Jumaat, April 20, 2007

Perjalanan Dari Lembah Ke Puncak


Judul di atas ialah judul novel remaja yang pernah kutulis dan terbit pada 2006. Tapi judul itu aku kaitkan dengan perjalanan hidupku. Meniti denai-denai kehidupan ini umpama mendaki sebuah gunung kehidupan.


Apa tidaknya, aku mula melangkah sebagai anak kampung yang terlalu sukar untuk digambarkan. Meniti tapak demi tapak. Dan akhirnya aku berhasil menggapai apa yang sepatutnya hanya digapai oleh lain dan bukan aku.


Siang tadi aku menempah pintu yang nilainya hampir sebulan gajiku. Aku jadi terkenang ketika kecil rumahku berpintukan papan sayung. Selaknya hanya bernama selak tetapi kekuatannya tidak ada. Malah rumahku di kampung tidak bertingkap sempurna. Setiap kali hujan kami adik beradik berlindung dari tempias dan bocor atap rumbia yang daif.


Kini aku menempah sepasang pintu yang cantik, kayu nyatuh, dengan set kunci yang kukuh, berhias cermin berukir berwarna biru. Aku membelinya kerana aku ingin merasai berada di sebalik pintu yang hebat.


Perjalanan ke puncak lebih bermakna kerana dua hari yang lepas aku dihubungi oleh universiti, memberikan pengesahan bahawa aku sudah bergelar Doktor Falsafah, satu gelaran yang tidak pernah hadir dalam mimpi. Sesekali aku berasa rimas juga apabila dipanggil Dr. Ghazali. Akukah itu? Setahu aku tahap itu tidak pernah tercatat dalam graf kehidupan. Aku jadi teringat sejarah, akulah orang yang membawa kail ke baruh ketika orang lain merayakan hari raya. Apakah tafsirannya itu?


Aku ingin turunkan sajak dedikasi yang kucatatkan dalam tesis kedoktoranku.


DEDIKASI

Untuk almarhum bapa
seharusnya kau ada
untuk melihat perjalanan
menongkah kelaziman
dan memberikan piala
di hujung penantian.

Untuk ibunda
selayaknya kau mengerti
bahawa didikan yang kau beri
mengajar aku untuk terus mencari
makna harga diri.

Untuk isteri
semestinya kau teruja
lantaran kasih dan pengorbanan
semangat dan perasaan
bercantum menjadi haruman
setanggi pencarian.

Untuk anak-anak
seeloknya kau tahu
dalam menuju wawasan
kita perlu selangkah di hadapan
menguak dugaan
ke mercu kejayaan.


2 ulasan:

DIBA'S MEMORIES berkata...

saya baru saja tamat membaca buku Perjalanan Dari Lembah Ke Puncak". Amat terkesan pada jiwa saya.. teringat Datuk Lat..The Kampung Boy yang pernah mengadu kampungnya kini semakin sunyi dalam Majalah 3. Alangkah baiknya jika Datuk Lat dapat membuat taman tema kartunnya di situ...bahiyah3471@yahoo

Tanpa Nama berkata...

Salam..Dr. Xda sediakan sinopsis nyer ni bab per bab ker??Please

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...