Khamis, Ogos 21, 2008

Nostalgia Regat Seri Cempaka, Ipoh



Di kawasan R&R Semanggol



Di Pantai Murni, Yan Kedah.




Di Regat Seri Cempaka, Taman Cempaka Ipoh.

Gambar-gambar di atas diambil ketika aku balik kampung menjenguk ibu. Kesibukan membuatkan aku hanya berada tiga hari di kampung. Dalam perjalanan balik kampung itu, aku sempat singgah di Taman Cempaka, Ipoh. Aku bergambar di Regat Seri Cempaka, iaitu tempat mula-mula aku menetap semasa menjadi pelatih MPKI pada tahun 1981. Banyak kenangan pahit dan manis di sini. Kini sudah hampir 27 tahun berlalu, kenangan itu masih indah dan segar dalam ingatan. Aku bermula sebagai guru lepasan maktab, hingga hari ini aku berkelulusan PhD. Siapa sangka ya?

Jumaat, Ogos 15, 2008

Sajakku


MEMBACA PUISI SUFI KETIKA HUJAN MALAM

Dia telah mencurahkan hujan dari langit-Nya
ketika puisi-puisi sufi Rabiatul Adawiyah
meresap ke dalam nadi imanku
merayap ke akar umbi azaliku.
Malam bungkam selepas hujan diam
ilham pun datang dari bait Sayyidina Ali alaihissalam
“seumurmu bukanlah insan
tanpa takwa dan agama”

Betapa secekal mana manusia kini
tiada setanding pasrah Al Hallaj dan Ibnu Arabi
maka makna hujan sudah lama tidak tertafsirkan
hikmah malampun tidak lagi terukirkan
kerana sungai nafsu telah melimpahi tebing
menghanyutkan sisa-sisa iman yang kering
di jiwa runcing.

Hujan-Nya berhenti menjelang dinihari
sukma terbelah antara hakiki dan kolong mimpi
sufiku kosong lagi ketika mengembang nafsu-nafsi
dibuai alpa ke ufuk pagi
bilakah kiranya hujan itu akan turun lagi
membawa kembali hamparan ambal ukhrawi
biar setitis tetap kuhargai cinta Ilahi tidak bertepi
warisan zuhud wali suci wahyu para nabi.

Membaca puisi sufi ketika melankolia hujan malam
mencetuskan roh perjuangan dengan minda tajam
menjunjung agama dengan semangat agam
terlalu lama teruja dengan langkah duniawi
membangunkan diri dari alunan mimpi hujan pagi
fajar pasti menjelang dengan mentari cemerlang
takwa kembali bertakhta di puncak gemilang
meletakkan martabat agama di mercu terbilang.

Sufi khayali adunan penuh janji
kifayah ibadah melakar strategi generasi madani
menyeru usrah melunak surah menguak sirah
membelat limpah dengan ampuh syariah.
Hujan malam telah berakhir
litar imanku kembali mengalir
janji syumulku tidak termungkir.

Isnin, Ogos 11, 2008

Berdirilah Bahasaku


Berdirilah Bahasaku

Kau pernah melonjak ke seluruh nusantara,
Menjulang piala lingua franca,
Wahana ukiran minda warga,
Wacana ketamadunan sebuah ujana wangsa.

Ketika angin meniupkan debu sirna,
Arus era menghakis darjat perlina,
Bunga-bungamu kian kehilangan warna,
Santun budimu kini terguris cakna.

Langkahmu digugat resah dan pasrah,
Menyongsong kesumat hasutan penjarah,
Bergerak payah berhenti kalah,
Wasiat warisan dirancu helah.

Berdirilah bahasaku, bahasa Melayu!
Berserilah pesakaku, bahasa Melayu,
Bersenilah puspaku, bahasa Melayu,
Bersemilah lokaku, bahasa Melayu.

Biar bertongkat dengan semambu hasrat,
Zatmu pasti meruap aroma martabat,
Selagi tubuh menampung kudrat dan hayat,
Jati bahasaku di mercu hebat ternobat.

Ghazali Lateh,
Banting, Selangor.

Selasa, Ogos 05, 2008

Perjalanan Hidup


Hidup ini sebuah perjalanan yang di hadapannya belum pasti arah dan persimpangan. Akan tetapi persimpangan dan liku-liku itu bukanlah ranjau yang tidak boleh ditelusuri. Walau apa-apa pun cabaran yang melanda, semua itu hanya rencah dan bumbu yang memaniskan, dan adakalanya memahitkan. Namun, biarpun pahit atau manis, haruskah kita berpatah balik dan memulakan satu perjalanan yang baharu? Tidak sekali-kali. Dan aku sedang menjangkakan liku-liku yang beronak di perjalanan hari muka, dan aku mula membayangkan seribu bumbu kehidupan yang menanti di sebalik persimpangan itu nanti.

Begitupun, aku tetap bersyukur kerana Dia tetap mengizinkan aku untuk meneruskan perjalanan...

Ahad, Ogos 03, 2008

Ulang Tahun Perkahwinan


Hari ini 3 Ogos, ialah haru ulang tahun perkahwinanku yang ke-23. Semalam semasa aku balik dari menyampaikan seminar di Perpustakaan Awam Selangor, di Shah Alam, sempat juga membeli sebentuk cincin untuk isteri. Cadangnya, untuk buat surprise, tapi ptg semalam, ketika hendak melawat rumah baharu kami, isteriku terjumpa bungkusan dalam kereta. Lalu dia bertanya, bungkusan apa tu? Aku diam. Dia memeriksanya. Maka terbongkarlah rahsia nak buat surprise tu. Bertukar jadi kelakar pulak. Anyway, surprise la juga.

Khamis, Julai 31, 2008

Gambar-gambar Ceramah






Gambar-gambar ini ialah gambarku ketika berceramah di Dewan PKPS, Shah Alam. Aku mahu berkongsi pengetahuan dengan anak-anak yang bakal menduduki SPM pada bulan November nanti. Harapanku, input yang kuberikan dapat membantu mereka nanti. InsyaAllah.

Pemergian Seorang Lagi Sasterawan Negara

Ketika bersiap-siap untuk melabuhkan tirai hari semalam, lebih kurang 12.40 tgh malam, aku menerima sms dari Tn Haji Shamsudin, memberitahu berita pemergian SN S Othman Kelantan. Pagi ini aku berhasrat untuk berziarah. Akan tetapi apabila sampai di sekolah, lain pula jadinya. Terkilan juga rasa hati kerana terpaksa membatalkan niat ke Bangi. Aku tidak mengenali arwah secara dekat, tetapi karya beliau banyak juga kutelaah semasa pengajian dulu. Pernah juga menghadiri seminar yang arwah menjadi pembentangnya.
Marilah kita berdoa agar roh arwah sentiasa berada dalam peliharaan Allah yang maha esa.

Sejak kebelakangan, rutinku amat padat. Ada saja ruang aku perlu melakukan banyak perkara, hambatan tugas dan urusan diri menyebabkan aku kadang-kadang tidak dapat memenuhi semmua keperluan. Rumahku dalam renovasi, urusan perjawatanku juga agak mendesak. Namun, aku tetap tersenyum, kerana limpah rahmat Allah sentiasa sampai. Alhamdulillah.

Rabu, Julai 30, 2008

Buku Terbaru



Tengah hari tadi aku menerima penghantaran kurier dari penerbit Cerdik. Buku tulisanku bersama-sama Cikgu Ghalib telahpun dicetak sebagai sample copy. Inilah hasil kerjaku pada peghujung tahun 2007, kini baru aku mendapat hasilnya. Alhamdulillah, buku ini akan dijadikan buku teks KBSM dan digunakan di beberapa buah negeri termasuk Perak, P. Pinang, Kelantan, Trengganu, dll. Kulitnya menarik dan persembahan dalamannya juga memuaskan hatiku, sebagai penulis.

Tentang Penulisan Kreatif

Bulan Julai merupakan bulan aku kembali menghasilkan karya kreatif walaupun tidak seaktif dulu. Cerpenku Kisah Gagak dan Merpati tersiar dalam Dewan Sastera, Julai dan cerpen Sondolman pula terbit dalam Berita Harian 19/7/08. Cerpen-cerpen tersebut kugarap secara spontan tanpa persediaan. Aku teringat ketika aku aktif menulis dahulu, aku sangat obses dengan ilmu bantu. Satu ketika aku pernah masuk ke kedai menjual arak di Langkawi untuk mencatat nama-nama minuman keras termasuk mencatatkan kandungannya. Hasilnya kumasukkan dalam cerpen Aku Mahu Hidup, yang tersiar dalam Dewan Sastera. Begitu juga aku pernah mengkaji spesies anjing kerana mahu menulis cerpen Anjing Menyalak Bukit. Akan tetapi cerpen tersebut kupendamkan kerana terlalu keras nadanya. Banyak lagi cerpen yang sarat dengan ilmu bantu, termasuk IT, Geografi, Sejarah, perubatan, dll.

Kesimpulannya, ilmu bantu banyak meningkatkan kualiti karya. Kepada penulis muda yang mahu menulis, jangan takut dan jangan segan untuk memasukkan ilmu bantu yang terkini. Dalam cerpen Semanis Kyuho aku memasukkan ilmu bantu tentang penanaman anggur di Malaysia.

Isnin, Julai 28, 2008

Tentang Perasaan

Perasaan datang berbaur-baur menerima sesuatu dalam kehidupan. Barangkali perkara ini lumrah. Akan tetapi aku menerima perkembangan dalam kehidupan dengan perasaan takut dan bimbang. Aku takut untuk berhadapan dengan situasi baharu. Takut tidak diterima, takut dengan pandangan orang. Walaupun begitu, aku bukanlah orang yang mudah mengalah dengan keadaan. Nah.. buktinya, sampai kini aku terus berfikiran positif, dan sentiasa memikirkan untuk meningkatkan kredibiliti. Semoga Allah terus mencucurkan rahmat-Nya. Aku tetap berjuang meneruskan kehidupan dan cita-cita!!

Aku memang penggemar utama Ebiet G Ade. Bahkan sejak 1982 aku sudah mula menggilai lagu-lagu beliau. Sehingga kini lagu-lagu Ebiet sangat puitis dan menyentuh perasaan. Sebagai tribut kepada beliau, aku masukkan klip-klip video nyanyian beliau untuk tatapan bersama. Dengarkan...

Rabu, Julai 23, 2008

Mengingati Arwah Dharmawijaya


Setelah membaca blog Shamsudin Othman tentang Seminar berkaitan Pak Dharmawijaya, aku jadi teringat akan kenangan bersama-sama tokoh berkenaan. Malangnya, aku tidak dapat ikut serta dalam seminar berkenaan walaupun hati terlalu ingin untuk menyertai. Ada komitmen lain pada tarikh berkenaan yang memerlukan aku berada di Kelang.
Arwah merupakan penyelia sarjanaku di UPM dulu. Banyak pengetahuan tentang puisi kupelajari daripada Pak Dharma. Aku sangat menghormati beliau sebagai seorang pensyarah yang sangat baik hati. Sehingga suatu ketika aku terdorong untuk menulis sajak ini, sebagai tanda penghargaanku terhadap beliau.


MENJABATI TANGANMU
(Buat Dharmawijaya)

Menjabati tanganmu bapa,
litar seni terpintas ke denyut nadi,
dalam cerlung matamu,
kulihat saujana lestari tinta biru,
yang telah kaucoret,
pada helaian pengalaman,
terindah kata, termanis bahasa.

Dan aku menjadi kehilangan,
dalam sahara puisimu,
pernah kujengah dalam alpa,
jendela sasteramu yang lebar,
dari aksara yang hambar terbiar,
kau gubah kuntum-kuntum mekar,
mewangi setiap lembar.

Dalam bicara paling sederhana,
kau melontar pesona,
lalu aku tunduk mengutip makna,
setiap butiran kata,
yang terpahat pada lakaran nota,
kini menjadi peta berharga,
meneroka wilayah sukma,
memercup selimpah rasa.

Menjabati tanganmu, bapa!
aku ingin bangun menafsir erti,
setiap baris puisi,
yang indah kautukangi.

Ghazali Lateh.
Banting,
13/6/00

Kerosakan Blog Saya

Saya memohon maaf kerana blog saya mengalami sedikit masalah kerana saya cuba menggunakan template yang agak canggih sehingga tidak dapat dibuka melalui IE. Sekarang saya hanya dpt mengedit melalui Mozilla. Mungkin keadaan ini dapat diatasi sedikit masa lagi. InsyaAllah.

Ahad, Julai 20, 2008

Beberapa Foto Diri

Gambar di laluan lebuh raya Timur-Barat. Suasananya nyaman, berlatarkan hutan menghijau, lembah yang masih mengekalkan kesegaran alam. Gambar di bawah pula ialah gambar River cruise di Sungai Melaka. Satu idea yang baik untuk sektor pelancongan.


Inilah berita aku menerima anugerah Guru Inovatif Kuala Langat 2008 yang tersiar dalam akhbar Sinar Harian 26 Jun 2008. Gambarnya agak kabur sebab aku sebab aku snap dalam keadaan kekurangan cahaya.



Sabtu, Julai 19, 2008

Surat dari KPM dan Sondolman

(i)
Semalam aku menerima sepucuk surat dari Bahagian Sumber Manusia KPM. Surat ini mengandungi segala dokumen urusan pelepasan jawatan yang diusahakan oleh sebuah IPTA tempatan bagi membolehkan aku memulakan jawatan sebagai tenaga pengajar di IPT itu. Surat ini meletakkan aku dalam keadaan serba salah. Aku tertarik dengan kesungguhan IPT ini, mengurus pelepasan jawatanku. Aku akan mengambil masa satu minggu untuk membuat keputusan. Jika dalam satu minggu ini aku tidak menerima tawaran dari IPT lain, maka aku akan menerima tawaran jawatan tersebut. Biarlah aku bertugas di IPT yang benar-benar serius mahu mengambilku sebagai kakitangan. InsyaAllah...
(ii)
Hari ini cerpen Sondolman yang telah kumasukkan ke blog ini telah tersiar di Berita Harian. Cerpen itu hanya suka-suka, tetapi bagi mereka yang mahu berfikir, ada terselit sedikit santapan minda untuk difikirkan. Wallahualam... Dapatkan ceritanya di...

Jumaat, Julai 18, 2008

Bahasaku Dalam Dirgahayu


Bahasaku Dalam Dirgahayu!

Tumbuhmu menjangkar seluruh nusantara,
meraih martabat bertaraf lingua-franca,
menjunjung budaya peradaban bangsa,
berhias halusmulus santun terungkap,
dalam indah madah seni terucap.

Bahasaku,
adalah warisan paling mulia,
meneruskan jati diri milik pusaka,
keranamu bangsaku agung tetap bernama,
budayaku anggun tetap bernyawa.

Era paling gemilang telah kita lalui,
membakar semangat juang anak-anak pertiwi,
dengan bahasa kami pernah menggapai pelangi,
menukar mimpi ke alam realiti hakiki.

Bahasaku, bahasa Melayu,
semaraklah mekar dalam dirgahayu,
mendepan arus membias cemburu,
kami membenteng segala seteru.

Hiduplah bahasaku!
biar denai waktu semakin rancu berliku,
wawasan bahasaku tetap tegap berpadu,
dalam siaga memantap harap yang jitu.

Ghazali Lateh,
Banting,
30 Ogos 2001

Rabu, Julai 16, 2008

Luka Lingua Franca


Dari Luka Lingua Franca

Lupakah sudah catatan pada lembar sejarah?
kita mengusung keranda lingua franca
tanpa niat menggali pusara
lukanya merah berparut barah
kerana pasang surut semangat
semakin meninggalkan dermaga
terdera; lalu sirna.

Suara pejuang kian dilunaki keinginan
bara mati disiram janji kedinginan
bertukar seru menjadi jerkah nafsu
menakutkan;
“kau harus akur dengan telunjuk globalisasi”
lalu kita menutup rehal pusaka
dan menghanyutkan daun lontar di arus perdana.

Anak-anak yang hijau tidak mengerti
tafsir makna aksara pada tugu prasasti
betapa aura citra semakin kusam
ditabiri seribu waham
dongeng masa hadapan gertak melamar ancam.

Sebenarnya kitalah yang tidak belajar
dari kekalutan silam
dan sekelumit tilikan hitam
penjajahan demi penjajahan
tidak pernah terlunas pergantungan
biar menggegak laung merdeka
atma terikat pada tumang jiwa hamba.

Berdirilah di sini
menautkan semula semangat dan wawasan
dalam satu santun nada kita melepas suara
dengan ampuh bahasa ibunda
siaga memintal teraju nusa
malar melagang ambal madani bangsa.

Tanyalah seluruh generasi akan makna jati diri
jika tutur dan fikir kian diasak prahara anomali
jangan harus lagi ada yang menukang keranda
nafas bahasa biar terhela ke hujung dunia.

Kita mampu selagi hati budi bersatu
selagi mengenal licik dan lintap agenda seteru
ukirlah ikrar pada tugu sumpah perkasa
bahawa bahasa cerminan minda maruah bangsa
bahawa bahasa pemangkin daulat jiwa merdeka.

Dalam terbilang susun langkah memacu bahtera
jangkaulah setinggi awan indah mimpi pahlawan
usah alpa mencanai hala mencapai jata
seakrab ramuan mujarab dari suci lidah pendeta
kita ubati luka lama lingua franca.

Setapakpun berundur pasti tidak
pertahan takhta biar jerih bebanan menekan pundak
warisan ibunda tetap abadi bahasa rasmi
martabat tinggi bahasa kebangsaan kukuh utuh terlakri
selagi hayat bangsa mengalir di denyut nadi.
Ghazali Lateh

Selasa, Julai 15, 2008

Bahasaku

Bahasaku

Bahasaku air jernih penyejuk murka buana,
Bahasaku semilir angin peniup haba duka,
Bahasaku api marak pembakar semangat waja,
Bahasaku tanah subur penyambung hayat bangsa.

Bahasaku bintang terang mengerdip ufuk saujana,
Bahasaku bulan lembut menyuluh malam hiba,
Bahasaku mentari segar memijar bicara fatwa,
Bahasaku cakerawala wibawa suara jagat raya.

Bahasaku budi pekerti penghias murni peribadi,
Bahasaku jasa murni wacana pendeta sejati,
Bahasaku wasiat leluhur peneguh jati diri,
Bahasaku amanah besar pusaka warisan hakiki.

Bahasaku santun tersusun pemangkin daya budaya,
Bahasaku anggun tertenun pemanis bual bicara,
Bahasaku rumpun rimbun penyubur sulur sastera,
Bahasaku pohon temurun menunjang tamadun manusia.

Bahasa adalah jiwa, adalah nyawa, adalah harta,
Bahasa adalah jata, adalah nusa, adalah bangsa,
Bahasa adalah diri kita,
Bahasa Melayu tetap ternama.

Ghazali Lateh,
Banting,
6 Disember 2000.

Isnin, Julai 14, 2008

Perkembangan di sekekiling kita

(i)
Mangga ini kupetik tadi sore, setelah kebosanan memuncak. Untuk tidak membuang masa aku sekali lagi mengambil galah dan mengait buah mangga untuk diberikan kepada jiran-jiran. Masalahnya, buah mangga ini tidak sesuai dibiarkan lama di pokok kerana akan menjadi busuk.
(ii)
Kadang-kadang kita seolah-olah tidak mengambil tahu perkembangan yang berlaku di sekeliling kita. Perkara yang berlaku ada kalanya mempengaruhi kehidupan tetapi tidak kita sedari. Yang penting kita harus berfikiran positif dalam berhadapan dengan pelbagai kerenah hidup. Maksud berfikiran positif ialah kita sentiasa berfikir sesuatu isu itu dari pelbagai perspektif, menilai buruk dan baik sesuatu tindakan, dan sebagainya. Adakalanya pula kita ditipu oleh pihak yang merencanakan sesuatu agar kita tertipu dalam diam. Beberapa isu yang berbangkit kini jangan dianggap terjadi dengan sendirinya, malah merupakan satu perencanaan yang sengaja dibuat dengan tujuan mengalih pandangan dan perhatian kita. Wallahualam...


Hari ini badan rasa kurang sihat. Sebenarnya, kesihatan yang terganggu membawa tanda tertentu yang harus diterima. Pertambahan usia dan perjalanan hidup yang semakin jauh menyebabkan kesihatan terganggu. Akan tetapi kita tidak harus terlalu memikirkan gangguan ini sebagai satu titik nokhtah pada perjalanan hidup ini. Walau dalam apa-apa keadaan sekalipun kehidupan ini perlu diteruskan.

Sabtu, Julai 12, 2008

Jemputan Ceramah

Mulai minggu depan, saya akan memenuhi beberapa jemputan ceramah teknik menjawab bagi kertas Bahasa Malaysia 2, SPM. Dua jemputan dibuat oleh sekolah berdekatan dan satu jemputan untuk guru-guru Bahasa Malaysia yang akan diadakan di Perpustakaan Awam Negeri Selangor, di Shah Alam. Ceramah ini dianjurkan oleh Cerdik Publication dengan kerjasama Berita Harian. Saya berharap dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan guru dan juga anak-anak murid yang akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan November nanti.

Khamis, Julai 10, 2008

Bonsai Baharu

Semalam ketika balik dari mesyuarat di Shah Alam, aku singgah di Tesco Banting. Aku tertarik dengan jualan bonsai dari negeri China. Penjualnya juga seorang wanita China yang tak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris (atau satu taktik perniagaan?). Setelah meninjau-ninjau aku membeli sepohon bonsai dengan harga RM20.00 walaupun asalnya berharga RM50.00. Harga kalkulator digunakan oleh penjual tersebut untuk berkomunikasi denganku. Inilah bonsai yang kubeli semalam. Malah rakan-rakan sejawatan juga mula meminati bonsai.


Selasa, Julai 08, 2008

Menjadi Juruacara

Pada 7/7/08, aku telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi juruacara majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang warga pendidikan daerah Kuala Langat. Alhamdulillah majlis tersebut berjalan dengan lancar. Inilah pertama kalinya aku menjadi juruacara dalam majlis besar dan formal. Tahniah diucapkan kepada guru-guru dan warga pendidikan yang menerima anugerah daripada Tuan Pengarah Pelajaran Selangor, Puan Ashah bt Samah.

Ahad, Julai 06, 2008

Hari Ini 6/7/08

Tahun ini pokok mangga di depan rumah berbuah lebat. Buahnya menggayut dan dapat dicapai tangan. Sering juga menjadi mangsa dicuri oleh orang lalu lalang. mHari ini, sudah tujuh orang datang nak beli semua buah mangga itu untuk dibuat jeruk atau rojak buah. Tapi aku tidak menjualnya. Aku ingin semua orang di kejiranan ini merasai buah mangga yang masak. Biarlah orang curi sebiji dua, asal selebihnya kami dapat makan bersama.
Kalau betul-betul matang sebiji buah mangga ini mencecah sekilogram beratnya. Akan tetapi sering juga busuk kerana diserang serangga.





Sabtu, Julai 05, 2008

Terasa Ada

Saban hari kulewati pekan ini,
kelibatmu kulihat di mana-mana,
membeli akhbar di warong nyonya,
dan sebeban majalah pelbagai rupa,
lantas terasa ada,
dikau selamanya.

Saban minggu kekunjungi gerai itu,
kau sudah tersenyum berdua,
dan ketika aku melunasi harga,
"tidak perlu, ada orang belanja".

Hari minggu di pusat cucian kereta,
kau menanti sambil membaca,
dan kadangkala aku turut serta,
bercerita dan bercanda,
tiada tanda-tanda yang engkau tiada.

Dan ketika kujumpa balumu,
dia berkata engkau berkursus sahaja,
kerana jiwamu tetap setia,
menemaninya dalam majlis ceria,
dan engkau sebenarnya ada,
dalam cintanya.

Dalam waktu sejauh ini,
aku masih terlihat senyuman murni,
dan kemuliaan pekerti,
engkau yang tidak pernah bersembunyi,
dari sumbangan bakti.

Sehingga kini,
kau masih terasa ada,
terasa mesra,
dan terasa perkasa,
dalam setiap jiwa,
yang dekat dan rela.

3 September datang juga,
membawa seribu pilu dalam sukma,
nilai sahabat begitu berharga,
tidak pernah terpadam di aksara usia,
yang semakin renta.

Sesungguhnya dalam nurani ini,
Sentiasa engkau
terasa ada.

ketika mengenang seorang sahabat yang pergi
11.45 pagi Sabtu 5 Julai 2008

Khamis, Julai 03, 2008

Sekuntum Bunga

Barangkali keindahan yang ada
hanya balikan warna
tanpa pesona.
barangkali warna penuh pesona
ada durinya
menikam sukma.
Barangkali sekuntum bunga
indah di mata
tapi baunya sirna.
Barangkali aku terkesima
akan bunga-bunga
yang sebenarnya hina
di mata maya.

Isnin, Jun 30, 2008

Berkunjung Ke Melaka

Tiba-tiba pada gari minggu selama terasa hendak ke Melaka kerana sudah lama tidak ke sana. Terus sahaja berangkat bersama isteri dan anak-anak.
Bergambar di hadapanj kumpulan gamelan yang membuat persembahan di Anjung Seniman Muda. Usaha ini sangat baik kerana memberikan peluang kepada murid-murid sekolah untuk menunjukkan bakat mereka.
Berehat sambil menikmati alunan gamelan yang merdu.

Jonker Street tempat jualan kraf tangan dan barang-barang antik. Kami sempat mengunjungi sebuah kedai antik yang sangat unik.


Bergambar di atas Jambatan Kg Morten sebelum bertolak balik.



Di hadapan replika kincir angin di tepi sungai Melaka.


Di Umbai, selepas makan tengah hari di warong ikan bakar.

Isnin, Jun 23, 2008

Buku Adaptasi Sejarah Melayu



Setelah sekian lama menunggu, akhirnya buku adaptasi Sejarah Melayu terbit juga. Pagi tadi Haji Shamsuddin memberikan dua buah buku berkenaan kepada ketika aku berkunjung ke biliknya di UPM. Namun, perkara yang tidak enak didengar, ada pelbagai rungutan tentang projek penerbitan buku ini. Mengapa ya? Kita tunggu dan lihat sahaja.

Sabtu, Jun 21, 2008

Sambutan Hari Guru Daerah Kuala Langat 2008


Hari ini Sabtu 21/6/2008, telah diadakan sambutan Haru Guru Daerah Kuala Langat 2008. Dalam sambutan ini, aku telah diberikan anugerah Guru Inovatif Daerah Kuala Langat 2008, berdasarkan kaedah mengarang yang kuperkenalkan sejak 2002. Alhamdulillah, anugerah ini bakal mencetuskan idea baharu untuk meningkatkan pengajaran nanti.

Banner di atas merupakan banner yang dipasang di papan pameran dalam sambutan tersebut.



Gambar ini menunjukkan aku sedang menyampaikan novel Dari Lembah ke Puncak sebagai cendermata kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Tuan Haji Bajuri bin Abdullah ketika beliau melawat pameran.





Inilah gubahan hadiah yang kreatif yang kuterima. Seperti hantaran perkahwinan. Aku tidak tahu jumlah wang yang diberikan kerana aku sayang nak leraikan hadiah tersebut. Kalau sesak nanti tak tahulah, mungkin hadiah ini akan menjadi korban.













































Rabu, Jun 18, 2008

Berita Baik hari ini.

Kehidupan ini tidak ubah seperti memandu memasuki terowong yang belum pasti penghujunganya. Gambar ini kuambil semasa melalui Lebuh Raya Timur Barat dalam perjalanan ke Kelantan dua minggu yang lalu.

Hari ini aku mendapat beberapa berita baik. Berita ini bakal mengubah rutin, status, dan pendapatan hidupku. Belum bersedia aku untuk memberitahu berita ini. InsyaAllah, jika tiba masanya akan kukhabarkan juga. Terlalu awal untuk kekongsikan perkhabaran ini, lantaran aku tidak mahu terlalu teruja dengannya.

Isnin, Jun 16, 2008

Tentang Kemenangan



Tahniah kuucapkan kepada rakan-rakan penulis yang menjadi pemenang pelbagai kategori dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. Mereka memang hebat dalam berkarya. Hadiah yang diberikan oleh pihak Utusan juga sangat lumayan. Aku pernah memenangi hadiah utama bagi kategori cerpen dalam HSKU 2005. Semua pemenang tentu berasa sangat berhasil kerana karya mereka diiktiraf.


Walaupun namaku tidak tersenarai dalam senarai pememang (sebab aku tidak berkarya kreatif dan tidak kreatif lagi), aku tumpang berbangga dengan kemenangan kawan. Hari ini aku juga menerima berita tentang kemenangan. Aku dan Cikgu Ghalib telah menang tender buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tingkatan lima. Buku ini akan digunakan oleh murid mulai tahun 2009. Inilah kemenangan kedua tender buku Sivik selepas aku dan Cikgu Ghalib berjaya dalam 2006 untuk murid tingkatan 3 Zon tengah. Dengan kemenangan ini, imbuhan yang bakal kuterima barangkali melebihi jumlah yang dimenangi oleh semua pemenang dalam HSKU 2007. Selagi buku ini digunakan sebagai buku teks, selama itu juga aku akan menerima royalti setiap tahun. Alhamdulillah rezeki anugerah Allah tetap murah bagiku. Jika tidak kerana marah dengan kenaikan harga minyak, barangkali aku memandu sebuah Mercedes E Class. Aku dihubungi oleh editor dan ketua editor dengan perasaan yang sangat gembira dengan kemenangan ini. Apa tidaknya, syarikat akan beroleh pulangan berjuta nilainya dengan kemenangan ini, insyaAllah. Yang penting aku dan rakan penulis tetap bersyukur dengan rezeki kurniaan yang maha Esa. Amin.

Sabtu, Jun 14, 2008

Berceramah di Shah Alam


Pagi tadi aku menyampaikan ceramah kaedah penulisan di Shah Alam, untuk calon-calon SPM dari 5 daerah negeri Selangor. Pesertanya melebihi 200 orang. Alhamdulillah, ceramah berjalan dengan lancar. Layanan pihak penganjur iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor PKPS juga amat memuaskan. Sambutan peserta ceramah juga amat baik. Aku bersyukur kerana bayaran ceramah untuk satu setengah jam itu barangkali melebihi pendapatan sebulan seorang pekerja am. Aku juga menerima hamper barangan keluaran penganjur.


InsyaAllah, mulai minggu depan, boleh dikatakan setiap minggu aku dijemput untuk menyampaikan ceramah penulisan. Jadualku juga sangat padat. Harapanku, kaedah penulisan ciptaanku akan berkembang dan diguna pakai seluruh negara dalam beberapa tahun lagi.
Cerpen Sondolman yang kumasukkan sebagai entri sebelum ini telah dijadikan skrip oleh seorang karyawan animasi. Skrip tersebut telah kubaca, tapi sebagai seorang yang tak faham skrip aku kira ok juga skrip tu. Nantilah kalau diterbitkan untuk tayangan nanti barulah boleh dibuat penilaian. Terima kasih kepada pihak yang terbabit yang sudi mengadaptasikan karya tersebut ke dalam bentuk animasi.


Jumaat, Jun 06, 2008

Balik Kampung dan Jalan-jalan



Di lebuh raya Timur Barat. Di hentian ini, latar belakangnya sebuah jurang yang sangat dalam.



Pekan Selasa, Sik, Kedah. Setelah sekian lama (hampir 20 tahun) tidak membeli-belah di Pekan Selasa, Sik, aku sempat membeli-belah di sini. Selepas itu aku juga gembira kerana dapat berjumpa dengan dua orang rakan lama di SMK Sik dulu, iaitu Din Pak Teh Kor dan Zulkifli Samsir. Aku dan keluarga juga sempat berkunjung ke SMK Sik, bertemu dengan pengetua Puan Jamnah Pairan. Tahniah kepada guru-guru SMK Sik dan warganya kerana telah mendapat anugerah Sekolah Cemerlang dan mendapat peruntukan yang begitu banyak. Aku mula mengajar selepas menjalani latihan perguruan di Sekolah Menengah Sik, mulai 1984 - 1989.







Hadapan Hotel Ansar, Kota Bharu. Lihatlah insan di belakangku yang

membelek akhbar dengan serius kerana terkejut dengan kenaikan harga

minyak yang tidak membebankan rakyat. Aku terkejut semasa mengisi

minyak di lebuh raya Pantai Timur, hentian Gambang, separuh tangki

keretaku menelan kos RM112.00. Memang tidak membebankan rakyat.


Belakang rumah kakak, di Sik, Kedah. Langsat baru berputik.




Panasnya Seberang Takir. Sekadar ingin melihat tempat orang. Aduhh... panasnya bukan kepalang.



Naik bot ke Seberang Takir. Aku bimbang kerana bot yang aku naiki kudratnya setengah nyawa. Akan tetapi tidak bagi mereka yang sudah biasa berulang-alik melalui jalan air ini.





Monumen peringatan pembinaan

Lebuh Raya Timur Barat. 64 buah

jentera diletupkan pengganas semasa

pembinaan jalan ini. Beberapa nyawa

pekerja juga terkorban.



Anugerah alam. Dalam perjalanan ke Tanjung Dawai,

terdapat sebuah mata air semula jadi yang membekalkan

air mineral percuma kepada sesiapa sahaja. Ambillah,

tak habis-habis airnya mengalir. Aku ambil dua botol,

ihsan orang yang baik hati yang memberikan botol kepadaku.

Terima kasih.


















Ahad, Jun 01, 2008

Menelusuri Blog Penulis-penulis

Pasar Malam di Putrajaya.
Walaupun tanpa perancangan, jika masuk ke pasar,
ada-ada sahaja barangan yang tersangkut di tangan ketika keluar.

Gambar persembahan visual pada skrin air di Tasik Putrajaya.

Gambar ini diambil pada hari Jumaat yang lalu, ketika aku membawa family ke Putrajaya. Persembahannya agak menarik tetapi terlalu pendek masanya.



Sejak beberapa hari yang lalu aku hanya menelusuri blog penulis-penulis hebat tanah air. Aku leka membaca catatan mereka yang hebat-hebat juga. Dalam banyak-banyak blog, aku menghabiskan banyak masa membaca catatan Cikgu Abu Hassan Morad yang menjalankan penggambaran dikumentasinya di Balkan. Dalam penulisan, Cikgu Hassan ialah contoh yang baik. Sentiasa menghasilkan karya yang baik. Tidak semestinya karya penulis lain tidak baik. Akan tetapi karya Cikgu Hassan bersifat kontemporari yang mudah ditanggapi oleh pembaca. Karya seperti inilah yang dapat menarik minat remaja untuk mendekati sastera.




BATAM 2025