Tahun ini aku dapat merasai kembali kehangatan sambutan Hari Guru di sekolah. Sejak beberapa tahun yang lalu aku tidak berkesempatan untuk menyambutnya. Ketika aku melanjutkan pelajaran sejak 2003, aku sudah tersisih daripada sambutan hari guru di sekolah. Tahun lepas aku menyambutnya di JB. Namun tahun ini aku menyambutnya di sekolah. Meriah!
Banyak juga hadiah yang diberikan oleh anak-anak muridku. Pelajar Tingkatan 6A4 menghadiahkan sebuah hadiah yang kreatif, gubahan sayur-sayuran yang cantik. Terima kasih untuk mereka. Begitu juga Sheila dan Fatihah yang menghadiahkan mug. Hidayah dan Izati dari 5B menyampaikan kad ucapan yang kreatif. Dan ketika aku bersedia untuk pulang, aku didatangi Hadi. Secara bersembunyi di tepi dewan sekolah dia mendatangi aku. Dia memberikan hadiah sebuah mug. Katanya "Maaf saya Cikgu, saya tak sempat nak balut hadiah ni." Hati aku tersentuh kerana jarang ada pelajar lelaki yang mahu memberikan hadiah kepada guru. Aku berkata kepadanya bahawa aku sangat-sangat menghargai pemberian itu walaupun sebuah mug yang tidak berbalut. Barangkali Hadi sengaja memberikan aku hadiah secara diam-diam kerana malu dengan kawan-kawannya, atau kerana hadiahnya togel tidak berbalut. Aku memang menghargai pemberian itu dan aku mendoakan anak-anak didikku, terutamanya Hadi akan lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini.
Pada hari Rabu 21 Mei aku akan menghadiri perayaan Hari Guru peringkat negeri Selangor di stadium tertutup Kuala Selangor. Dalam majlis itu nanti akan menerima dua anugerah iaitu Hadiah Penulisan Kreatif dan Anugerah Guru Inovatif.
2 ulasan:
saya terbaca blog cikgu semasa sedang mencari bahan untuk kursus ptk dg44 pada jun ini. tahniah kerana cikgu telah lulus dengan cemerlang. jika cikgu tidak keberatan, boleh tak cikgu berikan saya sedikit tip di dalam membuat tugasan yang diberikan serta semasa menjalani kursus tersebut kelak. terima kasih.
Terima kasih Cikgu Balqis. Kalau sekadar tips tu insyaAllah. Hubungilah saya melalui emel glateh@hotmail.com. Semoga cikgu berjaya juga dengan cemerlang.
Catat Ulasan