Sabtu, April 30, 2011

Liar

Kau dari tanah liar
melarat dan membiar diri dibawa arus
hidup dengan nyawa takdir
dan mati tanpa nama terukir.

kau sebenarnya sebahagian daripada kehidupan
selalunya hilang dalam kealpaan
kerana dunia memecut atas landasan kebendaan
hilang kewarasan.

sesekali
campakkan diri ke dunia marhaen
melihat warna nafas dan harga darah
adalah sama tidak berbeza
cuma kita sering terlupa
asal-usul dan punca
seadanya.

yang liar itu bukan hina
tetapi ego kita yang tidak pernah lena
mengejar seribu pesona
di dunia fana.

lihatlah ke ufuk dunia
untuk mencari makna dan tafsir pawana
merungkai nikmat dan ceria cahaya
menilai panas dan anggun pawaka
menikmati budi dan jasa buana.

jangan terlalu liar
untuk mensyukuri semuanya
yang kita ada.

Dangau Marhaen,
30/4/2011




Selasa, April 26, 2011

Rimas

Semuanya kering dalam gersang waktu

Menanti adalah derita kecil yang tak pernah sembuh
Terbiar dalam padang resah yang luas
Tandus dibakar nyala bosan yang panas.

Betapa detik terlalu berjurang antaranya
Tidak tersambung oleh titian nyaman
Yang ada hanya angan-angan kaku
Menusuk sanubari dalam suara yang bisu.

Sapaan bukan lagi kerdip bintang malam
Kiranya sinis suara yang memugar daerah rasa
Gegar sukma lara bagai hilang doa syurga
Tabah jatuh di lantai durja semua anggota.

Begitulah jika tiada rela menongkat tindak
Pasti terbeban semua celaka menekan pundak
Kembalilah kepada ritma diri
Yang selama ini terbangun teguh di pusar mimpi.

Lapangan Terbang Sultan Muhammad ke IV,
Kota Bharu,
26/9/2010

Ahad, April 24, 2011

Buku rujukan terbaru di pasaran.

Buku rujukan dan latihan iaitu Kertas Model Bahasa Malaysia SPM 2011 terbitan Pearson Longman telah ada di pasaran.  Calon-calon SPM tahun ini boleh mendapatkannya di pasaran.  Buku ini saya tulis bersama
-sama dua orang penulis terkenal iaitu Encik Abdul Ghalib Yunus dan penyair Aminhad. 

Jumaat, April 22, 2011

Ceramah di Kem At Taqwa, Bukit Changgang, Kuala Langat



Saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang teknik menjawab soalan kertas 1 Bahasa Malaysia SPM. Peserta-peserta yang hadir merupakan murid-murid aliran agama dari empat buah sekolah di Kuala Langat. 

Isnin, April 18, 2011

Suara

Bau hitam sudah sampai ke halaman
ketika aku mengira riang
kerana terlupa perjalanan sejauh ini
telah meninggalkan
mereka yang terlambat
menempah warna tulip
yang indah.

Ketika aku tersedar
aku mula mengutip sesal
dengan kata-kata yang terlerai
dan akhirnya aku sendiri
mengatakan bahawa aku tidak menolak
segala kurnia dan anugerah.

Suara-suara yang terngiang
terlalu tajam menggigit kuping
dan darahnya mengalir tanpa ada
di muka rasa.

Biarkan suara itu membisik
kerana aku harus bergerak maju
perjalanan ini tidak harus buntu
selagi destinasi impian
jauh dari pandangan.

Suara
adalah luahan rasa
yang tidak penghujungnya.


Dangau Marhaen,
18/4/2011


Sabtu, April 16, 2011

Hijrah

Mula terasa aku kini
diri semakin tidak disenangi
menjadi buah mulut petang dan pagi
terdengar suara sinis ke mana-mana pergi.

Dan adakalanya keselesaan memudaratkan
kerana langkah tidak bergerak lagi
minda tidak berfikir lagi
segala-galanya terhenti
akal menjadi beku dan tidak maju
hanya menanti masa untuk beradu.

Perlukah aku berhijrah
kerana hijrah akan memacu semangat
tidak mahu terus buntu aku
tidak mahu terus digigit cemburu
biar aku mencari arah baharu.

Hijrahlah..
untuk masa depan yang cerah.

Dangau Marhaen
16/4/2011

Khamis, April 14, 2011

Anugerah

Aku mula terasa,
kelebihan yang Tuhan beri,
dan aku amat mensyukuri,
kini mula mencetuskan iri,
musuh-musuh dan rakan sendiri.

Aku tidak pernah meminta,
anugerah Tuhan hadir di depan mata,
tapi aku hanya berusaha,
menebus semua derita,
dengan cagaran permata.

Barangkali  mereka tidak mengerti,
akan makna anugerah dan rezeki,
biar betapapun dihajati,
kemahuan dan kehendak hati,
tanpa Tuhan memberkati,
tidak akan berlaku pasti.

Janganlah kita berfikir lewa,
rezeki ada jangan kecewa,
syukur yang ada kuatkan takwa,
tunjukkan bakat anggun wibawa,
bersama ikhlas yakin terbawa.

Aku hanya manusia biasa,
tidak berlebih mahu merasa,
nikmat Tuhan syukur sentiasa,
lebih sedikit perkara biasa,
bukan meminta sepanjang masa,
sekadar mahu nikmat selesa.

Dangau Marhaen,
14/4/2011

Ahad, April 10, 2011

Kunjungan Kawan Lama

Petang tadi saya dikunjungi oleh kawan lama saya bersama-sama keluarganya.  Tuan Haji Yahaya Suip merupakan rakan saya semasa saya belajar di peringkat master di UPM.  Selama dua tahun buat master itu kami sentiasa bertemu terutama pada hujung minggu.  Kami menumpang tidur di Pusat Islam bersama-sama dua orang lagi sahabat kami Mat Jidin dan Mohamadan.  Pengalaman ini sangat berharga kerana setelah melalui susah payah, kami akhirnya berjaya menamatkan pengajian Master kami.  Tuan Haji Yahaya mempunyai anak yang belajar di Kolej Mara Banting.  Jadi terlanjur datang ke Banting, dia singgah di rumah saya. 

Sabtu, April 09, 2011

Larut II

Sore larut dalam senja
senja larut dalam malam
malam larut dalam rindu.

Rindu larut dalam benci
benci larut dalam amarah
amarah larut dalam hati.

Hati larut dalam nafsu
nafsu larut dalam cinta
cinta larut dalam usia.

Banting,
9/4/2011

Khamis, April 07, 2011

Berceramah Kembali

Agak lama juga saya tidak mennyampaikan ceramah. Saya juga telah menolak banyak jemputan. Akan tetapi baru-baru ini saya menerima jemputan kembali untuk menyampaikan ceramah.  Setakat ini saya membuat keputusan untuk menerima dua jemputan ceramah.  Yang lain saya tolak juga atas alasan tertentu.  InsyaAllah saya akan menyampaikan ceramah bermula 22 April ini.  Mudah-mudahan saya dapat berkongsi sedikit pengalaman dengan khalayak.  Saya bukanlah penceramah yang hebat.  Saya hanya manusia biasa. Barangkali saya memiliki sedikit pengalaman yang dapat dikongsikan.

Rabu, April 06, 2011

AnakSekecil Itu

Telah hilang nyawanya,
dan hilang juga namanya,
anak yang sekecil itu,
di tangan orang yang bergelar guru,
yang dirasuk ketaksuban,
sepanjang kehidupan.

Seusia dia adanya,
berlari di padang mengejar bola,
dan bertanya manja,
tentang semuanya,
tanpa prasangka.

Atau mengidami makanan segera,
dan bermimpi ke taman tema,
sesekali mahu bergurau senda,
berkhayal entah apa-apa,
sampai ke syurga.

Anak yang sekecil itu,
terlalu berat untuk menanggung derita,
manusia yang gemar menghukum,
kerana dialah sahaja makhluk Tuhan,
yang paling dimuliakan,
dan perangai buruk se kecil itu,
harus dipadam dari perlakuan,
dari kehidupan.

Apakah yang akan terjadi,
apabila manusia tidak boleh lagi dipercayai,
mentafsir segalanya mengikut fahaman sendiri,
menutup mata hati nurani,
hilang harga diri.

Anak sekecil itu,
menyedarkan kita tentang kepalsuan,
orang yang melaungkan keimanan,
rupa-rupanya memakai topeng syaitan,
sekeji-keji kemanusiaan,
sehina-hina kejadian.


6/4/2011

Ahad, April 03, 2011

Indahnya Alamku


Bebayang yang rebah di laman
mantari sore menghimbau pandangan
liuk-lentok dedauan
dari hembusan pawana nyaman.

Aku meninjau ke luar jendela
mendengar suara unggas ria
melayah menyongsong cahaya
dan singgah di ranting berbunga.

Indahnya alamku
menusuk ke jantung kalbu
kurniaan mulia pesona syahdu
rahmat-Nya besar bertaut restu.

Dangau Marhaen,

Banting.  3/4/2011  5.37 ptg

Rabu, Mac 30, 2011

Ingatan Pada Diri

Selalunya
kita tidak akan pernah mengakui
kesilapan dan kesalahan diri
sebaliknya kita senang menuding jari
menutup kelemahan sendiri.

Apapun yang tertimpa di pundak
akan ada orang yang tersalah tindak
busuk hati dan cemburu membuak
salah sendiri pastinya tidak.

Nilailah diri sebelum menghambur tuduh
jangan melulu mengikut resam yang bodoh
punca sedikit gemar mencari gaduh
ke mana-mana pasti tiada bayang berteduh.

Muhasabah dan insaflah
sedar diri jangan takut mengaku salah
matangkan fikir hebat minda pasti terserlah
bukannya melulu membuat retak menjadi belah.

Dangau Marhaen,
Banting.
29/3/2011

Ahad, Mac 27, 2011

Sepanjang Jalan ke Tanjung Dawai



Bunga-bunga gugur diterbangkan angin
melintasi jalan ke sawah gersang
di kananku mantari mula mengundur
meninggalkan lembayung di kanvas senja
aku berhenti untuk melihat alam
dalam kesima dan jiwa bungkam
teruja dengan indah alam
di kaki malam.

Sepanjang jalan ke Tanjung Dawai
hujan merengek dan membasahi langkah
orang berdagang semakin pulang
orang bertandang semakin kurang
tetapi aku tetap mahu datang
setiap kali pulang.

Tanjung Dawai pantai nostalgia
tidak pernah lekang di hati seyogia
biarpun jauh mengecap bahagia
kerana di sini semuanya bermula.

Senja dan malam
Tanjung Dawai tampak berbalam
aku datang mengucap salam
mengimbas kembali kenangan silam.

Tanjung Dawai, Kedah
16/3/2011

Sabtu, Mac 26, 2011

Tanjung Pengharapan


Kerikil yang menanti di pantai
adalah pembelah ombak
dari selat kecil
dan pulau-pulau terpencil.

Tiada banyak yang menangkap mata
hanya warna senja yang jingga
sebentar cuma merajalela
dan hilang begitu sahaja
ketika cinta mula membara.

Di sini tempat menjamu selera
dalam suasana bersahaja
dielus pawana manja
dan sesekali bengis menerpa.

Aku hanya pengunjung biasa
melihat tingkah manusia
pelbagai usia
memenuhi masa.

Tanjung Pengharapan
Kelang.
26/3/11 

Khamis, Mac 24, 2011

Kemelut

Saya mengikuti perkembangan politik tanah air dan sedikit politik antarabangsa.  Perkembangan mutakhir menampakkan kekalutan yang berkaitan seorang tokoh terus diperkatakan dan dihebohkan.  Saya rasa, untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, tokoh berkenaan patut mengundurkan diri.  Pada pandangan saya, parti politik yang dipimpin oleh tokoh berkenaan tidak akan terjejas dengan pengundurannya.  Ramai lagi tokoh yang mampu mengambil alih pentabiran parti berkenaan.
 Kita perlu mengambil iktibar daripada beberapa senario politik yang berlaku sebelum ini.  Paling hampir ialah kejadian di Mesir.  Pengunduran Hosni Mubarak telah mengubah landskap politik negara itu dengan mendadak.  Masalah yang timbul akibat ketidakpuasan hati rakyat semakin reda.
Begitu juga halnya dengan kemelut yang menimpa kepimpinan Pak Lah. Namun, sebagai seorang pemimpin yang gentleman Pak Lah mengambil langkah untuk mengundurkan diri.  Akhirnya kemelut itu selesai.
Jadi, tokoh berkenaan perlu mengambil keputusan untuk mengundurkan diri demi kesejahteraan rakyat jelata.  Pengunduran tidak bererti kalah tetapi akan lebih dihormati kerana rakyat tidak lagi disogok dengan permainan politik keterlaluan.  Muammar Ghaddafi sekarang dalam keadaan yang kritikal kerana keengganannya mengundurkan diri.  Saya pasti masalah di Libya akan selesai jika Ghaddafi mengundurkan diri secara terhormat.

Selasa, Mac 22, 2011

Hakikat

Jika takdirnya begitu
begitulah
tapi pasrah melulu bukan caranya
kerana tawakal itu
sewajarnya didahului swadaya
seadanya.

Bertanyalah pada diri
jika langkah longlai
dalam mengejar mimpi
sedangkan kita mampu berlari
mengejar pelangi
menghiasi hidup ini
dengan penuh warna-warni.

Banting,
22/3/11

Isnin, Mac 21, 2011

Buku Terbaru Saya

Baru-baru ini sebuah buku terbaru saya telah diterbitkan.  Buku Esensi Bahasa Malaysia ini dapat dibeli di kedai-kedai buku seluruh negara.  Buku ini khusus untuk calon-calon peperiksaan SPM dan sesuai digunakan oleh murid-murid tingkatan 4.

Ahad, Mac 20, 2011

Ke Batu Laut



Ombak besar mencetus prahara kecil
kocak gelora membasahkan kaki
titis meloncat ke darat
dan anak-anak riang bercanda
ke pangkal senja.

Hati mula bertanya
bisakah kocak ini bertukar ganas
membawa pergi kemanusiaan
sekelip mata
tanpa sempat bertanya
ke mana arahnya.

Laut adalah sahabat
yang menjanjikan seribu nikmat
namun adakalanya laut begitu hebat
menghilangkan daratan terdekat
dan membunuh hayat
dalam masa yang singkat.

Dangau Marhaen,
20/3/2011

Khamis, Mac 17, 2011

Ingatan Seorang Guru

Ketika saya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara saya, saya telah ditegur oleh seseorang.  Dia menyebut nama saya. Saya langsung tidak ingat siapakah beliau. Beliau meminta saya meneka dan mengingat kembali.  Lama-kelamaan saya dapat mengembalikan inagatan saya.  Beliau ialah Cikgu Marzuki, bekas guru saya semasa saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun.  Beliau telah lama bersara.  Saya berasa malu kerana tidak dapat mengingat guru saya sendiri, sedangkan beliau yang masih ingat nama saya, walaupun kami telah berpisah sejak tahun 1972.  Maafkan saya Cikgu Marzuki.   

RAYA 2026