Hari ini dalam akhbar mingguan, isu komsas timbul lagi. Nampaknya, masih ada tindakan melobi supaya pihak berwajib membuat pilihan karya-karya tertentu. Nampaklah juga sifat tidak profesional penulis makalah (yang barangkali berselindung di sebalik nama). Perkara yang tidak saya setuju apabila penulis mengatakan dalam PPK tidak ada orang sastera. Persoalannya, adakah pihak yang layak membuat pemilihan hanya orang sastera sahaja? Mungkin penulis makalah tersebut terlalu cetek pengetahuan sehingga mendakwa pihak PPK tidak ada kepakaran untuk memilih karya. Jika pun PPK tidak ada kepakaran, ramai kakitangan KPM yang terserlah kewibawaan mereka dalam bidang kesusasteraan.
Kita perlu melihat sesuatu dari sudut yang pelbagai. Penulis tersebut nampak mempunyai mata yang sangat kecil dan melihat satu arah sahaja. Nama-nama yang dicadangkan dalam makalah berkenaan menunjukkan bahawa sastera kita hanya ada orang-orang itu sahaja. Penulis lain tidak layak menghasilkan karya sastera. Kalau begitulah anggapannya, penulis tersebut bukan sahaja mempunyai mata yang kecil tetapi tidak dapat melihat. Harus diingat sastera bukan milik satu-satu kelompok sahaja. Jika kita berterusan menidakkan sumbangan golongan pelapis dalam sastera, maka sastera Melayu akan pupus. Kita perlu bersifat liberal dalam menilai karya sastera. Kita tidak harus meminggirkan mana-mana pihak selagi karya itu dipertimbangkan dengan baik dan sesuai untuk bacaan mana-mana pihak, tidak kira generasi remaja, dewasa, dan sebagainya. Karya tersebut mestilah memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Misi Nasional, semangat patriotisme, berunsur nilai, mempunyai pengajaran, gaya bahasa, struktur yang mantap, maka tidak menjadi halangan karya tersebut dipilih, walaupun karya tersebut bukan hasil ciptaan nama-nama yang disenaraikan.
Sebaiknya, sebagai manusia yang rasional kita hendaklah bersikap adil kepada semua pihak sebelum mengeluarkan pendapat. Jika kita memuja orang tertentu, janganlah pula kita menghina pihak yang lain. Nampaknya, dunia sastera kita juga semakin dipengaruhi dunia politik yang banyak lobi-melobi.
1 ulasan:
Assalamualaikum
Saya ada memuatkan satu artikel di dalam laman blog saya yang berkaitan dengan isu komsas. Oleh yang demikian saya memerlukan pandangan dan nasihat dari saudara untuk saya jadikan santapan minda .
http://bluechip-arena.blogspot.com/
sekian, Terima Kasih
Catat Ulasan