Khamis, Julai 16, 2009

Blog Ilmu Cikgu Ghalib

Saya ingin mempromosikan sebuah blog ilmu (khususnya untuk guru-guru BM) iaitu blog Cikgu Ghalib. Blog ini sangat bermanfaat terutama untuk guru dan murid yang belajar dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Malahan, pengunjung juga dapat menjadi ahli Kelab Rakan Guru Bahasa Melayu (KRGBM) untuk mendapatkan bahan-bahan edaran daripada pengendali blog. Untuk Cikgu Ghalib, saya mengucapkan syabas dan teruskan usaha murni anda.

Selasa, Julai 14, 2009

Pemikiran yang Subjektif

Kehidupan ini selalunya dinilai secara subjektif dan relatif. Jika sesuatu itu dianggap baik bagi seseorang, barangkali tidak baik bagi orang lain. Barangkali sesuatu yang susah bagi seseorang, tidak begitu susah bagi orang lain. Banyak yang bertanya alasan yang masih bertugas di sekolah, sedangkan saya sepatutnya bertugas di IPG, kementerian, jabatan, dan sebagainya. Barangkali hal itu sangat relevan dengan saya sekarang. Akan tetapi bagi saya, saya ada alasan tersendiri untuk terus bertugas di sekolah.
Alasan yang pertama saya memang suka mengajar. Apabila saya mengajar saya telah berkongsi ilmu dengan anak-anak didik saya. Jika saya bertugas di tempat lain, barangkali ilmu saya tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Namun bagi orang lain, tindakan saya salah. Lagipun saya berasa senang dengan kehidupan sekarang, saya berasa selesa, mengajar, menulis, berceramah, dan berkarya. Barangkali dari sudut ekonomi keadaan sekarang lebih baik daripada saya keluar bertugas di tempat lain.
Walau apa-apapun, saya berasa sudah berada di kemuncak kehidupan. Maha besar Tuhan yang melimpahkan kurnia-Nya.

Sabtu, Julai 11, 2009

Rombak Kurikulum

Dalam menyongsong perubahan zaman, pendidikan merupakan satu agenda penting yang menentukan hala tuju negara pada masa depan. Tidak dinafikan sistem pendidikan kita sering berubah-ubah untuk bergerak seiring dengan perubahan zaman. Namun demikian adakalanya perubahan itu agak lambat kerana kita memerlukan masa untuk membuat keputusan. Hal ini penting kerana sesuatu keputusan yang dibuat akan menjadi kayu ukur keberkesanan sesuatu dasar.
Kurikulum dalam sistem pendidikan hari agak sudah lama digubal. Berbanding dengan negara-negara maju, kurikulum kita agak ketinggalan. Sistem persekolahan kita juga masih jauh berbanding sistem di negara maju. Jadi, jika ingin seiring dengan negara maju, kita sepatutnya sudah bersedia untuk merombak kurikulum. Bagaimana? Kita bicara lagi nanti...

Jumaat, Julai 10, 2009

Apabila Kita Tidak Tahu Keutamaan

Mengetahui keutamaan (priority) merupakan satu strategi hidup (survival) yang sangat penting. Dalam apa-apa sahaja urusan, seseorang manusia perlu mengetahui keutamaan yang harus diberikan perhatian. Kegagalan manusia mengetahui keutamaan akan memudaratkan diri. Jika kita berkata orang Melayu masih terkebelakang dalam apa-apa sahaja bidang, kita akan membuat kesimpulan bahasa orang Melayu tidak mengetahui keutamaan.
Sama halnya dengan dasar-dasar yang dilaksanakan. Bagi pandangan peribadi saya, pihak-pihak yang melaksanakan dasar tidak mengenal pasti keutamaan apabila menghebahkan sesuatu. Tanpa berselindung, hal ini dikaitkan dengan pelaksanaan dasar pemantapan BI seperti yang dicadangkan baru-baru ini. Dasar tersebut sememangnya diumumkan tanpa mengambil kita keutamaan yang diinginkan oleh masyarakat terbanyak. Jadi, natijahnya sangat besar, sama ada secara jangka pendek dan jangka panjang. Sedang demonstran berarak di jalanan menuntut pemartabatan bahasa Melayu, tiba-tiba yang muncul lain pula. Dalam hal ini keutamaan yang sepatutnya diberikan terhadap bahasa Melayu telah beralih pada bahasa Inggeris. Sepatutnya dalam pengumunan tersebut BM didahulukan seadanya sebelum BI dibicarakan. Orang akan bertanya "yang manakah keutamaannya, bahasa Melayu atau bahasa Inggeris?"
Jika kita renung beberapa peristiwa yang berlaku dalam dua tahun yang lalu, banyak perkara yang dapat kita pelajari apabila kita tidak mengetahui keutamaan dalam membuat keputusan. Peristiwa yang paling ketara ialah pilihan raya yang lalu. Impak tidak mengetahui keutamaan dijelmakan dalam keputusan yang diperoleh. Percaya tidak bonus tahunan yang tidak dibayar menyebabkan golongan marhaen jauh hati dan terkilan. Mungkin hal ini remeh, tetapi bagi rakyat terbanyak hal ini merupakan satu keutamaan.
Contoh tersebut hanyalah contoh kecil. Sebenarnya banyak lagi contoh besar fenomena tidak mengetahui keutamaan yang meninggalkan dampak besar dalam senario sosiopolitik di negara ini.
Hanya pandangan marhaen kecil yang tidak didengari.

Khamis, Julai 09, 2009

5 bilion untuk pengajaran BI

Walhasil balik asal! Begitulah gambarannya apabila pengumuman peruntukan 5 bilion disediakan sebagai usaha memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah nanti. Kita tidak mempertikaikan jumlah tersebut dan juga usaha untuk memantapkan BI. Namun dalam keghairahan itu, soal pokok yang diperjuangkan sudah terpinggir. Asas perjuangan supaya PPSMI dimansuhkan adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi negara ini. Namun demikian hal yang terjadi sekarang bukan difokuskan pada usaha tersebut tetapi usaha untuk memartabatkan bahasa Inggeris pula.


Saya berasa pada peringkat ini, pihak-pihak yang berpengaruh masih ada peluang dan ruang untuk membetulkan keadaan. Pihak-pihak ini perlu berusaha untuk meletakkan BM setingkat di atas kedudukan BI. Jika tidak kemelut dan polemik yang sama akan berlaku apabila generasi muda lebih mengenali Illiad dan Oddessey daripada Ranjau Sepanjang Jalan dan lebih mengenali Shakespear daripada A Samad Said.

Rabu, Julai 08, 2009

PPSMI: Keputusan yang memang dijangkakan

Akhirnya, keputusan yang ditunggu-tunggu telahpun dibuat. PPSMI dimansuhkan. Pejuang-pejuang yang menentang PPSMI tentunya bersyukur dengan keputusan tersebut. Bagi saya, mansuh atau tidak sama sahaja. Memang mansuh atau tidak ada kebaikan dan keburukannya. Akan tetapi pemansuhan tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut. Barangkali pertimbangan yang rasional telah dibuat sebelum keputusan diumumkan. Walaupun keputusan tersebut nampaknya dalam keadaan tergesa-gesa (mungkin kerana manik-manik kian terurai di Manik Urai) alasan yang diberikan agak bertentangan dengan laungan-laungan kejayaan sebelum ini. Jadi secara tidak langsung, fakta dan data yang diketengahkan sebelum ini (semasa mempertahankan PPSMI) hanya rekaan semata-mata.

Sebagai guru BM biasa, keputusan tersebut tidak membawa apa-apa perubahan. Akan dianggap perubahan jika ELUAN GURU-GURU BM dipertimbangkan seperti ELAUN GURU BI DAN PPSMI dulu. Sementelahan, usaha memartabatkan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) semakin diuar-uarkan, tidak mungkin status guru BM begitu rendah berbanding bahasa Inggeris.

Saya sebenarnya tidak mempunyai apa-apa lagi ghairah dalam semua hal ini. Permohonan saya untuk mendapatkan pelepasan nampaknya sangat jauh daripada menjadi kenyataan. Slogan 1 Malaysia, rakyat diutamakan itu hanyalah pemanis mulut. Memohon untuk bertemu dengan orang atasan dalam KPM tersangatlah susahnya, apatah lagi saya hanya guru biasa. Begitu lumrahnya dan saya tidak menyesalinya. Harap-harap saya dapat bertahan dua tahun lagi sebelum memohon untuk bersara awal. Harap-harap juga permohonan untuk bersara awal tidak sesukar permohonan untuk mendapatkan pelepasan dengan izin.

Rabu, Julai 01, 2009

Anugerah


Segara biru dan tompok-tompok pulau,
mercup dari air berkaca saujana,
telus ke dasar,
ikan dan karang berkilau,
membias suria ceria,
kemilau.

Aku menginjak tapak di landai pantai,
yang berbaur pasir dan cengkerang relai,
mencecah anugerah nan indah,
berbekas di hati sudah,
kedamaian dan ketenangan,
di bawah rimbun pepohon,
dan hembusan bayu nan santun.

Mari kira raikan anugerah Ilahi,
dengan wacana suci bestari,
agar semua yang kita miliki,
terus lestari,
abadi.

Pulau Manukan, Kota Kinabalu.
29 Jun 2009.

Selasa, Jun 30, 2009

Makanan Yang Unik di Sabah.

Sebelum pulang saya dah famili sempat berjalan-jalan ke Pasar Filipina dan pasar basah di Kota Kinabalu. Di Pasar Filipina, majoriti peniaganya ialah olah Mindanao daripada Filipina. Mereka beragama Islam. Namun makanan ruji mereka agar unik. Gambar di atas ialah rumpai laut yang dijual di pasar untuk dijadikan sayuran.
Bungkusan putih di atas ialah ubi kayu yang sudah disagat dan padatkan. Dijual sebagai bahan makanan asas mereka. Ubi dimasak dan dimakan bersama-sama lauk, biasanya ikan.

Ada juga ubi yang sudah siap dimasak dan dibungkus panjang-panjang dalam plastik. Ubi rebus ini juga menjadi makanan ruji orang-orang di sini.






Meredakan tekanan

Berada lebih kurang 100 kaki dari aras bumi. Memeluk batang tualang yang sangat besar. Sedikit gayat kerana platform yang disediakan agak sempit.
Pantai di Pulau Manukan sangat bersih dan cantik. Tidak hairanlah ramai pelancong barat yang datang dan bersantai.

Sebenarnya sejak beberapa bulan yang lalu saya berhadapan dengan pelbagai tekanan. Tekanan tugasan menulis, tekanan itu dan ini menyebabkan saya tidak begitu baik dari segi kesihatan. Tekanan juga menyebabkan saya sering buntu untuk menyelesaikan tugasan yang sepatutnya saya selesaikan. Jadi saya membuat keputusan untuk melancong bersama-sama keluarga. Ketika melancong ini saya dapat mengurangkan sedikit tekanan dan bersuka ria. Saya melupakan segala masalah buat seketika. Mudah-mudahan selepas ini keadaan psikologi saya kembali normal dan saya akan dapat melaksanakan segala tugasan dengan baik.

Isnin, Jun 29, 2009

Melancong ke Sabah hari ketiga



Pada hari ketiga kami pergi island hopping. Mula-mula kami ke Pulau Manukan. Suasana di pulau ini sangat indah kerana airnya sangat jernih. Ikan berenang-berenang pelbagai jenis dan warna. Rasa macam nak tangkap je.


Di jeti Pulau Manukan.

Menikmati keindahan di tepi pantai. Damai dan tiupan angin menyegarkan.

Destinasi kedua ialah Pulau Memutik. Pulau ini lebih kecil saiznya dan pengunjungnya pula ramai.
Berasa sangat teruja dengan suasana keindahan pulau-pulau di negeri Sabah. Mandi-manda di air yang sangat jernih. Ikan kecil dan besar datang berkerumun di sekeliling, dilatari laut membiru, saujana memukau perasaan.

Melancong ke Sabah hari kedua

Pagi-pagi lagi kami ke Ranau untuk ke Hot Spring.
Merendam kaki dalam kolam air panas. Memang panas.
Berjalan di Canopy Walkway, iaitu jambatan gantung atas pokok. Gambar ini diambil ketika kami berada lebih 100 kaki di udara, di atas ran yang dibuat di atas pokok tualang yang tinggi.

Kami meneruskan perjalanan ke Sungai Moroli, menghala ke Sandakan. Di sini terdapat satu keunikan iaitu ikan-ikan kelah dan lampam yang jinak. Pengunjung boleh memberikan makanan kepada ikan kelah yang datang berenang di sekeliling kaki. Bayarannya RM5.00 untuk 15 minit.

Di kaki gunung Kinabalu. Menjelang petang kabus mula memenuhi ruang. Perjalanan pulang juga kabur kerana jalan diseliputi kabus yang tebal.

Bergambar di jambatan Tamparuli, tetapi jambatan ini bukanlah jambatan Tamparuli yang sebenarnya seperti yang digambarkan dalam lagu Jambatan Tamparuli.


Pada malamnya, kami makan malam di Pasar Filipina. Makan makanan laut bakar. Cara makan agak unik kerana hanya lauk semata-mata. Malangnya, harga terlalu mahal ada unsur-unsur cekik darah. Bayangkan harga seekor udang RM22.00. Melampau, bukan!

Sabtu, Jun 27, 2009

Melancong ke Sabah 1

Menggunakan lastik. Teringat semasa kecil ketika berada di Kampung Bukit Nibung, Kedah.

Melalui jambatan gantung. Jambatan gantung ini sudah tidak begitu baik, lantainya reput kerana tidak dijaga dengan sempurna.
Menyumpit, tapi tak kena sasaran.
Di sebuah monumen di tengah-tengah bandar Kota Kinabalu
Di hadapan Muzium Negeri Sabah. Malangnya, muzium ini tidak diselenggarakan dengan baik. Di bahagian belakangnya yang menempatkan gerabak kereta api lama macam bangunan tinggal. Malu juga apabila pelancong asing datang melihat keadaan yang kurang dijaga, pada hal banyak perkara yang boleh diketengahkan kerana Sabah mempunyai etnik yang pelbagai.
Bergambar bersama-sama kumpulan penari kebudayaan yang membuat persembahan di Kampung Budaya Monsopiad. Saya dan family merupakan satu-satunya kumpulan pelancong Melayu yang melawat ke Kampung Kebudayaan ini, yang lain pelancong asing dan beberapa kumpulan pelancong berbangsa Cina.
Bersama-sama Adib, dari etnik Iranun yang menjadi penari kebudayaan di Kampung Kebudayaan Monsopiad.
Menikmati welcome drink sebelum dibawa melawat ke sekitar kawasan kampung budaya.

Sabtu, Jun 20, 2009

Di Istana Budaya untuk HSKU 2008

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr Fuad Zarhashi


Bersama-sama penulis-penulis tersohor tanah air, dari kiri Malilm Ghozali PK, SM Zakir, Lutfi Ishak.

Bersama-sama isteri di pintu Panggung Sari.

Malam tadi 19 Jun 2009, saya ke Istana Budaya untuk majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. Saya amat teruja dengan majlis tersebut. Selain mendapat hadiah penghargaan, saya berpeluang berjumpa dengan penulis-penulis tersohor tanah air.

Majlis tersebut juga merupakan majlis penyampaian hadiah sastera yang sangat berprestij. Tahniah Utusan Melayu. Acara selingan merupakan sedutan daripada teater Mana Setangginya yang sedang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya. Hebat...
Majlis ini juga dimeriahkan dengan persembahahan Anuar Zain dan Misha Omar. Sesungguhnya hadiah sastera ini akan mendorong saya untuk lebih giat berkarya.

Khamis, Jun 18, 2009

Ceramah di Puchong

Hari ini saya dijemput untuk menyampaikan ceramah di SMK Puchong Utama (1). Ada beberapa perkara menarik tentang hari ini. Pertama SMK Puchong Utama (1) ini sangat sukar untuk dicari. Terima kasih banyak-banyak kepada Puan Mahani yang sanggup datang menjemput saya di Kinrara. Beliau juga sanggup menghantarkan saya ke lebuh raya Putrajaya semasa yang saya balik.
Yang kedua ialah saya bertemu dengan Pengetuanya Tuan Mahmudi Bakri yang memang saya kenal semenjak di Kedah lagi. Kebetulan beliau ialah kawan baik rakan serumah saya semasa di Kedah dahulu. Beliau pernah berkunjung ke rumah bujang kami lebih 24 tahun yang lalu. Beliau juga senior saya di UPM.
Yang ketiga buat pertama kali saya berceramah dalam dewan terbuka. Walaupun agak panas, sambutan peserta sangat baik. Tahniah buat murid tingkatan 5 yang menyertai ceramah saya. saya berdoa semoga anak-anak semua berjaya.
Oleh sebab terlalu seronok berceramah saya terlupa nak ambil gambar untuk diabadikan dalam blog ini.

Sabtu, Jun 13, 2009

Berjalan Lagi




Tanpa perancangan, saya dan family keluar hari ini. Makan tengah hari di Kota Kemuning, dan kami meneruskan perjalanan ke KL. Tak tahu hendak ke mana-mana, kami singgah di Muzium Negara. Kemudian kami ke Central Market kerana sudah lama tidak ke sana.

Isnin, Jun 08, 2009

Melancong ke Sabah

Saya telah menempah tiket penerbangan ke Kota Kinabalu pada 26 Jun hingga 30 Jun. Nak bawa family berjalan-jalan ke Sabah, satu-satu negeri yang belum kami melancong. Sebelum ini saya ke Tawau atas urusan pekerjaan. Kali ini kami nak bersantai dan melihat keindahan bumi Sabah pula.
Saya belum menempah hotel. Dalam minggu ini baru nak buat tempahan. Sekiranya ada sesiapa yang ada tips untuk menginap, saya amat mengalu-alukan. Tapi hotelnya biarlah sederhana kadarnya, di samping lokasi yang tidak jauh dari bandar.

Ahad, Jun 07, 2009

Berwisata ke Lost World of Tambun

Di depan Lost World of Tambun
Mendapatkan rawatan urutan refleksologi
Pengunjung sangat ramai di taman air ini, menjadi suasana kurang selesa.


Pada petang Jumaat saya ke Ipoh. Bermalam di homestay Taman Perpaduan, Tambun, Ipoh. Pagi Sabtu kami sekeluarga ke Lost World of Tambun. Kami dinasihati agar datang awal-awal ke sana memandangkan hari Sabtu cuti umum. Memang betul, pengunjung sangat ramai. Nasib baik kami datang awal dan dapat tempat duduk yang teduh dan agak selesa. Orang terlalu ramai memenuhi setiap ruang taman tema tersebut.

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008

Awal-awal pagi hari ini, saya menerima sms daripada beberapa orang kawan untuk mengucapkan tahniah. Antaranya termasuklah Halis Azhan dan Nafi Mat. Saya terlewat membaca akhbar pagi ini. Setelah saya menyelak sisipan Mingguan Malaysia, saya dapat nama saya terselit di celah-celah nama-nama pemenang HSKU 2008. Saya pemenang sagu hati dalam kategori Cerpen Remaja. Alhamdulillah. Lebih membanggakan terdapat nama beberapa orang rakan karib saya turut tersenarai seperti Lutfi, Shamsudin, Zakir, dll.

Bagi saya, walaupun saya memenangi hadiah sagu hati, sebenarnya saya amat berbesar hati. Pertamanya kerana itulah satu-satunya cerpen yang saya hantar ke Utusan tahun lepas. Dalam HSKU, menerima hadiah sagu hati amat besar nilainya. Hal ini demikian kerana HSKU merupakan hadiah sastera yang paling berprestij di Malaysia. Yang menang hadiah utama juga hebat-hebat karya mereka. Jadi, sagu hati bagi saya amat besar maknanya. Terima kasih UTUSAN.

Khamis, Jun 04, 2009

Rombak Pakej Subjek untuk SPM


Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengehadkan 10 mata pelajaran bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia mencetuskan pelbagai reaksi dan pandangan. Sebagai seorang pendidik, saya juga terpanggil untuk menyuarakan pandangan saya dalam hal ini. Bagi saya, cadangan tersebut merupakan satu transformasi yang wajar diterima dengan positif. Sistem pendidikan negara ini telah melalui pelbagai perubahan sebelum ini. Sebagai satu entity yang dinamik kita tidak harus berasa janggal untuk membuat perubahan.

Mengikut dasar yang dicadangkan, hanya empat subjek akan diangkat sebagai subjek teras. Hal ini telah membimbangkan banyak pihak kerana beberapa subjek penting juga akan tercicir daripada senarai subjek teras tersebut. Untuk mengatasi masalah ini saya mencadangkan pakej mata pelajaran diwujudkan seperti berikut, iaitu subjek teras, subjek subteras, dan subjek elektif. Bagi murid-murid mereka diperlukan mengambil empat teras, dua subteras, dan dua elektif untuk memenuhi kuota 10 subjek dalam peperiksaan.

Subjek teras hendaklah dirombak daripada subjek-subjek yang ada sekarang. Empat subjek teras cadangan saya ialah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Kenegaraan Malaysia (yang terdiri daripada sejarah dan tamadun bangsa), dan Pendidikan Insaniah (yang terdiri daripada Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan).

Subjek subteras pula hendaklah dipakejkan dalam bentuk dua subjek satu pakej. Misalnya Fizik dan Kimia, Biologi dan Sains Am, Perdagangan dan Perakaunan, Matematik Moden dan Matematik Tambahan, Sains Komputer dan ICT, Geografi dan Pendidikan Alam Sekitar, dan subjek-subjek lain yang berada dalam kategori yang sama. Sementara itu subjek elektif pula terdiri daripada subjek seperti Pendidikan Seni, Sains Pertanian, Kemahiran Hidup, Tasawur, Syariah, dan lain-lain. Dengan cara ini murid dapat menjuruskan hala tuju mereka dengan mengambil subjek yang ada kaitan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi. Cara ini juga dapat mengembangkan potensi murid dalam bidang yang digemari oleh mereka.

Dalam usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, dua subjek iaitu Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu digabungkan. Kaedah bahan kesusasteraan hanya sebagai komponen juga perlu dirombak dengan menitikberatkan aspek penghayatan dan aplikasi kesusasteraan dalam memupuk jati diri generasi muda. Kesusasteraan tidak harus dilihat sebagai bahan pemahaman semata-mata tetapi sebagai pelahiran bakat dan penghayatan nilai murni yang terkandung dalam bahan-bahan sastera itu sendiri. Oleh sebab Bahasa Inggeris dianggap sebagai bahasa global dan teknologi, subjek ini juga diangkat sebagai teras untuk menggantikan PPSMI yang semakin hangat dibantah. Dalam hal ini bahasa dan kesusasteraan Inggeris wajar dilihat sebagai satu kaedah untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.

Subjek kenegaraan pula melibatkan aspek sejarah dan tamadun bangsa Malaysia. Di peringkat institusi pengajian tinggi subjek ini telah pun diajarkan, jadi tidak menjadi masalah kepada penggubal kurikulum untuk merendahkan tahapnya bagi disesuaikan dengan peringkat umur remaja belasan tahun. Untuk menambahkan penerapan jati diri, subjek Pendidikan Insaniah dicadangkan yang merangkumi Pendidikan Agama Islam bagi murid yang beragama Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik disatukan untuk murid bukan Islam. Melalui subjek ini aspek penerapan nilai insaniah dititikberatkan bagi melahirkan generasi muda yang berjati diri dan modal insan yang syumul.

Subjek subteras yang dicadangkan pula perlu diperhalusi bagi membolehkan penyebarannnya seimbang dan menjurus ke arah kursus-kursus yang ditawarkan di university. Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai kepakaran untuk menyusun perkara ini agar relevan dengan keperluan masa kini dan masa hadapan. Bagi subjek elektif pula murid diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat pilihan agar dapat membantu mereka lulus dengan baik dalam peperiksaan. Malahan murid juga diberikan kebenaran jika tidak berminat untuk mempelajari pakej elektif. Hal ini kerana mereka akan mengambil sekurang-kurangnya lapan subjek iaitu subjek teras dan subjek subteras.

Kesimpulannya, cadangan untuk mengehadkan subjek dalam peperiksaan SPM perlu dillihat secara kritis dan positif. Dengan pelaksanaan cadangan ini, semua murid akan menduduki peperiksaan yang agak seimbang iaitu antara lapan hingga 10 subjek. Sekarang ini keadaannya amat tidak seimbang. Ada calon yang mengambil tujuh subjek sahaja dan ada pula yang mengambil lebih daripada 20 subjek.


Cendawan Batu

Deretan cendawan batu di kedai landskap En Naim, di Kepala Bukit, Gurun, Kedah.
Cendawan yang saya beli

Di Kepala Bukit, Gurun terdapat sebuah kedai landskap yang menjual pelbagai hiasan taman yang unik. Saya pernah berkunjung ke sini beberapa kali. Kali ini saya membeli sebuah cendawan batu yang besar. Harganya RM50.00. Cendawan ini hanya untuk hiasan halaman rumah.

Saya berbangga dengan kreativiti pemilik kedai ini iaitu Encik Naim. Kedai beliau sudah beberapa kali masuk surat khabar. Beliau sangat kreatif menggunakan bahan-bahan terbuang untuk dijadikan hiasan laman. Sesiapa yang berminat untuk melawat dan membeli hiasan laman di kedai Encik Naim, bolehlah menghubungi nombor telefon beliau 012 5645793.
Sama-samalah kita bantu orang yang rajin dan kreatif seperti En. Naim untuk memajukan perniagaannya.

RAYA 2026