Ahad, September 13, 2009

Ke Alamanda, Putrajaya

Salah sebuah jambatan di Putrajaya
Pemandangan di luar Masjid Besi, Putrajaya
Beriani ayam di Gedung Jati Rumah Hijau, Dengkil RM10.00
Petang tadi saya ke Alamanda Putrajaya. Pengunjung di Alamanda sangat ramai. Penuh sesak. Niatnya nak beli baju Melayu kat butik di Alamanda. Sebaliknya lain pula yang dibeli. Sedar-sedar dah 6.30 petang. Cari tempat nak berbuka puasa, semuanya penuh dengan pengunjung. Seawal jam 6.30 itu pelanggan sudah bersedia di meja dengan minuman dan makanan sudah tersedia di atas meja. Mahu tidak mahu terpaksa saya ke Precint 8. Malangnya makanan sudah habis. Jadi terpaksa berbuka dengan minuman sahaja.

Kemudian ke Masjid Besi sebelum balik dan singgah makan di Gerai Beriani di Gedung Jati Rumah Hijau di Dengkil.

Perihal di Kampung II

Seperti tahun-tahun yang lalu, malam-malam akhir Ramadan saya suka melihat suasana sambutan di kampung di sekitar Banting. Dalam pukul 11 atau 12, saya bersama-sama keluarga berkereta memasuki kampung seperti Kanchong Darat, Sungai Lang, Sungai Kelambu, dan kadang-kadang sampai ke Olak Lempit atau Labohan Dagang. Tujuannya untuk melihat pelita atau panjut yang banyak dan sangat cantik kelihatannya pada malam-malam sebelum aidilfitri.
Namun, tahun ini keadaan itu agak berlainan. Tidak banyan rumah yang memasang pelita di laman seperti tahun-tahun yang lalu. Dalam satu lorong hanya ada satu dua rumah sahaja yang memasang pelita. Barangkali tahun ini, masa agak terhad. Anak-anak sekolah yang memasang pelita juga masih bersekolah dan sedang menghadapi peperiksaan. Mungkin inilah sebabnya sambutan kali ini tidak begitu meriah.
Malam tadi ketika melalui Kampung Kanchong Darat, saya dapati ada sebuah rumah menggantungkan tanglung bulat dengan tulisan Cina sebagai lampu hiasan di pondok depan rumah. Nampaknya tuan rumah tersebut sedang menghayati semangat 1 Malaysia.

Perihal di Kampung


Saya berasal dari kampung. Kehidupan saya semasa kecil sangat miskin. Ibu bapa saya sangat miskin. Sekarang ibu saya masih dalam keadaan miskin kerana dia tidak mahu hidup dalam keadaan senang walaupun anak-anak mendesak. Akan tetapi itu bukan perkara yang hendak saya katakan.


Baru-baru ini, dalam bulan Ramadan ini, ibu saya sangat gembira. Pondok buruk kami, dikunjung oleh seorang yang bergelar YB. Wakil rakyat Pakatan Rakyat datang dan masuk ke pondok ibu saya untuk menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan. Umur ibu saya sudah melewati 80-an tahun. Dia ialah antara ahli UMNO paling awal, seawal parti itu ditubuhkan. Namun selama ini pondok buruk kami tidak pernah dijejaki mahupun dihampiri oleh wakil rakyat. Inilah pertama kali berlaku dalam sejarah, pondok buruk kami dimasuki oleh YB. Dengarnya YB itu berketurunan Cina. Inilah baru 1 Malaysia.


Kalau dulu, ada juga bantuan. Semuanya diturunkan dari atas sampai ke bawah melalui pelbagai lapisan birokrasi. Paling bawah ialah JKKK. Biasanya bantuan yang sampai itu hanyalah baki-baki yang sisa. Dan ibu saya tidak pernah merungut jika tidak mendapat sekalipun, kerana kami memang orang miskin.


Perihal ini perlu diperhatikan oleh mereka yang berpolitik. Di negara ini kebijaksanaan berpolitik semakin jelas dipandang. Kalau dulu, pemimpin politik bawahan ialah mereka yang ada pendidikan menengah sahaja. Yang ada ijazah atau kakitangan profesional tidak dibenarkan berpolitik. Hal ini dikatakan oleh Prof. Imeritus Datuk Khoo Kay Kim, yang ada kuasa tidak ada pengetahuan dan yang ada pengetahuan tidak ada kuasa. Oleh sebab itu orang mula buka mata. Yang ada kuasa itu hanya mementingkan tembolok sendiri. Dalam keadaan kegawatan politik sekarang, kumpulan itu masih menyeret temboloknya yang mencecah tanah.


Saya bukan aktivis politik. Saya hanya memerhatikan semuanya dari kaca mata seorang marhaen yang berfikir.

Jumaat, September 11, 2009

Bangga Menjadi Rakyat Malaysia

Saya membaca beberapa blog dari Indonesia. Bloggers di sana tidak habis-habis mengganyang negera ini dalam blog mereka. Yang peliknya sasaran serangan mereka lebih tertumpu pada orang Melayu di negara ini. Malaysia dianggap sebagai negara kecil yang berambisi besar dan arogan. Malah ada blogger yang sangat memuji negara Turki, yang dianggap menjadi sahabat sejati negara itu. Buktinya, semasa tsunami melanda Aceh, bantuan Turki yang paling awal dan paling besar diterima.
Mereka tidak sedikit pun menyebut sifat murah hari Malaysia, NGO, yang tidak pernah berhenti membantu jika terhadap sebarang bencana berlaku. Yang terkini, ketika mereka berdemonstrasi hendak mengganyang Malaysia, negara kita menubuhkan tabung untuk membantu mangsa gempa yang melanda luar Pulau Jawa. Ketika tsunami, dan hingga kini mangsa tsunami mendapat pelbagai bantuan drai Malaysia langsung tidak disebut. Yang disebut hanya kerakusan sikap Malaysia mengklaim itu dan ini dari negara jiran itu.
Mereka juga mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru. Tidakkah mereka tahu DEBlah yang membolehkan rakyat mereka turut merasai nikmat dan rezeki, datang berduyun-duyun secara sah mahupun haram semata-mata kerana sikap baik hati rakyat dan pemimpin negara ini.
Yang penting rakyat Malaysia tidak harus melatah dengan sikap emosional mereka. Yang penting juga bangsa yang besar dan bertamadun ialah bangsa yang berhemah dalam apa-apa jua tindakan. Saya bangga jadi rakyat Malaysia.

Ahad, September 06, 2009

Beli-belah pertama

Suasana agak tenang di Jusco, Bukit Raja. Barangkali minggu depan orang makin ramai.
Tanpa perancangan, saya, isteri, dan anak-anak keluar ke Kelang untuk beli-belah buat pertama kali pada petang Sabtu. barangkali selepas ini, saya terpaksa keluar lagi memandang korum tak cukup. Anak sulung saya tidak ada sebab sedang exam di UPSI.


Hanya ke Jusco, Kelang. Keadaan masih tidak begitu ramai, boleh beli-belah dgn agak selesa. Saya tertarik dengan baju linen di East India, dan harganya juga agak berpatutan. Isteri dan anak-anak membeli ala kadar kerana mungkin sebagai remaja, anak-anak saya lebih senang untuk membeli pakaian mereka sendiri. Kadang-kadang saya dan isteri berasa anak-anak itu seperti 10 tahun yang lalu dan masih kecil. Barangkali sudah tiba masanya mereka diberikan kebebasan untuk beli-belah sendiri.


Kami berbuka puasa di Kampung Kuantan, Kelang. Sudah agak lama saya tidak ke sana. Dulu beberapa kali juga saya berbuka di restoren tersebut. Malangnya kali ini, masakannya tidak seenak dulu, dan harganya juga sudah jauh lebih tinggi.

Ahad, Ogos 30, 2009

Ramadan


Malam jernih dan angin mulus

menguyur hujan sekali-sekali mercik di jendela

bulan tersenyum dipalit awan comel

langit telah ceria sejak mula

bahagia.


Hari bukan panas tetapi syahdu

menusuk segala rasa yang bergayut

di tubir senja suara lunak membelai

indah musim enak usia mengengsot

ke hujung pagi.


Tidak pernah hilang rasa mesra

sekelumit doa dan ratib hamba

dalam syukur rindu berbaur

kelmarin telah sirna dan esok menguja

nurani berseri dalam tujahan mimpi

di dinihari.


Getar sukma di bucu neraca

bakal terjawab seribu nista yang fana

di sini bersimpuh segala bidadari

memujuk naluri agar cinta lestari

sampai nanti destinasi hakiki.


30/8/09

Khamis, Ogos 20, 2009

Bekerja di Laman

Di laman luar, kelapa pandan kian subur
Bebunga kecil pun kian memutih

Pokok tanduk rusa yang mula menjuraikan dedauan


Bunga-bunga renek menghiasi tepi kaki lima dapur.



Bahagian tepi pagar ditutup pokok haleconia



Oleh terasa bosan bekerja dalam bilik kerja, petang ini saya bekerja di laman rumah. Kadang-kadang rutin yang sama akan menyebabkan kita berasa bosan. Saya sempat mengambil gambar laman rumah saya pada petang ini. Nampaknya sudah agak hijau dan bunga-bunga yang saya tanam mula menyegarkan suasana.

Rabu, Ogos 19, 2009

Kesibukan


Sudah agak lama saya tidak mengemaskinikan blog saya. Hal ini demikian kerana saya terlalu sibuk dengan urusan harian dan juga urusan penulisan saya. Buat masa ini saya melakukan beberapa projek penulisan yang besar secara serentak. Kadang-kadang saya terasa hidup ini seperti diburu waktu. Akan tetapi saya yang mencabar diri untuk menerima segala tanggungjawab dengan hati yang terbuka. Cuma saya berasa bimbang kesihatan saya tidak mengizinkan saya mennyelesaikan segala tugasan dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Setakat ini alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan kesihatan untuk menunaikan tanggungjawab yang diamamahkan.

Selasa, Ogos 11, 2009

Kemungkinan

Penularan selesema babi sekarang menjadikan semua orang panik. Saya membaca blog perigibute.blogspot.com dan beliau mencatatkan bahawa perkara ini merupakan satu bentuk senjata biologi yang sengaja dicipta dan disebarkan di negara-negara tertentu. Apabila saya fikir balik, teori ini mungkin ada kebenarannya. Ketika negara lain mencacatkan penurunan kes serangan penyakit ini, negara kita pula yang mendadak bilangannya. Dan yang agak aneh, kebanyakan mangsa ialah orang MELAYU. Apa pandangan anda?

Khamis, Ogos 06, 2009

Badut

Para demonstran membaling akal mereka di aspal jalan,
mengharap wajah menjadi ikon dalam liputan,
dengan laungan nama Tuhan,
mereka sebenarnya badut-badut pertunjukan,
yang diterajui tangan-tangan syaitan,
di sebalik siasah kebodohan,
tiada perhitungan.

Selasa, Ogos 04, 2009

Cerpen 1 Malaysia

Semasa menghadiri majlis untuk mengingati seorang rakan kongsi, serban Ustaz Faruk telah terbakar. Lilin yang dipegang dalam majlis tersebut tiba-tiba membesar apinya dan menyambar jurai serban yang terjuntai ke depan jubah kelabu Ustaz Faruk. Namun, sebagai seorang yang alim Ustaz Faruk nampak tenang. Sehingga api membesar dan membakar sebelah kiri kepalanya barulah ada orang yang sedar akan peristiwa kepala Ustaz Faruk terbakar.
Muniandi yang turut berada dalam majlis memperingati mendiang Yong Tau Foo itu terus bertindak. Kebetulan dalam rumah mendiang Yong ada pemadam api yang tergantung pada tiang di tepi dinding. Muniandi segera melompat untuk mendapatkan tong berwarna merah itu. Sepantas kilat pula dia merentap kunci picu pemadam api berkenaan. Tidak ada lain yangn diingatkan. Dia membayangkan api yang mula memarak di atas kepala Ustaz Faruk yang masih tegak memegang lilin tanda hormat pada mendiang rakan kongsinya itu.
Meniandi menghalakan corong pemadam ke arah kepala Ustaz Faruk. Segera pula corong itu memuntahkan cecair putih tepat ke arah kepala Ustaz Faruk. Ketika itulah suasana menjadi kecoh. Pemberita yang hadir turut menekan shutter kelajuan tinggi untuk merakamkan detik-detik cemas serban Ustaz Faruk disambar api lilin.
Beberapa detik kemudian wajah Ustaz Faruk berubah menjadi putihm dipenuhi buih yang disembur oleh Muniandi. Beberapa orang pembantu Ustaz Faruk tampil untuk membantu. Mereka juga nampak tenang kerana bagi mereka semburan cecair pemadam api itu sebenarnya tidak seberapa. Mereka pernah melalui pengalaman semburan air dari lori polis pencegah rusuhan yang lebih dahsyat. Malah Ustaz Faruk nampak tenang walaupun kelibat senyumannya tidak kelihatan dilindungi buih-buih putih yang disembur oleh Muniandi. Pembantu-pembantunya tahu dia sedang tersenyum.
Tiba-tiba Ustaz Faruk rebah. Nasib baik pembantu kanannya sempat menahannya daripada tertiarap di atas mayat Yong yang terkujur di dalam long di hadapannya. Kepalanya di sebelah kiri kelihatan agak teruk terbakar. Serbannya juga hanya tinggal sebelah sahaja, tetapi masih kejap melekap di kepalanya.
Ustaz Faruk dikejarkan ke hospital pakar berdekatan. Dia masih tidak sedarkan diri ketika sampai di wad kecemasan hospital tersebut. Kakitangan hospital pun bergegas membawa Ustaz Faruk ke bilik kecemasan. Pertama sekali pelbagai wayar disambungkan ke kepalanya untuk melihat fungsi otaknya. Kesan kebakaran pada sebelah kiri kepalanya nampak jelas. Buih-buih dari alat pemadam api yang disembur oleh Muniandi masih memutih di kepala Ustaz Faruk.
Ujian-ujian secara luaran yang dijalankan terhadap Ustaz Faruk tidak mendatangkan tindak balas. Suluhan lampu picit ke matanya juga tidak ada respons. Doktor yang merawat nampak cemas. Ustaz Faruk orang penting dalam politik. Kalau pesakit itu mati, sudah pasti doktor yang merawatnya akan disoal siasat. Silap-silap suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk menjalankan inkues. Jika itu berlaku doktor itu akan menjadi saksi utama. Dia akan dipersalahkan kerana tidak berbuat sesuatu supaya Ustaz Faruk tidak mati.
"Buat imbasan otak..!!" arah doktor itu kepada pembantu-pembantunya. Lantas semua alat pengimbas otak diaktifkan. Cahaya hijau merentasi kepala Ustaz Faruk yang hangus sebelah. Di sebelah katil rawatan beberapa buah skrin bersedia untuk memancarkan imej otak tokoh berpengaruh itu. Namun beberapa kali cahaya hijau melintasi kepala pesakit, tidak ada sebarang imej otak dapat dikesan pada skrin komputer.
Doktor dan pakar-pakar yang ada dalam bilik rawatan kecemasan itu berpandangan antara satu sama lain.
"Mana otaknya??!!!"
“Otaknya tak ada..!!”
Suasana dalam bilik rawatan jabatan neurologi itu gempar seketika. Para doktor pakar yang merawat pesakit bingung dengan pesakit mereka kali ini. Tidak pernah terjadi. Beberapa kali alat pengimbas digerakkan di atas kepala pesakit, bayangnya kosong. Imej yang ada hanyalah sebungkal imej hitam, seperti daging pejal yang sudah mati.
“Barangkali mesin pengimbas ini tidak berfungsi seadanya?” Tanya Dr. Roslan. Dia sekali-kali tidak menjangka perkara ini akan berlaku. Sepanjang tugasnya dengan pakar neurologi dan pembedahan saraf otak, inilah kali pertama yang mengalami sedemikian rupa. Aneh!
“Mesin ini baru saja kita beli. Semuanya dalam keadaan baik,” jawab juruteknik yang mengendalikan mesin tersebut. Dialah yang dihantar untuk belajar teknik penggunaan mesin tersebut di Germany sebelum dibawa balik. Inilah mesin tercanggih yang pernah dibeli oleh Hospital Pakar itu.
Dr. Roslan bungkam. Keadaan pesakitnya tidak begitu serius. Denyutan nadinya masih kuat. Ustaz Faruk yang separuh abd usianya itu direnungnya tunak. Ada tanda-tanda aliran darah ke kepalanya masih normal. Dalam keadaan normal oksigen dialirkan ke otak secara berterusan. Otak memerlukan 20% pada jumlah oksigen yang diperlukan oleh setiap badan. Setiap 5 minit lebih kurang 1 pain darah mengalir ke dalam otak.
Masalahnya sekarang, dalam kolong tengkorak Ustaz Faruk, tiada otak yang dapat dikesan. Imej pada skrin komputer mesin pengimbas menampakkan hanya lowongan hitam. Maknanya mesin pengimbas tidak dapat mengesan apa-apa dalam kolong tengkorak itu. Ustaz Faruk orang siasah. Penemuan ini akan mencetuskan satu kegemparan nanti.
"Jangan beritahu sesiapa tentang hal ini..!!" kata Dr. Roslan kepada semua yang ada dalam bilik rawatan kecemasan itu.
(bersambung...)

Isnin, Ogos 03, 2009

24th Anniversary

Bergambar di astaka
Sabar menanti hidangan

Tomyam pekat

Siakap tiga rasa

Hari ini 3 Ogos 2009 ialah hari ulang tahun perkahwinan yang ke-24. Diam tak diam sudah 24 tahun usia perkahwinan saya dan isteri. Semalam saya dan keluarga ke Tasik Idaman, Bangi untuk makan malam sempena ulang tahun tersebut. Suasana di tasik itu ok juga. Kami makan di rumah pelampung yang didirikan di permukaan tasik. Makanannya juga agak baik.

Sabtu, Ogos 01, 2009

ISA - WAJAR ATAU TIDAK?

Walau apapun pandangan orang, saya berpendapat ISA masih relevan dengan negara ini. Hal ini demikian kerana rakyat negara ini majmuk sifatnya. Dalam keadaan mutakhir, semakin ramai yang ingin menjadi wira, terutama wira bagi kaum sendiri. Oleh itu jika tidak ada satu pendekatan yang mencegah provokasi, jangan terkejut negara ini akan menjadi huru-hara kerana dengan masih adanya ISA sudah ada kaum-kaum tertentu menunjukkan belangnya.
Saya tidak terkejut dengan demonstrasi jalanan kerana bagi entiti yang bernama pembangkang, apa-apa sahaja akan dibangkang. Kadang-kadang tidak ada lagi rasional akibat doktrin bangkangan yang keterlaluan. Malangnya, ketaksuban yang melampau ini dianggap sebagai perjuangan. Wallahua'alam.

Rabu, Julai 29, 2009

Mengedit cerpen lama

Sejak beberapa hari yang lalu saya mula membuka kembali cerpen-cerpen saya yang terbenngkalai. Ada antaranya yang saya tulis tajuk sahaja. Banyak juga yang hanya menanti penutup cerita. Ada yang sampai setengah jalan. Begitulah dunia kreativiti, ada kalanya penulis dapat menyiapkan karya dalam beberapa jam, ada kalanya pula satu cerpen mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Penulisan juga berdasarkan mood dan persekitaran. Ada penulis yang menyewa hotel semata-mata untuk menyiapkan karya. Akan tetapi saya tidak sampai macam tu. Saya menulis suka-suka sahaja.
Dari Fail Tribuhak
Oleh Ghazali Lateh
Kes 1
Sekonyong-konyong Ahmad Debab telah ditangkap ketika makan roti canai di sebuah warong mamak dalam bulan puasa. Ketika itu Ahmad Debab tengah sedap membalun roti canai ketiganya.
“Siapa nama awak?” tanya pegawai Jabatan Agama yang menangkap Ahmad Debab.
“Nama saya Ahmad Debab,” jawab Ahmad Debab dengan yakin kerana itulah namanya. Cuma suaranya agak tersekat-sekat kerana ketika itu dia masih mengunyah roti canai banjir berkuah dal pekat. Dia tersengih-sengih seperti biasa kerana itulah tabiatnya.
“Sahlah awak orang Melayu!” kata pegawai itu lagi.
“Saya tak kata saya bukan Melayu. Mak bapak saya Melayu, datuk nenek saya juga Melayu!” Jawab Ahmad Debab penuh yakin juga. Bibirnya masih berminyak lantaran roti canai mamak yang rangup berkrim itu.
“Awak telah melanggar undang-undang!” kata pegawai yang satu lagi. Dia menjatuhkan hukuman laksana seorang hakim. Begitulah lazimnya, manusia memang gemar menjatuhkan hukuman sebelum benar-benar yang dihukum itu bersalah atau sebaliknya.
“Saya tak buat salah apa-apa pun!” kata Ahmad Debab lagi sambil sempat menghirup teh tarik berbuih hingga ke titisan yang terakhir.
“Awak makan dan minum dalam bulan puasa awak kata tak salah?!” kata pegawai Jabatan Agama yang menjalankan tugas itu. Suaranya tinggi menggambarkan kemarahannya. Sesekali dia menelan air liur memandang ke arah kuah roti canai yang pekat berlinang.
“Bukankah makan minum ini hak asasi manusia. Setiap makhluk yang hidup memerlukan makanan. Kalau saya tak mahu puasa, itu hak asasi saya,” Ahmad Debab mempertikaikan dakwaan pegawai-pegawai yang datang secara mengejut sehingga dia tidak sempat melarikan diri. Beberapa orang kawannya yang sama-sama melantak roti canai bersamanya tadi entah ke mana. Memandangkan bentuk badan Ahmad Debab yang sedemikian rupa saiznya, dia tidak sempat berbuat apa-apa dalam keadaan kelam-kabut itu. Jika dia melarikan diri pun dia tidak yakin dapat lepas.
“Ohh... hak asasi kata awak? Kalau begitu pergilah buat aduan kepada Tribuhak,” kata-kata pegawai itu seolah-olah mencabar pula bunyinya. Barangkali mereka mengerti di kota ini sudah ada tribunal hak asasi manusa yang diakronimkan menjadi Tribuhak. Berkali-kali sudah tribuhak menyanggah keputusan undang-undang kerana melanggar hak asasi manusia. Perkara hak asasi tidak boleh dimuat main-main. Tribuhak akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hak asasi sesiapa sahaja, waima pencuri, perompak, perasuah, lanun, gangster, along, penyeleweng, samseng, pengkhianat negara, malaun, dan sesiapa sahaja yang layak dipanggil manusia.
“Okay! Saya akan laporkan perkara ini kepada Tribuhak! Saya yakin Tribuhak saja yang tahu akan hak asasi manusia. Orang lain semuanya tak tahu!” Ahmad Debab merengus melepaskan perasaan marahnya. Dia berasa sangat terbela nasibnya setelah mendengar nama Tribuhak itu. Dia tidak akan diapa-apakan selagi ada Tribuhak. Dia akan selamat.
Kes 2
Sekonyong-konyong Cikgu Majid balik dari kelas sambil menutup mukanya. Perbuatannya itu nyata membangkitkan persoalan dalam kalangan rakan-rakan. Akhirnya, pecah cerita yang mengatakan Cikgu Majid ditumbuk oleh seorang pelajar tingkatan lima. Pelajar tersebut, Fazli, telah mengambil tindakan membelasah gurunya kerana dimarahi akibat tidak menyiapkan kerja rumah.
Maka pengetuapun memanggil Fazli. Beliau menyoal siasat pelajar kelas 5G itu untuk mendapat gambaran sebenarnya tentang kisah muka Cikgu Majid yang lebam kemerah-merahan. Dengan rasa bangga Fazli mengaku dialah yang menumbuk Cikgu Majid. Tubuh badannya yang gempal dan sasa itu memang sesuai dengan sikap panas barannya.
Mahu tidak mahu, pengetua terus membuat keputusan. Besoknya, di hadapan perhimpunan pagi sekolah tersebut, pengetua merotan Fazli dua kali. Peristiwa itu disaksikan oleh pelajar-pelajar lain dan guru-guru.
Berita hukuman rotan yang dikenakan terhadap Fazli sampai ke pengetahuan bapanya. Apa lagi, melentinglah orang tua itu. Terus sahaja dia terlintas untuk menghubungi Tribuhak.
Apabila kes itu dirujuk kepada pihak Tribuhak, tribunal itu mendapati hukuman terhadap Fazli menyalahi hak asasi manusia. Maka pengetua telah dianggap melanggar hak asasi kerana mengikut pendapat Tribuhak, walaupun pelajar melakukan kesalahan, mereka tidak boleh dirotan kerana perbuatan itu melanggar hak asasi seorang pelajar. Akhirnya tribunal membuat keputusan. Pengetua dan Cikgu Majid ditukarkan ke sekolah lain. Mereka didapati bersalah kerana melanggar hak asasi manusia. Begitulah besarnya kuasa Tribuhak dan hak asasi manusia itu sendiri. Sesiapapun kini tidak boleh mencabar hak asasi. Hak asasi adalah segala-galanya.
Kes 3
Seorang gadis Melayu yang comel berasal dari kampung datang ke kota untuk mencari pekerjaan sementelah di kampungnya kaum wanita semua sudah tidak bekerja lagi. Lebih-lebih lagi wanita cantik sepertinya. Selama ini dia hanya duduk menanti kalau-kalau ada orang datang meminangnya. Akan tetapi harapannya hanya tinggal harapan. Kawannya yang berhijrah ke kota beberapa tahun yang lalu pulang dengan segala kemewahan yang amat diidamkan oleh semua manusia.
Oleh sebab terlalu dikongkong di kampung tradisi yang rata-rata penduduknya berserah kepada takdir itu, si gadis berhasrat untuk ke kota mencari pengalaman hidup dan kesenangan yang tidak ada di kampungnya. Di bandar, si gadis bekerja di sebuah kilang. Rupa parasnya yang menawan menjadi intaian setiap jejaka. Hanya jejaka yang tidak waras sahaja tidak mahu menikmati kejelitaan wajah ciptaan Tuhan itu. Dan salah seorang jejaka itu ialah Johny Walker, seorang berketurunan kacukan Asia-Eropah.
Jejaka beragama lain ini jatuh cinta dengan si gadis dan ingin menjadikannya sebagai isteri. Di pihak gadis itu pula sama menaruh hati terhadap jejaka berlainan agama itu. Dalam hatinya dia berkata bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Bukankah, selama ini dia disogokkan bahawa kemiskinan di kampungnya telah ditakdirkan. Manusia tidak boleh melawan takdir. Kini dia sedang berdepan dengan takdir dirinya.
Maka berlakulah kekalutan apabila upacara perkahwinan si gadis itu dijalankan di sebuah rumah ibadat agama lain. Si gadis terlalu percaya bahawa semuanya itu telah ditakdirkan. Dia tidak kisah. Yang menjadi kisah apabila bapanya membawa beberapa orang untuk merampasnya daripada suaminya yang sah di sisi undang-undang itu.
“Engkau telah murtad. Engkau perlu kembali ke pangkal jalan,” herdik bapanya menghukum anak gadisnya yang selama ini tidak pernah terdedah kepada anasir-anasir luar.
“Siapa kata saya murtad. Inilah takdir. Sebagai manusia saya tidak boleh melawan takdir,” jawab si wanita muda itu dengan tegas. Selama inipun dia diajar bertegas oleh orang-orang kampung.
“Tapi perkahwinan kamu ini tidak sah. Suami kamu bukan beragama Islam,” bapanya bertambah berang apabila lelaki bukan Islam yang menjadi menantinya datang untuk mempertahankan isterinya.
“Kami akan bawa perkara ini ke Tribuhak!” kata si suami kepada wanita Melayu dari kampung itu.
“Tribuhak tu apa? Besar sangat ke kuasa dia?” tanya si bapa dengan marah.
“Tribuhak itu ialah kependekan kepada Tribunal Hak Asasi Manusia. Setiap manusia akan mendapat pembelaan Tribuhak. Saya manusia, isteri saya manusia. Jadi kami berhak melaporkan perkara ini kepada Tribuhak,” jawab lelaki itu dengan berani. Dia berani kerana dia akan dibela. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi hak asasi manusia. Tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi Tribuhak.

Kes 4
Malam itu hujan lebat. Lokman sedang memandu keretanya untuk pulang ke kampung di Kilang Besar, di Kedah. Baru lima belas minit tadi dia meninggalkan rumahnya di sebuah taman perumahan di ibu kota.
“Mana telefon ayah?” tiba-tiba anaknya Boy bertanya. Anak yang berusia dalam usia sepuluh tahun itu kesunyian seorang diri dalam kereta. Di depan bapa dan emaknya tidak berbual apa-apa sepanjang perjalanan. Manusia moden hari ini tidak banyak berkomunikasi secara berdepan. Sehingga urusan nikah cerai juga sudah boleh dilaksanakan melakukan alat-alat komunikasi yang artifisial sifatnya.
“Jangan main ‘game’, nanti bateri habis,” pesan Lokman kepada Boy sambil menunjukkan telefon bimbit yang terletak di tempat menyimpan barang dalam keretanya.
“Hello!” tiba-tiba Boy bercakap melalui telefon.
“Boleh saya cakap dengan Encik Lokman?” Boy seolah-olah bercakap dengan seseorang di hujung talian. Lokman yang sedang memandu tidak ambil kisah. Anak-anak sekarang memang bijak berlakon.
“Encik Lokman tak ada di rumah,” itulah yang didengarnya. Suara seorang lelaki di hujung talian menjawab.
“Dia ke mana?” tanya Boy lagi.
“Dia balik kampung. Ada apa-apa pesanan?” tanya suara lelaki di hujung talian.
“Tak apalah,” kata Boy sambil mematikan telefonnya. Dia bersandar selamba.
“Ehhh... siapa yang telefon di rumah kita tadi?” tiba-tiba Boy bertanya kepada bapanya yang sedang memandu.
“Apa Boy cakap?!” tanya Lokman dengan penuh kehairanan.
“Tadi Boy telefon ke rumah kita. Ada orang yang angkat...!!”
Lokman memberhentikan kereta serta merta. Kepala isterinya terhantuk ke cermin depan. Selepas itu mereka berpandangan antara satu sama lain.
Tanpa bercakap, Lokman mencari tempat untuk membuat pusingan. Dia memecut keretanya untuk pulang segera. Siapa pula yang menjawab telefon sedang mereka anak beranak dalam perjalanan balik kampung? Dalam perjalanan Lokman menelefon kawannya seorang pegawai polis supaya datang ke rumahnya.
“Assalamualaikum...!” Lokman memberi salam di luar pintu pagar rumahnya.
“Waalaikumussalam...!” terkejut sekali Lokman apabila seorang lelaki menjawab salamnya. “Nak cari siapa?” tanya lelaki itu lagi.
“Lokman ada di rumah tak?” Lokman mendapat akal yang diilhamkan oleh anaknya Boy.
“Katanya dia balik kampung. Tadipun kawannya dah telefon,”
“Awak ni siapa?” tanya Lokman dengan muka selamba.
“Dah tuan rumah tak ada, saya datanglah ambil apa yang patut. Saya tak ambil banyak, cukup untuk dijual buat membeli makanan anak-anak,” jawab lelaki itu.
“Awak ini pencurilah ye?” ujar Lokman.
“Mencuri pun satu pekerjaan juga, hi.. hi.. hi,” gelak kecil lelaki itu seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, sedangkan dia mencuri barang-barang berharga di rumah yang dimiliki oleh Lokman.
“Ini rumah saya..!!” tegas Lokman. Dia mula baik berang dengan sikap pencuri tersebut.
“Saya tak kata rumah ini rumah saya,” balas pencuri itu. Serentak dengan itu penumbuk Lokman hinggap di muka orang yang menceroboh rumahnya itu.
“Saya akan laporkan perkara ini ke pihak Tribuhak. Awak telah melanggar hak asasi manusia. Walaupun saya mencuri, perbuatan awak menumbuk saya menyalahi hak asasi manusia,” ujar si pencuri dengan lantang. Lokman terlopong mendengar kata-kata orang yang mengendong berbagai-bagai makanan dalam beg yang disandangnya. Lokman tahu barang-barang itu memang miliknya.
“Tribuhak!!!?” Tanya Lokman pantas dan terkajut.
“Ya, Tribunal Hak Asasi Manusia..” balas pencuri itu dengan penuh yakin.
“Apa yang Tribuhak boleh buat?” Tanya Lokman cemas.
“Tribuhak boleh buat apa-apa sahaja sekiranya hak asasi manusia dicabul,” jawab si pencuri dengan penuh bangga kerana dia tahu haknya akan tetap terbela walaupun dia mencuri.
Mendengar jawapan itu Lokman terdiam sejenak. Si pencuri berlalu pergi menghilangkan diri dalam malam yang semakin gelap.
Persidangan Lembaga Juri Tribuhak
Setelah semua kes dibacakan, maka juri-juri Tribuhak pun bersidanglah untuk menentukan keputusannya. Semua orang tertunggu-tunggu akan keputusan yang bakal dibuat walaupun sebenarnya keputusan itu sudah diketahui.
“Dalam kes 1, dengan Tribuhak telah memberikan kemenangan kepada Encik Ahmad Debab dengan keputusan 9-0. Kes 2 pula Tribuhak memberikan kemenangan kepada Fazli juga 9-0. Kes 3 pula Tribuhak memberikan kemenangan 9-0 kepada pihak gadis yang berkahwin dengan lelaki beragama lain. Kes 4 juga begitu keputusannya, si pencuri telah menang dengan keputusan 9-0. Tamat!”
Keputusan telah diumumkan. Rayuan tidak dibenarkan. Sanggahan juga tidak diperakukan. Kuasa Tribuhak memang hebat. Sesiapapun tidak boleh mencabar. Kini hak asasi sangat besar pengaruhnya. Remaja Palestin akan dihukum kerana melanggar hak asasi membaling batu terhadap tentera Israel yang membedil mereka dengan senapang. Rakyat kulit hitam Amerika turut dihukum kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pasukan polis kulit putih yang menghentam mereka dengan cota besi. Rakyat Iraq akan dihapuskan kerana melanggar hak asasi mengebom penjajah tanah air mereka.
Komunis-komunis tua dijemput dan diraikan atas nama hak asasi. Pencemar lagu-lagu patriotik disanjung atas nama hak asasi. Pengkhianat-pengkhianat negara diberikan layan kelas pertama atas nama hak asasi. Dan juri-juri Tribuhak juga bebas melakukan apa-apa sahaja atas nama hak asasi.
Kemenangan hak asasi kini diraikan. Pihak yang menang atas ihsan hak asasi melompat-lompat dan terkinja-kinja. Para juri Tribuhak turut menari sambil membogelkan diri di depan khalayak hak asasi. Tidak ada apa-apa lagi yang akan salah dan kalah kerana semua berlandaskan hak asasi.

Selasa, Julai 28, 2009

Politik Mendominasi Segala-galanya

Kadang-kadang saya menjadi terlalu muak membaca, menonton, mendengar bualan, dan membaca blog. Hal ini demikian kerana di negara kita sepanjang masa politik mendominasi segala-galanya. Perasaan muak ini mengganggu perhatian dan kehidupan seharian. Politik penting dalam kehidupan, akan tetapi jika keterlaluan diperkatakan timbul pula rasa kurang selesa terhadap mereka yang bergelar politikus.

Jumaat, Julai 24, 2009

Sejenak dalam hidup ini

Ketenangan yang kudambakan
barangkali sukar kutemui dalam usia ini
kerana kocak alam menggegar
riak tasik membuak
ritma maya mendesak.
Duduklah sejenak di tepi kolam hayat
nikmati suara pawana dari ufuk kirmizi
gema usia telah sampai ke laman firdausi
menanti embun pagi
di hujung ilusi.
Telah lama kaki melangkah
menginjak seribu daerah ghairah
dan lopak-lopak musibah
sesekali kita perlu berhenti
menjuntaikan emosi
ke dasar hakiki
di hujung hari.
24 Julai 2009.

Khamis, Julai 23, 2009

Hanya Sebuah Sajak

Malam sering mencuri sedikit rindu
tentang masa lalu
ketika langkah tidak terarah
diamuk pasrah.

Malam adalah saat bungkam
menangisi kelam
dan sarat dendam
yang kian terpadam
dalam ingatan berbalam
tentang masa silam.

Tidurlah aduhai permaisuri hati
buanglah segala sangkutan duri
yang menyiksa nurani
ke sudut pagi
kiranya dikau bermimpi nanti
hadirlah daku membawa ilusi
yang tidak bertepi.

Dan esok
segalanya belum pasti
masih ceriakah mentari
atau suram sepanjang hari.

Kala itu aku bukan lagi seorang penanti
yang kehilangan memori
tentang lumrah hidup ini
penuh cinta yang misteri
sebelum kita berangkat pergi.

Rabu, Julai 22, 2009

Bahasa Melayu VS populariti

Dalam Berita yang saya tonton tadi, kerajaan memutuskan untuk menimbangkan pemberian insentif kepada guru B Inggeris yang mengajar di luar bandar. Nampaknya guru-guru BI sedangn mencongak insentif tersebut seperti yang dialami oleh guru-guru PPSMI dahulu. Sekarang pun guru-guru BI sedang menerima insentif tersebut kerana subjek BI dianggap sebagai subjek kritikal. Dalam hal ini sekali lagi guru-guru BM akan mengigit jari. Walaupun slogan untuk memartabatkan BM melalui pemansuhan PPSMI telah diuar-uarkan, nampaknya BM akan tetap akan menjadi subjek kelas dua yang tidak dianggap sebagai kritikal.
Oleh yang demikian jangan terkejut kalau ramai yang lulus BM dalam peperiksaan tetapi tidak tahu bertutur dalam BM suatu hari nanti. Jangan terkejut bahasa rojak akan menjadi bahasa formal masyarakat Malaysia nanti. Jangan terkejut jika BM akan menghadapi fenomena VERBA VOLEN SCRIPTA MANEN, iaitu bahasa yang dituturkan akan terbang (pupus) dan bahasa yang ditulis akan kekal. Hal ini pernah berlaku pada bahasa Hebrew di Israel satu ketika dulu. Akan tetapi semangat orang kita tidak sama, jadi jangan terkejut BM akan pupus dari bibir orang Malaysia nanti. Bukan kerana hanya tiada insentif diberikan kepada guru BM, tetapi sikap dan keutamaan sistem dan juga pemimpin kita yang tidak terarah ke arah itu. Sebenarnya penentangan yang sebenar ialah bukan dari BI tetapi populariti segelintir manusia.

Tentang Polemik

Sekarang ini apa-apa sahaja yang terjadi biasanya akan menjadi bahan polemik. Nampaknya dunia politik Malaysia sangat meriah dengan pelbagai polemik. Kadang-kadang terfikir juga tentang politik Malaysia yang sangat rencam dan pelbagai. Maklumlah negara majmuk. Yang terbaru kematian seorang setiausaha politik turut menjadi polemik yang serius dan melibatkan banyak pihak dari golongan atasan dan dibualkan di peringkat paling bawah. Akan tetapi dalam hal ini saya lihat pendekatan defensif yang digunakan oleh pihak kerajaan terlalu memakan diri. Dalam permainan bola sepak, permainan bercorak defensif tidak akan mendatangkan kemenangan walaupun sekuat manapun pasukan itu. Permainan bercorak 'attacking' lebih berkesan kerana kadang-kadang pemain pasukan lawan akan menjaringkan gol sendiri.

Kemudian kita disajikan pula polemik UPSR yang dicadangkan supaya dimansuhkan. Polemik Kampung Buah Pala, polemik rumah bekas MB, polemik pusat sembelihan babi, dan macam-macam lagi. Dalam konteks pusat penyembelihan tersebut, saya amat menyokong tindakan kerajaan Kedah. Saya akan lebih menyokong jika kedai menjual daging haiwan tersebut di tengah-tengah Pekan Gurun turun dipindahkan ke tempat lain. Kalaulah kerajaan Kedah mendukung slogan 'Membangun Bersama Islam' nescaya kedudukan kedai tersebut sangat tidak manis. Itupun jika pembesar negeri sering melalui pekan tersebut.

Banyak lagi polemik yang akan muncul. Tidak kurang juga polemik tokoh politik yang berperanan seperti Jalud yang bercakap dengan suara orang lain. Seronoknya menjadi rakyat Malaysia. Sentiasa meriah dengan polemiknya...

Tentang Pemergian

Terkedu saya membaca blog bekas murid saya yang mengatakan salah seorang daripada rakannya semasa dalam tingkatan 6 dulu telah kembali ke rahmatullah. Saya sedih kerana saya pernah menjadi guru kelas mereka selama dua tahun iaitu pada tahun 1993/4. Ketika itu saya baru saja bertugas sebagai guru siswazah di Banting. Mungkin satu kelebihan saya, saya mudah mengenali dan mengingat nama murid-murid saya. Sebahagian besar nama murid saya masih sayang ingat sampai sekarang walaupun bilangan mereka sudah beribu-ribu. Ketika berjumpa kembali, saya mengambil masa sejenak dan selalunya saya akan ingat kembali nama mereka.
Berita pemergian bekas anak murid saya memang menyentap perasaan saya. Namun, kita harus menerima ketentuan Ilahi. Hanya alfatihah dapat disedekahkan kepada arwah Rubinah, bekas murid saya itu. Terima kasih Shidah yang menyiarkan berita itu dalam blognya. Kalian tetap dalam ingatan saya.

RAYA 2026