Pada hari Ahad yang lalu, saya menghantar anak saya balik ke asrama di Lembah Pantai. Dalam perjalanan pulang saya berbincang tentang masalah sosial dengan isteri saya ketika saya memandu. Waktunya dalam lingkungan 9.40 malam. Tiba-tiba ketika saya memotong sebuah kereta Proton Saga berwarna biru isteri saya terdiam. Kemudian dia menyuruh saya memperlahankan kereta dan membelok ke tepi. Kereta Proton Saga tadi memotong kami semula. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati pemandu dan penumpang kereta berkenaan sedang berpelukan dan berciuman. Yang perempuannya bertudung. Keadaan kereta yang agak tinggi menjadikan semua perlakuan itu sangat jelas pada pandangan mata kami.
Isteri saya menyuruh saya mengekori kereta berkenaan dan membunyikan hon. Saya malas hendak ambil kisah. Kemudian saya membuat keputusan untuk memotong kereta tersebut. Ketika kereta saya beriring dengan kereta tersebut isteri saya mengambil tindakan membuka cermin dan menjerit ke arah pasangan yang sedang berada di dalam kereta berkenaan dengan kata-kata "Tak malu ke ...............!!"
Nampak ada kekagetan di pihak lelaki yang sedang memandu itu, tetapi yang perempuannya buat macam tak bersalah dan tidak ada apa-apa. Saya melihat cermin dan mendapati kereta tersebut terus dipandu perlahan.
Natijahnya, masalah sosial dalam kalangan masyakarat kita susah untuk dibendung. Perkembangan dunia hari ini menjadikan manusia sukar untuk ditentukan pandangan dan persepsi. Marilah kita sama-sama menjaga kaum keluarga, anak-anak, dan saudara-mara kita agar masalah ini dapat dibendung walaupun tidak dapat dihapuskan.
1 ulasan:
salam sdr.gL,
Bila manusia dah tak mengenali tauhid begitulah jadinya.
Wassalam.
Catat Ulasan