Apabila dia
dipanggil ke istana, barulah Nayan sedar bahawa ulang tahun Dato’ Orkabo kini
kembali. Setiap tahun tugasnya
sama. Dialah yang diharapkan untuk
menjalankan aktiviti kesukaan Dato’ Orkabo. Setiap tahun, ketika menyambut ulang tahun, sayembara mendukung biawak hidup
akan diadakan. Setiap tahun ada pemenang
yang memenangi hadiah.
“Tahun ini aku akan tambah
hadiah!” kata Dato’ Orkabo kepadanya. Nayan
kaget sekejap. Kalau hadiah yang
ditawarkan lebih tinggi, kerjanya semakin berat. Dia terpaksa mencari biawak yang
benar-benar ganas.
“Berapa Dato’?” tanyanya spontan. Dato’ Orkabo memang kaya. Dia pengusaha ubat tenaga untuk lelaki yang
berjaya. Mendapat gelaran Dato’ sejak
berusia belasan tahun.
“Tahun ini aku akan tawarkan satu
juta xuxi,” balas Dato’ Orkabo. Dia ternganga mendengar jumlah hadiah yang
ditawarkan.
“Xuxi tu apa Dato’?” pertama kali dalam hidupnya dia mendengar
perkaraan itu. Tahun-tahun yang lepas
macam-macam bentuk hadiah yang ditawarkan.
Ada wang tunai. Ada emas, harta dan sebagainya.
“Xuxi tu mata wang aku sendiri. Aku orang kaya. Aku boleh buat mata wang
sendiri. Kau apa tahu?” sombong sekali bunyi jawapan Dato’ Orkabo. Dia tunduk.
Ada rasa jengkel tumbuh di jiwanya.
Sedikit memberontak.
“Sama dengan ringgitkah?” Nayan maih mahu kepastian.
“Lebih! Nilai ringgit sekarang sudah jatuh. Nilai xuxi lebih tinggi,” mendengar jawapan itu dia mula membayangkan nilai sejuta xuxi itu. Sudah pasti melebihi satu juta ringgit.
“Apakah tugas saya Dato’?” hatinya mula berbunga. Jika hadiah sejuta xuxi, dia cuba
membayangkan upah yang akan diberikan oleh Dato’ Orkabo kepadanya.
“Aku mahu kau cari biawak paling
ganas. Sebaik-baiknya yang tidak dapat
didukung ke garisan penamat,” arah Dato’
Orkabo. Dia mula membayangkan isi hati
Dato’ Orkabo. Orang kaya itu tentu tidak
ikhlas menawarkan hadiah sebanyak sejuta xuxi itu. Jadi sekarang peranan terletak di bahunya. Dia tahu Dato’ Orkabo mengharapkan dia
mencari biawak yang paling ganas.
Tugasnya sejak beberapa tahun
menjadi semakin sukar. Semua jenis biawak sudah dibawanya dalam sayembara
yang lalu. Paling akhir, tahun lepas dia membawa biawak
komodo. Bayangkan betapa sukar dia pergi
ke pulau Komodo untuk menangkap biawak tersebut. Apatah lagi dia mesti membawanya
hidup-hidup. Beratnya sahaja 70 kilogram
hingga 120 kilogram bagi yang jantan matang. Yang betina pula antara 50
kilogram hingga 100 kilogram. Panjangnya
pula mencecah dua meter. Itu tidak
termasuk bisa gigitannya yang boleh membunuh seekor kerbau.
Namun, oleh sebab upah lumayan yang
ditawarkan oleh Dato’ Orkabo dia berhasil membawa pulang. Hasilnya sayembara mendukung biawak hidup itu
berjalan lancar. Ada pemenangnya.
Peserta hanya diperlukan mendukung biawak hidup itu sejauh sepuluh ela.
Sekembalinya dari rumah Dato’ Orkabo,
dia pula berfikir. Tugasan yang
diberikan kali ini sukar. Apa lagi
spesies biawak yang lebih ganas daripada biawak komodo. Mula-mula dulu dia disuruh menangkap biawak
pasir. Mudah baginya. Kemudian dia menangkap biawak air. Tahun berikutnya dia membawa biawak serunai.
Tahun berikutnya lagi dia membawa biawak kudung. Yang penting setiap kali sayembara mendukung
biawak hidup itu suasananya sangat meriah.
Setiap kali itu juga dia mendapat upah yang lumayan daripada Dato’
Orkabo. Kemuncaknya, tahun lepas apabila
ada peserta yang mati digigit Varanus komodoensis, biawak komodo itu. Dato’ Orkabo sangat berpuas hati apabila ada
peserta yang luka-luka dan mati akibat sayembara tersebut.
“Mana aku
nak cari biawak yang lebih ganas?” dia
merungut seorang diri. Namun
membayangkan upah dan hadiah besar yang ditawarkan, hatinya berbunga
kembali. Peluang ini tidak harus
dilepaskan. Jika hadiahnya sejuta xuxi,
upah untuk mencari biawak itu sudah tentu lumayan. Berulang-ulang fikiran itu
datang.
Bagi Dato’
Orkabo pula, dia tidak peduli. Setiap
kemahuannya mesti dijadikan kenyataan.
Tahun ini ulang tahunnya ke seratus.
Dia kaya. Hasil jualan produk tenaga lelakinya menjadikan dia
benar-benar kaya. Orang kaya sepertinya
boleh berbuat apa-apa sahaja. Kali ini
dia mahu melihat sayembara lebih meriah.
Dia yakin dengan kemampuan orang suruhannya, Nayan untuk memenuhi
hasratnya.
Hari yang
ditunggu-tunggu tiba akhirnya. Sayembara mendukung biawak hidup diadakan.
Syaratnya, peserta perlu menangkap dan mendukung biawak ke garisan
penamat. Jaraknya dua puluh lima ela. Peserta
yang berjaya melakukannya, Dato’ Orkabo akan memberikan hadiah sejuta
xuxi. Guni yang penuh dengan wang kertas
itu diletakkan di atas meja di pentas utama, dijaga oleh pengawal bersenjata.
Peserta-peserta sudah datang ke padang di depan
istana Dato’ Orkabo. Kali ini yang
datang bukan calang-calang orang. Paling
awal datang ialah Raja Pawang. Dia
memakai sut berwarna kelabu, lengkap dengan dasi dan songkok tinggi. Dia diiringi oleh beberapa orang pembantu
yang membawa kelengkapannya.
Raja Pawang
mengadakan sesi ritualnya di luar padang, dibantu oleh pembantunya yang
berpakaian lengkap pahlawan Melayu.
Ritual dimulakan dengan acara membaling buah durian musang king ke tanah. Kemudian Raja Pawang mengeluarkan teropong
ajaibnya. Dia meneropong ke seluruh angkasa.
Hadirin memerhatikan gelagat Raja Pawang dengan penuh minat.
“Menurut
alamat teropong ajaib ini, saya akan
berjaya mendukung biawak hidup itu hingga ke garisan penamat,” dengan yakin Raja Pawang membuat
pengumuman. Hadirin bertepuk
tangan.
Kemudian
datang pula peserta raja tomoi. Dia juga
memulakan ritual tomoinya di luar padang.
Tertonggek-tertonggek dia ke hulu ke hilir menunjukkan kehebatannya. Jampi serapah dibacanya sambil
dihembus-hembus ke udara beberapa kali.
Orang ramai bertepuk tangan juga.
Kali ini memang sengit sayembara mendukung biawak ini.
Datang pula
raja kuntau, raja jampi, raja silat pulut, raja karate, raja judo, raja lawak
dan macam-macam raja lagi. Semuanya
mempunyai niat yang sama. Peluang
mendapat hadiah sejuta xuxi tidak harus dilepaskan begitu sahaja.
Apabila
pertandingan bermula, semuanya berkumpul di tepi padang. Peserta-peserta telah diundi untuk
mendapatkan giliran. Masing-masing yakin
akan memenangi sejuta xuxi itu. Kemudian petugas pertandingan membuka pintu
sangkar besar yang bertutup. Apabila
pintu sangkar dibuka, kelihatan seekor biawak yang sangat besar merangkak
keluar. Hadirin mula membuat
bising. Kali ini biawak yang akan
didukung oleh peserta memang besar, lebih besar daripada tahun-tahun yang lalu.
Dari atas
pentas Dato’ Orkabo bertepuk tangan.
Melihat saiz biawak tersebut, ada kemungkinan tawaran hadiah tersebut
dapat diselamatkan. Dia mendapat
keuntungan. untung kerana setiap peserta yang mengambil bahagian terpaksa
membayar yuran penyertaan yang tinggi.
Hadirin juga dikenakan bayaran kerana tahun ini pertarungan sangat
sengit.
Raja silat
pulut memdapat giliran pertama. Dia pun
masuk ke tengah padang dengan sembah silatnya yang cantik. Pasukan gendang silatnya memalu gendang
dengan rancak. Dia pun melangkah ke arah biawak besar yang sedang menanti.
Ditangkapkan
biawak itu dengan jurus lima. Dikilasnya sebelah kaki depan biawak itu. Apabila
hendak diangkat ke atas belakangnya, dia terasa ada sesuatu yang menusuk di
rusuk kanannya.
“Aduhhh…!!” jeritnya, seraya melepaskan biawak itu ke
tanah. Ada darah mula membasahi baju
silat pemberian gurunya. Orang ramai
menjerit kegirangan. Dato’ Orkabo
bertepuk tangan dengan kuat apabila ternampak raja silat puluh tergesa-gesa ke
luar padang.
Kemudian
masuk pula raja tomoi. Selepas
melaksanakan ritual buka gelanggangnya, diapun menerpa ke arah biawak itu. Akhirnya dia berjaya memasung biawak dan
diangkat ke atas belakangnya. Namun,
tiba-tiba raja tomoi menjerit. Biawak itu dilepaskan. Tangannya memegang tengkuknya yang mula
berdarah. Ternyata tengkuknya telah
digigit dengan kuat oleh biawak yang cuba didukungnya.
Seorang demi
seorang peserta masih gagal mendukung biawak itu untuk ke garisan penamat.
Akhirnya tibalah giliran Raja Pawang.
Dengan ilmu kepawangannya dia berhasil mendapat giliran terakhir. Ada
banyak kelebihan apabila mendapat giliran terakhir. Sudah tentu biawak itu sudah lemah dikerjakan
oleh peserta-peserta terdahulu. Tugasnya
akan menjadi lebih mudah. Peluang untuk menang amat cerah. Dia sudah membayangkan betapa banyaknya
hadiah sejuta xuxi itu. Yang penting wang hadiah itu halal, bukan hasil rasuah
atau penyelewengan.
Raja Pawang
melangkah dengan yakin ke tengah padang.
Dia membaca jampi serapahnya beberapa ketika. Kemudian dia menabur beras kunyit ke arah
biawak yang akan ditentangnya. Dengan
teropong hikmatnya, dia meneropong ke arah biawak itu, kemudian menghala laras
teropongnya ke angkasa. Dia memberikan
teropong itu kepada pembantunya.
Dengan mulut
kumat-kamit dia berjalan ke arah biawak besar itu. Beberapa ketika biawak itu
kelihatan lemah. Dia merenung tunak ke mata biawak itu. Raja Pawang tersenyum
yakin. Dia akan menjadi kaya. Darjatnya Raja Pawang yang dipegangnya akan
melonjak. Sudah lama dia diketawakan.
Kali ini dia akan menjadi lebih dihormati. Hadiah sejuta xuxi itu akan menjadi miliknya. Tugasnya sekarang hanya menangkap biawak itu
dan mendukungnya. Dia cuma perlu mendukung biawak hidup itu sejauh dua puluh lima
ela.
“Ahhhh…!!!” Raja Pawang bertempik kuat. Serentak dengan itu dia melompat ke hadapan
biawak yang kelihatan semakin lemah. Dengan pantas Raja Pawang menangkap biawak
besar itu. Dia berhasil mendukungnya. Sepenuh
kudratnya dikerah. Terasa berat biawak itu menekan belakangnya. Namun biawak
itu sudah kurang melawan. Jampi serapah yang dibacanya berhasil melemahkan
biawak hidup itu.
Raja Pawang
melangkah ke arah garisan penamat. Selangkah demi selangkah. Dia semakin yakin. Sorakan penonton semakin
bingit, tiada kedengaran apa-apa lagi.
Sorakan itu benar-benar membakar semangat Raja Pawang.
Sudah lima
ela dia melangkah. Biawak itu tidak mencakar, tidak menggigit seperti yang
dialami oleh peserta lain. Hebat sungguh
ilmu perbomohan Raja Pawang. Kini sudah sepuluh ela dia melangkah. Tiba-tiba langkah Raja Pawang terhenti.
“Kau jangan
berhenti. Kau tahu apa yang terjadi pada
peserta sebelum ini? Aku ada pisau. Kau
bawa aku sampai ke garisan penamat. Tapi hadiah sejuta xuxi itu mesti
kauserahkan kepadaku nanti. Kau janji.
Kalau tidak aku tikam kau sekarang juga…!” terdengar suara ugutan biawak itu. Dia
menjeling ke kanannya. Ternampak pisau tajam berkilat di tangan biawak itu
menghala ke arah lehernya. Terasa cuak
di hatinya. Dia terlupa segala jampi yang dipelajarinya selama ini. “Janji!!”
desak biawak itu dengan suara berbisik.
“Aku janji!
Aku janji!” Raja Pawang terasa kecut.
Dengan kudrat yang ada, perlahan-lahan dia melangkah ke garisan penamat. Sorakan penonton semakin gamat. Biawak di belakangnya meronta-ronta kecil.
Akhirnya Raja Pawang tiba ke garisan penamat.
Biawak itu dilepaskan dan merangkak lemah masuk ke kadang di tepi
padang.
Di pentas, Raja
Pawang dijulang oleh pembantu-pembantunya.
Dato’ Orkabo telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dengan muka
yang masam. Seguni duit yang bernilai
sejuta xuxi telah bertukar tangan menjadi milik Raja Pawang. Maka majlis sayembara mendukung biawak hidup sempena
ulang tahun kelahiran Dato’ Orkabo pun berakhir.
Pagi itu
Nayan bangun awal. Dia ingin ke bank
untuk menukar mata wang xuxi yang dimenangi oleh Raja Pawang ke mata wang
ringgit. Guni duit itu akan dipikulnya seorang diri. Semasa melewati rumah Raja Pawang, dia
ternampak kelibat Raja Pawang berpakaian sut lengkap sedang menggunakan
teropong hikmatnya, meneropong ke angkasa.
Nayan ketawa sendirian.
“Gila!!” tambahnya.
“Maaf
Encik! Dalam rekod mata wang dunia,
tidak ada mata wang xuxi ini,” pegawai
bank memberitahu Nayan sambil tersenyum sinis. “Mungkin bank belakang rumah
encik boleh tukar,” tambah pegawai
itu. Nayan terasa pandangannya
kabur. Dia melangkah keluar bank dengan
langkah yang lemah.
“Encik, bawa
duit encik ni sekali…! Jerit pegawai
bank itu.
Dalam
perjalanan pulang, Nayan masih nampak Raja Pawang meneropong ke angkasa. Dia pun terus mendapatkan Raja Pawang.
“Boleh saya
pinjam teropong?” pinta Nayan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan