipuput pawana syurga.

Di muka jambatan emas,
hurul aini menuangkan narwastu,
memenuhi segenap cangkir waktu,
di sana sudah berbaris para aulia,
melaungkan zikir tasbih jernih bersilih,
dengan suara semerdu simfoni yang lirih.

Di padang putih ini,
anak-anak hilang di celah rumpun tawaduk,
memilih tangkai benih bernas bersih,
dicambah ketika melewati jambatan itu,
buat bekalan seberkat azimat,
di pintu kiamat.

Nun, santaklah keranjang ibadat,
ketika purnama Syawal cagun tercegat,
berkibar panji-panji taufik dan hidayat,
bersama gema takbir yang hebat.

Inilah padang putih itu,
medan permainan anak-anak mengusir nafsu,
dan semuga nurani insani,
berubah bersih,
setelah melalui Ramadan yang putih!

Banting,
18/11/99

Ahad, Ogos 31, 2008

Ramadan Berkunjung Lagi


Ramadan Berkunjung Lagi

Oleh Ghazali Lateh

Ketika kemilau ufuk diterjah cahaya Ramadan,
hati nirmala terluang seluas pasrah,
dari langit terbias seribu duga
dengan dingin hujan,
dengan pijar sinaran.

Tangan-tangan iman seluruh umat,
biar akrab kudus wuduk setiap saat,
agar ampuh menguak gerbang ujana syurgawi,
dengan setiap butir zikir,
dan rentetan panjang tahmid dan takbir.

Segera luruskan saf-saf hadapan,
selurus patuh dan takwa anbia,
menjelang sore ketika mersik muazin melontar alun,
kembalilah ke dalam barisan,
dengan tangan berganding,
setelah sekian lama terasing.

Malammu Ramadan,
adalah denai ke laman jannah,
memetik bebunga mekar narwastu,
hingga santak dini hari,
pasrah belum teruji pasti,
sehingga saat kembali meraih mimpi.

Dan malampun jangan sampai terbuang usang,
tanpa sujud yang panjang,
dan subuh itu jangan sampai kecundang,
ditujah ilalang.

Sepurnama itu…
siapkah sebuah lorong tanpa ranjau?
menyambut takbir mengimbau,
menangislah!
sementara menanti saat diberi kunci,
membuka hati,
dan Ramadan berkunjung lagi.


Banting,
18/10/99

Sabtu, Ogos 30, 2008

Rumahku dalam Pembinaan



Rumahku kini dalam proses renovasi. Nampaknya, hasrat untuk berhari raya di rumah baharu tidak menjadi kenyataan kerana pembinaan mengambil masa yang agak lama.

Jumaat, Ogos 29, 2008

Apakah sudah jadi dengan teks ucapan sempena ulang tahun kemerdekaan.

Saya telah diamanahkan oleh pihak sekolah untuk membaca titah ucapan Yang Dipertuan Agong sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan. Teks yang diberikan semalam sempat saya teliti. Saya mendapati terdapat kesalahan tema dalam teks tersebut. Saya membuat keputusan untuk membetulkan tema tersebut agar tidak kelihatan janggal kerana tema yang tercatat pada ucapan tersebut MALAYSIAKU GEMILANG, sedangkan tema pada tahun ini ialah PERPADUAN TERAS KEJAYAAN.

Seorang lagi rakan saya diamanahkan untuk membawa ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Barangkali beliau terlepas pandang, saya dapati teks tersebut turut menggunakan tema tahun lepas. Rakan tersebut tanpa menyemak terlebih dahulu membaca tema tersebut, lengkap dengan huraian tentang tema berkenaan.

Persoalannya...!!

Adakah pihak yang mengedarkan teks tersebut menggunakan teks tahun lalu dengan membuat perubahan pada angka 51 iaitu sempena ulang tahun ke-51? Atau pihak terbabit tidak menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sempurna, iaitu tidak meneliti keseluruhan teks berkenaan? Sedangkan teks-teks tersebut merupakan teks rasmi yang ada cop mohor Istana Negara dan juga kementerian yang terbabit. Apakah pegawai-pegawai perhubungan institusi-institusi berkenaan begitu lalai sehingga mencetuskan perkara tersebut?

Natijahnya, hal ini nampaknya remeh tetapi mampu menjatuhkan imej kita, tambahan pula apabila melibatkan sebuah kementerian, apatah lagi pihak Istana Negara. Saya sebagai rakyat marhaen terpanggil untuk meluahkan perasaan kurang senang dengan kelalaian sebegini. Saya berharap semoga perkara seperti tidak berlaku lagi pada masa-masa akan datang.

Gambar sempena Sambutan Hari Kemerdekaan dan Minggu Koakademik


Pengusaha kantin sekolah SMK Telok Datok, Encik Aris mengambil inisiatif untuk mencipta rekod sempena perayaan ulang tahun kemerdekaan yang ke-51. Beliau menghidangkan 51 jenis kuih tradisional dan 51 jenis minuman untuk guru-guru dan murid-murid sekolah ini. Semua warga sekolah digalakkan menderma 51 sen sebagai atnda sokongan terhadap usaha ini. Lihatlah hasilnya.


Persembahan permainan yoyo Cina @ diabolo @ che ling.


Dah tak sabar nak rasa



51 jenis minuman dihidangkan



51 jenis kuih tradisional disediakan.

Khamis, Ogos 21, 2008

Nostalgia Regat Seri Cempaka, Ipoh



Di kawasan R&R Semanggol



Di Pantai Murni, Yan Kedah.




Di Regat Seri Cempaka, Taman Cempaka Ipoh.

Gambar-gambar di atas diambil ketika aku balik kampung menjenguk ibu. Kesibukan membuatkan aku hanya berada tiga hari di kampung. Dalam perjalanan balik kampung itu, aku sempat singgah di Taman Cempaka, Ipoh. Aku bergambar di Regat Seri Cempaka, iaitu tempat mula-mula aku menetap semasa menjadi pelatih MPKI pada tahun 1981. Banyak kenangan pahit dan manis di sini. Kini sudah hampir 27 tahun berlalu, kenangan itu masih indah dan segar dalam ingatan. Aku bermula sebagai guru lepasan maktab, hingga hari ini aku berkelulusan PhD. Siapa sangka ya?

Jumaat, Ogos 15, 2008

Sajakku


MEMBACA PUISI SUFI KETIKA HUJAN MALAM

Dia telah mencurahkan hujan dari langit-Nya
ketika puisi-puisi sufi Rabiatul Adawiyah
meresap ke dalam nadi imanku
merayap ke akar umbi azaliku.
Malam bungkam selepas hujan diam
ilham pun datang dari bait Sayyidina Ali alaihissalam
“seumurmu bukanlah insan
tanpa takwa dan agama”

Betapa secekal mana manusia kini
tiada setanding pasrah Al Hallaj dan Ibnu Arabi
maka makna hujan sudah lama tidak tertafsirkan
hikmah malampun tidak lagi terukirkan
kerana sungai nafsu telah melimpahi tebing
menghanyutkan sisa-sisa iman yang kering
di jiwa runcing.

Hujan-Nya berhenti menjelang dinihari
sukma terbelah antara hakiki dan kolong mimpi
sufiku kosong lagi ketika mengembang nafsu-nafsi
dibuai alpa ke ufuk pagi
bilakah kiranya hujan itu akan turun lagi
membawa kembali hamparan ambal ukhrawi
biar setitis tetap kuhargai cinta Ilahi tidak bertepi
warisan zuhud wali suci wahyu para nabi.

Membaca puisi sufi ketika melankolia hujan malam
mencetuskan roh perjuangan dengan minda tajam
menjunjung agama dengan semangat agam
terlalu lama teruja dengan langkah duniawi
membangunkan diri dari alunan mimpi hujan pagi
fajar pasti menjelang dengan mentari cemerlang
takwa kembali bertakhta di puncak gemilang
meletakkan martabat agama di mercu terbilang.

Sufi khayali adunan penuh janji
kifayah ibadah melakar strategi generasi madani
menyeru usrah melunak surah menguak sirah
membelat limpah dengan ampuh syariah.
Hujan malam telah berakhir
litar imanku kembali mengalir
janji syumulku tidak termungkir.

Isnin, Ogos 11, 2008

Berdirilah Bahasaku


Berdirilah Bahasaku

Kau pernah melonjak ke seluruh nusantara,
Menjulang piala lingua franca,
Wahana ukiran minda warga,
Wacana ketamadunan sebuah ujana wangsa.

Ketika angin meniupkan debu sirna,
Arus era menghakis darjat perlina,
Bunga-bungamu kian kehilangan warna,
Santun budimu kini terguris cakna.

Langkahmu digugat resah dan pasrah,
Menyongsong kesumat hasutan penjarah,
Bergerak payah berhenti kalah,
Wasiat warisan dirancu helah.

Berdirilah bahasaku, bahasa Melayu!
Berserilah pesakaku, bahasa Melayu,
Bersenilah puspaku, bahasa Melayu,
Bersemilah lokaku, bahasa Melayu.

Biar bertongkat dengan semambu hasrat,
Zatmu pasti meruap aroma martabat,
Selagi tubuh menampung kudrat dan hayat,
Jati bahasaku di mercu hebat ternobat.

Ghazali Lateh,
Banting, Selangor.

Selasa, Ogos 05, 2008

Perjalanan Hidup


Hidup ini sebuah perjalanan yang di hadapannya belum pasti arah dan persimpangan. Akan tetapi persimpangan dan liku-liku itu bukanlah ranjau yang tidak boleh ditelusuri. Walau apa-apa pun cabaran yang melanda, semua itu hanya rencah dan bumbu yang memaniskan, dan adakalanya memahitkan. Namun, biarpun pahit atau manis, haruskah kita berpatah balik dan memulakan satu perjalanan yang baharu? Tidak sekali-kali. Dan aku sedang menjangkakan liku-liku yang beronak di perjalanan hari muka, dan aku mula membayangkan seribu bumbu kehidupan yang menanti di sebalik persimpangan itu nanti.

Begitupun, aku tetap bersyukur kerana Dia tetap mengizinkan aku untuk meneruskan perjalanan...

Ahad, Ogos 03, 2008

Ulang Tahun Perkahwinan


Hari ini 3 Ogos, ialah haru ulang tahun perkahwinanku yang ke-23. Semalam semasa aku balik dari menyampaikan seminar di Perpustakaan Awam Selangor, di Shah Alam, sempat juga membeli sebentuk cincin untuk isteri. Cadangnya, untuk buat surprise, tapi ptg semalam, ketika hendak melawat rumah baharu kami, isteriku terjumpa bungkusan dalam kereta. Lalu dia bertanya, bungkusan apa tu? Aku diam. Dia memeriksanya. Maka terbongkarlah rahsia nak buat surprise tu. Bertukar jadi kelakar pulak. Anyway, surprise la juga.

Khamis, Julai 31, 2008

Gambar-gambar Ceramah






Gambar-gambar ini ialah gambarku ketika berceramah di Dewan PKPS, Shah Alam. Aku mahu berkongsi pengetahuan dengan anak-anak yang bakal menduduki SPM pada bulan November nanti. Harapanku, input yang kuberikan dapat membantu mereka nanti. InsyaAllah.

Pemergian Seorang Lagi Sasterawan Negara

Ketika bersiap-siap untuk melabuhkan tirai hari semalam, lebih kurang 12.40 tgh malam, aku menerima sms dari Tn Haji Shamsudin, memberitahu berita pemergian SN S Othman Kelantan. Pagi ini aku berhasrat untuk berziarah. Akan tetapi apabila sampai di sekolah, lain pula jadinya. Terkilan juga rasa hati kerana terpaksa membatalkan niat ke Bangi. Aku tidak mengenali arwah secara dekat, tetapi karya beliau banyak juga kutelaah semasa pengajian dulu. Pernah juga menghadiri seminar yang arwah menjadi pembentangnya.
Marilah kita berdoa agar roh arwah sentiasa berada dalam peliharaan Allah yang maha esa.

Sejak kebelakangan, rutinku amat padat. Ada saja ruang aku perlu melakukan banyak perkara, hambatan tugas dan urusan diri menyebabkan aku kadang-kadang tidak dapat memenuhi semmua keperluan. Rumahku dalam renovasi, urusan perjawatanku juga agak mendesak. Namun, aku tetap tersenyum, kerana limpah rahmat Allah sentiasa sampai. Alhamdulillah.

Rabu, Julai 30, 2008

Buku Terbaru



Tengah hari tadi aku menerima penghantaran kurier dari penerbit Cerdik. Buku tulisanku bersama-sama Cikgu Ghalib telahpun dicetak sebagai sample copy. Inilah hasil kerjaku pada peghujung tahun 2007, kini baru aku mendapat hasilnya. Alhamdulillah, buku ini akan dijadikan buku teks KBSM dan digunakan di beberapa buah negeri termasuk Perak, P. Pinang, Kelantan, Trengganu, dll. Kulitnya menarik dan persembahan dalamannya juga memuaskan hatiku, sebagai penulis.

Tentang Penulisan Kreatif

Bulan Julai merupakan bulan aku kembali menghasilkan karya kreatif walaupun tidak seaktif dulu. Cerpenku Kisah Gagak dan Merpati tersiar dalam Dewan Sastera, Julai dan cerpen Sondolman pula terbit dalam Berita Harian 19/7/08. Cerpen-cerpen tersebut kugarap secara spontan tanpa persediaan. Aku teringat ketika aku aktif menulis dahulu, aku sangat obses dengan ilmu bantu. Satu ketika aku pernah masuk ke kedai menjual arak di Langkawi untuk mencatat nama-nama minuman keras termasuk mencatatkan kandungannya. Hasilnya kumasukkan dalam cerpen Aku Mahu Hidup, yang tersiar dalam Dewan Sastera. Begitu juga aku pernah mengkaji spesies anjing kerana mahu menulis cerpen Anjing Menyalak Bukit. Akan tetapi cerpen tersebut kupendamkan kerana terlalu keras nadanya. Banyak lagi cerpen yang sarat dengan ilmu bantu, termasuk IT, Geografi, Sejarah, perubatan, dll.

Kesimpulannya, ilmu bantu banyak meningkatkan kualiti karya. Kepada penulis muda yang mahu menulis, jangan takut dan jangan segan untuk memasukkan ilmu bantu yang terkini. Dalam cerpen Semanis Kyuho aku memasukkan ilmu bantu tentang penanaman anggur di Malaysia.

Isnin, Julai 28, 2008

Tentang Perasaan

Perasaan datang berbaur-baur menerima sesuatu dalam kehidupan. Barangkali perkara ini lumrah. Akan tetapi aku menerima perkembangan dalam kehidupan dengan perasaan takut dan bimbang. Aku takut untuk berhadapan dengan situasi baharu. Takut tidak diterima, takut dengan pandangan orang. Walaupun begitu, aku bukanlah orang yang mudah mengalah dengan keadaan. Nah.. buktinya, sampai kini aku terus berfikiran positif, dan sentiasa memikirkan untuk meningkatkan kredibiliti. Semoga Allah terus mencucurkan rahmat-Nya. Aku tetap berjuang meneruskan kehidupan dan cita-cita!!

Aku memang penggemar utama Ebiet G Ade. Bahkan sejak 1982 aku sudah mula menggilai lagu-lagu beliau. Sehingga kini lagu-lagu Ebiet sangat puitis dan menyentuh perasaan. Sebagai tribut kepada beliau, aku masukkan klip-klip video nyanyian beliau untuk tatapan bersama. Dengarkan...

Rabu, Julai 23, 2008

Mengingati Arwah Dharmawijaya


Setelah membaca blog Shamsudin Othman tentang Seminar berkaitan Pak Dharmawijaya, aku jadi teringat akan kenangan bersama-sama tokoh berkenaan. Malangnya, aku tidak dapat ikut serta dalam seminar berkenaan walaupun hati terlalu ingin untuk menyertai. Ada komitmen lain pada tarikh berkenaan yang memerlukan aku berada di Kelang.
Arwah merupakan penyelia sarjanaku di UPM dulu. Banyak pengetahuan tentang puisi kupelajari daripada Pak Dharma. Aku sangat menghormati beliau sebagai seorang pensyarah yang sangat baik hati. Sehingga suatu ketika aku terdorong untuk menulis sajak ini, sebagai tanda penghargaanku terhadap beliau.


MENJABATI TANGANMU
(Buat Dharmawijaya)

Menjabati tanganmu bapa,
litar seni terpintas ke denyut nadi,
dalam cerlung matamu,
kulihat saujana lestari tinta biru,
yang telah kaucoret,
pada helaian pengalaman,
terindah kata, termanis bahasa.

Dan aku menjadi kehilangan,
dalam sahara puisimu,
pernah kujengah dalam alpa,
jendela sasteramu yang lebar,
dari aksara yang hambar terbiar,
kau gubah kuntum-kuntum mekar,
mewangi setiap lembar.

Dalam bicara paling sederhana,
kau melontar pesona,
lalu aku tunduk mengutip makna,
setiap butiran kata,
yang terpahat pada lakaran nota,
kini menjadi peta berharga,
meneroka wilayah sukma,
memercup selimpah rasa.

Menjabati tanganmu, bapa!
aku ingin bangun menafsir erti,
setiap baris puisi,
yang indah kautukangi.

Ghazali Lateh.
Banting,
13/6/00

Kerosakan Blog Saya

Saya memohon maaf kerana blog saya mengalami sedikit masalah kerana saya cuba menggunakan template yang agak canggih sehingga tidak dapat dibuka melalui IE. Sekarang saya hanya dpt mengedit melalui Mozilla. Mungkin keadaan ini dapat diatasi sedikit masa lagi. InsyaAllah.

Ahad, Julai 20, 2008

Beberapa Foto Diri

Gambar di laluan lebuh raya Timur-Barat. Suasananya nyaman, berlatarkan hutan menghijau, lembah yang masih mengekalkan kesegaran alam. Gambar di bawah pula ialah gambar River cruise di Sungai Melaka. Satu idea yang baik untuk sektor pelancongan.


Inilah berita aku menerima anugerah Guru Inovatif Kuala Langat 2008 yang tersiar dalam akhbar Sinar Harian 26 Jun 2008. Gambarnya agak kabur sebab aku sebab aku snap dalam keadaan kekurangan cahaya.



Sabtu, Julai 19, 2008

Surat dari KPM dan Sondolman

(i)
Semalam aku menerima sepucuk surat dari Bahagian Sumber Manusia KPM. Surat ini mengandungi segala dokumen urusan pelepasan jawatan yang diusahakan oleh sebuah IPTA tempatan bagi membolehkan aku memulakan jawatan sebagai tenaga pengajar di IPT itu. Surat ini meletakkan aku dalam keadaan serba salah. Aku tertarik dengan kesungguhan IPT ini, mengurus pelepasan jawatanku. Aku akan mengambil masa satu minggu untuk membuat keputusan. Jika dalam satu minggu ini aku tidak menerima tawaran dari IPT lain, maka aku akan menerima tawaran jawatan tersebut. Biarlah aku bertugas di IPT yang benar-benar serius mahu mengambilku sebagai kakitangan. InsyaAllah...
(ii)
Hari ini cerpen Sondolman yang telah kumasukkan ke blog ini telah tersiar di Berita Harian. Cerpen itu hanya suka-suka, tetapi bagi mereka yang mahu berfikir, ada terselit sedikit santapan minda untuk difikirkan. Wallahualam... Dapatkan ceritanya di...

Jumaat, Julai 18, 2008

Bahasaku Dalam Dirgahayu


Bahasaku Dalam Dirgahayu!

Tumbuhmu menjangkar seluruh nusantara,
meraih martabat bertaraf lingua-franca,
menjunjung budaya peradaban bangsa,
berhias halusmulus santun terungkap,
dalam indah madah seni terucap.

Bahasaku,
adalah warisan paling mulia,
meneruskan jati diri milik pusaka,
keranamu bangsaku agung tetap bernama,
budayaku anggun tetap bernyawa.

Era paling gemilang telah kita lalui,
membakar semangat juang anak-anak pertiwi,
dengan bahasa kami pernah menggapai pelangi,
menukar mimpi ke alam realiti hakiki.

Bahasaku, bahasa Melayu,
semaraklah mekar dalam dirgahayu,
mendepan arus membias cemburu,
kami membenteng segala seteru.

Hiduplah bahasaku!
biar denai waktu semakin rancu berliku,
wawasan bahasaku tetap tegap berpadu,
dalam siaga memantap harap yang jitu.

Ghazali Lateh,
Banting,
30 Ogos 2001

Rabu, Julai 16, 2008

Luka Lingua Franca


Dari Luka Lingua Franca

Lupakah sudah catatan pada lembar sejarah?
kita mengusung keranda lingua franca
tanpa niat menggali pusara
lukanya merah berparut barah
kerana pasang surut semangat
semakin meninggalkan dermaga
terdera; lalu sirna.

Suara pejuang kian dilunaki keinginan
bara mati disiram janji kedinginan
bertukar seru menjadi jerkah nafsu
menakutkan;
“kau harus akur dengan telunjuk globalisasi”
lalu kita menutup rehal pusaka
dan menghanyutkan daun lontar di arus perdana.

Anak-anak yang hijau tidak mengerti
tafsir makna aksara pada tugu prasasti
betapa aura citra semakin kusam
ditabiri seribu waham
dongeng masa hadapan gertak melamar ancam.

Sebenarnya kitalah yang tidak belajar
dari kekalutan silam
dan sekelumit tilikan hitam
penjajahan demi penjajahan
tidak pernah terlunas pergantungan
biar menggegak laung merdeka
atma terikat pada tumang jiwa hamba.

Berdirilah di sini
menautkan semula semangat dan wawasan
dalam satu santun nada kita melepas suara
dengan ampuh bahasa ibunda
siaga memintal teraju nusa
malar melagang ambal madani bangsa.

Tanyalah seluruh generasi akan makna jati diri
jika tutur dan fikir kian diasak prahara anomali
jangan harus lagi ada yang menukang keranda
nafas bahasa biar terhela ke hujung dunia.

Kita mampu selagi hati budi bersatu
selagi mengenal licik dan lintap agenda seteru
ukirlah ikrar pada tugu sumpah perkasa
bahawa bahasa cerminan minda maruah bangsa
bahawa bahasa pemangkin daulat jiwa merdeka.

Dalam terbilang susun langkah memacu bahtera
jangkaulah setinggi awan indah mimpi pahlawan
usah alpa mencanai hala mencapai jata
seakrab ramuan mujarab dari suci lidah pendeta
kita ubati luka lama lingua franca.

Setapakpun berundur pasti tidak
pertahan takhta biar jerih bebanan menekan pundak
warisan ibunda tetap abadi bahasa rasmi
martabat tinggi bahasa kebangsaan kukuh utuh terlakri
selagi hayat bangsa mengalir di denyut nadi.
Ghazali Lateh

Selasa, Julai 15, 2008

Bahasaku

Bahasaku

Bahasaku air jernih penyejuk murka buana,
Bahasaku semilir angin peniup haba duka,
Bahasaku api marak pembakar semangat waja,
Bahasaku tanah subur penyambung hayat bangsa.

Bahasaku bintang terang mengerdip ufuk saujana,
Bahasaku bulan lembut menyuluh malam hiba,
Bahasaku mentari segar memijar bicara fatwa,
Bahasaku cakerawala wibawa suara jagat raya.

Bahasaku budi pekerti penghias murni peribadi,
Bahasaku jasa murni wacana pendeta sejati,
Bahasaku wasiat leluhur peneguh jati diri,
Bahasaku amanah besar pusaka warisan hakiki.

Bahasaku santun tersusun pemangkin daya budaya,
Bahasaku anggun tertenun pemanis bual bicara,
Bahasaku rumpun rimbun penyubur sulur sastera,
Bahasaku pohon temurun menunjang tamadun manusia.

Bahasa adalah jiwa, adalah nyawa, adalah harta,
Bahasa adalah jata, adalah nusa, adalah bangsa,
Bahasa adalah diri kita,
Bahasa Melayu tetap ternama.

Ghazali Lateh,
Banting,
6 Disember 2000.

Isnin, Julai 14, 2008

Perkembangan di sekekiling kita

(i)
Mangga ini kupetik tadi sore, setelah kebosanan memuncak. Untuk tidak membuang masa aku sekali lagi mengambil galah dan mengait buah mangga untuk diberikan kepada jiran-jiran. Masalahnya, buah mangga ini tidak sesuai dibiarkan lama di pokok kerana akan menjadi busuk.
(ii)
Kadang-kadang kita seolah-olah tidak mengambil tahu perkembangan yang berlaku di sekeliling kita. Perkara yang berlaku ada kalanya mempengaruhi kehidupan tetapi tidak kita sedari. Yang penting kita harus berfikiran positif dalam berhadapan dengan pelbagai kerenah hidup. Maksud berfikiran positif ialah kita sentiasa berfikir sesuatu isu itu dari pelbagai perspektif, menilai buruk dan baik sesuatu tindakan, dan sebagainya. Adakalanya pula kita ditipu oleh pihak yang merencanakan sesuatu agar kita tertipu dalam diam. Beberapa isu yang berbangkit kini jangan dianggap terjadi dengan sendirinya, malah merupakan satu perencanaan yang sengaja dibuat dengan tujuan mengalih pandangan dan perhatian kita. Wallahualam...


Hari ini badan rasa kurang sihat. Sebenarnya, kesihatan yang terganggu membawa tanda tertentu yang harus diterima. Pertambahan usia dan perjalanan hidup yang semakin jauh menyebabkan kesihatan terganggu. Akan tetapi kita tidak harus terlalu memikirkan gangguan ini sebagai satu titik nokhtah pada perjalanan hidup ini. Walau dalam apa-apa keadaan sekalipun kehidupan ini perlu diteruskan.

Sabtu, Julai 12, 2008

Jemputan Ceramah

Mulai minggu depan, saya akan memenuhi beberapa jemputan ceramah teknik menjawab bagi kertas Bahasa Malaysia 2, SPM. Dua jemputan dibuat oleh sekolah berdekatan dan satu jemputan untuk guru-guru Bahasa Malaysia yang akan diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Selangor, di Shah Alam. Ceramah ini dianjurkan oleh Cerdik Publication dengan kerjasama Berita Harian. Saya berharap dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan guru dan juga anak-anak murid yang akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan November nanti.

Khamis, Julai 10, 2008

Bonsai Baharu

Semalam ketika balik dari mesyuarat di Shah Alam, aku singgah di Tesco Banting. Aku tertarik dengan jualan bonsai dari negeri China. Penjualnya juga seorang wanita China yang tak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris (atau satu taktik perniagaan?). Setelah meninjau-ninjau aku membeli sepohon bonsai dengan harga RM20.00 walaupun asalnya berharga RM50.00. Harga kalkulator digunakan oleh penjual tersebut untuk berkomunikasi denganku. Inilah bonsai yang kubeli semalam. Malah rakan-rakan sejawatan juga mula meminati bonsai.


Selasa, Julai 08, 2008

Menjadi Juruacara

Pada 7/7/08, aku telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi juruacara majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang warga pendidikan daerah Kuala Langat. Alhamdulillah majlis tersebut berjalan dengan lancar. Inilah pertama kalinya aku menjadi juruacara dalam majlis besar dan formal. Tahniah diucapkan kepada guru-guru dan warga pendidikan yang menerima anugerah daripada Tuan Pengarah Pelajaran Selangor, Puan Ashah bt Samah.

Ahad, Julai 06, 2008

Hari Ini 6/7/08

Tahun ini pokok mangga di depan rumah berbuah lebat. Buahnya menggayut dan dapat dicapai tangan. Sering juga menjadi mangsa dicuri oleh orang lalu lalang. mHari ini, sudah tujuh orang datang nak beli semua buah mangga itu untuk dibuat jeruk atau rojak buah. Tapi aku tidak menjualnya. Aku ingin semua orang di kejiranan ini merasai buah mangga yang masak. Biarlah orang curi sebiji dua, asal selebihnya kami dapat makan bersama.
Kalau betul-betul matang sebiji buah mangga ini mencecah sekilogram beratnya. Akan tetapi sering juga busuk kerana diserang serangga.





Sabtu, Julai 05, 2008

Terasa Ada

Saban hari kulewati pekan ini,
kelibatmu kulihat di mana-mana,
membeli akhbar di warong nyonya,
dan sebeban majalah pelbagai rupa,
lantas terasa ada,
dikau selamanya.

Saban minggu kekunjungi gerai itu,
kau sudah tersenyum berdua,
dan ketika aku melunasi harga,
"tidak perlu, ada orang belanja".

Hari minggu di pusat cucian kereta,
kau menanti sambil membaca,
dan kadangkala aku turut serta,
bercerita dan bercanda,
tiada tanda-tanda yang engkau tiada.

Dan ketika kujumpa balumu,
dia berkata engkau berkursus sahaja,
kerana jiwamu tetap setia,
menemaninya dalam majlis ceria,
dan engkau sebenarnya ada,
dalam cintanya.

Dalam waktu sejauh ini,
aku masih terlihat senyuman murni,
dan kemuliaan pekerti,
engkau yang tidak pernah bersembunyi,
dari sumbangan bakti.

Sehingga kini,
kau masih terasa ada,
terasa mesra,
dan terasa perkasa,
dalam setiap jiwa,
yang dekat dan rela.

3 September datang juga,
membawa seribu pilu dalam sukma,
nilai sahabat begitu berharga,
tidak pernah terpadam di aksara usia,
yang semakin renta.

Sesungguhnya dalam nurani ini,
Sentiasa engkau
terasa ada.

ketika mengenang seorang sahabat yang pergi
11.45 pagi Sabtu 5 Julai 2008

Khamis, Julai 03, 2008

Sekuntum Bunga

Barangkali keindahan yang ada
hanya balikan warna
tanpa pesona.
barangkali warna penuh pesona
ada durinya
menikam sukma.
Barangkali sekuntum bunga
indah di mata
tapi baunya sirna.
Barangkali aku terkesima
akan bunga-bunga
yang sebenarnya hina
di mata maya.

BATAM 2025