Selasa, Mac 31, 2009

Tersesat Di Rimba Perasaan






Walau berkali-kali diingatkan, adakalanya aku tersesat juga di rimba perasaan. Dengan hati gundah, kuredahkan juga rimbunan durja yang melendut dari dahan-dahan kasmaran yang semakin renta dimamah sengsara, mencari manik-manik peristiwa yang terurai dan hilang di tanah tandus dilitupi dedaunan kenangan yang gugur. Aku tega tersandung banir-banir harapan yang menjangkar, rebah dan menangisi kengiluan luka, tanpa darah merah membasahi ruang mimpi. Dan rimba perasaan ini adakalanya terlalu mengerikan, apatah lagi ketika kusedari bahawa hidup ini tidak seindah pelangi dan keluk diri semakin merunduk, menanti detik untuk menyerahkan piala yanng kumenangi dengan anugerah-Nya. Ketika terbangun dari kesima mimpi, kusedari bahawa aku harus bersyukur dan semua yang kumiliki.



Berbekalkan peta usia yang semakin kusam, kujejaki denai waktu yang kabur. Untuk kembali ke pangkal diri, menginsafi segala yang misteri dan hakiki.

Teratakku, menjadi lambang perjuangan yang tidak pernah mengerti erti putus asa

Isnin, Mac 30, 2009

Ngajat

Pulangkah wiraku dari medan juang,
Dengan pedang semangat dan perisai keberanian,
Membawa khabar tentang kemenangan,
Yang kita warisi daulat keturunan,
Zaman berzaman.

Dalam busana satria kita megah melangkah,
Tenunan halus serikandi berjiwa gagah,
Pabila rancak suara gendang bertingkah,
Dentingan gong mula gegak memecah,
Roh perjuangan mengalir dalam darah.

Tanjak tinggi bulu kenyalang,
Lambang terpuji mutu gemilang,
Rentak berpada gerak waspada,
Renung menikam gertak mengancam,
Tubuh sasa langkah perkasa,
Iri petualang pasti kecundang.

Ngajat tarian hulubalang yang pulang,
Menghalau seteru tanpa diundang,
Elok berseni pusaka terbilang,
Khazanah berharga generasi mendatang.

Ajarlah anak-anak kita,
Memalu genderang perjuangan,
Melangkah gerak pencak kelangsungan,
Hayat ngajat biar berpanjangan.

5/2/04

Jumaat, Mac 27, 2009

Ceramah tentang proses kreatif

Pada 31 Mac sampai 3 April, saya telah dijemput untuk menyampaikan cermah tentang proses penulisan cerpen kepada pensyarah-pensyarah maktab perguruan bertempat di Hotel Empress, Salak Tinggi. Saya sebenarnya bukanlah penulis besar, jadi saya hanya ingin berkongsi pengalaman selama saya terlibat secara langsung dalam penulisan. Sejak 1993 saya baru menghasilkan 115 cerpen yang tersiar, jadi pengalaman saya masih kurang. Namun untuk tujuan perkongsian pengalaman saya gagahi juga untuk menyediakan bahan-bahan ceramah dan bengkei itu nanti. Mudah-mudahan akan ada manfaat daripada sesi itu nanti.

Niah

Di dasar guamu, Niah!
Berlari deras sungai syahdu,
Membawa arus kesegaran alam,
Ke laman suburhijau kami,
Memercup tunas kemewahan,
Di rimbaraya peradaban warisan,
Sekalian insan.

Di ruai guamu, Niah!
Terbentang halaman semula jadi,
Tempat menafsir keajaiban hakiki,
Dalam luasruang suajana memandang,
Tanda agungnya ciptaan,
Kudrat Tuhan.

Di dinding guamu, Niah!
Terpapar grafiti sejarah,
Menjadi artifak susurgalur,
Memudiki alir lembut ketamadunan,
Dalam mengadun harmoni jati diri,
Warga peribumi.

Di bumbung guamu, Niah!
Bergayut mulus suci kurniaan satwa,
Menggamit kesungguhan dan kemahuan,
Yang tertuang dalam duri cabaran,
Hasil jerihpayah pencarian,
Rezeki lumayan.

Di pintu guamu, Niah!
Kau sambut kehadiran,
Insan kerdil semua lapisan,
Menyaksikan bukti kebesaran,
Mampu menjana kesedaran,
Dalam wacana pemikiran.

Niah!
Kau sebuah peti khazanah,
Yang sangat peramah,
Menyimpan seribu hikmah,
Sebuah wilayah rahmat bertuah.

20/1/2004

Khamis, Mac 26, 2009

Pasar Tamu

Melangkahkan kaki ke sini,
Umpama menjelajah seluruh bumimu,
Melihat kepelbagaian dari semua serba,
Berhimpun menjadi satu entiti,
Harmoni.

Semua yang terdagang,
Adalah dari keringat dan keaslian,
Dari budaya, amalan, dan kehidupan,
Semua etnik mempamerkan citra sendiri,
Harmoni.

Hasil bumi memangkin rezeki,
Herba ubatan adunan pakar tempatan,
Makanan tradisi selera pelbagai resepi,
Busana aneka, lambang hidup ceria,
Semuanya ada, semua bangsa bercanda,
Harmoni.

Pasar Tamu,
Menjual keramahan seluruh warga,
Membeli kemesraan tanpa curiga,
Berdagang kesepaduan tinggi nilainya,
Jangan tergadai yang indah segalanya,
Harmoni.

Pasar Tamu,
Satu rasa, satu wibawa,
Harmoni.

Rabu, Mac 25, 2009

Pua Kumbu

Pucuk rebung urat daun selirat akar
silang pelepah kulit jagung
bunga betik sulur keladi
kelarai buluh jalin nyiru
anyam terendak tudung saji.

Lawi sabung ekor merak
balung serama jejak ketam
denai siput lorong semut
belang landak paruh kenyalang
sisik senangin cengkerang tenggiling.

Bunga lawang biji jintan
pucuk kantan mata petai
bucu kesum tirus serai
daun cekur kulit peria
empulur nangka mata nanas
kembang kipas tebu bertunas.

Riak laut awan terpuput
buih sejemput layar terkembang
susur gelombang ekor udang
tombak seludang tanduk seladang.

Manik berangkai mayang mengurai
tampuk kelapa sirih berdupa
salak matang bunga kembang
kulit tuntung kelopak jantung
sumpit tergantung tulang perabung.

Halus seni indah berseri nilai tersendiri
tinggi budaya ampuh upaya sokong berdaya
nilai bermutu alam berpadu warisan bersatu
nama di mercu mantap jitu pua kumbu.

Ahad, Mac 22, 2009

Cuti Sekolah Dah Habis


Tanpa disedari, cuti sekolah sudah berakhir dan besok bermulalah rutin guru seperti biasa. Semasa cuti yang lalu saya tidak bercuti kerana terpaksa ke UPM untuk beberapa urusan. Satu urusan yang agak penting ialah sokongan pihak universiti itu untuk saya buat rayuan pelepasan dari KPM. Mudah-mudahan hasilnya positif.


Sepanjang cuti juga saya di rumah kerana urusan renovasi yang belum selesai. Ada juga beberapa projek yang datang mendadak dan perlu saya tekuni sepenuh perhatian. Selain itu masa cuti ini saya penuhi dengan menyediakan slaid kuliah, slaid ceramah yang akan saya sampaikan pada penghujung Mac dan awal April nanti.


Dalam masa cuti ini juga saya dikunjung oleh bekas-bekas murid yang berjaya dalam kerjaya masing-masing. Saya bangga dengan mereka dan mereka tidak melupakan jasa guru mereka.

Rabu, Mac 18, 2009

Beberapa Buah Buku


Dua hari lepas selepas menyampaikan kuliah saya bertemu dengan Amin. Tujuannya, dia mahu menemani saya dalam sesi temuramah dengan pelajar Master Sastera tentang kepenyairan saya (yang tidak sepertinya). Amin memberikan dua buah buku kepada saya, sebuah novel beliau yang berjudul Menerjang Ranjau dan Antologi Puisi Gaza terbitan PENA. Saya kagum dengan Aminhad yang masih sempat menggarap karya walaupun sibuk. Saya hanya berhasrat untuk menulis novel tetapi hingga kini sudah tiga tahun saya ketandusan idea untuk menggarap novel.
Dalam antologi puisi Gaza, puisi saya bertajuk Tangisan Palestin turut dimuat. Terima kepada Hj Shamsudin dan S.M Zakir yang sudi mengajak saya bersama-sama menyumbangkan puisi dalam antologi tersebut.
Semalam semasa berkunjung ke bilik Haji Shamsudin, saya diberikan empat buah antologi cerpen yang berjudul Merisa, Misi Agung, Syumul Sakinah, dan Meniti Kepastian. Saya akan membacanya secara berdikit-dikit kerana sibuk. Dalam setiap antologi tersebut terdapat sebuah cerpen saya.

Ikatan

Gambar saya semasa majlis penganugerahan biasiswa PhD pada tahun 2003 yang tersiar dalam sebuah akhbar tempatan. Lihatlah betapa gembiranya penerima-penerima biasiswa tersebut.
Kadang-kadang sesuatu yang menyeronokkan berakhir dengan sesuatu yang sebaliknya. Hal inilah yang saya alami kini. Saya sangat gembira mendapat pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah pada tahun 2003. Namun kini saya berada dalam ikatan yang menghalang saya bergerak. Akan tetapi inilah lumrah, kita tidak selalunya bebas membuat keputusan. Saya terima seadanya, kerana rezeki dan kehidupan ini ialah anugerah Allah jua.

Ahad, Mac 15, 2009

Pada Hari Lahir


Gambar pada 15 Mac, ulang tahun kelahiran. Gambar ini diambil bukan bersempena hari jadi tetapi kerana hendak menghadiri majlis perkahwinan.
Hari ini hari ulang tahun kelahiranku. Usia semakin tua, dan bekalan diri masih jauh dari cukup. Namun aku tetap bersyukur dengan anugerah-Nya terhadap diri ini. Limpah kurnia dan hidayah-Nya menjadikan hidupku dalam keadaan yang tenang.

Terima Kasih Cikgu Zakri

Saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Zakri dari SMK Kompleks Mengabang Telipot, KT kerana bersusah payah menghantar saya ke perhentian teksi Kuala Besut pada hari Jumaat 13 Mac yang lalu. Walaupun Cikgu Zakri tidak begitu mahir dengan pekan Besut beliau tetap bermurah hati dan bersusah payah untuk berbuat sedemikian. Beliau juga sanggup menumpangkan rakan-rakan saya sdr Azmi Misron dan Ghalib ke Kuala Terengganu.

Saya berdoa agar Cikgu Zakri sekeluarga sentiasa berada alam perlindungan Allah. Budi baik tuan akan saya kenang sampai bila-bila. Jika tidak disebabkan budi baik Cikgu Zakri pasti saya berhadapan dengan banyak masalah untuk ke Kota Bharu pada hari berkenaan.

Jumaat, Mac 13, 2009

Di Pojok Kota Bharu

Keletihan dan tersandar di tiang pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Nasi Kari Chicken Chop, kombinasi dua budaya, tetapi tetap berbahaya kerana kandungan kolestrol yang tinggi

Kota Bharu suatu petang
di pojok gerai Hayaki Chicken Chop
menikmati teh tarik berbaur milo
berseorangan
kepenatan tidak pernah cemburu
untuk menjana langkah lemah
di kota kelembutan ini
biarpun jasadnya sedikit rancu dan cemar
selera terasa ingin menikmati
nasi kari chicken chop
unik
kerana sudah berhari sudah
tidak menikmati ruji
bernama nasi yang sempurna.

Gerai Hayaki, KB
13/3/09 5.20 ptg

Mendapat mesej dari Aminhad dan seorang lagi rakan (dirahsiakan) bahawa cerpenku Sejingga Musim Luruh mendapat tempat kedua dalam pertandingan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru 2009. Alhamdulillah...

Bukan Melarikan Diri

Oleh sebab suasana tempat seminar dan pengisian yang longgar tidak fokus, saya dan beberapa orang kawan melarikan diri. 2.30 saya sudah sampai di KB. Baju saya basah kerana peluh, akibat menaiki teksi Pak Bahrim dari Kuala Besut yang tidak ada pendingin hawa. Terus menginap di Hotel Suria (cadangan Pak Bahrim) lalu mengemas kini blog. Mahu berehat sebab malam tadi semalaman tidak dapat melelapkan mata kerana bilik terlalu panas. Tidak ada bilik air, dan air cond. Kesian kekawan yang mandi bertualakan baju sendiri. Teruknya seminar kali ini... Hingga tercetus ilham untuk menulis sesuatu...

Tidak betah aku bertahan
dalam penyesalan yang sempuna
kejengkelan meruap dari setiap liang roma
panas dan pijar
tiap detik ialah jarum yang berputar dan mencucuk
- ngilu
- nyeri
semuanya tampak janggal
dan tertanggal
semua tampakm hodoh
dan bodoh

Sukarnya, apabila penyesalan
melebari ruang hati.

Kompleks Rakan Muda,
Kg Raja, Besut. Trengganu.
13/3/09

Sekeping Karipap dan secawan teh

Akibat penerbangan ke KB delay, saya ke restoren. Saya memesan sekeping karipap ayam dan secawan teh 'O'. Harganya... RM13.80.

Jumaat, Mac 06, 2009

Khabarnya


Baru-baru ini saya ada menyebut saya pernah menulis cerpen yang bertajuk "Kasut Kelopak Jantung". Cerpen ini termuat dalam antologi Di Kaki Mimbar. Khabarnya cerpen ini akan menjadi tajuk sebuah antologi lain. Mungkin hal ini merupakan rezeki yang tidak dijangkakan. Sebagai seorang yang meminati bidang penulisan, saya tidak pernah memikirkan ganjaran, tetapi jika diberikan pengiktirafan, hal ini merupakan bonus bagi penulis kecil seperti saya.

Selasa, Mac 03, 2009

Kes Buli Lagi

Kes beli seperti tidak ada penghujungnya. Malahan, isu ini seperti isu yang bermusim, apabila ada kes buli di sesebuah sekolah, maka akan diikuti pula oleh kejadian seumpamanya di tempat lain. Kes seperti ini akan terus berleluasa kerana tidak ada tindakan yang konkrit dan tegas untuk menanganinya. Guru-guru pula tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkembangan masyarakat sekarang menyekat guru daripada bertindak lebih awal untuk menyelesaikan masalah ini. Silap-silap guru akan didakwa di mahkamah walaupun pihak atasan menyarankan agar guru bertindak mengawal disiplin. Akan tetapi jika guru terlibat dengan dakwaan-dakwaan masyarakat, NGO, dan sebagainya, nasib mereka tidak akan dibela dengan sewajarnya. Natijahnya, kebanyakan guru sekarang tidak berani untuk bertindak, bahkan ada yang ambil jalan selamat untuk 'ignore' apa-apa gejala yang mungkin berlaku di sekolah. Guru kini tidak ada kuasa yang mutlak untuk mengawal disiplin. Kepentingan pihak-pihak tertentu termasuk ibu bapa, masyarakat, NGO, dan survival politik pemimpin telah menyebabkan isu-isu yang melibatkan murid sekolah tidak dapat diatasi secara tuntas.
Apakah pandangan anda?

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...