Beribu tahun sudah sungai korban itu,
mengalir ke lembah takwa,
membiak mercup bebunga,
kembang dan ranum,
di tangan ummah milik warisan,
harus kautegakkan serumpun iman,
benih pesaka anbia,
biarpun berat pemberian,
justeru korban tamsil ibaratnya,
memutuskan tangkai hati,
cagarnya mati.
Pun tuntas pertanyaan,
mencanai wajar kewajipan,
harus kita ukir tugu keikhlasan,
seteguh iman Ibrahim,
seputih takwa Ismail,
merenjis ambar pegangan,
dalam jernih sungai korban,
yang mengalir di halaman.
Cuma akhir-akhir ini,
alir sungai warisan itu,
dalam arus yang celaru,
kerana sudah ada yang tega,
melafazkan tanya,
"Sanggupkah kita merenanginya?"
Ghazali Lateh
Banting,
16/1/2000
Tiada ulasan:
Catat Ulasan