Selasa, Januari 25, 2011

Penyalak Bukit

Bicara yang menguak kalbu bisu
tidak terdengarkan
walau sepicing waktu
sirna bagai titis yang gugur di pasir
diserap hilang dan kontang.

Penyatuan bukan lagi madu manis
yang melunakkan perjalanan
tetapi kita terbelenggu dengan sinis
tajam hipokrasi yang menghiris
dalam kerikil zaman yang menggerigis.

Kita menjadi tunanetra
untuk menjangkau jauh ke ufuk nista
yang bangun malar tidak rontok
pegun dogma telah berdiri
menabiri segala mandiri
dipasung iri.

Akhirnya kita menjadi tunasusila
pabila mengagungkan antoganis
di jalanan pesta liar telah bangun
dari mimpi konspirasi yang anggun
dalam kolong jiwa yang kosong.

Rencah tunawangsa kini mendidih
melimpah dan melecurkan jari-jari pejuang
tangisan bukan lagi senjata ampuh
tetapi menjadi topeng angkuh
di wajah musuh.

Ketika kita merenung kosong ke langit
kita tidak akan tahu rumput-rumput lekit
diinjak kaki-kaki yang perit
si penyalak bukit.

25/1/2011

Khamis, Januari 20, 2011

Puisi Persaraan

Tiba jua di persimpangan ini,
Barulah kita tahu besarnya erti budi,
Makna jalinan kasih yang abadi,

Semarak mesra yang mercup dalam manis bicara,
Dan nilai setia semua yang ada,
Mengadun citra seanggun permata,
Terukir dalam jiwa bahagia.

Setia di sini untuk melengkapi waktu,
Menenun harapan dengan iltizam dan restu,
Tanpa curiga menusuk rasa,
Lantaran di sini semua saudara,
Penghibur duka pemulih lara,
Penyambung pesona ke usia bersara.

Budi segunung tercurah dalam rencana,
Bakal mengerdip sinar kemilau arca kencana,
Terhias di dinding minda, memarak asas wacana,
Meruap bangga memangkin kesima,
Melarik teladan ikutan bermakna.

Semarak rindu kami nanti,
Mengenang detik manis yang semakin sepi,
Hilang bicara mesra, lupus kiranya gurau senda,
Jarak dan ruang pasti semakin dirasa,
Justeru langkah dan arah kian berbeza.

Kasih ini tetap kukuh,
Terpahat dalam ingatan yang teguh,
Terbit dari ikatan ukhuwah yang ampuh,
Rindu nostalgia di sini berlabuh.

Setia budi semarak kasih,
Untukmu tuan insan terpilih,
Pergimu tuan bukan tersisih,
Budimu tuan di hati membenih.
Setia budi semarak kasih,
Tuan berangkat kami yang merintih.

Dr. Ghazali Lateh,
2/12/09Hotel Summit, USJ

Isnin, Januari 17, 2011

Membaca Kejahatan


Aksara-aksara durjana terimbas pada matanya
dan jelingannya menjadi kotor dan mengerikan
di sebalik kanta tersirat seribu imej syaitan
yang menusuk ke dasar sukma
mereka yang lentur dengan kesima.

Puing-puing dosa terpancul dari bibirnya
membunuh upaya minda untuk bertanya
dengan kata-kata dia melebar pesona
mengheret ke lembah terhina
setiap jiwa yang terlena.

Lama-kelamaan
aku mula membaca kejahatan
yang terlindung di sebalik lakonan
seorang badut yang memakai baju nafsu
aneka warna aneka rupa
beraksi di arena nestapa.

Sampai bilakah dia dapat
menyembunyikan pekung dalam kulitnya
yang semakin kendur dan luntur
biarpun seribu cara diatur
di papan catur.

Sampai bila juga
kita dan mereka akan terus tertipu
dengan skrip konspirasi yang tepu
kerana waktu semakin suntuk
untuk melakarkan agenda terkutuk.

Heii.. engkau yang bernama konspirator
yang selalu menyalahkan konspirasi
kau akan tahu juga balasan-Nya
betapa onarmu hina
bakal terpampang di dada maya
bakal terbongkar ke seluruh buana.


Dangau marhaen
17/1/11

Jumaat, Januari 14, 2011

Sahabat

Di lobi hotel Grand Boutique, Jakarta

Jurang telah larut dan menjadi sebati
beza pun telah luntur dan semula jadi
dan kita tidak lagi berasa gusar
untuk melafazkan tegur yang jujur
atau meminta ujar yang pijar.

Sahabat
pabila berpisah kita terasa kehilangan
namun semuanya itu hanyalah rencah perjalanan
di persimpangan
kita perlu membuat pilihan
dalam menuju haluan.

Akhirnya sahabat
semuanya akan merelakan
kerana semua kenangan akan dirakamkan
lantas disimpan sebagai tanda perhubungan
bakal dibuka kembali saat-saat kita berjauhan.

Begitulah sahabat
sepatah tutur bakal menjadi ubat
dengan tangan yang akrab berjabat
kita abadikan sebuah kenangan terhebat.

Persahabatan itu umpama simpulan tali
biarpun gersang dimamah hari
tapi simpulan itu tetap abadi.
Dangau Marhaen
15/1/2011 12.04 tgh malam.

Isnin, Januari 10, 2011

Menjadi Marhaen


Aku sama-sama bersesak
mendaftarkan kesakitan
menunggu panggilan
mendambakan harapan
suara derita pun larut
dalam rungutan marhaen
mendengar nombor seruan
masih jauh giliran.

Begitulah sukarnya
menjadi marhaen
mendapat rawatan
dari kesusahan
kerana kami tiada upaya
mengeluarkan biaya
menyambung nyawa.

Jabatan Pesakit Luar,
Hospital Banting,
10/01/11

Khamis, Januari 06, 2011

Memori Bandung


Libur tahun kelmarin
kusapa namamu, Bandung
ketika malam menganjak tua
aku menjengah muka
ke rumah makan sapu lidi
dan merebah diri
di Barinto Syinta.

Pagi membawa deru jentera
dan bingit suara speda
kami berangkat ke Pasar Besar
melihat pesona busana
aneka warna
serta wargamu
aneka rencana.

Seketika menghidu asap tengik
di puncak Tangkuban Perahu
sambil menolak jualan keterlaluan
di sepanjang jalan.

Kotamu gesit, Bandung!
mobil merangkak berdenyut di jalanan
dan speda berlumba
mencari hala
di ruang terbuka.

Aku melepaskan lelah
di mall yang serba indah
membeli jenama serba murah
membangkitkan ghairah
membuang resah.

Wargamu gigih, Bandung
memerah keringat jernih
berjualan di sepanjang gang
di warong mudah alih
dengan juadah terpilih.

Berjumaat di Taman sari
ummahmu sebenarnya tinggi harga diri
dalam saf-saf lurus aku hilang sendiri
sama-sama berdiri
menghadap Ilahi.

Kenangan indah pasti abadi
Bandung sebuah kota budi
sekali cuma pasti tidak bererti
lantas aku menobat janji
untuk bertandang lagi
suatu hari nanti.


Dangau Marhaen, Banting.
6/1/2011

Rabu, Januari 05, 2011

Insaf


Kabus melendut di kaki maya
menabiri latar pesona
di muara usia.

Ketika melangkah
meninggalkan kenangan
semuanya sedar bahawa waktu
terlalu suntuk untuk menilai
harga perjalanan yang luntur
di tengah bahang lara.

Di manakah kita
ketika semuanya berkumpul
menangisi penyesalan
sepanjang jalan.

5/1/2011

Selasa, Januari 04, 2011

Ke Arah Mana

Keputusan yang telah lama tertangguh
kerana belum ada mata kompas
yang hakiki menunjuk arah benar
dan hati berbelah
antara kamar selesa
dan wadah jasa.

Betapapun hati meronta
untuk lepas semua gejala
tetapi di sana belum pasti tintanya
terpadam duka
atau tercatat seribu duga.

Arah mana menjadi asas tanya
yang singgah atau yang kenal lama
kerana diri selalunya tidak berani
untuk memilih destinasi
biarpun berbekal kersani
meneroka ke alam misteri.

Masih mencari kiranya
masih menanti kiranya
masih meneliti kiranya
sehingga kesuntukan masa
untuk menyusun aksara
sebuah kesima dunia
tanpa nokhtahnya.


4/1/11

Sabtu, Januari 01, 2011

Catatan Tahun Baharu


Kembang api yang berpusar di angkasa
menjadi tanda sempadan masa
yang sebenarnya tidak ada
fatamorgana semata-mata.

Anak-anak remaja tidak mahu pulang
sehingga pagi menjelang
keseronokan menusuk ke tulang-temulang
yang diajarkan semuanya hilang
dan mekarlah bunga-bunga petualang.

Yang tua duduk berdoa di musolla
mengharapkan terhindar segala bala
sedangkan nasib tidak begitu terbela
cukup reda dengan segala yang ada
kerana begitulah takdirnya.

Pemimpin-pemimpin masih bertelagah
masing-masing mahu menunjuk megah
tanpa sedar harga diri semakin tergugah
dalam senyum seteru melangkah gagah.

Aku hanya pencatat detik waktu
yang tidak ada suara laungan jitu
untuk memanggil bangsa untuk bersatu
kerana mereka semua dirasuk buntu
hingga meracau tidak menentu.

Tahun baharu tidak menjanjikan apa-apa
seandainya bangsa Melayu terus alpa
kerana sememangnya kita mudah lupa
teruja dengan badut pelbagai rupa.

Tahun baharu ini seharusnya tidak datang
selagi fikiran kita tidak mahu matang
dan manusia masih berperangai binatang
seruan agama mula ditentang
dengan suara-suara lantang.

Detik mula tahun baharu
aku akan terus mahu menyeru
agar bangsa tidak selamanya celaru
untuk membina tamadun di mercu.

Dangau Marhaen,
Banting
1 Januari 2011

Jumaat, Disember 31, 2010

Dua Hari di Pangkor




Melepasi oleng ombak yang lembut
kaki menjejak tanah pulau
berpasir
mencari angin mesra yang ramah
dan melepaskan lelah.
Yang kutemukan
sebuah teluk yang sibuk
dengan cerucuk besi dan hiruk-pikuk
bayangan ketenangan pun dibawa pawana
hilang entah ke mana.
Aku sebenarnya pencari ganjil
membongkar yang terpencil
menobat yang kerdil
membesarkan yang kecil.
Di sini sebentar cuma
dan aku menilai saksama
Pangkor masih perlu melangkah
membuka minda warganya
ke medan megah.
Pantai Teluk Nipah
29 Dis. 2010


Selasa, Disember 28, 2010

Paradoks

Orang merungut harga petrol naik
di jalan kesesakan menggila
orang membebel harga barang naik
pasar raya tidak pernah kurang pengunjungnya
orang menyelar harga gula naik
di hospital masih ramai kena kencing manis
orang membising harga elektrik naik
setiap malam lampu di rumah macam pesta
orang mencemuh harga air naik
di rumah mereka mandi macam kerbau gila
orang mengherdik belanja kahwin naik
kenduri kahwin bagai nak jemput seluruh negara
orang menempelak harga rumah naik
perumahan tumbuh di mana-mana
orang lorat caj telefon naik
tapi berebut membeli peranti berjenama
orang mengaruk semua barang harga naik
tapi berbelanja sampai tak ingat dunia.

28/12/2010

Ahad, Disember 26, 2010

Kejayaan

Kejayaan tidak akan datang sendiri
tapi harus dicari
kejayaan bukan milik diri sendiri
tapi harus dikongsi
kejayaan bukan alasan untuk meninggi diri
tapi untuk muhasabah diri
kejayaan itu datang dan pergi
tapi kita harus meredai.

Kejayaan bukan destinasi puncak
tapi tangga mendaki kemuncak
kejayaan bukan alasan untuk bongkak
tapi harus menjadi pembentuk akhlak
kejayaan bukan sesuatu untuk membina jarak
tapi menjadi pemanngkin gerak
kejayaan sebenarnya bukan mutlak
tapi sekurang-kurang jadi penggalak.


26/12/2010

Isnin, Disember 20, 2010

Sajak Pagi


Pagi muram
titis melebar di laman rumah
mengikat langkah
tanpa arah.

Tapi pagi muda
masih melapangkan agenda
mantari bakal tiba
menjeling manja.

Ini sajak pagi
yang tidak pernah berhenti
membangunkan inspirasi
dan menjentik emosi.

Dangau Marhaen,
Banting,
20/12/10 9.40 pg

Ahad, Disember 19, 2010

Tempayan Lama

Semalam saya ke Segamat. Sebelum sampai ke pekan Segamat saya ternampak sebuah kedai yang menjual barang-barang lama khususnya kayu landasan kereta api. Saya berhenti dan mendapati banyak tempayan lama berada dalam simpanan tuan punya kedai yang dikenali dengan nama Pak Arab. (nama sebenarnya Abdul Rahim Abu Bakar). Saya meminta sebiji tempayan lama tersebut. Akan tetapi dia keberatan untuk memberikannya kerana katanya dia mahu membuka showroom untuk mempamerkan barangan tersebut. Setelah merayu dia bersetuju menjual tempayan tersebut sebiji sahaja.
Tempayan ini sangat antik. Pada saya tempayan membawa saya ke zaman kecil saya di kampung. Tempayan banyak gunanya pada zaman dahulu. Salah satu kegunaan penting adalah untuk menyimpan air minuman. Saya masih ingat ketika saya pulang dari sekolah dalam keadaan panas, saya akan menuju ke tempayan di dapur dan mencedok air minuman. Dan tempayan yang saya gunakan dahulu ada dalam simpanan saya sekarang ini.

Sabtu, Disember 18, 2010

Segamat dan Gemas

Stesen kereta api gemas
Menunggu kereta api




Pokok songsang, akar di atas pucuk di bawah (Di sebuah kedai barang lama di Segamat)

Mercu tanda bandar Segamat
Tanpa perancangan hari ini saya berjalan-jalan ke Segamat dan Gemas. Sebenarnya saya tidak pernah sampai ke bandar-bandar ini. Jadi, saya dengan isteri dan dua orang anak telah bertolak sejak pagi melalui lebuh raya, turun di Tangkak dan ke Segamat. Nampaknya pekan Segamat agak besar. Kami balik melalui jalan lama ke Gemas, Tampin dan Alor Gajah. Paling seronok apabila dapat melihat pekan Gemas yang selama ini dipelajari melalui subjek Geografi sebagai tempat persimpangan kereta api ke pantai timur.

Terbang


Berikan aku sayap bidadari
atau baju layang si pari-pari
kerana aku ingin terbang ke musytari
dan memujuk amarah matahari
seorang diri.

Singgah hinggap di awan gemawan
melihat dunia dari mata perasaan
meninjau selirat perjalanan insan
dan topografi kemanusiaan
yang hilang sempadan.

Melayah ke puncak harapan
untuk mengerling masa depan
anak-anak yang masih kegelapan
dikaburi kesilapan
membuat pilihan.

Aku hanyalah pengadun mimpi
dalam igauan yang tidak bertepi
dan sering terbang di atmosfera diri
melangkau semua destinasi
mencari erti
makna hakiki
sebuah misteri.

Dangau Marhaen,
18/12/10

Khamis, Disember 16, 2010

Sang Penggigit Tangan

Dengan lidah dan ludah yang tidak pernah selindung
merah dengan amarah yang tidak terbendung
merayau tanpa hala tuju
dan meminta-minta di semua penjuru.

Ketika diberi makan dari hidangan gizi lengkap
dia pun tersenyum setelah kenyang malahap
tiba-tiba dia berkata benci
kepada yang memberi.

Ketika bangun untuk menghindar
sang penggigit tangan itu menjadi nanar
dan menampakkan taringnya besar
menampakkan mulutnya yang onar.

Sang penggigit tangan semakin banyak
dan menyalak bagai naik minyak
tidak akan berhenti
kerana begitulah pekerti
spesies yang keji.


Dangau Marhaen
16/12/10

Selasa, Disember 14, 2010

Beberapa Sudut di Rumah

Sebahagian koleksi tempayan antik
Sisi belakang rumah

Pokok heliconia yang baru nak subur semula setelah dibersihkan

Di tepi pagar depan
Menulis sambil bersantai di wakaf

Tembok pagar

Sebahagian daripada bonsai saya

Di laman luar

Pokok tanduk rusa

Ahad, Disember 12, 2010

Syair Jenaka

Dengar adik syair jenaka,
Sekadar untuk bersuka-suka,
Buat menghibur hati yang luka,
Serta mengubat masam di muka.

Puyuh berlari di celah rumput,
Nenek mengejar nafasnya semput,
Puyuh tak dapat nenek menghamput,
Songelnya jatuh tinggal sejemput.

Beruk datuk memanjat kelapa,
Duduk berehat bagai terlupa,
Datuk di bawah terkapa-kapa,
Tali direntap putus sedepa.

Ayam Pak Kaduk lawan menyabung,
Ditaji lawan sampai melambung,
Dibawa pulang perutnya kembung,
Dimasak gulai bercampur rebung.

Tengah hari menahan pukat,
Sampai ke petang ikan tak lekat,
Angkara memerang hendak disekat,
Pak Kaduk malu terlondeh pelikat.

Seronok sungguh kerbau berkubang,
Lembu melihat hidungnya kembang,
Kambing nak dekat berasa bimbang,
Biawak ketawa lidah bercabang.

Angin menderu nyamannya petang,
Beruk tertidur di atas batang,
Mulut terbuka matanya buntang,
Tupai tergelak berguling gantang.

Itik berlenggang pulang petang,
Ayam bertelur suaranya lantang,
Kucing malas tidur terlentang,
Dipijak tuan naiklah bintang.

Ayam berkokok tekak tersumbat,
Habis sekampung bangun terlambat,
Kebulur sudah kerbau tertambat,
Bulu sendiri habis disebat.

Singa mengaum giginya patah,
Tak boleh makan daging yang mentah,
Minta daun gajah meratah,
Termakan jelatang termuntah-muntah.

Kerengga ramping jangan diiri,
Dahulu gemuk seperti bebiri,
Menahan gelak tidak terperi,
Melihat babi terlanggar lori.

Karangan ini ilham sasterawan,
Buat menghibur hati yang rawan,
Bukan menghina kawan dan lawan,
Kalau tersinggung maaflah kawan.

Dangau Marhaen,
10/12/10

Satu Daerah Satu Industri MITC

Saya bergambar bersama-sama etnik peribumi Sarawak di booth negeri tersebut.

Semalam saya melawat karvival satu daerah satu industri di MITC Melaka. Saya lihat usaha ini memang bagus untuk memperkenalkan produk tempatan terutama mereka yang berminat untuk menjadi usahawan. Pameran tahun ini lebih sistematik kerana booth yang disediakan lebih besar berbanding tahun lepas. Cuma pada pandangan saya pengunjung agak kurang. Barangkali pelawat masih penat kerana baru habis melawat MAHA di Serdang.


Di karnival ini saya sempat melawat beberapa booth yang memaparkan keunikan budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai. Namun demikian, kelibat pelawat dan pempamer berbangsa Cina dan India agak kurang. Saya rasa dalam majlis sebegini penglibatan semua kaum adalah baik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Selasa, Disember 07, 2010

Hijrah

Longkang-longkang menerbangkan aroma petaka
tandas awam bagai tempat tumpuan haiwan bukan manusia
kekotoran menjadi jolokan nama
segalanya ingin dicatatkan pada ruang terbuka
tidak kira di mana-mana.

Perbalahan tidak pernah surut seperti laut
perpecahan membusuk menjadi makanan peram
acuman menjangkar dan dengki menjadi denyut nadi
hati busuk dan dendam menjadi arca kukuh
menabiri ucapan selamat datang ke laman.

Siasah telah membunuh kebaikan dan kesejahteraan
hati sentiasa bengkak dengan bisa retorika
peradaban bukan lagi mercu tanda di tengah kota
ketika demokrasi dilaungkan hasad pun terimbau
menimpa kepala-kepala bodoh yang mendengar racau.

Di ceramah,
seruan hijrah berkumandang didengar hingga ke planet
dan seusai majlis kita kembali memakai baju durjana
yang menjadi pakaian kebangsaan
pemilik minda kelas ketiga.

Bilakah agaknya?
Hijrah meresapi kepala
dan hati kita terbuka
untuk menjadi pemilik minda
kelas pertama.

Dangau Marhaen,
7 Dis. 2010

Sabtu, Disember 04, 2010

Guntur

Tiba-tiba guntur mengetuk kawah langit
hitam pekat terpercik secalit cahaya
dari jendela kulihat petanda
neon kabur dan bintang tiada.

Ohh...
tengkujuh sudah hampir di pintu
anak-anak masih di luar tanpa sepatu
sedangkan harga gula sudah naik
kopi tidak semanis dulu lagi
malam ini guntur berlagu.

Nanti bah akan datang
membawa pesan alam tentang kecurangan
membawa hanyut semua harapan
ketika anak-anak bangun dan meminta
wang untuk membeli tambah nilai
dan ayah mereka tidak pernah memicit
punat telefon bimbit.

Oooo....
Rebas sudah melompat ke dalam jendela
dan isteri terbaring lesu, katanya
pembawa budak
berita air naik tidak lagi menakutkan
kerana tidak pernah mati seorang pun
zuriat yang ramai
dan dia masih kuat untuk bergelar bapa.

Guntur itu hanya nyanyian alam
dan dia tidak pernah takut
katanya mati hanya sekali
dan anak-anak akan mengganti
mewarisi kesusahan gaya masa kini
berbeza sekali.

Oooo....
biarkan guntur mengugut
dia tetap akan ke laut
kerana akan datang orang memberikan selimut
dan beberapa tin biskut
hasil tangkapan biarpun surut
cukup membeli beras mengisi perut.

Guntur hanya tempelak alam
kepada mereka yang takut.

Dangau Marhaen
4/12/10

Rabu, Disember 01, 2010

Ingin Aku Menulis


Ingin aku menulis resah pada air,
biar dibawa hanyut perasaan ini,
ke tengah samudera hidup,
menyapa ufuk dan mega jingga,
sirna.

Ingin aku menulis rindu pada bayu,
biar diterbangkan jauh semua keliru,
ke laman kejora,
mengimbau segala suka dan duka,
nescaya.

Ingin aku menulis cinta pada cahaya,
biar ditembus telus ke lowong atma,
menyatakan setia,
pada bangsa dan nusa,
tega.

Dangau Marhaen,
Banting,
1/12/2010

Hadiah Sastera Perdana


Isnin, November 29, 2010

Hadiah Sastera Perdana 2008/2009

Dengar khabar Hadiah Sastera Perdana diakan pada 30 November 2010. Siapapakah yang memang ya. Mungkin saya akan ke DBP esok untuk menyaksikan majlis berkenaan. Mana tahu saya akan menjadi salah seorang pemenangnya. Selama menulis saya tidak pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana. Sama-samalah kita nantikan keputusannya esok.

Ahad, November 28, 2010

Nekad sedikit

Kali ini saya nekad sedikit dalam menghasilkan karya. Sudah lama saya tidak menulis karya kreatif. Sepanjang sebulan ini saya bertekad untuk menyiapkan koleksi puisi tradisional saya. Saya sedar tidak ramai penulis yang gemar menulis puisi tradisional. Oleh sebab itu saya membuat keputusan untuk menulis. Koleksi puisi ini saya namakan Syair Malaysiana. Mungkin nama ini akan berubah apabila sampai ke proses penerbitan nanti. InsyaAllah saya akan berusaha untuk menyelesaikannya.

Selasa, November 23, 2010

Elegi Pagi hari

Pagi redup
segumpal awan tersangkut di birai timur
semilir bayu mengelus wajah
dan rindu pun bertaut.

Alam mesra menyapa pagi
dan hati terasa ingin berdiri
menyanyikan lagu-lagu harmoni
dalam merdu melodi
suara hati.

Inilah kehidupan
yang penuh dengan cahaya
kabur sinar mulus
membangkitkan aroma segar
dari semua juzuk arah
meriah.

Jangan sesekali dicemari
indah alam dan cemerlang mantari
kerana warkah buana mendamba janji
buah tangan sebuah generasi
begitu indah untuk dikongsi
di kemudian hari.

Dangau Marhaen, Banting.
23/11/2010.

Ahad, November 21, 2010

Rehat Sementara


Saya berehat daripada memasukkan entri di blog ini kerana ingin memberikan perhatian di blog akademik saya di drghazali.blogspot.com. Tujuannya adalah untuk membantu anak-anak yang menduduki peperiksaan SPM dengan memberikan maklumat-maklumat yang saya kira dapat membantu. Hanya itulah sumbangan saya untuk membantu anak-anak yang berpotensi untuk menjadi modal insan cemerlang.

Ahad, November 14, 2010

Sakit

Kesakitan mengajar makna keselesaan,
lantaran terlalu lama bersenang
sehingga terlupa akan malang
yang mendatang tanpa diundang.

Kesakitan membuatkan diri resah
sesekali ingin juga menunduk pasrah
ujian ini bukan percuma
tetapi untuk ingatan bersama
selama-lama.

Kesakitan adalah rencah
yang membumbui hidup yang mewah
sesekali tersandung langkah
baru teringat akan musibah
amaran Allah.

Dangau Marhaen,
Banting.
14/11/2010

Rabu, November 03, 2010

Pabila Bencana Menyapa

Secebis simpati yang kumasukkan
ke lubang kecil tabung insani
tanpa mempamerkan replika perasaan
yang bakal terpapar
di muka depan akhbar kemanusiaan.

Betapa kepedihan telah menjadi
wahana mencipta jenama
dan aku bakal tercicir
dari senarai sang pengukir
arca hipokrasi duniawi
lantaran replikaku terlalu kecil
untuk kuperagakan
di podium kebanggaan.

Ketulusan telah tumbuh persoalan
pabila kita leka mengumpul kemanusiaan
sehingga tidak sempat
mengagihkan harapan
sedang kita menghebahkan jumlah
ada yang tumpas dalam lelah.

Pabila bencana menyapa
akan terbuka sebuah medan kesima
terserlah aksi watak-watak utama
dan badut-badut pelbagai warna
di mana-mana.

Banting,
2/1/05

Ahad, Oktober 31, 2010

Bersama-sama ipar duai dan biras

Bergambar semasa majlis perkahwinan sepupu isteri di Sg Buluh. Yang wanita itu ipar-ipar, yang lelaki pula biras.

Khamis, Oktober 28, 2010

Tukar Selera

Untuk tukar selera, malam ini kami sekeluarga makan 'western food' di sebuah bistro dalam kampus INTI University College, di Nilai. Saya makan 'grilled fish'. Makan ikan yang dipanggang bersama-sama mayonis dan salad sayur. Tapi tak sama rasanya dengan nasi campur ikan tamban kering goreng.

Selasa, Oktober 26, 2010

Pilihan Kita?

Agama itu menyatukan,
bukan memecahbelahkan,
agama itu mendamaikan,
bukan memporakperandakan,
agama itu menyamankan,
bukan menjelikkan,
agama itu mengindahkan,
bukan mengotorkan,
agama itu menginsafkan,
bukan membebalkan,
agama itu mengagungkan
bukan menghinakan,
agama itu melestarikan
bukan membinasakan,
agama itu membestarikan,
bukan membodohkan,
agama itu melembutkan,
bukan menegarkan,
agama itu membimbingkan
bukan menjerumuskan,
agama itu melengkapkan,
bukan mengurangkan,
agama itu menyempurnakan,
bukan mencacatkan,
agama itu meluruskan,
bukan memesongkan,
agama itu menasihatkan,
bukan menghasutkan...

Yang manakah pilihan kita??


Dangau Marhaen,
Banting. 26/10/10

Sabtu, Oktober 23, 2010

Licik

Kalau boleh mereka akan membawa babi
dan melepaskan di tengah jemaah
lantas mereka mendiamkan diri
meninggalkan ummah bercakaran
menuduh dan menghukum
tanpa sekelumit perasaan
bahawa agama sedang dipermainkan.

Kalau boleh mereka akan menjamu tuak
dalam khalayak menang bersorak
lantas mereka mengaku tidak tahu
meninggalkan ummah membuat seteru
menuduh sesama dungu
tanpa secebis setuju
bahawa bangsa disesah semua penjuru.

Kalau boleh mereka mahu memakaikan palang
di dada anak-anak yang belum matang
lantas mereka melakonkan adegan kemanusiaan
memujuk perajuk yang kecundang
dan kita pun berkongsi walang
sehingga tergadai iman kepalang.

Licik,
mereka benar-benar licik
dan kita masih ketagih kuasa
terlalu memberi muka
hingga terpalit arang dosa
di wajah bangsa.

Dangau Marhaen,
Banting,
23/10/10

Ahad, Oktober 17, 2010

Ambillah Hati


Ambillah hati kami
sementara kamu mampu
kerana kami ini melukut
yang tidak menambah jika dipaut
tidak mengurang jika disusut.

Akan tetapi suara kami ada
sesekali dapat menggegar telinga
dan menjatuhkan sebuah persada
sampai hilang tandanya.

Yang kami mahu cuma
ambillah hati yang tidak sekuat mana
menjeling juga janji mereka
walaupun tidak pasti jadinya.

Ambillah hati kami
sebelum merajuk membawa diri.


Dangau Marhaen,
Banting.
17/10/10

Sabtu, Oktober 16, 2010

Bajet

Sebagai rakyat marhaen saya kurang bersetuju dengan beberapa perkara dalam bajet. Yang pertama kemudahan cuti bersalin sampai 90 hari akan menjejaskan ekonomi. Pelonggaran syarat untuk pemastatutan tetap kepada 5 tahun juga akan menggalakkan pendatang asing ke negara ini. Sumbangan khas RM500 kepada kakitangan awam amat rendah dan tidak menepati slogan negara berpendapatan tinggi. Pengagihan kekayaan juga tidak menyeluruh. Bajet seperti tidak mesra politik. Saya rasa bajet semasa pentadbiran Tun Mahathir sangat baik dan mesra rakyat serta mesra politik. Pemimpin masa kini perlu mengkaji kepakaran ekonomi Tun yang ternyata sangat baik dan berpengaruh.

Khamis, Oktober 14, 2010

Tokak


Rasa yang terbunuh
dalam perang di sempadan usia
semadi dalam rimba curiga
sejak lama.

Kini panji-panji itu
bukan lagi milikku
kerana tanah warisan ini
telah hilang batu tanda
dirampas kelicikan petualang
yang tersenyum girang
melihat aku kecundang.

Begitupun para pemuka masih gawat
menghitung laba hingga usia lewat
sedikitpun tiada gusar
akan kehilangan mimbar
dan penjarah itu sudah hampir
menguak pintu takdir
seribu mungkir.

Pembesar
adalah pembohong besar
yang berlakon seribu watak
dengan busana pelbagai corak
tapi berbau hapak
melindungi kudis dan tokak.


Dangau Marhaen,
14/10/10

Yang Kumahu

Yang kumahu, hanyalah mendiamkan diri
sambil melihat pelangi.

Jumaat, Oktober 08, 2010

Membiar Luka


Suara angin dari rimbun malam
memanggil rindu untuk bertandang
kisah silam yang tidak pernah padam
mercup di kudup mimpi
menyegar pucuk ilusi.

Betapalah mata yang meneroka
menjamah kelibat usia terleka
saat kemelut berpaut pada ranting hidup
dan diri seakan kehilangan sanggup.

Perjalanan seperti berpusing
dan masih terjumpa simpang-siur derita
mendorong diri untuk mengukir tabah
kembali menongkat pasrah dimamah resah
memerah warna luka tidak berdarah.

Suara angin sayup dan hilang
malampun tidak lagi berbintang
putik noda yang kembang
telah jatuh berserak di kaki laman
bau kecundang mengimbau walang.

Tutuplah jendela ketika rindu menghilang
angin tidak lagi mahu berdendang
sepi mula lahap menggigit tulang
sesal makin rimbun menutup pandang.

Mata dan hati biar meneroka
ke dalam diri ke dasar luka
tambatan duka jangan dibuka
biar reput disula pawaka.

Dangau Marhaen,
Banting.
8/10/2010 10.06 mlm


Isnin, Oktober 04, 2010

Hari Isnin yang Padat


Lori dengan muatan besi buruk terbalik dan muatannya menutup semua bahagian jalan.
Hari Isnin ialah hari yang sangat padat dalam kehidupan saya. Tambahan pula hari ini jalan tersekat akibat lori besi buruk terbalik dan melintang seluruh jalan atas jambatan keluar dari Pekan Banting. Perjalanan 5 km mengambil masa 2 jam.

Sebelah petang saya bergegas ke UPM untuk mengajar. Semasa kuliah ada penilaian pensyarah sambilan. Selepas kuliah ada pula pelajar yang menemuramah untuk menyiapkan tugasan. Saya sampai di rumah pada pukul 7.30 malam.

Selepas maghrib, saya memulakan tugasan penulisan saya. Nampaknya hari Isnin saya penuh dengan pengisian.

Sabtu, Oktober 02, 2010

Larut


Kemenangan telah larut dan mengalir
orang-orang kecundang terlupa warna piala
yang berdiri hanyalah tubuh-tubuh gersang
bernyawa tanpa wibawa
melangkah tanpa pesona.

Suatu hari anak cucu akan mengorek sejarah
dan mencari kembali artifak lara
di bawah timbunan aksara luka
yang terpahat pada tiang-tiang legenda
dengan nista.

Larut harga sebuah bangsa
akibat pergelutan yang tiada hujungnya
masing-masing mengaku benar
walaupun merekalah yang menanam onar
lalu merebak barah dendam menjangkar.

Aku yang berdiri di tengah larut
bagai mencari mata angin di tengah laut
lemas menanti dek tiada lagi tempat berpaut
hilanglah nama sebuah bangsa yang kalut
dalam sebuah sandiwara boneka dan badut.

Dangau Marhaen,
2/10/2010 12.40 tgh malam.

Ahad, September 26, 2010

Rimas


Semuanya kering dalam gersang waktu
Menanti adalah derita kecil yang tak pernah sembuh
Terbiar dalam padang resah yang luas
Tandus dibakar nyala bosan yang panas.

Betapa detik terlalu berjurang antaranya
Tidak tersambung oleh titian nyaman
Yang ada hanya angan-angan kaku
Menusuk sanubari dalam suara yang bisu.

Sapaan bukan lagi kerdip bintang malam
Kiranya sinis suara yang memugar daerah rasa
Gegar sukma lara bagai hilang doa syurga
Tabah jatuh di lantai durja semua anggota.

Begitulah jika tiada rela menongkat tindak
Pasti terbeban semua celaka menekan pundak
Kembalilah kepada ritma diri
Yang selama ini terbangun teguh di pusar mimpi.

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,
Kota Bharu,
26/9/2010 6.49 ptg

Khamis, September 23, 2010

Gema


Sudah bergema genta gelora
menghambur semua nista di pundak bangsa
masih bertahan kiranya kita
membiarkan amarah menyala
dan padam sendirinya.

Bara-bara yang tinggal
menjadi hitam semua jejak sejarah
tertulis sudah catatan hina
tidak hilang direnggut pawana
tetap ada tiada sirna.

Sampai bila kiranya gema itu bergegar
jika jiwa semuanya sudah hambar
pohon-pohon tidak lagi rimbun
memayungi kesetiaan yang luntur
muncus tamadun adunan leluhur.

Bangunlah
mumpung masih ada kesempatan
di celah-celah alpanya sandiwara
kerana tiada gunanya air mata
jika gema terkesima
hilang dan fana.

Gema bangsa
bukan lagi seruan mega
menggerakkan nurani warga
berkorban segala
kecewa!

Dangau Marhaen,
23/9/2010

Selasa, September 21, 2010

Retrospeksi


Ke manakah hilangnya perasaan
yang telah mekar berbunga
sejak rindu kembali bertamu
di muka pintu.

Kiranya sirna segala puja
dalam sedar kita mengolah rencana
bahawa masa lalu hanyalah aroma
dibawa pawana ke juzuk sukma
ada, tapi usang warnanya.

Ketika ini semuanya tertulis
bahawa perjalanan adalah lumrah
kerikil dan aspal laluan hidup
sering tersekat liku-liku
dan bebatu keliru.

Kembalilah
mentafsirkan kebesaran-Nya
kerana kita hanya sekelumit tinta
mencatatkan harga cerita
dan makna derita
dalam peta nestapa.

Bungkamlah
untuk merenung nilai diri
sebelum bangun berlari
menggapai kasturi
wangian lestari

Dangau Marhaen, Banting
21/9/2010

Ahad, September 12, 2010

PERKASA mesti didaftarkan sebagai parti politik

Melihat perkembangan politik terkini, pada pandangan saya PERKASA wajar bertindak untuk mendaftar sebagai parti politik. Tidak banyak yang saya boleh komen, akan tetapi sekurang-kurangnya saya berasa senang apabila ada orang MELAYU yang kembali berani menghunuskan keris dan tidak berasa terlalu bersalah seperti orang-orang Melayu tertentu.

Sabtu, September 11, 2010

Album Lebaran 2010

Bergambar bersama-sama anak-anak
Bersama-sama isteri
Sempena hari raya ini, saya ingin memohon kemaafan kepada sesiapa sahaja yang mengenali kami sekeluarga. Sesiapa yang tahu pondok kami di Banting, jemputlah datang jika ada kelapangan.

Khamis, September 02, 2010

Jangan Berharap

Jangan terlalu berharap
bimbang kecewa menabiri langkah
andai hasrat pecah di kolong cita
sirna tanpa nyata
di depan mata.

Dahan tempat bergantung
kini bukan lagi menjanjikan impian
kerana pelangi tidak pernah turun
mewarnai kegelapan
walaupun indah di pandangan
tetapi tidak sampai ke halaman.

Wira yang kita harapkan
kini lebih banyak menyakitkan
kerana mereka tidak lagi mahu menjadi pejuang
dan kuasa telah menusuk ke tulang temulang
semua janji kini hilang.

Janganlah terlalu berharap
pembelaan bukan lagi ada di tengah arena
dan kita akan tewas bila-bila
lantaran yang kita puja
akan bertukar menjadi durjana
tidak lagi membawa makna.

Pilihlah sendiri
jalan yang semakin berduri
dan jangan berharap lagi
akan indah mimpi
di bumi sendiri.

Dangau Marhaen, Banting.
2/9/2010

RAYA 2026