Khamis, Oktober 20, 2011

Si Pemakan Hati

Barangkali dia termakan kata-kata nista
yang bergema sepanjang masa
lantas dia pun menghilang dirinya
ke dalam dunianya yang hiba
meratapi takdir dengan halusinasi
dan prinsip yang berteras emosi.

Tidak sedar dia prinsip diri itu
telah menjadi ego yang gerutu
lantas dia memutuskan talian hayat
demi kecewa yang dibuat-buat
kata-kata nista yang disogokkan
semakin sebati dan menyasarkan.

Begitu aku masih percaya
di hujung hari dia akan menilai cahaya
kerana kata-kata nista akan hilang upaya
menggerakkan daya
menggegar maya
pabila semuanya tahu akan bahaya
si celopar yang tiada budaya
mengundang sia-sia
dalam hidupnya.

Aku masih menanti
detiknya dia akan datang kembali
membawa sebuah arca rugi
yang diciptanya sendiri
suatu hari nanti
dia sendiri mengakui
menjadi pemakan hati
yang paling ngeri.

Dangau Marhaen,
Banting,
20/10/11

Buku Terbaru untuk Kegunaan 2012

Buku terbaru saya di pasaran telah terbit.  Alhamdulillah buku ini untuk kegunaan rujukan 2012.  Sesiapa yang berminat untuk membeli sila berkunjung ke kedai-kedai buku seluruh negara.

Ahad, Oktober 16, 2011

Di Paya Indah Wetland

Saya memberikan buah betik kepada Kundra, badak air jantan yang dipelihara di Wetland.  Badak air merupakan sejenis haiwan liar dan  ganas. Namun, Kundra agak jinak kerana hidup dalam persekitaran manusia.

Jumaat, Oktober 14, 2011

Sebungkus kecil coklat

Sebungkus kecil
berisi coklat comel
dari luar negara
bukan soal isinya
tetapi ingatan
seorang murid
terhadap gurunya.


Rabu, Oktober 12, 2011

Puisi Orang Bertujuh

Semalam saya diberikan sebuah antologi puisi penyair-penyair tersohor tanah air. Tuan Haji Shamsudin Othman menghadiahkan antologi tersebut kepada saya.  Saya belum sempat membaca semua puisi yang pada pandangan saya hebat-hebat belaka.  Saya sangat teruja dengan pemberian tersebut.  Terima kasih daun keladi.

Untaian Mawaddah

Umpama seutas tali
mengukuh untaian kasih nirmala
menyambungkan mutiara ukhuwwah
sesama kita berteguh mawaddah
sesungguhnya kita dalam satu ikatan
biar longgar jangan sampai putus
biar pudar jangan sampai lupus.

Hulurkan kemesraan
dan usah berpaling muka
kerana kita laksana denyut nyawa
biar sakit sama merasa
biar sedih sama derita
biar ceria sama gembira
biar pahit sama menggula
biar manis sama menyira.

Kita sudah lama bersama
membilang resah dan mendamba sukma
baurkan jiwa dengan kasih mesra
selami rasa hayati pesona
sebati kesima sanjungi jenama
selama-lama dalam rahmat-Nya.

Untaian mawaddah dakapi bersama
ikatan kasih hendaknya ke syurga.

Ghazali Lateh.
Banting,
12/10/2011

Sabtu, Oktober 08, 2011

Gurindam Adat Orang


Adat orang bertandang,
Hendaklah selalu mengawas pandang.

Adat orang berumah,
Kepada tamu  hendaklah ramah.

Adat orang membeli,
Jangan bayar membuta tuli,

Adat orang menjual,
Duit orang jangan dikawal.

Adat orang menabur janji,
Jangan sampai diungkit keji.

Adat orang berkampung,
Bersama jiran janganlah sombong.

Adat orang bercinta,
Semuanya indah dipandang mata.

Adat orang merindu,
Tiap waktu dibuai syahdu.

Adat orang menumpang,
Sedar diri jangan menyimpang.

Adat orang berkasih,
Silap sedikit rasa tersisih.

Adat orang menuntut ilmu,
Hindarkan rasa bosan dan jemu.

Adat orang mengejar harta,
Hanya untung nampak di mata.

Adat orang bersopan santun,
Cakapnya lembut tidak melantun.

Adat orang banyak membaca,
Tidak mudah tenggelam punca.

Adat orang banyak berjasa,
Dikenang orang sepanjang masa.

Dangau Marhaen,
Banting,
8/10/2011



Khamis, Oktober 06, 2011

Bahasaku

Bahasaku air jernih penyejuk murka buana,
Bahasaku semilir angin peniup haba duka,
Bahasaku api marak pembakar semangat waja,
Bahasaku tanah subur penyambung hayat bangsa.

Bahasaku bintang terang mengerdip ufuk saujana,
Bahasaku bulan lembut menyuluh malam hiba,
Bahasaku mentari segar memijar bicara fatwa,
Bahasaku cakerawala wibawa suara jagat raya.

Bahasaku budi pekerti penghias murni peribadi,
Bahasaku jasa murni wacana pendeta sejati,
Bahasaku wasiat leluhur peneguh jati diri,
Bahasaku amanah besar pusaka warisan hakiki.

Bahasaku santun tersusun pemangkin daya budaya,
Bahasaku anggun tertenun pemanis bual bicara,
Bahasaku rumpun rimbun penyubur sulur sastera,
Bahasaku pohon temurun menunjang tamadun manusia.

Bahasa adalah jiwa, adalah nyawa, adalah harta,
Bahasa adalah jata, adalah nusa, adalah bangsa,
Bahasa adalah diri kita,
Bahasa Melayu tetap ternama.

Ghazali Lateh,
Banting,
6 Disember 2000.

Isnin, Oktober 03, 2011

Dengan Bahasa

Tiada aksara yang dapat digubah menjadi kata
tiada kata yang dapat menggambarkan rasa
tiada rasa yang dapat mewakili getar di jiwa
tiada warna yang dapat melukiskan rasa teruja
dan yang dirasa hanya kesyukuran tidak terhingga.

Diri hanya entiti kerdil dengan wawasan kecil
berjuang bukan kerana nama, namun atas kemahuan jua
dan nama bukan untuk disanjung puja
hanya mewariskan sebuah pesaka bangsa
dengan bahasa seadanya
dengan sastera seindahnya.

Dengan bahasa saya bernama
dengan bahasa saya bersuara
dengan bahasa saya berkarya
sekadarnya.

Banting,
3/10/11

Anugerah Tokoh Bahasa dan Sastera Kuala Langat 2011

Ahad, Oktober 02, 2011

Kalau bahasa tidak sempurna,
Itulah tanda tiada cakna.

Kalau bahasa dipandang rendah,
Nilai bangsa lunturlah sudah.

Kalau bahasa tidak disanjung,
Tamadun bangsa makin ke hujung.

Kalau bahasa tidak bertahan,
Citra bangsa kena sumpahan.

Kalau bahasa dianak tiri,
Hilanglah sudah jati diri.

Kalau bahasa tidak dihirau,
Kelak jadi bahan gurau.

Kalau bahasa dicampur aduk,
Keagungan bangsa pasti merunduk.

Kalau bahasa diambil ringan,
Daulat bangsa banyak halangan.

Kalau bahasa tidak dihormat,
Maruah bangsa tidak selamat.

Kalau bahasa dicemar teruk,
Martabat bangsa semakin buruk.

Banting,
2/10/11

Khamis, September 29, 2011

Gurindam PMR

Kalau bersedia untuk ujian,
Keputusan nanti dapat pujian.

Kalau belajar dengan bersungguh,
Masuk ke dewan semangat teguh.

Kalau diingat ajaran guru,
Tentu tidak tergaru-garu.

Kalau diingat isi dan fakta,
Menjawab pantas tidak terkata.

Kalau diamal latihan awal,
Menjawab periksa rasa terkawal.

Kalau belajar tidak tumpu,
Masa periksa banyak menipu.

Kalau guru diajak berlawan,
Masa periksa tentu sawan.

Kalau ke sekolah sekali-sekala,
Tentu jawaban tak tentu hala.

Kalau di sekolah suka merokok,
Garisan lurus dilukis bengkok.

Kalau PMR tidak peduli,
SPM nanti semakin lali.

Kalau diri ingin meningkat,
Dalam hati kuatkan tekad.

Banting,
29/911

Isnin, September 26, 2011

Gurindam Musim Periksa

Kalau belajar tidak periksa,
Ilmu di dada tidak perkasa.

Kalau periksa tidak diendah,
Masuk ke dewan hati pun gundah.

Kalau dibawa barangan perlu,
Nanti di dewan tidaklah kelu.

Kalau persediaan tidak cukup,
Jawaban tepat sukar dicekup.


Kalau soalan dijawab tenang,
Jawaban sukar menjadi senang.

Kalau soalan dijawab gelabah,
Sukar sedikit makin bertambah.

Kalau ingat petua guru,
Jawaban kemas tidak celaru.

Kalau soalan dijawab kalut,
Jawaban mudah jadi melalut.

Kalau bijak bahagi masa,
Soalan dijawab dengan selesa.

Kalau menjawab ikut urutan,
Jawaban lancar tiada sekatan.


Banting,
36/9/2011

Jumaat, September 23, 2011

Kemudi

Biarpun telah kaulumatkan kesetiaan
kau tidak mampu mengecilkan ruang hati
usia renta membawa kekuatan luar duga
menabir benteng seutuh Famosa.

Bagiku tikamanmu hanyalah onak kecil
menyakitkan kulit selaput
tiada mampu memutuskan denyut cinta
yang mengalir bersama jiwa kesumba
ke hujung wibawa.

Berikan aku waktu mendamba hidup
dalam kesendirian dan warna-warni
perjalanan kita barangkali tidak sehaluan
namun destinasinya sama
di sana.

Mumpung Tuhan memberi fikir
anjal terukir dalam warna zikir
kita tidak selalunya benar
tapi sering kelewatan nanar
direnggut pusing dan pinar.

Biarlah aku mengemudi haluan
dengan tanganku sendiri
dengan imanku hakiki.

Banting,
23/9/11

Rabu, September 21, 2011

Bisu

Sukma melambung
melewati bumbung rasa
jatuh jauh
pecah
menjadi puing resah
kerikil gelisah
hilang arah.

Yang indah
bukan di mata Tuhan
kerana harga diri
hanya pada bibir
manis
tapi luluh
segala roh
busuk pengaruh
dalam kolam keruh
lusuh.

Aku
hanya marhaen
pengutip sisa rindu
di bucu sendu
terdiam bisu
diasak keliru.

Dangau Marhaen,
21/9/2011

Khamis, September 15, 2011

Makna Sepi

Biar kutafsir sendiri makna sepi
terdampar jauh di tanah hujung ini
terasing dan sendiri
menggubah igau dari hari ke hari.

Bertemankan suara bayu
dan wajah laut malar sayu
riak-riak kecil mengejar waktu syahdu
lalu memadamkan warna senja di pantai
haripun hilang dimamah malam
berbalam dan suram.

Lantas malam kiranya terlalu panjang
dan menakutkan
duri-duri tumbuh saat tidak terpandang mata
mimpi cinta sering pecah tanpa tamat
nestapa terbang tanpa sayap
di pundak resah hinggap berharap.

Di sinilah aku menghimpunkan keinginan
sambil memendamkan kerinduan
kerana jarak telah menghalang impian
menobatkan kecintaan.

Bukan percuma sedetik bertandang
jiwa teguh telah bergetar longgar
rindu halaman pasti menggegar kesuma
dalam bayangan melebar makna
sebuah pesona.

Felda Residence Sahabat,
Desa Kencana,
Lahad Datu.
9/9/2011

Isnin, September 12, 2011

Ke Pasar Filipina lagi


Kata orang tidak sah kalau tidak ke Pasar Filipina jika seseorang itu bertandang ke Kota Kinabalu.  Saya pun sama juga. Di pasar ini, sebelam petang dan malam terdapat banyak warong menjual makanan laut bakar. Berbagai-jenis ikan, ketam, udang, sotong, dibakar segar dan dipamerkan untuk pengunjung. Saya makan ikan pari dan ikan kerapu bakar, sekadar mahu meratah sahaja. Hidangan utamanya hanya nasi kosong. Sepatutnya penjual menyediakan lebih banyak pilihan juadah seperti sayur dan masakan berkuah. Tapi awas, silap-silap pelanggan akan tertipu. Oleh itu seelok-eloknya tanya dahulu harga makanan yang dipesan.  Kadang-kadang harga seekor ikan mencecah RM40 - RM50 bergantung pada saiznya.
Walaupun bagaimanapun, selera saya tetap mengatakan ikan bakar di Tanjung Dawai, Kedah adalah yang terbaik berbanding tempat-tempat lain di Malaysia. Cubalah ke sana.

Pagi semalam, saya berkunjung ke Tamu di Jalan Gaya.  Banyak benda unik yang dijual di pasar sehari itu.  Banyak juga gambar yang saya ambil dan akan saya muatnaikkan nanti.

Ahad, September 11, 2011

Desa Kencana

Dalam lembut alun gemalai
bumi hijau curam dan landai
aku menafsir makna kejauhan
dan erti sebuah kesunyian.

Keterasingan di tanah jauh
menagih sebuah jiwa nan teguh,
betapa kepayahan tidak lagi menggugat
dek tegal mengulum hakikat.

Penghujung timur di bawah bayu
laut melambung emosi ke puncak syahdu
sesekali  hadir dalam suara bisu
mengajak pulang seorang perindu.

Berlabuhlah di sini wahai perantau
menyembunyikan segala keluh dan risau
mengharap khabar dan tegur sapa
lewat gelombang maya dan talian suara.

Laman Sahabat tanah terancang
hanya sekali aku berkunjung tandang
melihat keterasingan di bumi seberang
mengolah mimpi di hujung kenang.

Hanya sehari cinta bersemi
belum pasti kita bertemu kembali
daerah sunyi yang asing ini
biar kurajut serawan puji
untuk mereka penabur bakti
menjadi pendidik sejati
seikhlas hati.

10/9/2011
Desa Kencana,
Felda Sahabat 11,
Lahad Datu.  Sabah.

Selasa, Ogos 30, 2011

Lebaran 2011





Salam lebaran 2011.  Saya paparkan beberapa keping gambar saya dan keluarga sempena yang hari yang mulia ini.





Khamis, Ogos 25, 2011

Sempurna

Telah diwariskan sebuah derita
yang sempurna
maka akrab sudah nestapa
tidak pernah dirasa insan semua
hingga sengsara itu menjadi biasa
dan tidak tersiksa
oleh semua petaka.

Setelah semua berlalu
baru kutahu pedihnya tusukan sembilu
resahnya jiwa yang rancu
cemasnya nurani yang pilu.

Kata orang
kesakitan yang malar
menjadikan seseorang itu tegar
kerana penderitaan bukan lagi pencabar
hanya senyuman penghias latar
dalam plot hidup yang datar.

Ketika berdiri sendiri
kufahami perjalanan penuh duri
yang telah dilalui
oleh leluhur sendiri
dalam menjejaki destinasi
ke hari ini.

Banting,
25/8/2011

Gersang



Tubuh gersang terdampar di pasir,
menanti desis nafas terakhir,
betapa kulit temulang berukir,
bercorak nestapa berona getir.         

Mereka berperang dengan maut,
yang tiada henti di medan kemelut, 
jemari tirus tidak mampu mengusir lalat,
kerana kematian semakin dekat.           

Ke manakah nasib akan terbawa,
sedang dunia menyambung ketawa,
kita di sini bergema sendawa,
mereka terlantar menyabung nyawa.             

Marilah kita rasai kepayahan, 
hidup dalam derita kebuluran, 
mata bundar tiada lagi penglihatan,
kelaparan telah membunuh keimanan,
kita yang kenyang masih tega bercakaran.

Dangau Marhaen,
21/8/11

Ahad, Ogos 21, 2011

Lebaran

Lebaran mula menampakkan senyuman,
orang bersesak membeli pakaian,
seperti semuanya perlu baharu,
kalau gagal persis semuanya buntu. 

Lebaran ibarat tarikh lupus,  
belanjalah hingga habis semuanya,
kerana wang boleh dicari,
lebaran hanya setahun sekali.  

Beginilah lumrahnya,
orang kita dengan tabiatnya,
aidilfitri bukan lagi detik menginsafi,
tetapi musim melambung diri,
ke puncak emosi. 

Bukit Tinggi,
Klang,  20/8/2011

Khamis, Ogos 18, 2011

Melankolia

redup mulus mega senja
ufuk bertaut memesrai laut
pelaut pulang menampakkan bebayang tenang
riak mengorak kecil
mendambai pantai terpencil.

Suara alam kian kendur
ketika pandangan kian kabur
pepohon diam lurus
bagai penanti setia melodi kudus
dalam rindu yang tirus.

Sebentar lagi malam beradu
setelah lama menanggung sendu
Syawal datang dalam doa dan restu
kami marhaen di pojok hidup
menanti dalam samar dan redup
takbir mengalun dari kejauhan
meruntun hati kesedihan.

Lebaran bagiku terlalu melankolia
kerana masa lalu tidak pernah mengapung
dan hilang
pengalaman silam terlalu akrab bertandang
nestapa dan duka saling berulang.

Biarpun sejauh ini melangkah
melankolia ini tidak pernah tergugah
dalam renta usia aku harus pasrah
kerana derita aku terus melangkah
ke dunia yang gagah.

Banting,
18/8/2011



Jumaat, Ogos 12, 2011

Sore di Kota Terluka

Hujan sore di kota terluka

Kabut memadam lampu temaram
Perjalanan yang mencabar
Penantian menguji sabar.

Anak-anak gelandangan
dan bangunan tinggal
Menaup akrab dalam khayalan
Keterbuangan
Dalam waktu surut
Dan berkat yang susut.

Telah nyenyak tidurnya
Tika sore hujan menggila
Peduli apa dengan bangsa
Peduli apa dengan agama
Dia sudah sampai ke syurga ciptaannya.

Di persimpangan kota ini aku berhenti
Melihat kehebatan dan kehinaan
Bercantum menjadi mudarat yang samar
Membesar dalam gusar.

7/9/02
Hotel Grand Season,
Kuala Lumpur.

Sabtu, Ogos 06, 2011

Sajak Subuh

Ruap iman telah naik ke udara
dan berbaur dengan fajar tirus
angin lirih membiaskan duka malam
ke ufuk jauh
ke ufuk jauh.

Sebentar lagi langit menjadi sekilas catan
cahaya sebenarnya mengubah landskap usia
pepohon hitam akan ceria
dedaun hijau dan dihiasi bunga.

Subuh,
waktu memula detik hidup
dan menguak kemelut semalam
kerana hari ini ada tunas-tunas harapan
yang mercup di saujana luas
tidak terbatas.

Mulakan dengan langkah mulia
dan seribu doa bahagia
tanamkan bibit cinta asmara
untuk semua warga dunia
menyahut sapa
dengan hati yang terbuka.

Dangau Marhaen,
Banting.
6/8/2011

Sebuah Teksi dan Hujan

Tahun 1984. Saya memulakan tugas sebagai guru lepasan maktab perguruan di sebuah sekolah menengah di Sik, Kedah. Di Kedah hari Ahad ialah hari persekolahan. Jadi, petang Sabtu saya perlu balik ke rumah sewaan.

Saya menunggu teksi di pekan Gurun untuk ke Sik. Waktu itu perkhidmatan bas tidak ada yang sampai ke Sik. Kebetulan pula waktu itu bulan puasa. Saya perlu cepat kerana jarak antara Gurun dengan Sik melebihi 30 km. Akhirnya, saya menaiki sebuah teksi yang uzur, dan dipandu oleh seorang pemandu yang agak lanjut usianya. Saya duduk di tempat duduk depan di sebelah pemandu itu. Saya harap dapat berbual-bual untuk mengisi masa di sepanjang perjalanan melalui kawasan hutan, kebun getah, dan ladang kelapa sawit.

Dalam perjalanan, tiba-tiba cuaca berubah. Langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Jangkaan saya betul. Hujan lebat telah turun dan mengaburi cermin depan teksi yang saya tumpang.

“Pakcik, pasang wiper!” kata saya setelah melihat pemandu itu tidak menghidupkan pengilap cermin hadapan teksinya. Namun kata-kata saya seolah-olah tidak didengari. Pemandu itu hanya mengambil sehelai kain buruk dan mengilap bahagian dalam cerminnya. Saya hanya menantikan dia menghidupkan pengilap cerminnya.

Setelah beberapa ketika berlalu hujan semakin lebat. Jarak pandangan semakin terhad. Namun tidak ada tanda-tanda pemandu itu akan menghidupkan pengilap cerminnya. Saya menjeling ke arah pemandu itu. Dia hanya berwajah selamba dan memandu seperti biasa dengan kelajuan yang rendah. Saya mula berasa bimbang apabila teksi tersebut beberapa kali tersasar dan jatuh di kaki lima jalan. Oleh sebab jalan yang agak berliku-liku, saya mula takut sesuatu yang buruk akan berlaku. Penumpang di belakang pula seorang wanita separuh umur. Dia hanya berdiam diri tanpa berkata apa-apa. Dia hanya memanjangkan lehernya untuk melihat sama ada tempat yang dituju sudah sampai.

“Berhenti!” tiba-tiba wanita itu bersuara. Pemandu teksi tersebut membelok ke kiri jalan. Di luar hujan masih menggila. Cermin hadapan seperti kepingan logam yang legap. Hanya titisan-titisan hujan kelihatan menutupi setiap ruang pandangan mata.

“Bukan! Belum sampai lagi...!” tiba-tiba wanita itu berkata. Tanpa berkata apa-apa pemandu teksi itu meneruskan perjalanan. Saya mula berasa gelisah. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.30 lebih. Kalau terlambat, saya tidak dapat membeli makanan untuk berbuka puasa sesampainya saya di Sik nanti. Kalau begitu keadaannya, memang kerisauan saya bersebab. Perjalanan kami memang sangat lembab petang itu.

“Berhenti!” sekali lagi wanita itu bersuara dengan tiba-tiba. Sekali lagi pemandu teksi itu membelok ke kiri. Wanita itu pun bertanya akan bayaran tambang. Ketika itulah saya ternampak ‘switch’ pengilap cermin di sebelah stering teksi uzur tersebut. Ketika pemandu teksi itu sibuk mengembalikan wang baki kepada penumpang tersebut, saya menekan ‘switch’ pengilap cermin berkenaan, dengan harapan cermin depan itu bersih dan pandangan lebih jelas. Sejak tadi saya mula berasa hairan pemandu teksi itu tidak menekan ‘switch’ yang dimaksudkan.

Tidak semena-mena kedua-dua pengilap cermin membidas dan tercampak ke atas jalan. Saya terkejut melihat hanya dua batang besi kontot terbias-bias di atas cermin depan. Bahagian pengelap yang diperbuat daripada getah sudah hilang entah ke mana. Serentak dengan itu pemandu berkenaan memandang saya dengan wajah kosong.

Pemandu itu mematikan ‘switch’ pengilapnya. Kemudian dia membuka pintu teksinya. Saya melihat dia mencari-cari bahagian yang tercampak tadi di atas jalan. Kemudian dia masuk semula ke dalam teksi sambil membawa pengilap getah dan dicampakkan ke bawah. Seluruh tubuhnya basah kuyup. Selepas mengelap mukanya, dia meneruskan perjalanan tanpa berkata apa-apa.

Saya berasa sangat bersalah dan meminta maaf beberapa kali. Baru saya sedar sebab dia tidak menghidupkan pengilap cermin depan teksi uzur itu. Rupa-rupanya pengilap cermin itu hanya diletakkan sebagai hiasan sahaja. Selepas itu saya tidak berbual dengannya lagi. Hanya deru suara hujan kedengaran. Di dalam minda saya, pelbagai perasaan bergentayangan. Ada lucu, ada sedih, ada cemas. Akan tetapi pemandu teksi itu hanya menjalankan tugasnya tanpa sebarang keluhan.

Pukul tujuh lebih, kami baru sampai ke pekan Sik. Hujan mula reda. Namun, sebagai sebuah pekan di pedalaman negeri Kedah, suasananya sudah sunyi. Tidak ada restoren yang beroperasi kecuali restoren milik peniaga Cina.

“Pakcik, kita berhenti minum dulu. Dah nak buka puasa ni!” aku memberanikan diri untuk bersuara setelah lama kami mendiamkan diri.

Petang itu saya berbuka puasa dengan secawan teh di sebuah restoren Cina bersama-sama pemandu teksi yang basah kuyup. Setiap kali tibanya Ramadan, kenangan ini kembali segar dalam jiwa saya walaupun sudah hampir 30 tahun peristiwa itu berlaku.



Rabu, Ogos 03, 2011

Kenangan di Sik, Kedah

Saya masih teringat pada tahun 1984 ketika saya mula-mula bertugas sebagai seorang guru di pedalaman negeri Kedah iaitu di Sik. Saya tinggal bersama-sama beberapa orang guru bujang. Ada juga beberapa orang rakan bujang yang bekerja dalam sektor lain.

Kami menumpang makan di sebuah rumah yang terletak di berhampiran sekolah. Mak Lang Nab, begitulah nama wanita yang kami tumpang. Kalau bukan bulan puasa kami makan tengah hari dan makan malam di rumah Mak Lang Nab. Selain untuk makan, rumah Mak Lang Nab juga menjadi tempat kami berbual-bual dan menonton televisyen. Ketika itu ada lebih kurang sepuluh orang bujang yang makan di situ. Masakan Mak Lang Nab pula tidak kurang hebatnya, sama seperti masakan ibu sendiri.

Semasa bulan puasa, kami akan datang untuk berbuka puasa dan bersahur. Kadang-kadang kami bertarawih di situ kerana masjid agak jauh. Waktu sahur pula, kami akan berjalan beramai-ramai pada pukul empat lebih menuju ke rumah Mak Lang Nab. Itulah rutin kami sepanjang bulan puasa. Kami menghabiskan masa dalam setengah jam untuk bersahur sambil berborak. Maklumlah orang bujang. Selepas sahur kami akan berjalan balik ke rumah. Suasana hening pagi biasa dipenuhi dengan suara kami kerana keadaan pekan Sik waktu itu sangat sunyi.

Suatu pagi, seperti biasa kami berjalan ke rumah Mak Lang Nab. Sesampai sahaja kami ke rumah kecil itu, keadaannya gelap. Tidak ada tanda-tanda hidangan makanan sudah disediakan. Biasanya pintu rumah kayu separuh konkrit itu telah terbuka sebaik sahaja kami tiba. Azizah yang kami panggil Dik Jah itu anak gadis Mak Lang Nab yang akan melayan kami makan. Akan tetapi ketika itu pintu terkunci kemas.

Kami mula berpandangan dalam kegelapan pagi. Kami memberi salam. Diam juga. Ada rakan yang mengetuk pintu rumah Mak Lang Nab beberapa kali, tetapi tidak ada jawaban yang didengari. Setelah lima belas minit, keadaannya masih sama. Rakan saya Cikgu Johari yang agak nakal antara kami mengutip batu di tepi jalan. Dia membaling batu ke atas bumbung rumah. Bunyi dentuman batu di atas bumbung zing memang jelas dan kuat. Namun keadaannya tidak apa-apa. Masing-masing mula cemas. Detik waktu kian berlalu. Sebentar lagi waktu imsak akan tiba. Kalau Mak Lang Nab tidak bangun juga, kami akan berpuasa tanpa bersahur. Begitupun, kami tetap setia mencangkung di tepi jalan di depan rumah Mak Lang Nab dengan harapan Mak Lang Nab akan bangun dan memasak untuk kami.

Akhirnya, setelah lebih setengah jam berusaha untuk membangunkan Mak Lang Nab, kami gagal. Menjelang pukul 5.30 pagi, kami pun beransur pulang beramai-ramai. Ada yang ketawa dan ada yang merungut kerana tidak pernah tidak bersahur sebelum ini. Paling tidak pun minum air milo sudah memadai. Peristiwa itu bercampur menjadi peristiwa lucu dan sedih. Ada pula yang tertanya-tanya tentang perkara yang terjadi terhadap Mak Lang Nab. Selama ini dia tidak pernah lewat menyediakan juadah untuk kami memandangkan itulah sumber rezekinya semenjak menjadi janda kematian suami. Kami membayar secara bulanan kepada Mak Lang Nab. Agak lumayan juga kerana waktu itu ramai kakitangan kerajaan bujang yang makan di rumah Mak Lang Nab.

Begitulah nasib orang bujang di perantauan ketika bulan puasa. Seharian itu kami berpuasa tanpa bersahur. Besoknya, ketika kami datang berbuka, Mak Lang Nab sangat-sangat rasa bersalah. Dia memohon maaf. Dia terlalu penat kerana pulang menziarahi kematian bersama-sama anaknya di Sungai Patani. Oleh sebab itu dia langsung tidak sedar akan kedatangan kami walaupun makanan sahur telah dimasak sebelum dia tertidur pagi itu.

Kami juga tidak mengambil hati. Mak Lang Nab telah kami anggap sebagai ibu angkat kami di Sik. Lebih menarik lagi, Cikgu Johari akhirnya menjadi menantu Mak Lang Nab dan hidup bahagia hingga sekarang. Sekarang saya sudah berpindah ke Selangot setelah empat tahun bertugas di Sik. Setiap kali bulan puasa muncul, kenangan itu tetap kembali segar dalam ingatan. Setiap kali berkesempatan pulang, saya akan ke Sik, walaupun pekan kecil itu sudah banyak berubah. Malah Sik juga banyak menjadi latar dalam karya-karya penulisan saya.

Sabtu, Julai 30, 2011

Makna Hujan

Derai hujan melantun di atas aspal
guntur menyergah seperti terlalu marah
petir menjeling sesekali melontarkan panah
diri terkurung di belenggu gundah.

Seminggu sudah bumi terlanjur basah
bapa merengus tiada hasil pepohon getah
emak merungut beras di guri luak sudah
ikan dijemur kini berulat lincah.

Sawah melimpah mati benih baru ditanam
hanyut harapan mengisi perut anak berenam
setahun sekali padi merimbun bakal jahanam
hilang punca rezeki hidup bakal menjunam.

Hujan lebat ini penuh nostalgia
membawa cabaran membina teguh hidup bahagia
hujan mengajar erti sengsara
hujan melebar lurah derita
hujan juga guru berharga.

Hujan akan turun lagi
biarpun dinihari, petang sore, dan awal pagi.
biarpun derita telah lama berlalu pergi
aku mengenang ketika kecil lagi
pabila hujan menutup muka perigi
air tergenang tempat menilai untung dan rugi.

Kini semua telah berlalu
biarlah hujan datang selalu
agar diri tidak lupa melulu
akan kesusahan dan musim pilu
dalam hidupku.

Dangau Marhaen,
Banting.
30/7/2011

Rabu, Julai 27, 2011

Pohon Setia

Telah rendang pohon cinta ini
yang kita tanam di lembah pasrah
dari seranting dauh kasih dan setia
bercambah menjadi dahan-dahan teguh
merimbun dan agam.

Sesekali datang gertak prahara berbisa
menggoncang pucuk-pucuk asmara
berguguran mengguyur ke pangkal tunjang
reput dan terserap hilang
menjadi baja cemerlang.

Ketika putik-putik harapan
bergayutan dan mekar segar
hijau dan membesar
bukan sedikit kemelut yang mercup
lantaran musim sudah tega berubah
guntur dan kabus semakin betah
membias arah dan mengubah lumrah
kerikil dan onak tampil menggugah.

Namun sampai kini
masih tegak pohon cinta kita
melayari perubahan di depan mata
betapa usia yang menghadirkan renta
masih sanggup menahan sergah gelora
masih bertahan menentang amukan nista.

Akan tiba jua detik-detik cemburu
ketika dedaunan gugur satu persatu
ketika tegaknya goyah dimamah waktu
ketika dahannya patah disesah keliru
ketika agamnya runtuh di landas berliku

Namun nama kita sudah terpahat kuat
biarpun pohon ini kehilangan kudrat
bertabur kiranya butir-butir semangat
dan kita tahu bakal tumbang sebuah pohon keramat
membawa pergi segala cinta dan nostalgia
bersama-sama ukiran nama
yang kita catat bersama
sekian lama.

Akan berakhir jua sebuah perjalanan setia
untuk menjadi kenangan selamanya
seadanya!

Dangau Marhaen,
27/7/2011

Selasa, Julai 26, 2011

Perjalanan

Duri-duri yang menusuk kaki
dan lantunan kerikil yang menjentik emosi
gerimis dan terik silih berganti
adalah rencah di perjalanan ini
menuju destinasi.

Sesekali kita perlu berhenti
menilai denai dan simpang-siur
kerana arah pilihan tidak selalu mudah
ada onak yang diredah
ada nyanyian yang gundah.

Bagiku perjalanan ini
semakin ada yang harus ditinjau
melepasi segala halangan ranjau
memilih antara merah dan hijau.

Ketika memulakan semula
setiap langkah adalah berharga
kerana kita telah bermula
jangan berhenti sebelum terjaga
semua mimpi yang kecewa.

Dangau Marhaen,
Banting.
26/7/11

Rabu, Julai 20, 2011

Bersama-sama Sasterawan Negara

Bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Redwan yang berkunjung ke Banting hari ini 20/7/2011

Sabtu, Julai 16, 2011

Hanya rakaman lensa

 Santai di gazebo, di laman rumah
 Merakamkan suasana senja di Pantai Morib
Pemandangan di luar rumah.

Jumaat, Julai 15, 2011

Bukan Desperado

Sesungguhnya yang malang itu,
akulah!
terpinggir dalam deretan nestapa
jauh dari destinasi bahagia
seperti jarak langit dan bumi
masih bertanya tanpa jawaban pasti
akan makna kebenaran janji.

Sebetulnya yang resah itu,
akulah juga!
terikat oleh kerenah hidup
dan aku tidak kisah apa-apa
sehingga mereka tega mengaburkan mata
untuk melihat pesona pujangga
yang hilang suara.

Sejujurnya yang terdera itu,
akulah!
terlalu mahu menjaga hati
sehingga menyiksa diri
dan teganya aku menjadi abdi
hakikat dan hakiki.

Semuanya kerana aku
bukan desperado
dan membiarkan aliran hidup
hanyut ke muara
tanpa sengketa
dan kelodak dosa
di kelopak sukma.

14/7/2011

Khamis, Julai 07, 2011

Ramadan

Bahan bacaan terbaru yang saya beli pagi ini.

Langit Syaaban telah jingga
senja ini semuanya berjaga
malam nanti tersebar berita
Ramadan datang mendamba jiwa.

Saat ini ditunggu-tunggu
malam terbuka menjadi wadah rindu
mengimbau kasih dalam syahdu
tahlil dan tahmid ampuh berpadu.

Ramadan
terbuka taman seribu wangian kembang
puspa cinta pesona syurga gemilang
suara berbalam santak ke hujung malam
membangkit aura seru sekalian alam.

Tertumpah kasih ukhuwah pun akrab
bercantum muhibbah dalam saf yang mantap
Ramadan musim insaf akan kudrat-Nya
memupuk iman seluruh umat-Nya.

5-7 Julai 2011

Isnin, Julai 04, 2011

Memegang Cahaya

Akulah
si malang yang tidak mahu kecewa
apatah dibunuh onak putus asa
biar tertusuk sembilu bisa
atau terdampar di laut siksa
semuanya kuterima biasa
tanpa sedetik pembaziran masa
menangisi usia.

Akulah
si untung yang tidak mahu berbangga
apatah dilabung dabikan dada
biar berdiri di puncak persada
atau terjulang di tengah arena
semuanya hanya sementara
tanpa secubit dambaan leka
melunak derhaka.

Aku hanya ingin memegang cahaya
menyuluh hari muka
mendepani jalan terbuka
dengan hati yang rela
ke sana!

Dangau Marhaen,
4/7/2011

Jumaat, Julai 01, 2011

Lihat ke dalam Diri


Marilah kita lihat ke dalam diri
sebelum menuding jari
dan membanggakan diri
sebagai manusia terpuji.

Adakalanya,
yang mengaku diri baik
adalah sebenarnya sengkek
yang mengaku diri hebat
adalah sebenarnya musibat
yang mengaku diri pandai
adalah sebenarnya keldai
yang mengaku diri alim
adalah sebenarnya isim
yang mengaku diri betul
adalah sebenarnya tunggul
yang mengaku diri amanah
adalah sebenarnya nanah
yang mengaku diri lurus
adalah sebenarnya virus
yang mengaku diri terpuji
adalah sebenarnya keji.

Maka lihatkah sekali lagi
ke dalam cermin diri
sebelum menuding jari
membuak dengki
memangkin iri
sepanjang hari.


1/7/2011

RAYA 2026