Selasa, Jun 21, 2011

Tersembunyi

Renunglah dengan mata hati
setiap apa yang terjadi
di alam mimpi mahupun realiti
pasti ada yang tersembunyi
untuk kita cari
makna hakiki.

Debur ombak yang membadai
adalah tanda kecil gejolak jiwa
yang tidak berhenti denyutnya
mengorak kesima
melambung pesona
ke ufuk buana.

Yang kita lihat
semuanya membaur erti
mumpung kita masih mahu mengerti
akan anugerah Ilahi
pasti

Pantai Pengkalan Balak, Melaka
8 Jun 2011

Sabtu, Jun 18, 2011

Tips Penulisan

Dari mana datangnya idea?

Untuk mendapat idea atau ilham, kita mesti peka dengan

i.   Isu semasa

ii.  Cerita rakan dan saudara
iii.  Pembacaan
iv.  Media elektronik
v.  Cerita orang zaman kita kecil
vi. Pengalaman diri dan orang lain
v.  Mimpi

Atau apa-apa sahaja yang menarik dan dapat menarik minat orang membaca. Menulis bukan aktiviti 'syok sendiri'  tetapi yang dapat menceritakan pengalaman luar biasa, menjana pemikiran, mengkritik, menasihati, memprotes, menunjukkan sokongan, dan lain-lain.  Idea yang ingin diketengahkan barangkali idea sebenarnya dikreatifkan atau idea bertentangan dengan sumber yang didapati.  Idea atai ilham sangat penting, tetapi ilham perlu diteroka dan penulis tidak wajar hanya menunggu ilham datang.  Misalnya, berdasarkan isu alam penderaaan kucing kita boleh menulis  berdasarkan kucing dari persepsi kucing itu sendiri.  Bayangkan diri kita sebagai kucing, apakah yang kita rasakan jika diri didera.  Bayangan itulah yang menjadi ilham, barangkali di luar batas logik tetapi akan menjadi menarik dengan kemampuan bahasa yang baik.

Selasa, Jun 14, 2011

Cuaca

Dongak ke langit
kumulus rimbun
tiada hujan
angin mendayu
pohon melintuk manja.

Sedetik berlalu
tersebar khabar
berlaku gegaran di tanah seberang
manusia di sini terasa melayang.

Malam besok bulan gerhana
barangkali awan tidur lena
memnungkinkan kami melihat maya
dalam fitrah-Nya.

Dangau Marhaen,
10.15 mlm.  14/6/2011

Isnin, Jun 13, 2011

Usia


Malam menjalar diam
sesekali terbangun dek mimpi ganas
pagi pun menyapa dengan suara dingin
ufuk terbangun dalam sinar terang.

Bergerak lagi hari ini
memilih jalan dan destinasi
kehidupan seperti gulungan tali
terlerai dan bertaut kembali
berserabut mahupun rapi
dalam simpulan mati.

Tanpa sedar kita menggerak carta
menambah umur atau mengurang usia
masih memburu impian dan harapan
membina kemahuan dan keinginan
sepanjang jalan.

Ketika sore mengilas jeling
tidak terlintas renta yang mengerling
ketika mengadap-Nya ketika senja tua
barulah tahu bahawa kudrat makin terdera
disesah nafsu yang tidak terpelihara
ke dalam lara.

Malam pun kembali
dengan segala sunyi dan hening diri
usia bergerak selangkah lagi
ke dalam mimpi yang tidak pasti.

Banting,

13/6/2011

Rabu, Jun 08, 2011

Pengkalan Balak

Ombak bergulung kecil,
di sudut pantai terpencil,
semilir bayu dari samudera jauh,
menyapa diri di bawah teduh. 

Sejenak hadir tanpa rencana,
tercetus seribu warna pesona,
sekian lama tidak terlintas,
lantaran ruang kian terbatas. 

Pengkalan Balak, 
sapaanmu mesra dan galak,
menggamit memori masa lampau, 
kenangan lama tampil mengimbau.

Aku hanya perantau sepi, 
memugar nostalgia tak bertepi,
maafkan kerana aku ketandusan waktu,
dan hidup kian diasak buntu. 

Pangkalan Balak,
Melaka.
8/6/2011

Selasa, Jun 07, 2011

Koleksi Bonsai yang Tak Menjadi

Beginilah rupanya bonsai saya yang tidak berapa menjadi.  Kini baru saya tahu, menjaga bonsai juga perlu ada ilmunya.  Satu lagi perkara penting dalam memelihara bonsai ialah 'kesabaran'.  Mungkin itu yang saya tak ada.

Ahad, Jun 05, 2011

Cerpen Libas (Berita Minggu 5/6/2011)

Memang benar. Perlawanan ini bukan sahaja perlawanan akhir tetapi perlawanan untuk menentukan maruah. Peluang untuk memang tetap ada walaupun pasukan yang akan ditentang nanti johan menunggu. Sebelum ini pun pasukan Libas Balun hampir berjaya menewaskan pasukan Libas Gulung itu. Akan tetapi nasib tidak menyebelahi.

“Kita kena bersedia fizikal dan mental,” kata Mat Dubuk, tekong pasukan Libas Balun. Mat Angguk, yang menjadi apit kanan hanya tersenyum sambil mengurut janggut. Mat Kaduk hanya tersengih dengan mata sepetnya melilau. Dia apit kiri yang bertanggungjawab melibas bola tanggung yang diumpan oleh Mat Dubuk.

“Kita perlu cari sokongan juga. Kalau ramai orang yang menyokong kita, pasti psikologi Libas Gulung akan terjejas,” kata Mat Kaduk.

Inilah dunia sepaktakraw. Kombinasi tiga orang pemain sangat penting. Tekong menanti bola yang diumpan oleh apit kanan. Mat Angguklah apit kanan mereka. Dia tidak mampu melibas. Dia hanya pengumpan bola.

Mat Angguk tahu peranannya dalam pasukan. Dia tahu peraturan sepak takraw. Permainan itu berasal dari permainan Cina iaitu ‘cuju’ bermaksud menendang bola. Sukan ini terkenal di Malaysia dan Thailand pada tahun 1400. Dikenali sebagai ‘takraw’ dalam Thai. Dalam bahasa Melayu disebut sepak raga, di Filipina disebut ‘sipa’, di Burma disebut ‘Chinlone’, di Laos disebut ‘kator’. Pada 1740 peraturan-peraturan permainan diperkenalkan. Khabarnya permainan itu dimainkan pertama kali di Negeri Sembilan.

“Kali ini kita mesti menang!” kata Mat Dubuk yakin. Walaupun usianya semakin tua, dia tetap bersemangat. Semangat dubuk. Sudah lama dia mengidam untuk menjadi juara. Namun kehebatan pasukan Libas Gulung sukar ditandingi. Sejak dahulu umpanan mereka tepat, sepakan tekong juga amat mengelirukan dan tajam. Sementara libasan gulung pasukan tersebut sukar ditampan, apatah lagi untuk dikembalikan. Lebih hebat lagi, penyokong Libas Gulung memang ramai. Setiap kali perlawanan penyokong mereka berduyun-duyun memberikan sokongan.

“Jangan bimbang! Kali ini kita akan menang. Kita akan bawa Piala Agung,” kata Mat Dubuk yang baru sahaja mengambil alih posisi tekong sejak beberapa tahun yang lalu. Sebelum ini Mat Kaduk yang menjadi tekong, tetapi bola sering sahaja bolos di celah-celah kangkangnya.

Mereka pun mengatur strategi untuk menang. Strategi awal sangat penting.

“Kita buat jerayawara. Kita burukkan pasukan Libas Gulung,” kata Mat Dubuk dengan penuh semangat. “Kita buat cerita tekong mereka ada skandal,” tambahnya.

“Betul! Cadangan itu memang bagus. Sekarang kita perlu lemahkan psikologi dan pengaruh Libas Gulung,” sampuk Mat Kaduk. Mat Angguk turut mengangguk.

Tidak membuang masa, jerayawara pun diadakan. Tiap-tiap hari pasukan Libas Balun bergerak berceramah. Macam-macam keburukan pasukan Libas Gulung didedahkan. Fitnah ditabur semata-mata untuk menang. Kemenangan adalah segala-galanya. Halal dan haram usah dikira.

“Tekong pasukan Libas Gulung selalu menipu dalam permainan. Mereka telah merasuah penjaga garisan. Mereka menang dengan rasuah... rasuah... rasuah!!” Mat Dubuk mengapi-apikan khalayak. Penonton bersorak gamat meluahkan perasaan marah kepada pasukan Libas Gulung.

“Tekong Libas Gulung ada skandal. Kalau ikut peraturan, dia tak layak bertanding. Apit kirinya pula tidak stabil emosinya, tetapi tidak mahu mengaku,” tambah Mat Dubuk. Mat Kaduk bertepuk sekuat tenaga setiap kali Mat Dubuk berhenti mengambil nafas. Mat Angguk tetap mengangguk tanda setuju. Sesekali dia hanya sebagai penumpang dalam pasukan itu.

“Jangan sokong mereka lagi. Penjaga garisan kita lantik yang baharu. Yang lama, yang rasuah, kita pecat mereka. Kita hantar mereka ke penjara. Kita hantar mereka ke neraka,” Penyokong sangat teruja dengan kata-kata Mat Dubuk. Ternyata Mat Dubuk bukan sahaja berkebolehan menjadi tekong, tetapi juga pandai berkata-kata. Semangat dubuknya memang terserlah.

Memang tidak mustahil penjaga garisan menerima rasuah. Dia hanya perlu mengatakan ‘luar’ atau ‘dalam’. Satu patah perkataan itu akan mengurangkan peluang pasukan untuk menang. Bola sepakan bukannya perlahan. Bola rotan itu menjunam bagaikan peluru. Gelanggang permainan pula bukannya kecil. Panjangnya 13.42 meter dan lebarnya 6.10 meter. Lebar garisan pula hanya 5 sm. Sukar mata kasar untuk menentukan sama ada bola jatuh di luar atau di dalam garisan. Di sinilah letaknya peranan penjaga garisan.

“Dalam perlawanan yang lalu kita kalah kerana pasukan Libas Gulung tipu semuanya. Tiangnya ditinggikan. Jaringnya direndahkan. Kita terlupa untuk menyukat jaring. Jaring mesti dibuat daripada bahan benang kasar, tali, atau daripada nilon dengan ukuran lubang-lubangnya 4.5 sm. Lebar jaring 72 sm dan panjangnya tidak lebih daripada 6.71 m. Pada pinggir atas, bawah dan samping dibuat pita selebar 5 sm yang diperkuat dengan tali yang diikatkan pada kedua gelung besi. Tinggi jaring 1.55 m dari tanah atau lantai. Kita tidak mengukur semuanya dalam perlawanan yang lalu. Kita terlalu percaya dengan penganjur. Penganjur pun sama-sama menipu,” tegas Mat Dubuk bersungguh-sungguh supaya orang percaya bahawa pasukan lawan menipu dalam perlawanan.

Mat Dubuk dan pasukannya nampak yakin. Kali ini mereka akan menang besar. Piala Agung akan menjadi milik mereka. Selama ini mereka tidak pernah berhasil memegang piala kebanggaan itu. Malah Mat Dubuk sering bermimpi-mimpi untuk menjulang piala itu. Apatah lagi dia pernah berada dalam pasukan Libas Gulung suatu ketika dahulu. Oleh sebab dia berebut hendak menjadi tekong, dia telah dipecat. Sejak itu dia berdendam untuk mengalahkan Pasukan Libas Gulung. Kini kekuatannya sudah cukup, penyokongnya sudah ramai. Mat Angguk turut menguatkan pasukan. Mat Kaduk apatah lagi, memang menanti peluang untuk menang.

Pasukan Libas Gulung pula tidak banyak diketahui strategi mereka. Mereka berlatih dalam diam. Mereka yakin mereka akan menang besar kali ini. Dalam perlawanan lalu tekong mereka tidak begitu kuat. Banyak bola tajam tidak dapat ditampan dengan baik. Malah ada ketikanya tekong itu melarikan diri apabila bola hantaran Mat Dubuk terlalu tajam. Kadang-kadang dia tertidur dalam gelanggang. Lebih buruk lagi, dia tidak mahu ditukarkan. Dia tetap mahu menjadi tekong. Banyak hantarannya terkeluar gelanggang. Kalau masuk pun lantunannya terlalu lembut dan melambung, mudah bagi pasukan Libas Balun mematikannya.

Kini tekong baharu nampak lebih cergas. Betisnya juga keras dan mampu mengangkat kaki melepasi kepala. Begitulah adatnya bermain takraw. Kalau servis tidak kencang, sukar untuk mematikan lawan. Dulu tekong itu bermain apit kiri. Teruk juga badannya menahan libasan pasukan Libas Balun. Sampai lebam-lebam. Bola rotan yang dilibas ke badan memang memeritkan. Kini bola rotan diganti dengan bola sintetik. Malah permainan tekong baharu ini kini mendapat perhatian luar negara. Kalau dulu takraw menjadi sukan popular di negara Asia Tenggara sahaja. Kini sukan sepak takraw telah berkembang di hampir 20 negara di dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada, China, Korea. Malah kaum wanita turut bermain takraw.

Hari perlawanan tiba juga akhirnya. Gelanggang utama sudah dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan. Pasukan Libas Gulung seperti biasa turun dengan jersi biru kesukaan mereka. Masing-masing berpakaian lengkap dari jenama mahal. Status juara bertahan mesti ditonjolkan. Penyokong bersorak-sorak dan tidak kurang juga yang mencemuh.

Sebentar kemudian pasukan Libas Balun masuk. Tekong memakai baju biru muda bercorak garisan melengkung. Apit kanan pula memakai jersi hijau putih dengan ikatan kepala yang besar. Apit kiri pasukan Libas Balun masuk dengan pakaian putih dan bergaris merah di lengan. Semuanya terlompat-lompat dengan penuh keyakinan akan menang dalam perlawanan kali ini. Di atas podium piala rebutan bersinar-sinar membalikkan cahaya lampu sorot stadium.

Perlawanan akan dimulakan. Pengadil mengambil tempat. Penjaga garisan mengambil tempat di semua penjuru gelanggang.

“Kami mahu penjaga garisan kami sendiri,” jerit Mat Dubuk.

“Pihak penganjur sudah menyediakan penjaga garisan,” kata pengadil.

“Tidak! Penjaga garisan yang ada semuannya rasuah,” tegas Mat Dubuk. Suasana kecoh sebentar. Akhirnya keputusan dibuat agar penjaga garisan kedua-dua pasukan dibenarkan menjaga garisan. Maka penuhlah kawasan di sekeliling gelanggang itu dengan penjaga garisan. Ada yang memakai baju biru, merah, hijau, putih, dan ramai juga yang tidak memakai baju. Ada yang membawa sepanduk menyokong pasukan Libas Balun. Suasana menjadi semakin kecoh.

Permainan pun dimulakan. Pasukan Libas Gulung yang akan memulakan servis. Apit kanan memegang bola rotan dengan penuh tumpuan. Mat Dubuk menunduk sedikit menanti bola hantaran tekong pasukan Libas Gulung. Kakinya dikangkang lebar sambil memasang kuda-kuda. Begitu juga Mat Angguk dan Mat Kaduk. Semuanya sudah bersedia.

Lambungan bola dibuat, tinggi ke arah tekong. Tekong pun menyepaknya kencang ke arah gelanggang lawan. Mat Dubuk mengangkat bola dengan jayanya ke arah Mat Angguk. Mat Angguk akan menimang bola ke atas jaring. Mat Kaduk bersedia untuk melibas ala kungfu. Akan tetapi Mat Dubuk bertindak sendiri. Dia menimang bola sendiri ke arah depan jaring. Tiba-tiba dia melibas sendiri. Pasukan lawan tidak menyangka Mat Dubuk yang akan melibas. Mereka berpandangan melihat bola terjatuh di atas lantai gelanggang. Penyokong pasukan Libas Balun bersorak. Cahaya kemenangan semakin bersinar. Sepanduk dan poster dijulang untuk membakar semangat Mat Dubuk dan pasukannya.

Kali ini giliran pasukan Libas Balun membuat servis. Mat Angguk mengambil tempat. Dia melemparkan bola ke arah Mat Dubuk dengan hati-hati. Mulutnya kumat-kamit membaca doa agar sepakan Mat Dubuk laju sehingga mencederakan pasukan lawan.

Bola dilambung. Mat Dubuk menyepak tinggi di udara. Bolanya melayang entah ke mana. Mat Kaduk hanya melihat bola itu melayang. Servis mereka hilang. Kedudukan kembali seri matanya.

Servis berpihak kepada lawan. Pasukan Libas Balun bersedia. Tekong pasukan Libas Gulung membuat servis kuda. Bola melantun ke arah Mat Angguk. Mat Angguk berjaya menanduk tinggi ke arah Mat Kaduk. Bola betul-betul berada di depan jaring. Mat Kaduk mengambil lajak untuk melibas. Mat Angguk turut melonjak. Dia ingin menanduk bola sekuat tenaga. Namun sebelum kaki Mat Kaduk dan kepala Mat Angguk mencecah bola, ada kaki lain yang menerjah. Wah, Mat Dubuk telah menerpa ke depan untuk melibas. Kakinya menerjah muka Mat Kaduk dan kepala Mat Angguk. Kaki Mat Kaduk pula menerjah muka Mat Dubuk. Ikatan kepala Mat Angguk terburai dan membelit kaki Mat Dubuk dan Mat Kaduk. Ketiga-tiganya jatuh tergolek.

“Kamu tekong, kenapa kamu datang melibas ke depan?” sergah Mat Kaduk ke arah Mat Dubuk yang terlentang di lantai.

“Aku geram tengok bola tanggung,” balas Mat Dubuk sambil menyapu darah di hidungnya. Hentakan Mat Kaduk telah menyebabkan hidungnya berdarah. Di kanan gelanggang Mat Angguk hanya memegang kepalanya yang benjol.

“Tugas kamu hanya mengumpan bola, bukan melibas!” herdik Mat Kaduk kepada Mat Angguk. Dahi Mat Kaduk mula bengkak akibat terjahan tapak kasut Mat Dubuk.

Suasana kelam-kabut. Mat Dubuk, Mat Angguk, dan Mat Kaduk cedera. Mereka tidak dapat meneruskan perlawanan. Penyokong-penyokong mula riuh. Mereka kecewa. Piala Agung nampaknya gagal direbut. Akhirnya pengadil memberi kemenangan kepada pasukan Libas Gulung. Suasana bertambah kecoh.

Penyokong-penyokong mula berdemonstrasi di luar dewan. Mereka tidak berpuas hati. Mereka memaki hamun pengadil, penjaga garisan, pemain lawan, malah pemain mereka sendiri. Ada yang masuk ke gelanggang dan menendang Mat Dubuk yang tidak ikut peraturan permainan. Dia hanya mahu menang tanpa mengambil kira peraturan. Dia tidak kira bola hadapan atau bola belakang. Dia tidak kira bola sendiri atau bola orang, semua hendak dibalunnya. Akhirnya dia kalah tanpa bertanding.

Mat Dubuk, Mat Kaduk, dan Mat Angguk diusung keluar ketika pasukan Libas Gulung mengusung Piala Agung sekali lagi.

Selasa, Mei 31, 2011

Keliru

Suara yang melantun jauh
tidak kedengaran lagi
kerana gegendang kita sudah keliru
dengan bisikan noda
yang terngiang di mana-mana.

Keliru kita dengan jati diri
bangsa bukan lagi melambangkan peribadi
kuasa telah menghapuskan mimpi
merosakkan melodi
nyanyian generasi.

Keliru kita dengan seribu fatwa
masing-masing mengaku lebih wibawa
ke arah mana akidah hendak dibawa
semuanya menjanjikan syurga
terlalu tega.

Keliru kita dengan perbalahan
sampai bila kita mampu bertahan
sedangkan penjarah sedang mencari bahan
dalam senyuman dan kelicikan
kita dikelirukan.

Uraikan kekusutan kami
pupuklah cinta kasih bersemi
jangan sampai bangsa dilanda tsunami
hilang arah nanti
masa depan generasi
rugi!

Dangau Marhaen,
Banting.
31/5/2011

Isnin, Mei 30, 2011

Transformasi Landskap




Aktiviti pertama saya sempena cuti adalah mengubah suai landskap di rumah saya.  Oleh sebab landskap lama dah nampak serabut, saya meminta perunding landskap membuat ubah suai tersebut.  Pokok palma ekor tupai yang ditanam di dalam kawasan pagar di ubah keluar.  Ruang yang kosong ditanam dengan rumput.

Rabu, Mei 25, 2011

Di Pantai Remis, Jeram

Rembang kemilau membahang
angin memuput sirus ke ufuk
bebayang rebah meninggalkan pasir
pantai melandai jauh ke tengah.

Aku berteduh di bawah redup
melelapkan kelopak mata yang rungkup
dibuai pawana di bawah cahaya murup
membawa jiwa kembali mercup.

Pantai Remis
kelodak dan pantai berbaur
datang juga orang berlibur
melepaskan lelah bercampur
mujur!

Pantai Remis, Jeram, Selangor
23/5/2011


Isnin, Mei 23, 2011

Sambutan Hari Guru Selangor 2011


Sambutan Hari Guru peringkat negeri Selangor telah diadakan di Dewan Besar, Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.  Saya telah dijemput dalam majlis sambutan ini bersama-sama rakan-rakan saya Khairuddin Ayip, Aminhad, dan Ismail Supandi. 

Selasa, Mei 17, 2011

Sepetang di Kuala Lumpur

Mendung memadam kepanasan,

kuala lumpur tetap gesit,
warga tidak memikirkan kenaikan harga petrol.
Di tangan ada belian sarat,
seperti esok tiada lagi perniagaan.

Hujan mula rintik,
warga belum ingin balik,
kerana pesona masih semarak,
dan kuala lumpur makin galak.

Deru mobil berbaur,
gertak alam dari langit tak pernah cuak,
tiada yang mahu mundur,
biar langit kian kabur.

Hujan lebat tiba-tiba.
Dan petir meninggikan suara,
warga cempera dalam wajah selamba.
tetapi masih bertenaga
menghabiskan belanja.

Berehat sebentar di sebuah restoren
wajah pemiliknya mencuka
berbahasa ibundanya entah apa-apa
seperti kami terlalu asing
di negeri sendiri.

Ketika membayar harga jus
kami seperti tidak percaya
kerana sembelihannya begitu rakus
dan kami tidak akan mendengus.

Sepetang di Kuala Lumpur
aku pulang dengan kaki berlumpur.

15 Mei 2011
3.43 ptg

Rabu, Mei 11, 2011

Syair Guru 2011

Menjadi guru bukannya mudah,
Mengajar mendidik tentulah sudah,
Mengasuh menjaga menguak padah,
Mengadun atur hidup yang indah.

Setiap hati sentiasa peka,
Walau sedikit tiada leka,
Mencipta fikir minda terbuka,
Memberi manfaat baik belaka.

Guru bertugas tak kira masa,
Di mana-mana menabur jasa,
Membina insan gagah perkasa,
Mencapai wawasan membangun nusa.

Guru yang baik sentiasa berhemah,
Pekerti mulia mesra peramah,
Selalu ikhlas membimbing ummah,
Mengenal pasti kuat dan lemah.

Zaman berubah semakin mencabar,
Guru bersiaga sentiasa sabar,
Memangkin ilmu semangat berkobar,
Pasti ceria hidup yang hambar.

Melengkap diri pelbagai ilmu,
Mencari maklumat tiada jemu,
Murid dilayan bagai tetamu,
Sepanjang hayat terkenang jasamu.

Biar cemuhan datang melanda,
Berfikir baik jadi agenda,
Bertekad teguh bosan tiada,
Terima ada hati nan reda.

Murid diajar satu amanah,
Masa hadapan jangan dimusnah,
Lembut bicara elak seranah,
Hidup berguna menempah jannah.

Pendidik tangkas meneraju zaman,
Menolak bingkas semua acuman,
Menjana fikiran negara aman,
Rakyat sejahtera jadi idaman.

Enak bicara elak bertengkar,
Bagaikan ular menyusur akar,
Bara amarah jangan dibakar,
Bakal bertembung jalan yang sukar.

Mendidik bangsa kerjaya agung,
Amanah besar di bahu tertanggung,
Tegur nasihat usah tersinggung,
Agar langkah tiada canggung.

Guru menerap asuhan rohani,
Membentuk insan syumul harmoni,
Bangsa berkembang masyarakat madani,
Seluruh jagat nusa disegani.

Guru bekerja jangan berkira,
Ilmu diajar biar ketara,
Tegar menjana maruah negara,
Berkembang maju melangkau era.

Ilmu disalur jangan tersasar,
Orang keliru fikiran gusar,
Sindiran musuh giat berkisar,
Aib yang kecil menjadi besar.

Murid diajar bersungguh-sungguh,
Masuk ke kelas jangan bertangguh,
Matlamat dibina tetap dan teguh,
Murid berjaya menjadi jaguh.

Kalau mengajar mesti amanah,
Jangan sekali buat kerenah,
Silap sedikit membawa musnah,
Ilmu diajar jadi khazanah.

Ghazali Lateh
11/5/2011

Selasa, Mei 10, 2011

Kitalah Itu

Kitalah itu,
yang melukis pada sebuah kanvas
memercikkan warna-warni kehidupan,
cerialah citra
sebuah bangsa merdeka
sebuah negara tercinta.

Kitalah itu,
yang mengukir arca wawasan
dengan tukul semangat
dan pahat keazaman,
mengupas karat peradaban
mengikis hitam perlakuan,
tugu generasi kita tegakkan
menjulang teras kedaulatan
lambang sebuah keunggulan.

Kitalah itu,
yang membina jambatan
menghubung era hadapan
meniti mercu kemajuan,
dengan lidah dan tangan
kita kibarkan kemegahan
kita semarakkan perjuangan!

Kitalah itu,
yang bernama guru
tidak mengenal erti jemu
mendidik memberi ilmu
agar anak-anak watan
tidak hanyut sendirian
di laut hasutan dan bisikan
tumpas mencari haluan.

Kitalah ...
yang sekali dipanggil cikgu
seumur hidup pun begitu
Guru tetap menjadi guru
biar sapa membisu
biar tingkah menjadi kaku.

Ghazali Lateh
Banting,

Isnin, Mei 09, 2011

Penyekat Perjalanan

Aku tidak tahu kiranya ada
mereka yang menyekat langkah
ketika aku ingin mara menakluk pesona
mereka datang dengan wajah selamba
dan hati yang murka.

Aku yang tidak tahu
lalu ada bisikan memberitahu
bahawa kehebatan adakalanya mencipta seteru
dalam bicara yang bisu
tersekat deras langkahku.

Benarkah dunia ini begitu
apabila keirian mula menjadi tugu
orang lain jangan dibiarkan bergerak
kerana diri belum memulakan rentak
muncus bertindak.

Aku tidak terlalu tergugat
kerana kehebatan itu bukan dinobatkan
tetapi semuanyna kehendak Tuhan
di mana-manapun aku mampu bertahan
menggapai perjalanan
ke puncak gemawan.

Dangau Marhaen
9/5/2011

Khamis, Mei 05, 2011

Nostalgia Ipoh

 Stesen Kereta Api Ipoh
Jalan Tambun
Saya berkunjung ke Ipoh semalam untuk memenuhi jemputan ceramah di Hillcity Hotel.  Pagi semalam saya meronda ke Bandar Ipoh. Banyak nostalgia saya di Ipoh.  Saya menjadi pelatih di MPKI sesi 1981-1983.  Kini bagunan maktab itu sudah diambil alih oleh Politeknik Ungku Omar.  Saya bersarapan di Taman Cempaka, tempat tinggal saya semasa di Ipoh dulu.

Sabtu, April 30, 2011

Liar

Kau dari tanah liar
melarat dan membiar diri dibawa arus
hidup dengan nyawa takdir
dan mati tanpa nama terukir.

kau sebenarnya sebahagian daripada kehidupan
selalunya hilang dalam kealpaan
kerana dunia memecut atas landasan kebendaan
hilang kewarasan.

sesekali
campakkan diri ke dunia marhaen
melihat warna nafas dan harga darah
adalah sama tidak berbeza
cuma kita sering terlupa
asal-usul dan punca
seadanya.

yang liar itu bukan hina
tetapi ego kita yang tidak pernah lena
mengejar seribu pesona
di dunia fana.

lihatlah ke ufuk dunia
untuk mencari makna dan tafsir pawana
merungkai nikmat dan ceria cahaya
menilai panas dan anggun pawaka
menikmati budi dan jasa buana.

jangan terlalu liar
untuk mensyukuri semuanya
yang kita ada.

Dangau Marhaen,
30/4/2011




Selasa, April 26, 2011

Rimas

Semuanya kering dalam gersang waktu

Menanti adalah derita kecil yang tak pernah sembuh
Terbiar dalam padang resah yang luas
Tandus dibakar nyala bosan yang panas.

Betapa detik terlalu berjurang antaranya
Tidak tersambung oleh titian nyaman
Yang ada hanya angan-angan kaku
Menusuk sanubari dalam suara yang bisu.

Sapaan bukan lagi kerdip bintang malam
Kiranya sinis suara yang memugar daerah rasa
Gegar sukma lara bagai hilang doa syurga
Tabah jatuh di lantai durja semua anggota.

Begitulah jika tiada rela menongkat tindak
Pasti terbeban semua celaka menekan pundak
Kembalilah kepada ritma diri
Yang selama ini terbangun teguh di pusar mimpi.

Lapangan Terbang Sultan Muhammad ke IV,
Kota Bharu,
26/9/2010

Ahad, April 24, 2011

Buku rujukan terbaru di pasaran.

Buku rujukan dan latihan iaitu Kertas Model Bahasa Malaysia SPM 2011 terbitan Pearson Longman telah ada di pasaran.  Calon-calon SPM tahun ini boleh mendapatkannya di pasaran.  Buku ini saya tulis bersama
-sama dua orang penulis terkenal iaitu Encik Abdul Ghalib Yunus dan penyair Aminhad. 

Jumaat, April 22, 2011

Ceramah di Kem At Taqwa, Bukit Changgang, Kuala Langat



Saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang teknik menjawab soalan kertas 1 Bahasa Malaysia SPM. Peserta-peserta yang hadir merupakan murid-murid aliran agama dari empat buah sekolah di Kuala Langat. 

Isnin, April 18, 2011

Suara

Bau hitam sudah sampai ke halaman
ketika aku mengira riang
kerana terlupa perjalanan sejauh ini
telah meninggalkan
mereka yang terlambat
menempah warna tulip
yang indah.

Ketika aku tersedar
aku mula mengutip sesal
dengan kata-kata yang terlerai
dan akhirnya aku sendiri
mengatakan bahawa aku tidak menolak
segala kurnia dan anugerah.

Suara-suara yang terngiang
terlalu tajam menggigit kuping
dan darahnya mengalir tanpa ada
di muka rasa.

Biarkan suara itu membisik
kerana aku harus bergerak maju
perjalanan ini tidak harus buntu
selagi destinasi impian
jauh dari pandangan.

Suara
adalah luahan rasa
yang tidak penghujungnya.


Dangau Marhaen,
18/4/2011


Sabtu, April 16, 2011

Hijrah

Mula terasa aku kini
diri semakin tidak disenangi
menjadi buah mulut petang dan pagi
terdengar suara sinis ke mana-mana pergi.

Dan adakalanya keselesaan memudaratkan
kerana langkah tidak bergerak lagi
minda tidak berfikir lagi
segala-galanya terhenti
akal menjadi beku dan tidak maju
hanya menanti masa untuk beradu.

Perlukah aku berhijrah
kerana hijrah akan memacu semangat
tidak mahu terus buntu aku
tidak mahu terus digigit cemburu
biar aku mencari arah baharu.

Hijrahlah..
untuk masa depan yang cerah.

Dangau Marhaen
16/4/2011

Khamis, April 14, 2011

Anugerah

Aku mula terasa,
kelebihan yang Tuhan beri,
dan aku amat mensyukuri,
kini mula mencetuskan iri,
musuh-musuh dan rakan sendiri.

Aku tidak pernah meminta,
anugerah Tuhan hadir di depan mata,
tapi aku hanya berusaha,
menebus semua derita,
dengan cagaran permata.

Barangkali  mereka tidak mengerti,
akan makna anugerah dan rezeki,
biar betapapun dihajati,
kemahuan dan kehendak hati,
tanpa Tuhan memberkati,
tidak akan berlaku pasti.

Janganlah kita berfikir lewa,
rezeki ada jangan kecewa,
syukur yang ada kuatkan takwa,
tunjukkan bakat anggun wibawa,
bersama ikhlas yakin terbawa.

Aku hanya manusia biasa,
tidak berlebih mahu merasa,
nikmat Tuhan syukur sentiasa,
lebih sedikit perkara biasa,
bukan meminta sepanjang masa,
sekadar mahu nikmat selesa.

Dangau Marhaen,
14/4/2011

Ahad, April 10, 2011

Kunjungan Kawan Lama

Petang tadi saya dikunjungi oleh kawan lama saya bersama-sama keluarganya.  Tuan Haji Yahaya Suip merupakan rakan saya semasa saya belajar di peringkat master di UPM.  Selama dua tahun buat master itu kami sentiasa bertemu terutama pada hujung minggu.  Kami menumpang tidur di Pusat Islam bersama-sama dua orang lagi sahabat kami Mat Jidin dan Mohamadan.  Pengalaman ini sangat berharga kerana setelah melalui susah payah, kami akhirnya berjaya menamatkan pengajian Master kami.  Tuan Haji Yahaya mempunyai anak yang belajar di Kolej Mara Banting.  Jadi terlanjur datang ke Banting, dia singgah di rumah saya. 

Sabtu, April 09, 2011

Larut II

Sore larut dalam senja
senja larut dalam malam
malam larut dalam rindu.

Rindu larut dalam benci
benci larut dalam amarah
amarah larut dalam hati.

Hati larut dalam nafsu
nafsu larut dalam cinta
cinta larut dalam usia.

Banting,
9/4/2011

Khamis, April 07, 2011

Berceramah Kembali

Agak lama juga saya tidak mennyampaikan ceramah. Saya juga telah menolak banyak jemputan. Akan tetapi baru-baru ini saya menerima jemputan kembali untuk menyampaikan ceramah.  Setakat ini saya membuat keputusan untuk menerima dua jemputan ceramah.  Yang lain saya tolak juga atas alasan tertentu.  InsyaAllah saya akan menyampaikan ceramah bermula 22 April ini.  Mudah-mudahan saya dapat berkongsi sedikit pengalaman dengan khalayak.  Saya bukanlah penceramah yang hebat.  Saya hanya manusia biasa. Barangkali saya memiliki sedikit pengalaman yang dapat dikongsikan.

Rabu, April 06, 2011

AnakSekecil Itu

Telah hilang nyawanya,
dan hilang juga namanya,
anak yang sekecil itu,
di tangan orang yang bergelar guru,
yang dirasuk ketaksuban,
sepanjang kehidupan.

Seusia dia adanya,
berlari di padang mengejar bola,
dan bertanya manja,
tentang semuanya,
tanpa prasangka.

Atau mengidami makanan segera,
dan bermimpi ke taman tema,
sesekali mahu bergurau senda,
berkhayal entah apa-apa,
sampai ke syurga.

Anak yang sekecil itu,
terlalu berat untuk menanggung derita,
manusia yang gemar menghukum,
kerana dialah sahaja makhluk Tuhan,
yang paling dimuliakan,
dan perangai buruk se kecil itu,
harus dipadam dari perlakuan,
dari kehidupan.

Apakah yang akan terjadi,
apabila manusia tidak boleh lagi dipercayai,
mentafsir segalanya mengikut fahaman sendiri,
menutup mata hati nurani,
hilang harga diri.

Anak sekecil itu,
menyedarkan kita tentang kepalsuan,
orang yang melaungkan keimanan,
rupa-rupanya memakai topeng syaitan,
sekeji-keji kemanusiaan,
sehina-hina kejadian.


6/4/2011

Ahad, April 03, 2011

Indahnya Alamku


Bebayang yang rebah di laman
mantari sore menghimbau pandangan
liuk-lentok dedauan
dari hembusan pawana nyaman.

Aku meninjau ke luar jendela
mendengar suara unggas ria
melayah menyongsong cahaya
dan singgah di ranting berbunga.

Indahnya alamku
menusuk ke jantung kalbu
kurniaan mulia pesona syahdu
rahmat-Nya besar bertaut restu.

Dangau Marhaen,

Banting.  3/4/2011  5.37 ptg

Rabu, Mac 30, 2011

Ingatan Pada Diri

Selalunya
kita tidak akan pernah mengakui
kesilapan dan kesalahan diri
sebaliknya kita senang menuding jari
menutup kelemahan sendiri.

Apapun yang tertimpa di pundak
akan ada orang yang tersalah tindak
busuk hati dan cemburu membuak
salah sendiri pastinya tidak.

Nilailah diri sebelum menghambur tuduh
jangan melulu mengikut resam yang bodoh
punca sedikit gemar mencari gaduh
ke mana-mana pasti tiada bayang berteduh.

Muhasabah dan insaflah
sedar diri jangan takut mengaku salah
matangkan fikir hebat minda pasti terserlah
bukannya melulu membuat retak menjadi belah.

Dangau Marhaen,
Banting.
29/3/2011

Ahad, Mac 27, 2011

Sepanjang Jalan ke Tanjung Dawai



Bunga-bunga gugur diterbangkan angin
melintasi jalan ke sawah gersang
di kananku mantari mula mengundur
meninggalkan lembayung di kanvas senja
aku berhenti untuk melihat alam
dalam kesima dan jiwa bungkam
teruja dengan indah alam
di kaki malam.

Sepanjang jalan ke Tanjung Dawai
hujan merengek dan membasahi langkah
orang berdagang semakin pulang
orang bertandang semakin kurang
tetapi aku tetap mahu datang
setiap kali pulang.

Tanjung Dawai pantai nostalgia
tidak pernah lekang di hati seyogia
biarpun jauh mengecap bahagia
kerana di sini semuanya bermula.

Senja dan malam
Tanjung Dawai tampak berbalam
aku datang mengucap salam
mengimbas kembali kenangan silam.

Tanjung Dawai, Kedah
16/3/2011

Sabtu, Mac 26, 2011

Tanjung Pengharapan


Kerikil yang menanti di pantai
adalah pembelah ombak
dari selat kecil
dan pulau-pulau terpencil.

Tiada banyak yang menangkap mata
hanya warna senja yang jingga
sebentar cuma merajalela
dan hilang begitu sahaja
ketika cinta mula membara.

Di sini tempat menjamu selera
dalam suasana bersahaja
dielus pawana manja
dan sesekali bengis menerpa.

Aku hanya pengunjung biasa
melihat tingkah manusia
pelbagai usia
memenuhi masa.

Tanjung Pengharapan
Kelang.
26/3/11 

Khamis, Mac 24, 2011

Kemelut

Saya mengikuti perkembangan politik tanah air dan sedikit politik antarabangsa.  Perkembangan mutakhir menampakkan kekalutan yang berkaitan seorang tokoh terus diperkatakan dan dihebohkan.  Saya rasa, untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, tokoh berkenaan patut mengundurkan diri.  Pada pandangan saya, parti politik yang dipimpin oleh tokoh berkenaan tidak akan terjejas dengan pengundurannya.  Ramai lagi tokoh yang mampu mengambil alih pentabiran parti berkenaan.
 Kita perlu mengambil iktibar daripada beberapa senario politik yang berlaku sebelum ini.  Paling hampir ialah kejadian di Mesir.  Pengunduran Hosni Mubarak telah mengubah landskap politik negara itu dengan mendadak.  Masalah yang timbul akibat ketidakpuasan hati rakyat semakin reda.
Begitu juga halnya dengan kemelut yang menimpa kepimpinan Pak Lah. Namun, sebagai seorang pemimpin yang gentleman Pak Lah mengambil langkah untuk mengundurkan diri.  Akhirnya kemelut itu selesai.
Jadi, tokoh berkenaan perlu mengambil keputusan untuk mengundurkan diri demi kesejahteraan rakyat jelata.  Pengunduran tidak bererti kalah tetapi akan lebih dihormati kerana rakyat tidak lagi disogok dengan permainan politik keterlaluan.  Muammar Ghaddafi sekarang dalam keadaan yang kritikal kerana keengganannya mengundurkan diri.  Saya pasti masalah di Libya akan selesai jika Ghaddafi mengundurkan diri secara terhormat.

Selasa, Mac 22, 2011

Hakikat

Jika takdirnya begitu
begitulah
tapi pasrah melulu bukan caranya
kerana tawakal itu
sewajarnya didahului swadaya
seadanya.

Bertanyalah pada diri
jika langkah longlai
dalam mengejar mimpi
sedangkan kita mampu berlari
mengejar pelangi
menghiasi hidup ini
dengan penuh warna-warni.

Banting,
22/3/11

Isnin, Mac 21, 2011

Buku Terbaru Saya

Baru-baru ini sebuah buku terbaru saya telah diterbitkan.  Buku Esensi Bahasa Malaysia ini dapat dibeli di kedai-kedai buku seluruh negara.  Buku ini khusus untuk calon-calon peperiksaan SPM dan sesuai digunakan oleh murid-murid tingkatan 4.

Ahad, Mac 20, 2011

Ke Batu Laut



Ombak besar mencetus prahara kecil
kocak gelora membasahkan kaki
titis meloncat ke darat
dan anak-anak riang bercanda
ke pangkal senja.

Hati mula bertanya
bisakah kocak ini bertukar ganas
membawa pergi kemanusiaan
sekelip mata
tanpa sempat bertanya
ke mana arahnya.

Laut adalah sahabat
yang menjanjikan seribu nikmat
namun adakalanya laut begitu hebat
menghilangkan daratan terdekat
dan membunuh hayat
dalam masa yang singkat.

Dangau Marhaen,
20/3/2011

Khamis, Mac 17, 2011

Ingatan Seorang Guru

Ketika saya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara saya, saya telah ditegur oleh seseorang.  Dia menyebut nama saya. Saya langsung tidak ingat siapakah beliau. Beliau meminta saya meneka dan mengingat kembali.  Lama-kelamaan saya dapat mengembalikan inagatan saya.  Beliau ialah Cikgu Marzuki, bekas guru saya semasa saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun.  Beliau telah lama bersara.  Saya berasa malu kerana tidak dapat mengingat guru saya sendiri, sedangkan beliau yang masih ingat nama saya, walaupun kami telah berpisah sejak tahun 1972.  Maafkan saya Cikgu Marzuki.   

Rabu, Mac 16, 2011

Selamat Hari Lahir

Mendatangi usia indah ini
Kebahagiaan mencup di taman hati
Kejayaan telah terpatri pasti
Di sudut memori.

Pengalaman yang dikutip
Sepanjang perjalanan
Bagai puspa kembang di halaman
Mengayakan kehebatan
Memupuk kesejahteraan.

Selamat hari jadi
Ucapan tulus semurni hati nurani
Moga ingatan secebis ini
Bakal membekas di pojok hati
Bahawa dirimu sangat dihargai
Kemesraan biar kukuh bersemi.

Detik indah ini
Sama-sama kita ingati
Agar selamanya dekat di hati
Erat dalam ikatan kasih sejati.

Ahad, Mac 13, 2011

Jika Tsunami Datang Lagi

Tanpa prahara tiba-tiba segara bergelora
melambung nestapa ke puncak sengsara
sebak tangis mengiringi hati terhiris
meratapi kehilangan maha pantas
dan kemusnahan yang tuntas.

Dari jauh terpapar wajah-wajah keliru
terdampar jasad-jasad bertukar biru
mana rumahku; mana kampungku;
mana anakku; mana kesayanganku;
mana aku?

Derita mereka cuba jua kita rasa
walau tidak seadanya
telah tiba kiranya masa mereka
masa kita entah bila
tapi pasti tiba jua
segala ujian-Nya.

Jika tsunami datang lagi
sanggupkah kita menyerah diri
untuk merasai sendiri
padah yang tidak terperi.

Banting,
3/1/2005

(With deepest condolence to Japanese tsunami victims)

Sabtu, Mac 12, 2011

Menikmati malam di Putrajaya


Cahaya neon membias dari semua ufuk
aku teruja melihat kilauan
dan malam menjadi indah
seindah mimpi sang perindu pelangi
di malam sepi.

Aku menebarkan kesima
ke seluruh juzuk sukma
meladeni kehidupan cuma
adil saksama.

Mengimbau keindahan malam
akulah penagih janji
yang telah terpadam
dibungkus bungkam.


Dangau Marhaen.
13/3/2011
12.51 tgh malam

Jumaat, Mac 11, 2011

Tsunami

Genta ketakutan gemerincing
segenap ruang jadi sesak
dengan nafas-nafas yang bakal hilang
sekelip mata.

Tsunami itu khiamat kecil
yang menampakkan taring
pada juring hayat yang sementara
ke mana kamu mahu berlari
pabila Tuhan menghantar tanda
semuanya terjaga
mengepung denyut nadi
yang ngeri.

Padam segala cahaya
dan angin seperti terhenti
mahupun gegar masih terasa di kaki
barangkali mahu sahaja
menyeru nama-Nya
untuk sekian kalinya
sebelum bumi terbelah dua
dan menarik kita semua
ke sana.

Dangau Marhaean
11/3/2011

Selasa, Mac 08, 2011

Nyanyian Luncai

(Gambar diambil daripada blog lepak.com)
Hei hei akulah Si Luncai
Hei hei akulah yang pandai
Aku ada labu-labu
Aku ada tangan seribu.

Jangan halang aku
Akan terjun di air lalu
Siapapun tidak mampu
Berenang seperti aku.

Hei hei akulah Si Luncai
Hei hei akulah yang pandai
Aku tak perlu nasihat
Kerana akalku selalu sihat.

Jangan ketawakan aku
Kerana aku bukannya lucu
Kalau tenggelam aku
Bukan engkau berasa malu.


8/3/2011

Isnin, Mac 07, 2011

Hanyut

Kita mula hanyut
dalam arus yang kita cipta sendiri
deras dan berombak
ke muara penuh kelodak.

Setiap kali hampir
ke tebing jauh
kita meronta tanpa kata
sisa-sisa rasa luntur
dalam badai menggempur.

Kita hanyut
dan tidak bisa merenangi
kerana kita sendiri
tidak mahu membina jambatan
tetapi rela dihanyutkan.

Hanyut kita
jika kita masih terleka
mencipta petaka
mendamba celaka
ke pintu neraka!

Dangau Marhaen.
7/3/2011

Jumaat, Mac 04, 2011

Berpatah Balik

Sudah lama aku berhenti di persimpangan
untuk memilih haluan
dan mereka menggamit dari kejauhan
mengajak aku patuh
dan menngikut jejak.

Akan tetapi aku bimbang
kerana haluuan semakin jauh
terpisah dan saling melupakan
bahawa kita dari tempat yang sama
asal-usul yang satu
tetapi berseteru.

Aku ingin berpatah balik
dan menggamit mereka pulang
untuk membina susur galur
sehingga terjumpa titik mula
yang menyatukan.

Aku ingin kembali
ke dalam Melayuku
dan mereka mesti pulang
memulakan perjalanan semula
dalam satu agenda
sehala!

Dangau Marhaen,
4/3/2011

Rabu, Mac 02, 2011

Jalur Perjalanan

(Laskar Pelangi - terima kasih Tamtomo penyumbang video)
Aku terbit dari lumpur hanyir
bertaut sejuta nestapa takdir
longlai dan tersipu
meronta dan terluka
menderita nista tawa
semua manusia.

Tersisih dan menyisih sendiri
di hujung nasib dan kemahuan
melihat dunia dengan mata hina
di sebalik rimbun jerumun sesal
gundah yang menebal.

Landasan hidup tidak selalunya buntu
kerana perjalanan adalah sisa kudrat
yang mencuat dari tasik insaf
mengolah riak-riak kecil pada tebing mimpi
dan sesekali mengalun gelombang
ke ufuk rambang.

Di pantai usia ini
aku mula membasuh onar hidup
dan selut kemelut pun cair
meninggalkan kulit tengik
dibakar terik.

Tiba-tiba aku menjadi putih
dan terdampar di pulau cinta
keindahan lukisan hayat
adalah dari rona silam yang bungkam
terpamer pada galeri usia
tersisa tapi bahagia.

Begitu jalur perjalanan
tiada siapa tahu kemungkinan
ke kiri atau kanan
hanya Dia menentukan.

2/3/2011

Sabtu, Februari 26, 2011

Bermula dengan Impian

Semasa kecil saya sering terbaring memandang keluar melalui tingkap yang tidak berdaun. Ketika malam pula melihat tingkap itu saya berasa takut sendiri kerana kegelapan di luar amat menggerunkan.  Sejak itu saya memasang impian untuk membeli daun tingkap jika saya ada wang.

Setelah remaja saya sentiasa memasang impian untuk mengerjakan sawah bapa saya yang tidak subur.  Saya mahu menanam jagung sebagai alternatif kerana sumber air sangat terhad.  Namun impian saya untuk mengerjakan sawah tidak tercapai atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  Oleh sebab saya dilahirkan dalam keluarga miskin saya selalu sahaja memasang impian yang mustahil untuk dicapai. Namun impian demi impian itu akhirnya mendorong saya untuk berusaha dan berusaha.  Jadi, moralnya ialah kita perlu bermula dengan impian kerana impian yang disokong dengan usaha akan mendatangkan kejayaan.

Khamis, Februari 24, 2011

Belajarlah untuk Merendah Diri

Belajarlah untuk merendah diri
biarpun kau menggapai langit tinggi
dan berjaya dalam semua segi
kerana keangkuhan tidak akan kekal
nescaya akan menyesal
pabila semuanya meminggir
ketika kau hadir...

Dangau Marhaen,
24/2/2011

Selasa, Februari 22, 2011

Hanya Jejak

Mengutip Kata-kata

Saya mengutip kata-kata terbaik
dari kamus peradaban dunia
untuk mencari makna sejagat
tentang manusia dan kemanusiaan
tuntas!

Seringkali saya gagal menafsirkan
setiap cantuman aksara
kerana manusia berbeza
dan sering membezakan
perjalanan.

Kalau saya bisa mentadbir
saya juga tidak akan mampu
menyatukan dunia yang rancu
kerana kolong jiwa sudah tepu
buntu!

Ke manakah langkah seterusnya
biarlah dibawa arus masa
ke satu hala
dalam kurnia-Nya.


22/2/2011

Isnin, Februari 14, 2011

Kayu Buruk

Kayu buruk kalau kena gayanya dapat memberikan pulangan.  Gambar ini saya ambil di Kuala Pegang, Balingt, Kedah.  Seorang peniaga menjual akar kayu buruk untuk dijadikan hiasan laman, dan bahan landskap yang menarik.

Sabtu, Februari 05, 2011

Mari Petik Anggur





Saya sempat melawat ke ladang anggur di Beris, Kedah. Agak jauh nak pergi. Tapi saya lalu Pokok Sena, Naka, terus ke Nami tak jauh sangat. Saya teruja melihat ladang anggur tersebut. Sebenarnya, menurut pekerja ladang itu, ladang di Beris hanya untuk pameran, ladang sebenar terletak di Kg Sungai Senang, dekat Kg Betong. Saya rasa syarikat ladang tersebut perlu menyediakan lebih banyak aktiviti untuk menarik pengunjung. Produk yang dijual juga agak terhad iaitu jus anggur dan buah anggur segar. Sepatutnya dijual juga jem, atau benda-benda lain berasaskan anggur. Pasti menarik. Pihak ladang juga boleh memberikan peluang pengunjung memetik anggur dengan bayaran tertentu.

Selasa, Februari 01, 2011

Di Kampung Sg Kembong, Pulau Indah

Ufuk sudah kabur dibalut senja
Muka laut tenang ke muara
sesekali sungai berkocak digempur jentera
ke kaki dermaga.

Nelayan bercerita tentang laut
hasil tangkapan semakin susut
ketika sesuap nasi perlu mengisi perut
menggerakkan jasad berusia lanjut.

Aku hanya pendengar sinis
sambil menilai acuman antagonis
bahawa rakyat perlu bangun
dan menentang kebobrokan
kononnya terlalu subur
dalam kehidupan.

Sebenarnya siapapun yang di atas
nasib marhaen belum terbela tuntas
kerana siasah hanya satu seni
yang lahir dalam diri
sejak azali.

Sepetang di kampung nelayan
aku melihat kesusahan warga
yang belum mampu berasa lega
dalam dunia yang penuh curiga.

Pulau Indah,
1/2/11

RAYA 2026