Sabtu, Ogos 11, 2007

Memulakan projek penulisan baharu

Hari ini aku perlu memulakan satu projek penulisan yang agak besar. Projek ini amat penting bagiku. Sementara ini biarlah projek ini tidak dihebahkan. Yang penting, aku tidak kekeringan projek penulisan yang menjanjikan pendapatan sampingan yang agak lumayan.



Dalam hati, ada kemahuan untuk menulis novel kerana idea sudah lama bertapak dalam fikiran. Namun kesuntukan masa sering membuatkan aku menangguhkan hasrat tersebut. Novel Dari Lembah ke Puncak merupakan novel terakhir yang dihasilkan. Novel ini mengisahkan perjuangan seorang anak muda menuntut kembali hak milik yang telah dijual oleh ibunya semata-mata mahu melaksanakan wasiat arwah bapanya. Perjuangan tersebut sangat mencabar kerana terpaksa menggadaikan usia mudanya demi mengumpul sumber selama berbelas-belas tahun sebelum berjaya menebus kembali maruah dan hak milik yang tergadai. Novel ini hanya bacaan ringan. Tidak banyak ilmu bantu yang diterapkan kerana aku menulis secara terburu-buru.


Sempena menyambut kemerdekaan, aku turunkan sebuah sajak patriotik yang telah kutulis dalam tahun 2000. Sajak ini pernah memenangi sayembara Puisi Puteri Pos, dan termuat dalam antologi Jamung Merdeka kelolaan Gapena.

Ini Tanah Air, Tempat Bermula Dan Berakhir

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Kita telusuri batas sejarah ke musim suram terjajah,
Menguak hitam belenggu dalam murup durja yang gundah,
Saat melangkah runduk di bawah serakah telunjuk,
Suara pun hilang terpanar di tengah sorak petualang.

Di denai waktu membiak tunas insaf seluruh warga,
Musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa,
Bumi ini tanah air pesaka warisan pejuang,
Dari darah, dari keringat dan semangat menjulang.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Malaysiaku, bumi mewangi seribu restu,
Melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu,
Menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu biru,
Membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru.

Anak-anak bumiku tercinta,
Hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka,
Rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat,
Segera cantaskan pucuk angkuh rusuh dengan minda yang ampuh.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi,
Membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam,
Muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun,
Ini negeri terbaik, bumi tercantik, rakyat terdidik,
Mengorak langkah, berkongsi arah menancap monumen terindah.

Sahutlah gemersik suara nafiri seruan perjuangan,
Cokmar kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman,
Tanah ini milik hakiki zaman berzaman,
Jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Ini tanah kita, padang permainan seluruh anak bangsa,
Ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka,
Nusa ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa,
Wilayah ini wadah wacana hitam putih pemangkin wibawa.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Biar luluh jiwa raga, darah setiaku tetap mengalir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir,
Biar nyawa luluh tercicir, janji ini tiada mungkir.

Banting,
September 2000



Sejak akhir-akhir ini aku berasa kurang senang dengan kemelut yang berlaku dalam kehidupan bangsaku. Setelah melawat beberapa negara luar, aku mula menyedari dalam masyarakat yang kelihatan indah di negara ini, terselindung sejuta kebusukan yang sukar untuk dihilangkan pengaruh. Sebagai marhaen aku hanya menyesali tanpa ada kudrat yang cukup untuk mengubah segala yang busuk-busuk itu.

Tiada ulasan:

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...