Sabtu, Ogos 06, 2011

Sebuah Teksi dan Hujan

Tahun 1984. Saya memulakan tugas sebagai guru lepasan maktab perguruan di sebuah sekolah menengah di Sik, Kedah. Di Kedah hari Ahad ialah hari persekolahan. Jadi, petang Sabtu saya perlu balik ke rumah sewaan.

Saya menunggu teksi di pekan Gurun untuk ke Sik. Waktu itu perkhidmatan bas tidak ada yang sampai ke Sik. Kebetulan pula waktu itu bulan puasa. Saya perlu cepat kerana jarak antara Gurun dengan Sik melebihi 30 km. Akhirnya, saya menaiki sebuah teksi yang uzur, dan dipandu oleh seorang pemandu yang agak lanjut usianya. Saya duduk di tempat duduk depan di sebelah pemandu itu. Saya harap dapat berbual-bual untuk mengisi masa di sepanjang perjalanan melalui kawasan hutan, kebun getah, dan ladang kelapa sawit.

Dalam perjalanan, tiba-tiba cuaca berubah. Langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Jangkaan saya betul. Hujan lebat telah turun dan mengaburi cermin depan teksi yang saya tumpang.

“Pakcik, pasang wiper!” kata saya setelah melihat pemandu itu tidak menghidupkan pengilap cermin hadapan teksinya. Namun kata-kata saya seolah-olah tidak didengari. Pemandu itu hanya mengambil sehelai kain buruk dan mengilap bahagian dalam cerminnya. Saya hanya menantikan dia menghidupkan pengilap cerminnya.

Setelah beberapa ketika berlalu hujan semakin lebat. Jarak pandangan semakin terhad. Namun tidak ada tanda-tanda pemandu itu akan menghidupkan pengilap cerminnya. Saya menjeling ke arah pemandu itu. Dia hanya berwajah selamba dan memandu seperti biasa dengan kelajuan yang rendah. Saya mula berasa bimbang apabila teksi tersebut beberapa kali tersasar dan jatuh di kaki lima jalan. Oleh sebab jalan yang agak berliku-liku, saya mula takut sesuatu yang buruk akan berlaku. Penumpang di belakang pula seorang wanita separuh umur. Dia hanya berdiam diri tanpa berkata apa-apa. Dia hanya memanjangkan lehernya untuk melihat sama ada tempat yang dituju sudah sampai.

“Berhenti!” tiba-tiba wanita itu bersuara. Pemandu teksi tersebut membelok ke kiri jalan. Di luar hujan masih menggila. Cermin hadapan seperti kepingan logam yang legap. Hanya titisan-titisan hujan kelihatan menutupi setiap ruang pandangan mata.

“Bukan! Belum sampai lagi...!” tiba-tiba wanita itu berkata. Tanpa berkata apa-apa pemandu teksi itu meneruskan perjalanan. Saya mula berasa gelisah. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.30 lebih. Kalau terlambat, saya tidak dapat membeli makanan untuk berbuka puasa sesampainya saya di Sik nanti. Kalau begitu keadaannya, memang kerisauan saya bersebab. Perjalanan kami memang sangat lembab petang itu.

“Berhenti!” sekali lagi wanita itu bersuara dengan tiba-tiba. Sekali lagi pemandu teksi itu membelok ke kiri. Wanita itu pun bertanya akan bayaran tambang. Ketika itulah saya ternampak ‘switch’ pengilap cermin di sebelah stering teksi uzur tersebut. Ketika pemandu teksi itu sibuk mengembalikan wang baki kepada penumpang tersebut, saya menekan ‘switch’ pengilap cermin berkenaan, dengan harapan cermin depan itu bersih dan pandangan lebih jelas. Sejak tadi saya mula berasa hairan pemandu teksi itu tidak menekan ‘switch’ yang dimaksudkan.

Tidak semena-mena kedua-dua pengilap cermin membidas dan tercampak ke atas jalan. Saya terkejut melihat hanya dua batang besi kontot terbias-bias di atas cermin depan. Bahagian pengelap yang diperbuat daripada getah sudah hilang entah ke mana. Serentak dengan itu pemandu berkenaan memandang saya dengan wajah kosong.

Pemandu itu mematikan ‘switch’ pengilapnya. Kemudian dia membuka pintu teksinya. Saya melihat dia mencari-cari bahagian yang tercampak tadi di atas jalan. Kemudian dia masuk semula ke dalam teksi sambil membawa pengilap getah dan dicampakkan ke bawah. Seluruh tubuhnya basah kuyup. Selepas mengelap mukanya, dia meneruskan perjalanan tanpa berkata apa-apa.

Saya berasa sangat bersalah dan meminta maaf beberapa kali. Baru saya sedar sebab dia tidak menghidupkan pengilap cermin depan teksi uzur itu. Rupa-rupanya pengilap cermin itu hanya diletakkan sebagai hiasan sahaja. Selepas itu saya tidak berbual dengannya lagi. Hanya deru suara hujan kedengaran. Di dalam minda saya, pelbagai perasaan bergentayangan. Ada lucu, ada sedih, ada cemas. Akan tetapi pemandu teksi itu hanya menjalankan tugasnya tanpa sebarang keluhan.

Pukul tujuh lebih, kami baru sampai ke pekan Sik. Hujan mula reda. Namun, sebagai sebuah pekan di pedalaman negeri Kedah, suasananya sudah sunyi. Tidak ada restoren yang beroperasi kecuali restoren milik peniaga Cina.

“Pakcik, kita berhenti minum dulu. Dah nak buka puasa ni!” aku memberanikan diri untuk bersuara setelah lama kami mendiamkan diri.

Petang itu saya berbuka puasa dengan secawan teh di sebuah restoren Cina bersama-sama pemandu teksi yang basah kuyup. Setiap kali tibanya Ramadan, kenangan ini kembali segar dalam jiwa saya walaupun sudah hampir 30 tahun peristiwa itu berlaku.



Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...