Aduh, buat pertama kali aku bersolat Jumaat di Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Dari Hotel Legend, menaiki LRT bersama-sama Shamsudin Othman, Lutfi, dan Amin dan turun agak tepat pada waktunya. Jemaah belum begitu ramai, tetapi di dalam dewan solat sudah tidak ada ruang. Aku terpaksa duduk di atas tikar di bawah khemah. Sudin dan Lutfi sudah hilang dalam jemaah. Amin di sebelah kiri dan belakang.
Pelbagai gelagat jemaah dapat kulihat. Yang menarik perhatianku, seorang remaja berbadan gempal, memakai t-shirt, berseluar denim paras lutut. Di bawah bibirnya berteritip bebola besi ditindik ke kulit. Aku tertanya-tanya adakah dia akan bersembahyang Jumaat. Tiba-tiba dia mengeluarkan sehelai kain pelikat lalu memakainya. Dia berdiri dalam saf seperti tidak ada apa-apa yang ganjil tentang dirinya.
Aku juga tertarik dengan juru gambar bangsa asing yang sibuk merakamkan gambar orang yang sedang beriktikaf dan bersolat. Apakah tujuannya, mungkin ada sesuatu yang unik melihat umat Islam bersusun-susun di atas aspal jalan menyembat Tuhan yang maha esa.
Sekembalinya aku memanjat tangga stesen LRT, aku mula mencanai minda melakarkan sebuah puisi yang berjudul Perhimpunan,
Di bawah terik mantarimu,
Aku menelusuri lorong dan mencari tapak
Melabuhkan pasrah
Bersama rukuk dan sujud
Yang kudus.
Langkah-langkah tertambat
Pada saf yang celaru
Untuk menghimpunkan iman
Yang kukutip dari aspal kota.
Perhimpunan ini
adalah lambang penyatuan
lambang kepasrahan
dan aku mengerti
bahawa kita rupa-rupanya
ummah yang kuat
dan mampu menggugat.
Masjid Jamek,
6/4/07 Jumaat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Travelog Maldives Jun 2024
Travelog Maldives Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong. Kali ini saya ke Maldives. Perancanganny...
-
Tiba jua di persimpangan ini, Barulah kita tahu besarnya erti budi, Makna jalinan kasih yang abadi, Semarak mesra yang mercup dalam manis bi...
-
Inilah kisah kerjaya mulia, Mendidik mengajar selagi terdaya, Ibarat lilin memberi cahaya, Bukan balasan harta pintanya. Guru itu sanggup be...
-
Bak Air Yang Mengalir Bak air yang mengalir. Tiba jua kiranya di muara waktu, Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu, Pada jejak...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan