Ahad, September 13, 2009

Perihal di Kampung


Saya berasal dari kampung. Kehidupan saya semasa kecil sangat miskin. Ibu bapa saya sangat miskin. Sekarang ibu saya masih dalam keadaan miskin kerana dia tidak mahu hidup dalam keadaan senang walaupun anak-anak mendesak. Akan tetapi itu bukan perkara yang hendak saya katakan.


Baru-baru ini, dalam bulan Ramadan ini, ibu saya sangat gembira. Pondok buruk kami, dikunjung oleh seorang yang bergelar YB. Wakil rakyat Pakatan Rakyat datang dan masuk ke pondok ibu saya untuk menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan. Umur ibu saya sudah melewati 80-an tahun. Dia ialah antara ahli UMNO paling awal, seawal parti itu ditubuhkan. Namun selama ini pondok buruk kami tidak pernah dijejaki mahupun dihampiri oleh wakil rakyat. Inilah pertama kali berlaku dalam sejarah, pondok buruk kami dimasuki oleh YB. Dengarnya YB itu berketurunan Cina. Inilah baru 1 Malaysia.


Kalau dulu, ada juga bantuan. Semuanya diturunkan dari atas sampai ke bawah melalui pelbagai lapisan birokrasi. Paling bawah ialah JKKK. Biasanya bantuan yang sampai itu hanyalah baki-baki yang sisa. Dan ibu saya tidak pernah merungut jika tidak mendapat sekalipun, kerana kami memang orang miskin.


Perihal ini perlu diperhatikan oleh mereka yang berpolitik. Di negara ini kebijaksanaan berpolitik semakin jelas dipandang. Kalau dulu, pemimpin politik bawahan ialah mereka yang ada pendidikan menengah sahaja. Yang ada ijazah atau kakitangan profesional tidak dibenarkan berpolitik. Hal ini dikatakan oleh Prof. Imeritus Datuk Khoo Kay Kim, yang ada kuasa tidak ada pengetahuan dan yang ada pengetahuan tidak ada kuasa. Oleh sebab itu orang mula buka mata. Yang ada kuasa itu hanya mementingkan tembolok sendiri. Dalam keadaan kegawatan politik sekarang, kumpulan itu masih menyeret temboloknya yang mencecah tanah.


Saya bukan aktivis politik. Saya hanya memerhatikan semuanya dari kaca mata seorang marhaen yang berfikir.

Tiada ulasan:

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...