Ahad, Februari 05, 2017

Seloka Kisah Grup Whatsapp

Grup whatsapp pelbagai guna
Menyatukan ahli di mana-mana
Tapi waspada kenalah cakna
Adakala mengganggu tidur yang lena.
Ucap selamat setiap masa
Setiap hari perkara biasa
Sehingga kawan rasa tak selesa
Nak balas ucapan macam terpaksa.
Berita sensasi tersebar cepat
Tak kira palsu ataupun tepat
Nak buktikan dia yang awal dapat
Yang percaya mula sesi mengumpat.
Ada berdakwah tak kira waktu
Menyebarkan syariat sudahlah tentu
Hantar peringatan malam jam satu
Kawan terbangun fikiran buntu.
Setiap minit menghantar gambar
Tak cukup sekadar berkongsi khabar
Sampai nak tidur dah tarik gebar
Cerita rahsia pun rasa nak sebar.
Ada ahli yang jual barang
Yang minta bantuan juga tak kurang
Ada tak mampu rezekinya kurang
Keluar seorang demi seorang.
Whatsapp ada telegram pun ada
Benda yang sama dihantar berganda
Gambar dah penuh memori tak ada
Buat tak tahu dikata mengada-ngada.
Mengumpul rakan memanglah kena
Grup whatsapp jadi wahana
Tetapi eloklah serba sederhana
Agar ukhuwah akrab terbina.
Ghazali Lateh
(c) Hak cipta terpelihara
5/2/2017

Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...