Isnin, Mac 08, 2010

Catatan Perjalanan ke Bandung

Saya telah berkunjung ke Jakarta dan Bandung pada 4 Mac hingga 7 Mac yang lalu. Saya paparkan sedikit catatan perjalanan saya bersama-sama keluarga dan 11 lagi anggota rombongan kami.
Banyak perkara yang menyentuh hati saya di Bandung. Antaranya ialah gelagat warga marhaennya yang pelbagai. Anak-anak kecil mengemis di kawasan persimpangan jalan. Gambar bawah ialah pengangkutan awam yang popular di Bandung. Banyak peniaga yang berdagang pelbagai barangan dan masih menggunakan peralatan minimal dan agak ketinggalan zaman. Orang berdagang masih menggunakan pengandar. Penjual di bawah menjual kacang goreng dan kacang Bogor (di utara Malaysia dipanggil kacang poi). Penjual surat khabar (koran) jalanan sangat ramai di Bandung dan Jakarta. Pelbagai jenis surat dan majalah dijaja ketika kenderaan berhenti di persimpangan jalan. Saya sempat bergambar dengan seorang penjual surat khabar yang berlegar-legar di hadapan hotal penginapan kami.Saya bersolat Jumaat di Masjid al Hidayah, Taman Sari, Bandung. Keadaan di dalamnya dingin dan tidak ada kipas atau pendingin hawa. Masalahnya masjid ini terletak di tengah-tengah kawasan perumahan di lereng bukit. Jemaah terpaksa menuruni tangga yang curam untuk ke masjid.Kami menghabiskan hampir 3 jam berbelanja di Pasar Baru, Bandung. Ramai rakyat Malaysia beli-belah di pasar ini. Satu tempat yang menarik ialah kedai perfume yang membancuh pewangi mengikut kehendak pelanggan. Harganya juga murah dan harumannya setanding dengan yang sebenar. Pelanggan boleh memilih jenama dan penjual akan membancuhnya pada masa itu juga. Harganya berbeza-beza. Saya membeli Hugo Boss dengan harga lebih kurang RM10.00.Lawatan ke Tangkuban Perahu juga menarik. Keadaan di kawasan gunung berapi itu sangat menarik perhatian saya. Cuma penjual cenderamata terlalu ramai dan seolah-olah mengganggu pengunjung dengan merayu supaya pelancong membeli jualan mereka. Kawasan tanah tinggi ini merupakan kawah gunung berapi. Laharnya masih berasap di kawah itu. Bau belerang memenuhi suasana. Saya bertanya pada seorang penjual cenderamata yangv mengekori saya sejak kami sampai. Tanya saya, "Pak, kapan gunung ini meledak yang terakhir?" Jawabnya, "1969" saya tanya lagi, "Kapan gunung ini akan meledak lagi?" Dia jawab, "Jangan pak! Mati saya kalau meledak lagi..." Kami makan tengah hari di restoren masakan Sunda di Taman Sari. Makanannya ialah ayam penyek. Nasinya dibungkus dengan daun pisang.
Pemandangan begini adalah biasa di Bandung. Penjual dengan gerai bergerak akan kedapatan di mana-mana simpang jalan dan kaki lima. Macam-macam jenis makanan dijual.

Walaupun suasana repot di Bandung dan Jakarta, saya berasa lawatan saya tidak cukup. Saya sebenarnya gemar melihat kehidupan manusia dari dekat. Banyak lagi perkara yang belum saya terokai kerana saya terpaksa akur dengan jadual lawatan yang telah ditetapkan. Saya tidak gemar ke mall, sebalik mahu ke kawasan kumuh untuk melihat suasana sebenar kehidupan warga pelbagai latar belakang di negara orang. Saya akan datang lagi jika ada kelapangan.

Macet

Mobil berasak-asak
ketika sore sudah santak
manusia baru tiba
mencari kendera
mahu pulang segera

aku tersandar di gang
melihat sore yang tegang
ini Jakarta punya cerita
macetnya tidak terkata.

4/3/2010
Lapangan Terbang Soekarno Hatta,
Jakarta.

Ahad, Mac 07, 2010

Baru Pulang dari Bandung

Sayabaru saja tiba dari Jakarta dan Bandung. Banyak catatan perjalanan yang saya dapat sepanjang berliburan di Indonesia itu. Akan saya catatkan nanti.

Rabu, Mac 03, 2010

Gambar-gambar Ceramah di UPSI

Bergambar bersama-sama (dari kiri) Dr. Siti Khairiah, tiga orang pelajar UPSI, Ihsan Noorzali, Cikgu Khir Kasim
Bersama-sama penyair Ihsan Noorzali
Saya, Cikgu Khir Kasim, Ihsan Noorzali

Selasa, Mac 02, 2010

Anak Kecil Bermata Bulat II

Mata ceriamu memancar
menghiasi wajah comel yang segar
tanpa cela tanpa duka
kau tersenyum menabir lara.

Kau sepatutnya berlari di taman
mengejar semua pelangi impian
menangkap rerama bahagia
meniup busa gembira.

Sayunya, wajahmu yang terpapar
sinar matamu masih membugar
sedang nafasmu semakin pudar
wajahmu masih ceria
ketika jasad dihantar ke pusara.

Anak kecil bermata bulat itu
jelingan manjamu menusuk sukmaku.

Banting,
2/3/2010

Dasar yang Tidak Praktikal

Pada pandangan peribadi saya, antara dasar kerajaan yang tidak praktikal ialah tindakan memansuhkan yuran persekolahan. Dasar ini dilihat sangat tidak praktikal kerana menyebabkan sumber kewangan kerajaan akan menyusut. Selain itu, 'harga' peperiksan awam sudah tidak ada lagi. Kalau dulu oleh sebab yuran peperiksaan dibayar, murid-murid sekolah lebih menghargai peperiksaan yang akan dilalui. Bagi keluarga yang miskin, kesusahan mencari sumber kewangan untuk membiayai yuran akan menyebabkan motivasi calon meningkat untuk lebih berdaya saing. Saya rasa perkara ini perlu dinilai semula. Hanya pandangan peribadi seorang guru biasa.

Isnin, Mac 01, 2010

Anak Kecil Bermata Bulat

Anak kecil bermata bulat
pasti keletah tuturnya
kerana baru saja dia mengenal dunia
dan senang bercanda gurau senda
tanpa nista di mata
di dalam jiwa.

Anak kecil bermata bulat
pasti cergas berlari
mengejar itu dan ini
tidak mengenal kasih dan benci
sakit dan ngeri
dunianya berseri.

Wajah lembutnya anak kecil ini
tiba-tiba terbayang di semua hati
menangis tanda simpati
kerana dia telah pergi
membawa sebuah mimpi ngeri.

Anak kecil bermata bulat
tiada lagi tawa keletahmu
tiada lagi gurau riuhmu
tiada lagi kamu.

Semadilah anak kecil bermata bulat
kau nantilah mereka di hari akhirat.

Banting,
1 Mac 2010

Sabtu, Februari 27, 2010

Penambang

Lengan-lengan sasanya
tegar merengkuh pendayung
membelah arus sarat ke seberang
dalam oleng lembut dibuai riak
mengemudi masa depannya
ke dermaga pencarian.

Penambang ini tidak meminta banyak
kerana rezeki bagai arus mengalir
tiada henti selagi ada kemahuan
untuk terus mendayung hidup dan bertahan
dilambung gelora cabaran.

Perahu kecil itu hanyalah papan kosong
yang dipacu semahu-mahunya
meredah busa dan pasang surut
di lubuk kemelut
selagi hati tidak reput
dan kudrat tidak susut.

Ketika bangun melangkah pergi
syiling kecil bukanlah upah lumayan
berbanding nyawa yang bisa hanyut ditelan alir
dan penambang itu tidak banyak berfikir
kerana arus hidupnya seperti sungai takdir
antara yakin dan mungkir
di jiwa seorang musafir.

Waterfront,
Kuching.
1/6/06

Ke Bahau

Tanpa sebarang perancangan, saya mengajak isteri saya jalan-jalan selepas sarapan pagi. Jadi kami pun meneruskan perjalanan. Perhentian pertama ialah Nilai Square di galeri lukisan dan hiasan taman. Kemudian kami terus ke Kuala Pilah melalui jalan baharu yang melepasi kawasan Bukit Putus. Saya masuk ke Kampung Talang. Sebenarnya kampung Talang ialah kampung kelahiran arwah penyair besar Dharmawijaya. Terdapat sebuah sajak yang berjudul Kampung Talang ditulis oleh arwah dan saya terlupa dalam antologi mana sajak tersebut diterbitkan.
Lepas makan tengah hari di gerai tepi jalan, kami ke Bahau. Sebenarnya saya tidak pernah ke Bahau, jadi saya menghabiskan masa seharian di Bahau. Saya sempat juga meninjau kedai buku Aneka dan melihat buku-buku tulisan saya bayak dijual di kedai berkenaan. Terima kasih. Saya juga membeli sebuah buku Mutiara Kata tokoh-tokoh dunia.

Jumaat, Februari 26, 2010

Ruangan Saya di Berita Harian

Sejak beberapa minggu yang lalu saya telah diberikan satu ruangan dalam sisipan Minda Pelajar, akhbar Berita Harian. Ruangan Kemahiran Bahasa ini disiarkan setiap hari Selasa. Pengisian ruangan ini ialah panduan dan juga asas-asas kemahiran bahasa Melayu yang sesuai ditelaah oleh murid-murid sekolah. Jangan lupa untuk mendapatkan akhbar Berita Harian setiap hari Selasa.

Buku Terkini Saya

Buku ulang kaji SPM ini sepatutnya terbit lebih awal, namun oleh sebab penulis terpaksa menunggu bahan Komsas yang terkini diumumkan oleh Bahagian Buku Teks, KPM, penerbitan buku ini tertangguh. Buku ini ialah buku terbaru saya dan Cikgu Ghalib di pasaran. Di dalamnya disertakan juga sisipan ulasan novel yang dibuat oleh penulis dan penyair terkenal tanah air iaitu Sdr Aminhad. Bagi murid-murid yang menduduki SPM tahun ini, jangan lupa untuk mendapatkan buku ini di pasaran.

Khamis, Februari 25, 2010

Nostalgia Kampungku

Saujana di kejauhan desaku yang kutinggalkan sekian lama. Bukit Nibung ini tanah kelahiran yang mengajar erti kepayahan dan kesungguhan untuk bangun berdiri, menongkah kelaziman hidup penuh sengsara. Desa yang tersisih ini adalah wadah menempah gemilang yang datang bertandang di laman kehidupan masa kini.
Bukit Jenun juga tanah penuh kenangan. Lembah antara dua buah bukit inilah padang permainan kami masa kecil, mengejar belalang untuk dijadikan umpan mengail puyu dan haruan. Di lembah inilah tempat tertumpah keringat para petani meraih kehidupan ala kadar.

Semak samun ini menyembunyikan kenangan lampau yang penuh seribu ingatan pada zaman berlalu. Di sinilah tapak rumah kami dahulu, yang menjadi latar kebanyakan karya termasuk novel Dari Lembah ke Puncak. Di sinilah diri kerdil ini dilahirkan, dibesarkan, dan mengerti erti kehidupan.

Syarahan Sastera

Secara peribadinya saya telah menolak jemputan untuk menyampaikan syarahan di UPSI pada 4 Mac nanti. Namun demikian, saya dihubungi semula oleh pihak penganjur merayu agar saya datang juga untuk menyampaikan syarahan tentang kepengarangan saya semasa menghasilkan novel Dari Lembah ke Puncak. Memandangkan 4 Mac itu tidak sesuai dengan jadual saya, pihak penganjur telah mempercepat tarikhnya ke 3 Mac.
Walaupun saya sebenarnya tidak berapa setuju dengan 'layanan' penganjur terhadap jemputan tersebut, saya mula positif dan menyifatkan kehadiran saya adalah untuk kepentingan pendidikan dan pengetahuan. Saya juga faham dengan peruntukan kewangan yang sangat terhad. Namun kebajikan saya sebagai penulis tidak harus diremehkan. Hal ini demikian saya terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh, bayaran bahan api dan tol yang tinggi, dan yang penting masa saya yang bakal terbuang semata-mata untuk menghadiri majlis berkenaan.
Namun, sebagai memenuhi keperluan 'pendidikan' ndan pendedahan terhadap guru-guru pelatih mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (yang semakin tersisih) saya akan datang juga. Mudah-mudahan usaha untuk memartabatkan sastera dan Bahasa Melayu akan mendapat sokongan rakan-rakan dengan anak-anak bangsa yang insaf dan sedar akan diri.

Rabu, Februari 24, 2010

Siri Teladan Lestari






Buku-buku dalam Siri Teladan Lestari merupakan karya terbaru saya di pasaran. Buku-buku ini merupakan bahan bacaan untuk kanak-kanak prasekolah dan juga kanak-kanak tahap satu di sekolah rendah. Dapatkanlah buku-buku ini di pasaran untuk bacaan anak-anak anda.

Selasa, Februari 23, 2010

Lelaki Yang Bermain Seruling

Adakah lagi lelaki yang bermain seruling,
Selain aku?
Tanpa nota irama,
Hanya gerak rasa ritma jiwa,
Mengimbau dari tanah kelahiran,
Ke laman kota penuh nostalgia.

Di sini tiada lagi kiranya,
Lelaki yang ingin meniup seruling,
Kerana kehidupan jauh berbeza,
Dicemburui masa,
Dihambat cempera dunia,
Ke pojok durja.

Malam tetap bangkit di sini,
Tanpa titip kasih dan rindu,
Pada musim berlalu,
Kerana kita sudah jauh meninggalkan,
Mesra desa,
Lapang ladang,
Rimbun kebun.

Aku ingin terus bermain seruling,
Tanda jiwa belum alpa,
Asal-usul jejak mula,
Sebelum terkembang,
Sayap pesona.

Banting,
8/10/2003

Isnin, Februari 22, 2010

Aku dan Malam


Melemparkan pandang ke luar jendela
melihat malam temaram cahaya
betapa hati terhimbau jauh
ke sempadan nostalgia yang jatuh
di birai hati yang rusuh.

Malamku adalah wadah mimpi
yang kuukir pada arca nurani
menghimpun bait-bait ilusi
yang tumbuh di bingkai hari.

Malam adalah musim peralihan
antara hari dan hari depan
antara sebuah realiti dan seribu impian
yang belum tercapai tangan.

Datanglah malam dengan seribu misteri
di luar jendela aku melemparkan naluri
menjangkau seribu destinasi
yang terhimpun di dalam mimpi.

Aku dan malam
tidak terpisah oleh sempadan hitam
kerana aku sentiasa terbangun membasuh dendam
ketika fajar membuka langit dengan ruang yang agam.

22/2/2010

Jumaat, Februari 19, 2010

Kunjungan Rakan-rakan

Dari kiri Cikgu Ghalib, saya, Encik Amin Minhad, dan Cikgu Khir Kassim
Petang ini saya menerima kunjungan rakan-rakan karib saya dalam bidang penulisan buku ulang kaji bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia. Tujuannya adalah untuk membincangkan pembahagian tugasan bagi projek penulisan buku kami untuk kegunaan tahun 2011. Nampaknya tahun ini kami bermula awal untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat. Harapan saya tahun depan rezeki semakin bertambah dengan penghasilan lebih banyak judul buku kami di pasaran.

Pekan Rabu Tika Senja

Pekan Rabu sudah reda,
ketika senja menyapa,
neon muram mendamba malam,
penjaja menyorong pulang dagangan,
dengan laba di tangan.

Aku masih termangu,
menanti detik berlalu,
ketika jalan sudah longgar,
aku masih mencongak wajar,
ingin terus di sini,
atau kembali mengejar destinasi.

Perjalanan pun semakin samar,
dan kudrat sudah mula pudar.
tiba-tiba sahaja aku meraih sedar,
akulah perantau yang terdampar,
tega mengejar impian besar.

Pekan Rabu tidak banyak berubah,
hanya aku yang jauh melangkah,
meninggalkan musim gelisah,
zaman remaja yang gundah.

Pekan Rabu,
Alor Setar,
16 Feb 2010.

Rabu, Februari 17, 2010

Jakarta dan Bandung

Saya telah membeli tiket penerbangan ke Jakarta dan Bandung. Rancangan awal hanya mahu ke Bandung, namun oleh sebab lewat membuat tempahan harga tiket Air Asia agak mahal berbanding tiket Mas ke Jakarta. Jadi, saya mengambil keputusan untuk ke Jakarta pada 4 Mac dan akan menaiki van ke Bandung pada 5 Mac. Saya rasa cara ini lebih baik untuk melihat suasana pemandangan di sana nanti. Saya membawa isteri dan anak bongsu saya kerana yang lain tidak dapat ikut kerana ada urusan. Bersama-sama saya nanti ialah AJK Rukun Tetangga Kampung Banting, seramai 11 orang.

Balik Kampung

Tiga hari lepas saya balik kampung ke Kedah. Perjalanan balik agak lancar kerana lebuh raya tidak begitu sesak. Satu perkara penting setiap kali saya balik kampung adalah berkunjung ke Tanjung Dawai, di Yan. Di Tanjung Dawai terdapat sebuah gerai ikan bakar yang baik. Hari itu saya membawa keluarga dan ibu saya ke sana. Pengunjung terlalu ramai hingga tidak ada tempat duduk, terpaksa tunggu orang habis makan baru dapat tempat duduk. Makanannya sangat enak, yang penting servisnya cepat sebab ikan-ikan bakar sudah sedia untuk dipilih. Harga makanannya juga murah berbanding di Melaka atau di tempat-tempat lain yang pernah saya pergi. Satu keluarga makan, ikan siakap besar, udang, ikan pari, kari ikan, kerabu, dan ulam-ulam, hanya RM68.00.
Satu lagi perkara penting ialah sarapan nasi lemak kecik (mengikut istilah anak-anak saya). Di Guar Chempedak, adalah menjadi perkara biasa, nasi lemak dibungkus kecil-kecil. Dulu harganya 20 sen tetapi sekarang sudah jadi 50 sen sebungkus. Enak, dan biasanya kita akan maskan dua atau tiga bungkus sekali. Lauknya juga pelbagai termasuk sambal ikan kembung.

Kami sekeluarga juga sempat ke Pdg Besar dan shopping di Kompleks Bebas Cukai. Laluan masuk ke Thailand sangat sesak (dengan kereta dari Malaysia). Saya terlupa membawa pasport jadi memadai hanya melawat kedai bebas cukai dan membeli beberapa barangan. Gambar di bawah saya ambil di Bazar Padang Besar. Seorang lelaki berkaki palsu duduk di tangga bazar untuk meminta sedekah. Saya rasa pihak berwajib perlu memantau situasi ini untuk mengelakkan imej negara terjejas. Ramai pelancong luar yang berkunjung di tempat ini.
Dalam perjalanan pulang dari Pdg Besar, saya sempat berhenti minum petang di Pekan Rabu, Alor Star. Sempat juga membeli sehelai baju Melayu.
Sebenarnya banyak gambar yang dirakamkan dalam perjalanan kali ini. Jika ada masa, gambar-gambar tersebut dimuatnaikkan kemudian.

Sabtu, Februari 13, 2010

Apa Yang Terjadi

Minda kita sudah cukup ketat terikat,
Sehingga suara kita tidak lagi berhasil,
Menterjemah fikir ke wasiat putih,
Melafaz lunak rasa terbuku kelu,
Jumud dan kaku.

Ketika ada yang bangkit,
Membongkar nyedar di luar lorong,
Dialah pesalah maha besar,
Yang kita ikat tangan dan obsesi,
Kita tambat hati dan naluri,
Terhumban yojana ke dasar mimpi.

Lalu kitapun tertanya-tanya arah sendiri,
Yang lama kita padam dalam peta syurgawi,
Dengan dahagi fanatisme yang muncus,
Kita buang logisme beralas mulus,
Kita bakar segala wajar yang harus.

Apa yang terjadi,
Kita berbabil tentang lorong pilihan,
Dan kita tidak pernah mahu menyatukan,
Duniawi ukhrawi adalah sempadan jauh,
Tidak tercantum oleh jiwa yang rusuh.

Tuhan tetap maha mengetahui sehalus zarah,
Nawaitu umat-Nya yang menetap arah,
Tiada siapa yang berhak mengaku diri,
Bahawa dialah yang akan terpilih,
Untuk berada di padang yang putih.


Telok Datok,
2/10/02

Rabu, Februari 10, 2010

Penangguhan Seminar


Seminar Pengenalan Teks Kesusasteraan Melayu KBSM Baharu yang dijadualkan pada 25 Februari 2010 telah ditunda ke 5 Mac 2010. Seminar ini akan diadakan di UPSI dengan sasaran khusus pada guru-guru pelatih yang menjalani latihan mengajar. Saya akan membentangkan kertas kerja yang bertajuk Novel Dari Lembah ke Puncak :Proses Kreatif dan Imbasan Struktural DKLP. Saya akan membicarakan novel berkenaan dari aspek kepengarangan saya semasa menghasilkan novel berkenaan. Selain itu saya juga akan membicarakan secara ringkas aspek struktural. Bahagian Pedagogi dan aspek yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran akan disampaikan oleh Encik Khir Kassim, Guru Cemerlang Bahasa Melayu dari Sepang.
Jika tiada halangan, saya juga akan membawa buku ulasan yang diterbitkan oleh Cerdik Publication jika ada guru-guru pelatih yang berminat untuk membelinya. Untuk maklumat lanjut, saya boleh dihubungi melalui emel glateh@blogspot.com.

Selasa, Februari 09, 2010

Tukang Perangkap

Dialah tukang perangkap
yang sekian lama membina
sebuah perangkap besar
bahannya waja sembilan bangsa
tersepuh oleh tangan perkasa
yang sudah ternama.

Dia amat berbangga
apabila semua yang datang melempar puja
akan kehebatan dan tanda nama
tentang keutuhan dan kesohoran
yang tertulis pada papan tanda.

Dialah tukang perangkap
yang berbangga dengan kunci panca tembaga
tidak terlawan kudrat seribu mangsa
gegar ketawa menggetar angkasa
menawan siapa yang terleka.

Dialah tukang perangkap
yang sekian kalinya terbawa
oleh egonya ke dalam sangkar
yang tegar lagi kukuh
dan ketika ingin meraikan keangkuhan
dia sedari dirinya dalam perangkap itu
dan kuncinya ada padaku.


Ghazali Lateh,
Banting,
21 Mac 2004

Ahad, Februari 07, 2010

Langkah


Kaki yang terjerat ini
terasa tidak mahu melangkah
lantaran semua mata mahu menikam
dan senyuman bisa sahaja mendendam.

Beban menyeret duri di kaki, di hati
adakalanya tidak terpikul oleh semua pundak
apatah tubuh kering terpukul seribu gejolak
yang baru berputik semangat
selepas fajar mengerdip cahaya
sedang bermula erti berjaya, bahagia.

Kita selalunya merancang cemerlang
tetapi tidak mengundang kecundang
yang tetap akan datang
dalam prasiaga kita dibalun gelombang,
tumbang.

Setelah terbangun dari kemanjaan mimpi
kita harus tegas memancang destinasi
seribu beban yang mencengkam kaki
jangan sampai menjadi tradisi
rugi.

Setiap detik waktu adalah bumbu
dan kehidupan tidak selalu syahdu
yang pasti perjalanan perlu ada hala tuju
dengan akrab tekad di sudut kalbu.


Banting,

7/2/2010

Sabtu, Februari 06, 2010

Hanya Memori

Kau taburkan benih resah di denai hidupku,
Bercambah menjadi pohon-pohon gelisah,
Yang berduri dan beracun,
Ketika ingin kupetik sekuntum kembang,
Kudup itu telah hilang,
Dalam sekilas pandang.

Telah kupilih jalan yang lain,
Memujuk hati pedih dan terkilan,
Kupujuk kecewa biar tidak terbawa,
Dalam arus mencengkam rasa,
Hampa!

Kini tiba-tiba sahaja,
Kauhadir bercerita tentang musim-musim derita,
Yang kau jumpa dalam igauan bahagia,
Terimpikan semenjak remaja,
Dan aku bukan tempatnya.

Kiranya aku hanya sebuah pangkalan,
Tempat persinggahan ketika ombak merusuh,
Dan kau akan berangkat lagi,
Meninggalkan gundah dan impian pecah,
Dalam memori hati yang patah.

Hotel Belmont marco Polo,
Tawau.
31/10/2002

Rabu, Februari 03, 2010

Dunia Dari Tingkap Pesawat

Betapa hidup terkurung ini menyusahkan,
Melontar pandang terhalang,
Membuang imbau terhadang,
Gusar pun mekar,
Atas padang risau nan melebar,
Tiap detik mengundang serik,
Tiap saat melamar gugat.

Kehidupan ini bukan untuk dikongkong,
Kerana kita harus terus bebas,
Melakar fantasi yang lepas,
Mengukir ilusi yang luas.

Terjajah bukan terikat tangan,
Tenatnya kita diikat pemikiran,
Semuanya sempit terhimpit,
Semuanya getir dan pahit.

Melihat dunia dari tingkap pesawat,
Luas yang memeritkan,
Bebas tapi menyakitkan,
Lepas tapi membelitkan.

Aku ingin segera pulang,
Mengutip sejarah yang terbuang,
Tentang kebebasan, tentang keperkasaan,
Untuk memerdekakan setiap ruang,
Tanah air yang gemilang.

Brunei,
11.20 pg.
28/10/02

Selasa, Februari 02, 2010

Aku Hanya

Aku hanya setitis dalam selaut,
Hilang dalam ombak membuak,
Sirna dalam buih memutih,
Tanpa kuala, tanpa muara,
Yang ada hanya tega,
Di riak duka.

Aku hanya sebilah dalam seberkas,
Samar dalam nasib menghimpit,
Luluh dalam cengkam menikam,
Tanpa luang, tanpa ruang,
Yang ada hanya janji,
Di datar sepi.

Aku hanya sedetik dalam semusim,
Lepas dalam jejak membekas,
Alpa dalam saat yang hiba,
Tanpa pantas, tanpa lantas,
Yang ada hanya rugi,
Di laman hari.

Aku hanya sebutir dalam segenggam,
Lupus dalam maya yang mulus,
Lebur dalam rupa yang kabur,
Tanpa tunas, tanpa bernas,
Yang ada hanya tumpas,
Di lapang tewas.

Aku hanya seorang dalam sedunia,
Kerdil dalam darjat mencuat,
Terpencil dalam diri mandiri,
Tanpa langkah, tanpa arah,
Yang ada hanya tabah,
Di sisi maruah.

Ghazali Lateh,
Banting,
12/1/2004

Ahad, Januari 31, 2010

Makan Angin Bersama-sama Keluarga


Bergambar di jeti Umbai, iaitu jeti untuk ke Pulau Besar, Melaka

Bersedia untuk menjamu selera
Semalam saya ke Melaka. Rancangan awal nak ke Kuantan, tapi takut tak sempat balik saya mengubah haluan ke Melaka. Isteri mengajak kami sekeluarga makan-makan di Serkam. Malangnya, sampai di Serkam, hanya gerai yang ada tapi tidak dibuka. Terpaksa saya berpatah balik ke Umbai tempat yang saya dah dua kali pergi.
Sudah lama juga saya tidak membawa keluarga jalan-jalan. Kalau tidak ada apa-apa aral, 5,6, dan 7 Mac nanti kami akan ke Bandung pula.
Landskap di bandar Melaka sungguh menarik

Pemandangan replika Flor de La Mar dari atas Menara Tamingsari.

Pada sebelah petang dan malamnya, kami menghabiskan masa di Bandar Melaka. Banyak perubahan yang dilakukan dan Bandar Melaka semakin cantik. Cuma, kesesakan lalu lintas amat serius, sehingga saya mengambil masa hampir sejam untuk keluar dari bandar. Saya dan keluarga sempat menaiki Menara Tamingsari. Dengan bayaran RM10 (bagi rakyat Malaysia) kita dapat menikmati keindahan pemandangan malam di bandar Melaka.

Sabtu, Januari 30, 2010

Baru Terfikir

Tiba-tiba saya terfikir betapa Allah memberikan saya kelebihan dalam beberapa perkara. Dalam penulisan, saya memiliki kelebihan kerana menguasai dua bidang iaitu bidang kreatif dan bidang akademik. Nampaknya kedua-dua bidang ini menjanjikan rezeki yang sangat lumayan bagi saya. Baru-baru ini (dalam masa sebulan) saya menghasilkan DUA siri bacaan untuk anak-anak prasekolah. Pihak penerbitan akan menghantarkan karya ini dalam tender suatu projek kebangsaan yang besar juga. Siri ini ialah Siri Teladan Lestari (6 buah buku) dan Siri Atuk Hasan (5 buah buku). Jika dijumlahkan, tahun ini saya telah menghasilkan lebih daripada 20 judul buku, tanpa saya sedari.
Saya juga bersyukur kerana beberapa karya saya terpilih sebagai teks dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.
Dalam bidang penulisan akademik pula dua buah buku saya telah terpilih sebagai teks bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Saya juga menulis untuk beberapa buah syarikat penerbitan besar seperti Longman Pearson, Cerdik, dan lain-lain. Sepanjang masa rezeki saya dalam bidang penulisan tidak pernah berkurangan walaupun saya bukanlah penulis yang berdisiplin tetapi saya tetap menulis secara berterusan, insyaAllah, selagi saya mampu untuk melakukannya. Barangkali, inilah hikmahnya saya tidak dilepaskan oleh KPM untuk bertugas di IPT. Rezeki ada di mana-mana, selagi kita tidak berhenti berusaha.

Khamis, Januari 28, 2010

Di Bawah Satu














Terpecah dengan tafsir dan hujjah,
suarapun sirna,
untuk melaungkan roh dan jiwa,
ke horizon saujana, tiada gema
dari kubah-kubah menerjah angkasa,
seperti sewajarnya sabda.

Lihatlah tangan-tangan tega
memutuskan jemari dan denyut nadi
sakitnya tetap terasa di kelopak mata
seagama bagai satu indera,
luka, dan darahnya menyala.

Sukarnya jika kita terlalu membawa haluan,
dengan keangkuhan menabir kebenaran,
ke mana arah, biar tersemat ingatan dan pesanan,
berdirilah di bawah satu akidah,
seperti di mahsyar nanti tiada bezanya,
tetapi duniawi tetap menampil uji,
hingga kehilangan harga diri,
dipulas dogma sendiri.

Bangunlah di bawah satu keyakinan,
dan berdirilah di bawah satu keberanian,
memadam perbezaan dengan dalil suci,
memancarkan hidayah agama harmoni,
dalam padu duniawi dan ukhrawi,
melebarkan sayap keagungan firman,
ke ufuk zaman.

Bergeraklah kita dengan tangan berpimpin,
di bawah satu,
segalanya.


12/12/05
Banting.

Rabu, Januari 27, 2010

Bahang

Barangkali bahang neraka sedang menyapa
setiap penjuru buana tiba-tiba berbara
salju mula hilang dari ensiklopedia cuaca
luntur dan menutup garis segara
mengubah atur cara alam maya.

Barangkali Tuhan sedang mewahyukan petanda
bahawa perjalanan sudah sampai ke hujungnya
kerana kita semakin lama kian terlupa
untuk menjunjung syumul agenda
dilanggar arus pancaroba.

Renta dunia bakal terbayang di depan mata
dengan robek rupa dan lusuh warna
angkara warga yang semakin cempera
memperagakan pesona kuasa
mempamerkan wacana bernoda.

Ke manakah harus kita sembunyi
dari panasnya amarah bumi
bagaimanakah harus membawa diri
pabila maya kehilangan simpati.

27/1/2010

Selasa, Januari 26, 2010

Seperti Seekor Burung Sepi


Seperti seekor burung sepi
melayah di bingkai senja
mencari ranting nostalgia.
Begitulah aku
perit menampal usia
ketika warna maut
semakin telus
dalam kudrat tersisa
aku menghitung laku
di sebalik debu-debu.
Seperti seekor burung sepi
melarik mimpi dinihari,
mengejar rindu berlari,
Begitulah aku,
jelak memukat impian yang rawan,
sehingga kehilangan jalan,
ketika tega berpaling,
suara takwa semakin sumbang,
dan nafsu bernyanyi garang.
Seperti seekor burung sepi
meredah kelam ke pucuk malam,
menyapa cahaya.
Begitulah aku,
jerih menampung retak iman,
ketika amaran Tuhan,
terpalit pada kedut wajah
dan langkah yang payah,
di pojok ini aku menganyam taubat
dalam tangis yang sarat.
Seperti seekor burung sepi,
Mengirai mersik embun pagi,
dan terbang lagi,
Begitulah aku
jenuh menjemur hasrat yang basah,
ketika sekelip cahaya suria
semakin sirna
dan sebelum tiba musim gerhana
aku ingin bangun berdiri
pabila azan meninggi.


Banting.
12/2/1999

Isnin, Januari 25, 2010

Mencari


Ketika pekat malam disula mimpi
sebuah padang hitam mengufuk
tiada ufuk, jauh
tiada jauh, dekat
tiada dekat!

Dengan tongkat ilalang yang kukutip ketika angin bersuara
memanggil setiap juzuk hati untuk mencari
setiap juzuk mata untuk mencari
setiap juzuk telinga untuk mencari.

Siapakah bakal menempa kersani zuhud
sebelum usia menjadi renta
dan mimpi semakin kabur lalu terpadam?
justeru untuk mencari zauq
untuk mencari cinta Ilahi
siapa pula yang menjunjung hulul al Hallaj
atau wahdatul wujud Ibnu ‘Arabi
sedang kita kehilangan deria pesaka dalam dada.

Dan padang hitam pun dekat, jauh dan mengufuk,
aku kembali mencari dalam peta diri
kerana lorong-lorong dunia telah sirna
dipagut semilir resah
terpana dalam basah
ketika mencari dan mencari
aku perlu melepas tali duniawi
mengikat nurani.

Banting,
28/2/2001

Sabtu, Januari 23, 2010

Pengunjung dari Oslo

Saya sering tertanya-tanya, setiap kali saya membuka blog saya, saya dapati ada pengunjung dari Oslo, Norway. Saya cuba mengesannya tetapi sehingga saya belum dapat menjejaki siapakah pengunjung ini. Oleh saya berharap pengunjung ini dapat memperkenalkan diri, sekadar ingin berkenalan. Saya pernah mempunyai seorang kenalan dari Norway pada awal tahun 2000 yang lalu tetapi kami sudah lama terputus hubungan. Jadi, jika pengunjung berkenaan terbaca entri ini, diharap tidak keberatan untuk menghubungi saya.
I feel curious about one of my regular visitors living in Oslo, Norway. To this particular visitor, if you read my entry pleasu contact me if you dont mind. Thank you.

Bahana

Semilir angin membawa seribu derita warga buana
yang tercengkam dicakar bencana
di sini kita masih menghitung laba
merancang usaha meraih kuasa
sehingga terlupa semua petaka
yang bakal terjadi tanpa rencana.

Selalunya kita tidak pernah berbicara
tentang kemelut dan karut kata-kata
menyumpah sesiapa sahaja
menista tidak kira masa
dan nescaya sanjungan tetap akan tiba.

Renunglah sejenak akan harga agama
kenanglah sejurus akan maruah bangsa
jangan sampai suatu ketika
ummah seagama tidak lagi kita bela
saudara sebangsa kita cela sehabis hina
dan kita bangga atas nama mahkota kuasa
biarpun tega menggadai segalanya.

Insaflah sejenak manusia di barisan hadapan
di tangan mereka tergantung sejuta harapan
usah kuasa menjadi taruhan gemerlapan
sanggup kau gadai masa depan.

Bangsaku jangan kehilangan nama
kerana siasah urusan dunia cuma
bertelingkah bertelagah bukan harganya percuma
pasti kelak kita kesal selama-lama.

23/1/2010

Khamis, Januari 21, 2010

Pencatat Luka


Murung mimpi melebar dan malar
sukma telah tewas dalam deru air mata
malam terlalu tajam menghiris nurani
lena pun terasa ngeri
esok bakal datang dengan seribu misteri.

Hari demi hari akulah yang mencatat luka
sang pengembara yang selesa
kini hilang sebuah peta dan kompas pusaka
lalu dia menghantarkan kecewa
dalam setiap balada tanpa suara
dengan ritma dukalara
menggigit deria.

Saban senja aku membuka kembali helaian
yang kucatat di sepanjang pendengaran
kini aku kehilangan tinta
untuk mengabadikan semuanya
dalam sebuah atur cara
yang tertulis di sana.

Aku masih mencatat luka-luka
yang kudengar lewat kata-kata
yang kurasa lewat derita
yang kubaca lewat aksara
kerana aku ini selamanya
pendengar yang setia.

21/1/2010


Dari Lembah ke Puncak: Sekilas Imbasan Struktural

Saya akan menyampaikan syarahan bertajuk seperti di atas di UPSI pada 25 Feb nanti. Sasaran program ini ialah guru-guru pelatih yang akan menjalani latihan mengajar sesi ini. Mereka ialah guru-guru pelatih yang mengajar mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu. Saya akan mengupas novel ini dari sudut struktural, kaedah pengajaran, dan motivasi asas bagi guru-guru yang baru memulakan kerjaya dalam bidang keguruan.

Rabu, Januari 20, 2010

Jangan Berhenti


Jangan berhenti dan teruslah mencari,
kerana perjalanan masih jauh lagi
untuk menobatkan kepuasan di takhta hati
menikmati dan menghiasi semua mimpi
yang bakal menjadi pasti.

Jangan cepat berkata cukup
kerana pencarian tidak pernah tertutup
Tuhan membuka jalan
memberikan kurniaan
kita hanya tetapkan iman
tepislah segala hasutan
seribu acuman.

Jangan berhenti untuk berharap
kerana citra akan ampuh tergarap
pemenang tidak pernah mengalah
pejuang tidak pernah menyerah.

Jangan berhenti selagi Dia memberkati
kerana semua jalan akan menuju satu destinasi.

Selasa, Januari 19, 2010

Implikasi harga minyak berbeza-beza

Kenaikan baharu saya

Berdasarkan keputusan kerajaan melalui kementerian yang terlibat, rakyat Malaysia akan membayar harga petrol dan diesel yang berbeza-beza tidak lama lagi. Perbezaan harga minyak tersebut berdasarkan kapasiti kenderaan yang dimiliki oleh pengguna. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan subsidi petrolium yang dikatakan terlalu tinggi. Sebagai rakyat Malaysia, saya menerima khabar ini dengan beberapa andaian.

Keputusan membeza-bezakan harga minyak mengikut status rakyat merupakan tindakan yang tidak adil. Walaupun dari segi kemampuan untuk memiliki kenderaan berkapasiti besar dikira sebagai indikasi status, namun kumpulan ini telahpun dikenakan bayaran cukai jalan yang jauh lebih tinggi. Mereka juga terpaksa membayar insurans yang tinggi untuk melindungi kenderaan mereka. Oleh yang demikian tindakan tersebut seolah-olah menghalang rakyat yang berpendapatan tinggi dan sederhana menikmati kemewahan yang dimiliki oleh negara ini.

Selain itu, tindakan ini juga akan mengakibatkan berlakunya penipuan. Pelbagai cara akan dilakukan untuk menipu supaya rakyat mendapat harga minyak yang rendah seperti rakan-rakan yang memiliki kenderaan kapasiti rendah. Tidak mustahil nanti akan ada penjualan petrol di pasaran gelap dan juga masyarakat yang mengambil peluang untuk menjual petrol yang diperoleh dengan harga rendah kepada mereka yang terpaksa membayar harga yang tinggi. Hal ini sudah berlaku semasa kerajaan memberikan subsidi kepada nelayan-nelayan suatu waktu dahulu. Oleh yang demikian, penguatkuasaan ini sudah tentu mencetuskan pelbagai kes jenayah di negara ini.

Pelaksanaan dasar ini juga dilihat sebagai membelakangkan gagasan 1 Malaysia yang berteraskan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Dalam hubungan ini sudah pasti perbezaan layanan kepada golongan tertentu akan menjejaskan usaha merealisasikan gagasan tersebut. Hal ini seolah-olah wujud ‘double standard’ dalam kalangan rakyat Malaysia yang sepatutnya menerima hak dan layanan yang sama dalam apa-apa keadaan sekalipun. Tindakan ini juga tidak menggalakkan rakyat Malaysia berusaha untuk menjadi masyarakat berpendapatan tinggi seperti yang diuar-uarkan dalam Bajet 2010 yang lalu. Rakyat lebih selesa berada dalam kelompok berpendapatan rendah kerana mereka akan lebih mendapat perhatian dan pembelaan kerajaan berbanding pihak yang berpendapatan tinggi dan sederhana.

Tidak keterlaluan juga jika diandaikan keputusan tersebut akan mendatangkan impak besar dalam pilihan raya akan datang. Jika trend ini berterusan kerajaan akan kehilangan sokongan golongan profesional dan elit kerana kumpulan berasa dianaktirikan dalam apa-apa dasar yang digubal. Oleh yang demikian, mereka akan mencari pentadbiran baharu yang lebih mesra rakyat tidak mengira status pendapatan dan latar belakang sosioekonomi. Jika hal ini berlaku maka keadaan politik negara akan menjadi lebih kucar-kacir daripada keadaan yang ada sekarang.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu membuat kajian yang mendalam sebelum sesuatu dasar yang melibatkan rakyat diputuskan. Walaupun rakyat berdiam diri, hal ini tidak semestinya bersetuju dengan keputusan tersebut. Keputusan-keputusan yang tidak mengambil kira perasaan rakyat akan mendatangkan implikasi jangka panjang yang sukar untuk ditangani.

Ucapan Tahniah

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dalam Hadiah Sastera Perdana 2009. Sesungguhnya hadiah sastera ini merupakan anugerah yang berprestij di negara kita. Hanya mereka yang hebat dan paling menonjol diiktiraf dalam anugerah ini. Syabas! Mudah-mudahan karya sastera kita akan terus berkembang dan memugar hati seluruh rakyat Malaysia.

Khamis, Januari 14, 2010

Kasut Kelopak Jantung


Sekali pandang tidak ada apa-apa yang istimewa tentang gambar di atas. Namun demikian, gambar ini melambangkan kreativiti seorang guru dalam melaksanakan pengajarannya di kelas. Seorang guru Bahasa Malaysia tingkatan satu telah menyatakan pada saya bahawa dia ingin menunjukkan sesuatu pada saya. Saya pun tertarik dengan penyataan tersebut. Lalu guru berkenaan telah menunjukkan kelopak jantung dengan tali rafia pada saya. Katanya kelopak jantung dan tali itu akan dijadikan bahan pengajaran yang autentik semasa mengajarkan komponen sastera iaitu cerpen saya yang berjudul Kasut Kelopak Jantung yang digunakan sebagai teks tingkatan 1. Saya berasa sangat teruja atas kesungguhan guru berkenaan mencari bahan tersebut memandangkan generasi masa kini tidak tahu akan kelopak jantung pisang itu. Tahniah Cikgu Ramlan! Cikgu merupakan seorang guru yang inovatif.

Sabtu, Januari 09, 2010

Si Pemain Api

Dia terlalu bangga dengan obornya,
dan minyak yang terhambur dari lidahnya,
memuntahkan bahang dan cahaya,
celaka.

Pemain api itu, dialah,
dengan bodohnya mencucuh hati,
kerana dia tahu di tangan ada belantan kuasa,
atas nama kanun raksasa,
sesiapa jua tidak mampu menahannya.

Dan kini api itu telah marak,
membakar emosi dan aksi,
pemain api itu hanya tersenyum,
kerana di tangannya masih ada obor,
dan bebunga api yang melantun
ke kaki kami.

Siapakah pemain api itu...
langsung namanya tidak diserbu,
kerana dia berada di bawah payung kuasa,
sedangkan di jalanan api mula membakar sukma kami,
rentunglah kesabaran dan semua alasan,
kerana kepanasan sudah tidak tertahan.

Bunuhlah di pemain api itu,
kerana dialah yang mencetuskan segala musibah,
yang mula bercambah.

Politik Ambil Hati

Politik negara kita sekarang bolehlah dikategorikan sebagai politik ambil hati. Setiap keputusan yang dibuat oleh mana-mana parti politik lebih bersifat mahu mengambil hati. Maka, adakalanya keputusan tersebut seperti mahu menjaga perasaan orang lain sama ada yang menyokong atau yang membangkang.
Saya lihat perkara ini daripada pelbagai perspektif. Untuk survival politik nampaknya pemimpin-pemimpin (terutamanya pemimpin Melayu) adakalanya membuat keputusan yang di luar dugaan. Ada yang sanggup membelakangkan segala-galanya semata-mata mahu dilihat sebagai popular. Lebih buruk, ada pemimpin yang sanggup membelakangkan agama dan akidah (dengan alasan dan tafsiran ayat-ayat suci) bagi membolehkan mereka kelihatan popular. Ada yang menggunakan imej, seperti imej agama, imej bangsa, dan sebagainya untuk membolehkan mereka meneruskan survival politik, walaupun secara terang-terang perkara yang dibuat itu bertentangan dengan amalan dan kepercayaan masyarakat terbanyak.
Begitu juga halnya dengan pemimpin kerajaan, kadang-kadang keputusan yang dibuat juga dilihat seperti tidak logik tetapi dibuat atas alasan mahu mengambil hati. Barangkali dari mata rakyat biasa, saya seringkali tersentuh dan sedikit kecewa dengan cara-cara berpolitik masyarakat Melayu kini. Namun, itulah politik adakalanya sesuatu itu tidak dapat dijangka oleh orang biasa seperti saya. Cuma, kadang-kadang segala keputusan untuk mengambil hati orang lain itu secara diam-diam membangkitkan rasa jelek dan benci di sudut hati kecil saya.

Ahad, Januari 03, 2010

Penyair, Cinta, dan Sebuah Masjid (Catatan untuk Seorang Teman)


Lewat kata-kata penyair itu melebarkan pesona
Menyentuh segala deria dan jiwa
Dia memugar ilusi
Menjangkau sanubari
Menawan nurani
Menjajah hati.

Banyak hati terbeli
Dan banyak janji terpatri
Sang penyair pun menghiasi malam-malam suram
Dengan semua puisi yang agam
Meluahkan suara temaram
Membisikkan rindu terpendam
Mengheret hati yang kusam
Ke puncak ilham.

Ketika cinta memuncak
Rindupun membugar kelopak
Di sini sehampar kasih
Di sini selaut cinta
Di sini segunung sayang
Di sini selembah harapan

Cinta yang dibeli dengan kata-kata
Kiranya mengundang mega bencana
Malap malam kini menutup ruang
Menutup matang
Menutup bebayang
Tinta kesumba tidak terbaca lagi
Bait-bait cinta hilang dalam rancu mimpi
Sang penyair pun mencuba sekuat hati
Mengukir arca berahi
Yang pecah di sudut emosi

Muazin yang melaungkan kebesaran
Adalah takdir yang memanggil
Sang penyair gontai membilang langkah
Dan harus pasrah
Dalam sujud yang kalah
Ketika dia meninggalkan laman
Tertoleh melihat kebesaran
Bahawa sebuah masjid harus dipertahankan
Biarpun diancam ribut dan taufan.

Banting
1/1/10
Ghazali Lateh

Di UniKL


Hari ini saya seharian berada di Kuala Lumpur. Sebelah pagi anak saya mendaftar di UniKL. Sebelah petangnya pula menguruskan pendaftaran asramanya di Jalan Pantai Endah, Bangsar. Anak kedua saya ini mengambil bidang kejuruteraan teknologi komputer dengan major dalam networking. Sehingga lewat petang barulah selesai urusan pendaftaran dan penempatannya.

RAYA 2026