Khamis, Disember 15, 2016

Travelog Lombok 2016

Travelog Lombok 2016

Kami mendarat di Lombok pada 11.15 pagi, 9 Disember 2016.  Kenalan FB saya, Pak Heri menunggu di luar bangunan lapangan terbang. Beliau membawa kami ke kota Mataram.  Perancangan awal untuk lawatan terpaksa ditukar kerana hujan lebat. Kami ke pusat perusahaan tenunan.  Kain tenunan orang Lombok ada ciri-ciri kraftangan Sarawak. Kemudian kami ke pasar seni yang tidak ada pengunjung lain selain kami bertiga beranak.

Tengah hari itu kami makan di gerai Ayam Taliwang.  Ayam taliwang ialah ayam muda yang masih kecil. Makanan orang Lombok agak pedas. Kemudian kami di bawa ke beberapa kedai cenderamata.  Selepas itu kami di bawa ke Villa Hantu iaitu sebuah bangunan tinggal di tepi cerun bukit.  Pemandangannya sangat indah apabila matahari terbenam, sayangnya petang itu cuaca agak mendung.

Kami dihantar ke hotel penginapan selepas itu. Pada malamnya, kami dibawa oleh Pak Heri ke kampungnya.  Ketika itu orang kampong mengadakan majlis kenduri.  Kami pun dijemput untuk makan kenduri. Hidangannya lauk daging, masakan umbut pisang, sup daging (bebalung) dan keropok kulit lembu.  Saya makan masakan umbut pisang sahaja.  Selepas itu kami dibawa menonton keramaian di kampong sempena maulidur rasul.  Sebelum pulang ke hotel, kami dibawa ke kota Mataram untuk melihat suasana waktu malam. 

Hari kedua kami dibawa ke Gili Terawangan, Gili Meno, dan Gili Air.  Perjalanan dengan perahu sangat mencabar kerana laut berombak besar.  Isteri dan anak saya muntah beberapa kali. Sejam lebih barulah kami sampai ke Gili Terawangan. Pemandangan di pulau wisata itu sangat cantik kerana airnya sangat jernih.  Banyak pelancong kulit putih bersidai di pantai. Pulau ini terkenal dengan aktiviti snorkeling kerana banyak hidupan akuatik dan karang.  Kami menaiki kereta kuda untuk mengelilingi pulau.

Kemudian kami ke Gili Meno dan bersantai di tasik yang nyaman.  Tidak ada pengunjung lain di situ.  Selepas singgah di Gili Air, kami pun berlayar pulang.  Pelayaran pulang lebih mencabar kerana hujan lebat.  Kami semua basah lencun dibasahi hujan dan ombak.  Akhirnya kami sampai ke daratan dan terus balik ke hotel dalam kebasahan.

Hari ketiga kami berpindah ke hotel Lombok Raya di kota Mataram.  Kami melawat perkampungan tradisi orang Sasak.  Kami ke pantai Kuta Lombok dan Bukit Meresek.  Pemandangan di Bukit Meresek sangat indah kerana terletak di tepi lagun yang jernih.  Kami singgah juga di pantai Selong Belanak (kawasan sukan luncur)  untuk melihat matahari terbenam. 

Hari keempat kami hanya beli-belah di kota Mataram.  Kami terbang pulang pada pukul 8.00 malam setelah terlewat 45 minit.  Pulau Lombok memang sesuai untuk mereka yang suka akan aktiviti laut. Alam sekitarnya masih terpelihara.




Tiada ulasan:

Travelog Maldives Jun 2024

  Travelog Maldives   Seperti biasa saya kurang membuat perancangan apabila pergi melancong.    Kali ini saya ke Maldives.     Perancanganny...