Selasa, Jun 11, 2019
Sabtu, April 27, 2019
Cerpen XUXI oleh Ghazali Lateh
Apabila dia
dipanggil ke istana, barulah Nayan sedar bahawa ulang tahun Dato’ Orkabo kini
kembali. Setiap tahun tugasnya
sama. Dialah yang diharapkan untuk
menjalankan aktiviti kesukaan Dato’ Orkabo. Setiap tahun, ketika menyambut ulang tahun, sayembara mendukung biawak hidup
akan diadakan. Setiap tahun ada pemenang
yang memenangi hadiah.
“Tahun ini aku akan tambah
hadiah!” kata Dato’ Orkabo kepadanya. Nayan
kaget sekejap. Kalau hadiah yang
ditawarkan lebih tinggi, kerjanya semakin berat. Dia terpaksa mencari biawak yang
benar-benar ganas.
“Berapa Dato’?” tanyanya spontan. Dato’ Orkabo memang kaya. Dia pengusaha ubat tenaga untuk lelaki yang
berjaya. Mendapat gelaran Dato’ sejak
berusia belasan tahun.
“Tahun ini aku akan tawarkan satu
juta xuxi,” balas Dato’ Orkabo. Dia ternganga mendengar jumlah hadiah yang
ditawarkan.
“Xuxi tu apa Dato’?” pertama kali dalam hidupnya dia mendengar
perkaraan itu. Tahun-tahun yang lepas
macam-macam bentuk hadiah yang ditawarkan.
Ada wang tunai. Ada emas, harta dan sebagainya.
“Xuxi tu mata wang aku sendiri. Aku orang kaya. Aku boleh buat mata wang
sendiri. Kau apa tahu?” sombong sekali bunyi jawapan Dato’ Orkabo. Dia tunduk.
Ada rasa jengkel tumbuh di jiwanya.
Sedikit memberontak.
“Sama dengan ringgitkah?” Nayan maih mahu kepastian.
“Lebih! Nilai ringgit sekarang sudah jatuh. Nilai xuxi lebih tinggi,” mendengar jawapan itu dia mula membayangkan nilai sejuta xuxi itu. Sudah pasti melebihi satu juta ringgit.
“Apakah tugas saya Dato’?” hatinya mula berbunga. Jika hadiah sejuta xuxi, dia cuba
membayangkan upah yang akan diberikan oleh Dato’ Orkabo kepadanya.
“Aku mahu kau cari biawak paling
ganas. Sebaik-baiknya yang tidak dapat
didukung ke garisan penamat,” arah Dato’
Orkabo. Dia mula membayangkan isi hati
Dato’ Orkabo. Orang kaya itu tentu tidak
ikhlas menawarkan hadiah sebanyak sejuta xuxi itu. Jadi sekarang peranan terletak di bahunya. Dia tahu Dato’ Orkabo mengharapkan dia
mencari biawak yang paling ganas.
Tugasnya sejak beberapa tahun
menjadi semakin sukar. Semua jenis biawak sudah dibawanya dalam sayembara
yang lalu. Paling akhir, tahun lepas dia membawa biawak
komodo. Bayangkan betapa sukar dia pergi
ke pulau Komodo untuk menangkap biawak tersebut. Apatah lagi dia mesti membawanya
hidup-hidup. Beratnya sahaja 70 kilogram
hingga 120 kilogram bagi yang jantan matang. Yang betina pula antara 50
kilogram hingga 100 kilogram. Panjangnya
pula mencecah dua meter. Itu tidak
termasuk bisa gigitannya yang boleh membunuh seekor kerbau.
Namun, oleh sebab upah lumayan yang
ditawarkan oleh Dato’ Orkabo dia berhasil membawa pulang. Hasilnya sayembara mendukung biawak hidup itu
berjalan lancar. Ada pemenangnya.
Peserta hanya diperlukan mendukung biawak hidup itu sejauh sepuluh ela.
Sekembalinya dari rumah Dato’ Orkabo,
dia pula berfikir. Tugasan yang
diberikan kali ini sukar. Apa lagi
spesies biawak yang lebih ganas daripada biawak komodo. Mula-mula dulu dia disuruh menangkap biawak
pasir. Mudah baginya. Kemudian dia menangkap biawak air. Tahun berikutnya dia membawa biawak serunai.
Tahun berikutnya lagi dia membawa biawak kudung. Yang penting setiap kali sayembara mendukung
biawak hidup itu suasananya sangat meriah.
Setiap kali itu juga dia mendapat upah yang lumayan daripada Dato’
Orkabo. Kemuncaknya, tahun lepas apabila
ada peserta yang mati digigit Varanus komodoensis, biawak komodo itu. Dato’ Orkabo sangat berpuas hati apabila ada
peserta yang luka-luka dan mati akibat sayembara tersebut.
“Mana aku
nak cari biawak yang lebih ganas?” dia
merungut seorang diri. Namun
membayangkan upah dan hadiah besar yang ditawarkan, hatinya berbunga
kembali. Peluang ini tidak harus
dilepaskan. Jika hadiahnya sejuta xuxi,
upah untuk mencari biawak itu sudah tentu lumayan. Berulang-ulang fikiran itu
datang.
Bagi Dato’
Orkabo pula, dia tidak peduli. Setiap
kemahuannya mesti dijadikan kenyataan.
Tahun ini ulang tahunnya ke seratus.
Dia kaya. Hasil jualan produk tenaga lelakinya menjadikan dia
benar-benar kaya. Orang kaya sepertinya
boleh berbuat apa-apa sahaja. Kali ini
dia mahu melihat sayembara lebih meriah.
Dia yakin dengan kemampuan orang suruhannya, Nayan untuk memenuhi
hasratnya.
Hari yang
ditunggu-tunggu tiba akhirnya. Sayembara mendukung biawak hidup diadakan.
Syaratnya, peserta perlu menangkap dan mendukung biawak ke garisan
penamat. Jaraknya dua puluh lima ela. Peserta
yang berjaya melakukannya, Dato’ Orkabo akan memberikan hadiah sejuta
xuxi. Guni yang penuh dengan wang kertas
itu diletakkan di atas meja di pentas utama, dijaga oleh pengawal bersenjata.
Peserta-peserta sudah datang ke padang di depan
istana Dato’ Orkabo. Kali ini yang
datang bukan calang-calang orang. Paling
awal datang ialah Raja Pawang. Dia
memakai sut berwarna kelabu, lengkap dengan dasi dan songkok tinggi. Dia diiringi oleh beberapa orang pembantu
yang membawa kelengkapannya.
Raja Pawang
mengadakan sesi ritualnya di luar padang, dibantu oleh pembantunya yang
berpakaian lengkap pahlawan Melayu.
Ritual dimulakan dengan acara membaling buah durian musang king ke tanah. Kemudian Raja Pawang mengeluarkan teropong
ajaibnya. Dia meneropong ke seluruh angkasa.
Hadirin memerhatikan gelagat Raja Pawang dengan penuh minat.
“Menurut
alamat teropong ajaib ini, saya akan
berjaya mendukung biawak hidup itu hingga ke garisan penamat,” dengan yakin Raja Pawang membuat
pengumuman. Hadirin bertepuk
tangan.
Kemudian
datang pula peserta raja tomoi. Dia juga
memulakan ritual tomoinya di luar padang.
Tertonggek-tertonggek dia ke hulu ke hilir menunjukkan kehebatannya. Jampi serapah dibacanya sambil
dihembus-hembus ke udara beberapa kali.
Orang ramai bertepuk tangan juga.
Kali ini memang sengit sayembara mendukung biawak ini.
Datang pula
raja kuntau, raja jampi, raja silat pulut, raja karate, raja judo, raja lawak
dan macam-macam raja lagi. Semuanya
mempunyai niat yang sama. Peluang
mendapat hadiah sejuta xuxi tidak harus dilepaskan begitu sahaja.
Apabila
pertandingan bermula, semuanya berkumpul di tepi padang. Peserta-peserta telah diundi untuk
mendapatkan giliran. Masing-masing yakin
akan memenangi sejuta xuxi itu. Kemudian petugas pertandingan membuka pintu
sangkar besar yang bertutup. Apabila
pintu sangkar dibuka, kelihatan seekor biawak yang sangat besar merangkak
keluar. Hadirin mula membuat
bising. Kali ini biawak yang akan
didukung oleh peserta memang besar, lebih besar daripada tahun-tahun yang lalu.
Dari atas
pentas Dato’ Orkabo bertepuk tangan.
Melihat saiz biawak tersebut, ada kemungkinan tawaran hadiah tersebut
dapat diselamatkan. Dia mendapat
keuntungan. untung kerana setiap peserta yang mengambil bahagian terpaksa
membayar yuran penyertaan yang tinggi.
Hadirin juga dikenakan bayaran kerana tahun ini pertarungan sangat
sengit.
Raja silat
pulut memdapat giliran pertama. Dia pun
masuk ke tengah padang dengan sembah silatnya yang cantik. Pasukan gendang silatnya memalu gendang
dengan rancak. Dia pun melangkah ke arah biawak besar yang sedang menanti.
Ditangkapkan
biawak itu dengan jurus lima. Dikilasnya sebelah kaki depan biawak itu. Apabila
hendak diangkat ke atas belakangnya, dia terasa ada sesuatu yang menusuk di
rusuk kanannya.
“Aduhhh…!!” jeritnya, seraya melepaskan biawak itu ke
tanah. Ada darah mula membasahi baju
silat pemberian gurunya. Orang ramai
menjerit kegirangan. Dato’ Orkabo
bertepuk tangan dengan kuat apabila ternampak raja silat puluh tergesa-gesa ke
luar padang.
Kemudian
masuk pula raja tomoi. Selepas
melaksanakan ritual buka gelanggangnya, diapun menerpa ke arah biawak itu. Akhirnya dia berjaya memasung biawak dan
diangkat ke atas belakangnya. Namun,
tiba-tiba raja tomoi menjerit. Biawak itu dilepaskan. Tangannya memegang tengkuknya yang mula
berdarah. Ternyata tengkuknya telah
digigit dengan kuat oleh biawak yang cuba didukungnya.
Seorang demi
seorang peserta masih gagal mendukung biawak itu untuk ke garisan penamat.
Akhirnya tibalah giliran Raja Pawang.
Dengan ilmu kepawangannya dia berhasil mendapat giliran terakhir. Ada
banyak kelebihan apabila mendapat giliran terakhir. Sudah tentu biawak itu sudah lemah dikerjakan
oleh peserta-peserta terdahulu. Tugasnya
akan menjadi lebih mudah. Peluang untuk menang amat cerah. Dia sudah membayangkan betapa banyaknya
hadiah sejuta xuxi itu. Yang penting wang hadiah itu halal, bukan hasil rasuah
atau penyelewengan.
Raja Pawang
melangkah dengan yakin ke tengah padang.
Dia membaca jampi serapahnya beberapa ketika. Kemudian dia menabur beras kunyit ke arah
biawak yang akan ditentangnya. Dengan
teropong hikmatnya, dia meneropong ke arah biawak itu, kemudian menghala laras
teropongnya ke angkasa. Dia memberikan
teropong itu kepada pembantunya.
Dengan mulut
kumat-kamit dia berjalan ke arah biawak besar itu. Beberapa ketika biawak itu
kelihatan lemah. Dia merenung tunak ke mata biawak itu. Raja Pawang tersenyum
yakin. Dia akan menjadi kaya. Darjatnya Raja Pawang yang dipegangnya akan
melonjak. Sudah lama dia diketawakan.
Kali ini dia akan menjadi lebih dihormati. Hadiah sejuta xuxi itu akan menjadi miliknya. Tugasnya sekarang hanya menangkap biawak itu
dan mendukungnya. Dia cuma perlu mendukung biawak hidup itu sejauh dua puluh lima
ela.
“Ahhhh…!!!” Raja Pawang bertempik kuat. Serentak dengan itu dia melompat ke hadapan
biawak yang kelihatan semakin lemah. Dengan pantas Raja Pawang menangkap biawak
besar itu. Dia berhasil mendukungnya. Sepenuh
kudratnya dikerah. Terasa berat biawak itu menekan belakangnya. Namun biawak
itu sudah kurang melawan. Jampi serapah yang dibacanya berhasil melemahkan
biawak hidup itu.
Raja Pawang
melangkah ke arah garisan penamat. Selangkah demi selangkah. Dia semakin yakin. Sorakan penonton semakin
bingit, tiada kedengaran apa-apa lagi.
Sorakan itu benar-benar membakar semangat Raja Pawang.
Sudah lima
ela dia melangkah. Biawak itu tidak mencakar, tidak menggigit seperti yang
dialami oleh peserta lain. Hebat sungguh
ilmu perbomohan Raja Pawang. Kini sudah sepuluh ela dia melangkah. Tiba-tiba langkah Raja Pawang terhenti.
“Kau jangan
berhenti. Kau tahu apa yang terjadi pada
peserta sebelum ini? Aku ada pisau. Kau
bawa aku sampai ke garisan penamat. Tapi hadiah sejuta xuxi itu mesti
kauserahkan kepadaku nanti. Kau janji.
Kalau tidak aku tikam kau sekarang juga…!” terdengar suara ugutan biawak itu. Dia
menjeling ke kanannya. Ternampak pisau tajam berkilat di tangan biawak itu
menghala ke arah lehernya. Terasa cuak
di hatinya. Dia terlupa segala jampi yang dipelajarinya selama ini. “Janji!!”
desak biawak itu dengan suara berbisik.
“Aku janji!
Aku janji!” Raja Pawang terasa kecut.
Dengan kudrat yang ada, perlahan-lahan dia melangkah ke garisan penamat. Sorakan penonton semakin gamat. Biawak di belakangnya meronta-ronta kecil.
Akhirnya Raja Pawang tiba ke garisan penamat.
Biawak itu dilepaskan dan merangkak lemah masuk ke kadang di tepi
padang.
Di pentas, Raja
Pawang dijulang oleh pembantu-pembantunya.
Dato’ Orkabo telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dengan muka
yang masam. Seguni duit yang bernilai
sejuta xuxi telah bertukar tangan menjadi milik Raja Pawang. Maka majlis sayembara mendukung biawak hidup sempena
ulang tahun kelahiran Dato’ Orkabo pun berakhir.
Pagi itu
Nayan bangun awal. Dia ingin ke bank
untuk menukar mata wang xuxi yang dimenangi oleh Raja Pawang ke mata wang
ringgit. Guni duit itu akan dipikulnya seorang diri. Semasa melewati rumah Raja Pawang, dia
ternampak kelibat Raja Pawang berpakaian sut lengkap sedang menggunakan
teropong hikmatnya, meneropong ke angkasa.
Nayan ketawa sendirian.
“Gila!!” tambahnya.
“Maaf
Encik! Dalam rekod mata wang dunia,
tidak ada mata wang xuxi ini,” pegawai
bank memberitahu Nayan sambil tersenyum sinis. “Mungkin bank belakang rumah
encik boleh tukar,” tambah pegawai
itu. Nayan terasa pandangannya
kabur. Dia melangkah keluar bank dengan
langkah yang lemah.
“Encik, bawa
duit encik ni sekali…! Jerit pegawai
bank itu.
Dalam
perjalanan pulang, Nayan masih nampak Raja Pawang meneropong ke angkasa. Dia pun terus mendapatkan Raja Pawang.
“Boleh saya
pinjam teropong?” pinta Nayan.
Sabtu, Februari 16, 2019
Sajak Persaraan Guru Bahasa Melayu/Sastera Melayu
SANJUNGAN BUDI LESTARI KASIH
Telah kau
bermula dalam damba jiwa
menjadi
pendidik pemangkin wibawa
mendaulatkan
bahasa ibunda
menyemarakkan
pesona sastera
ke puncak
persada.
Telah kau
telusuri semua liku perjalanan
mengutip
butir-butir mutiara pengalaman
mengorak
langkah kemahuan
menanjak tangga keazaman
kau gapai
segala kekaguman.
Tanpa sedar
luas sudah medan terpugar
suaramu
semakin megah menggegar
berjuang
dengan minda dan rasa
berdagang
dengan budaya dan bahasa
berpegang pada
citra nan perkasa.
Kini kau tiba
di suatu persimpangan
setelah kau
raih segala piala kemenangan
melengkapi
sebuah perjuangan
menobat agenda
kegemilangan
budimu tuan
menjadi sanjungan.
Kini kami
kehilangan kata-kata
rusuh
mengepung titis nyeri di tubir mata
kesedihan
tidak terungkap nyata
menghitung
budi lestari abadi
menilai kasih
dan indah peribadi
di sudut
memori.
Ke mana harus
kami mengadu sendu
bagaimana harus kami luahkan rindu
sedangkan saat keberangkatan ini tentu
kau akan meninggalkan legasimu
setelah lama menabur ilmu
setelah akrab menobatkan mutu
di setiap liku penjuru
perkhidmatanmu.
Doa kami untukmu tuan sanjungan
segala budi tetap lestari dalam kenangan
kasihmu tuan biarlah berpanjangan
ikatan ini dileraikan jangan.
Sapalah jika masih ada ingatan
tegurlah jika tiada keberatan
berangkatlah dalam doa keberkatan
di hati kami, tuan umpama gemerlap intan.
Dr Ghazali Lateh
Banting
2/1/19
Sabtu, Disember 08, 2018
Travelog India 2018
Travelog India 2018
26 November 2018 saya berangkat ke New Delhi pada jam 7 petang. Penerbangan ke Delhi mengambil masa 5 jam lebih. Tiba di sana jam 10.30 malam waktu Delhi. Perbezaan waktu Delgi dengan Kuala Lumpur adalah 2 jam setengah. Saya telah menempah hotel berhampiran lapangan terbang. Pada pukul 12.30 baru tiba di hotel untuk merehat diri. Pada asalnya saya berhasrat untuk berehat di Visitors Lounge sahaja, namun suasana di situ kurang kondusif.
Besoknya kami bergegas ke lapangan terbang kerana pesawat akan berlepas pada 7.50 pagi. Namun oleh sebab cuaca di Srinagar kurang baik, penerbangan ditunda ke pukul 9. Pemeriksaan keselamatan di Indira Ghandi International Airport sangat ketat. Barisan menunggu pemeriksaan keselamatan sangat panjang.
Penerbangan terlewat hampir dua jam. Akhirnya kami mendarat di Srinagar dalam pukul 11.30. Suasana di Srinagar berkabus dan sejuk. Kami terus mendaftar masuk di Hotel Royal Batoo. Pada jam 1.00 petang, kami dibawa bersiar-siar di sekitar bandar Srinagar. Kami melawat beberapa tempat menarik termasuk pasar awam di pinggiran Tasik Dal. Pada malamnya kami tidak ke mana-mana.
Besoknya, pukul 9.00 pagi, pemandu kami, Nisar tia di hotel. Kami bertolak ke Gulmarg dalam suasana pagi yang berkabus. Lalu-lintas di jalan agak kelam-kabut. Bunyi hon kereta membingitkan telinga. Rupa-rupanya membunyikan hon kenderaaan merupakan satu amalan yang digalakkan di negara India. Dalam jam 10.30 kami tiba di Gulmarg. Kami diperlukan mengambil seorang pemandu pelancong untuk memudahkan aktiviti. Kami juga perlu menyewa sepasang pakaian salji untuk aktiviti di kawasan bersalji. Kami menaiki gondola ke puncak pertama. Terdapat dua stesen gondola yang mengenakan bayaran yang berbeza-beza. Salji menutupi seluruh kawasan pergunungan Gulmarg. Kami bernasib baik kerana dua minggu sebelumnya salji turun dengan lebat tetapi semasa kami tiba salji hanya menutupi permukaan tanah.
Kami mrelakukan pelbagai aktiviti seperti menaiki andur salji yang ditarik oleh manusia, bermain ski, menaiki snowbike dan sebagainya. Setiap aktiviti dikenakan bayaran yang tertentu. Kami meneroka gunung yang dipenuhi salji dengan snowbike. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di beberapa premis perniagaan seperti gedung permaidani dan pakaian, buah-buahan kering, dan cenderamata.
Pagi berikutnya kami ke Pahalgam. Pemandangan kawasan pergunungan Pahalgam sangat indah. Khabarnya lembah Pahalgam merupakan lokasi penggambaran sebuah filem Hindi yang terkena iaitu Bajrangi Baijaan terbitan dan lakonan Salman Khan. Kami menunggang kuda ke kawasan perkampungan di lereng gunung. Kemuncak akiviti itu kami sampai ke se buah kawasan yang dinamakan Mini Switzerland, kawasan pemandangan indah seperti di negara Eropah tersebut. Aktiviti menunggang kuda sangat mencabar dan merupakan pengalaman yang sangat indah.
Keesokannnya kami ke Sonamarg, sebuah kawasan yang sentiasa dilitupi salji. Pemandangannya sangat indah kerana kawasan pergunungannya memutih ditutupi salji. Kami menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk meneroka kawasan pedalaman yang mencabar. Kami sampai di kaki gunung yang bersempadan dengan Pakistan. Tempat ini dikenali dengan nama Last of Kashmir.
Hari keempat kami melawat di sekitar Srinagar sambil beli-belah. Petangnya kami dibawa ke Boathouse. Kami akan menginap di rumah bot tersebut satu malam. Sebelum senja kami menaiki sebuah sampan Shikara untuk melawat di sekitar Tasik Dal. Kami singgah di beberapa buah kedai di sekitar tasik.
Hari kelima kami kembali ke Delhi. Seperti biasa pemeriksaan keselamatan sangat ketat. Sebelum masuk ke kawasan lapangan terbang, semua bagasi diimbas oleh pasukan keselamatan. Kami tidak dibenarkan masuk ke bangunan lapangan terbang walaupun suhu ketika itu 2o C. Kami beratur dalam kedinginan sehingga dibenarkan masuk. Semua beg diperiksa sekali lagi. Akhirnya pa 9.40 pagi kami terbang ke Delhi.
Di Delhi, saya telah menempah sebuah hotel di kawasan Jama Masjid, iaitu kawasan majoriti orang Islam. Kami sangat terkejut dengan suasana lalu-lintas di kawasan ini yang tidak keruan. Bunyi hon kenderaan sangat bising. Kenderaan seolah-olah tidak perlu akur kepada peraturan. Akan tetapi setelah tiga hari berada di situ, kami mula faham akan keadaannya.
Malam itu kami berjalan kaki ke pintu1 Jama Masjid. Kami makan ayam goreng di Restoren Haji Mohamed Hussain. Pelanggannya penuh. Di luar kedai, ramai gelandangan yang menanti untuk diberikan makanan. Ramai kanak-kanak datang meminta wang. Keadaan lorong sangat sesak dengan ribuan manusia melaluinya. Beca, motorsikal, tut-tut berebut-rebut mahu mendahului antara satu sama lain.
Pagi yang berikutnya, kami bertolak ke Agra untuk melawat Taj Mahal. Jaraknya agak jauh. Pemandu kami Ravi sudah menunggu sejak jam 6 pagi. Kami melalui Lebuh raya Yamuna untuk ke Agra. Yang agak menjengkelkan ialah kejadian penumpang kenderaan yang membuang air kecil di pinggir lebuh raya walaupun disediakan kawasan R&R yang baik.
Di Agra, lalu-lintas juga tidak ada sistem. Semuanya sangat kelam-kabut dan kawasannya sangat berdebu. Kami dibantu oleh seorang pemandu pelancong untuk memudahkan lawatan. Hampir dua jam kami menikmati keindahan Taj Mahal yang menakjubkan itu. Sebelum pulang kami dibawa untuk beli-belah.
Hari yang berikutnya kami bersiar-sia di sekitar Delhi. Ravi membawa kami ke beberapa tempat menarik termasuk India Gate, President House, dan Rajghat. Kami menolak untuk melawat tempat-tempat lain kerana terpaksa beratur panjang untuk masuk. Akhirnya kami pergi ke pasar raya untuk makan dan beli-belah.
Pada hari terakhir, kami sempat lagi menaiki beca dan mengelilingi sekitar kawasan Jama Masjid seperti Spice Bazaar, Meena Bazaar dan pusat-pusat jualan cenderamata. Kami berangkat pulang pada malam itu dengan Air Asia pada 11.15 malam.
Banyak perkara yang boleh dikongsi berdasarkan pengalaman hampir 9 hari di India. Di Srinagar, orangnya baik-baik dan peramah. Srinagar dipenuhi oleh askar yang berkawal di segenap penjuru bnadar. Hal ini disebabkan kebangkitan rakyat Kashmir untuk menuntut kebebasan dari India. Orang Kashmir merupakan etnik yang berbeza daripada orang India. Bahasa mereka juga berbeza. Majoriti orang Kashmir beragama Islam. Rata-rata orang Kashmir menjelaskan bahawa mereka mahu sebuah negara yang bebas.
Di Delhi, wujud kepelbagaian etnik, budaya dan agama. Namun mereka hidup dalam keadaan harmoni. Bagi pelancong, mereka perlu berhati-hati dengan tawaran perkhidmatan yang diberikan. Hal ini demikian mereka akan cuba menipu kita dengan mengenakan bayaran yang tinggi berbeza daripada yang dijanjikan. Yang peliknya, sepanjang saya di India saya tidak menemukan penduduknya bercakap dalam bahasa Tamil.
Namun, keseluruhannya, pengalaman 10 hari di India adalah sangat bermakna dan berharga. Kita dapat membuat perbandingan bahawa betapa baiknya keadaan negara kita jika kita banyak melawat negara luar.
Khamis, Oktober 04, 2018
Isnin, September 03, 2018
Selasa, Jun 26, 2018
Khamis, Mac 22, 2018
Travelog Padang 2018
Seperti biasa, saya tidak merancang untuk melancong. Keputusan untuk ke Padang saya buat dua hari
sebelum berangkat. Kami berangkat dengan
pasawat Air Asia pada 19 Mac 2018 jam 7.25 pagi. Sesampai di bandar Minangkabau, saya menyewa
sebuah van untuk kegunaan kami di Padang dan Bukit tinggi. Bayarannya RM550 untuk empat hari.
Sebaik sahaja sampai, kami ke pasar pagi di kota Padang. Suasananya seperti pasar minggu di Malaysia. Kemudian kami ke Pantai Air Manis. Kami menyewa dua buah ATV dengan bayaran 100,000 rupiah setiap satu untuk tempoh satu jam. Kami meronda di sekitar pantai dan melawat lokasi legenda Malin Kundang. Kemudian, kami makan siang di sebuah restoren berdekatan. Kami menginap di hotel Axana. Malam itu kami keluar makan malam di Pondok Ikan Bakar, berhampiran pantai. Oleh sebab hujan, kami pulang ke hotel agak awal.
Tengah hari itu kami bertolak ke Bukit Tinggi. Dalam perjalanan kami berhenti beberapa kali di kawasan tarikan wisata dan pusat kraftangan. Saya dapati ramai pelancong Malaysia yang datang ke Padang kerana ketika ini cuti sekolah. Di Bukit Tinggi kami menginap di Novotel. Sebelah malamnya, kami ke dataran Jam Gadang untuk beli-belah. Sebenarnya ini kali kedua saya ke Bukit Tinggi. Kali pertama pada tahun 2015, datang melalui Pekanbaru. Malam itu kami hanya santai sambil menonton persembahan nyanyian di hotel.
Keesokannya kami membeli buah tangan sebelum berangkat ke Puncak Lawang dan Danau Maninjau untuk menikmati pemandangan indah. Rancangan awal untuk bermalam di sekitar danau tidak jadi kerana hari masih terlalu awal. Dalam perjalanan kami berhenti beberapa kali. Antaranya di kawasan pembuatan gula tebu secara tradisional. Kami juga berhenti untuk makan durian di Parit Panjang. Harga durian di sini sangat murah berbanding di Malaysia. Saya membuat keputusan untuk pulang ke Padang. Di Pandang Panjang kami singgah di pusat kebudayaan dan bergaya dengan pakaian tradisional orang Minangkabau.
Malam terakhir di Padang kami menginap di Hotel Rocky
memandang beberapa hotel di tepi pantai sudah penuh. Kami meronda di sekitar hotel tetapi hujan
turun dan kami terpaksa pulang awal.
Pagi esoknya saya berborak-borak dengan penduduk tempatan. Selepas itu kamu ke muzium berdekatan untuk
mendapatkan maklumat tentang kejadian gempa bumi 2009 itu. Dari gambarnya dapat dilihat bahawa peristiwa
tersebut sangat dahsyat dan mengerikan. Sebahagian besar Kota Padang Musnah
dalam kejadian tersebut. Saya sangat
terkesan dengan cerita seorang pemuda
terpaksa memotong kakinya sendiri yang tersepit kerana tidak tahan menanggung
kesakitan. Saya berfikir betapa
beruntung rakyat Malaysia kerana terhindar daripada bencana gempa bumi.
Langgan:
Catatan (Atom)
Travelog Pattani Hatyai 2026
Saya telah melancong ke Pattani pada 23 Oktober bersama-sama isteri dan anak saya. Perjalanan kali ini agak berbeza kerana kami mengguna...
-
Bak Air Yang Mengalir Bak air yang mengalir. Tiba jua kiranya di muara waktu, Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu, Pada jejak...
-
Tiba jua di persimpangan ini, Barulah kita tahu besarnya erti budi, Makna jalinan kasih yang abadi, Semarak mesra yang mercup dalam manis bi...
-
Inilah kisah kerjaya mulia, Mendidik mengajar selagi terdaya, Ibarat lilin memberi cahaya, Bukan balasan harta pintanya. Guru itu sanggup be...








































































