Isnin, Mac 31, 2008

Istirahat di Kalumpang Resort




Kesibukan memuncak sejak akhir-akhir ini. Mengajar deadline untuk menyerahkan bahan-bahan penulisan, di samping tugas rasmi merupakan satu tekanan yang hebat. Namun, aku tidak mahu terlalu obses dengan segala rutin sehingga melemahkan pengurusan diri. Untuk itu, aku mengambil peluang untuk bersantai dan istirahat bersama-sama isteri dan anak-anak. Aku memilih Kalumpang Resort yang terhindar dari kebisingan dan kerancuan hidup. Suasana di sini agar segar dan sunyi dipenuhi kehijauan hutan. Suara air sungai membelai lenaku sepanjang malam. Sempat bermandi-manda, sambil menghirup pawana nyaman dari alam semulajadi yang semakin hilang kesuciannya. Dan aku betah berguru dengan alam, kerana melimpahkan kurnia ilham dan semangat yang membugar.

Khamis, Mac 20, 2008

Ke Pajam dan Mantin






Hari ini hari cuti umum. Sengaja aku berjalan ke Pajam dan Mantin dan balik singgah pula di Nilai 3. Sekadar melihat kawasan perumahan baharu dan mencari idea untuk rumah baharu yang akan siap pembinaannya tidak lama lagi. Aku tertarik dengan binaan rumah cluster di Pajam. Ada taman di roof top. Lengkap dengan pergola. Kreatif sekali dan menarik. Namun kreativiti ini tidak dapat kuadaptasikan di rumah kami kerana ruang yang terhad.
Bahagian dalam rumah juga agak menarik kerana tingkapnya dibina rendah dan melintang. Hal ini pasti meningkatkan pencahayaan bahagian dalaman rumah. Cara ini mungkin kupilih untuk rumah kami nanti.

Jumaat, Mac 14, 2008

Tentang Ketuanan Melayu


Setersentak dengan keputusan PRU 12, ramailah yang bercakap tentang ketuanan Melayu. Rata-rata makalah dalam media perdana menuding jari ke arah orang Melayu yang dikatakan telah membuat kesilapan dalam pilihan raya. Pemimpin-pemimpin Melayu, muda dan veteran juga memperkatakan hal yang sama.


Bagiku sebagai orang Melayu yang marhaen dan tidak ada apa-apa kepentingan ini, kita tidak boleh menuding jari rakyat Melayu semata-mata. Yang penting pemimpin-pemimpin juga perlu bermuhasabah diri. Bertanya mengapakah dengan tidak semena-mena orang Melayu berpaling muka dengan pemimpin mereka. Padaku, orang-orang Melayu sangat bergantung harap kepada kepimpinan Melayu. Namun jika kepimpinan tidak lagi menjadi tempat bergantung harap, maka mereka akan mencari alternatif yang lain. Banyak perkara yang mencetuskan fenomena ini. Carilah, dan turunlah ke bawah untuk mendapat jawapannya. Pemimpin mungkin terlupa dalam sebuah negara demokrasi, kedudukan mereka ditentukan oleh rakyat. Kedudukan mereka bukan milik mutlak sesuatu kelompok. Jika kita mengamalkan demokrasi, hal-hal seperti ini mesti tidak dapat dielakkan. Jika rakyat menolak, tentu ada sesuatu yang tidak kena. Hal inilah yang perlu dibangkitkan, bukannya menyalahkan orang Melayu yang berpaling tadah. Hal ini mungkin sudah alam terbuku dalam sanubari rakyat, namun jika keadaan sudah keterlaluan apa lagi yang harus diilakukan selain berpihak kepada orang lain atau buat tak tahu sahaja.


Selepas ini pemimpin Melayu mestilah selalu bermuhasabah, berjuanglah atas nama bangsa dan agama, bukan hanya kepentingan diri dan mengumpul harta. Berjuanglah dengan amanah dan dedikasi, bukan penuh dengan penyelewengan dan korupsi. Jangan mementingkan kroni dan kerabat sendiri. Kalau benar-benar ingin memperjuangkan ketuanan Melayu, lupakanlah niat untuk mengumpul harta kekayaan, status yang menyebabkan rakyat marhaen terabai dan tersisih.


Sebenarnya, banyak perkara yang dianggap remeh oleh pemimpin menjadi isu besar dalam kalangan rakyat. Jadi pemimpin yang bakal menerajui kepimpinan Melayu akanj datang mesti sedar dan insaf bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap bangsa dan agama, bukan terhadap kekayaan dan darjat.


Sebagai marhaen aku tetap mahu negara ini dikuasai oleh orang Melayu, tidak kira lambang dan ideologi politik mereka. Barangkali perkara yang berlaku merupakan satu hikmah tentang sifat sombong, lupa diri, megah, angkuh, lalai, jumud, dan lain-lain. Renungkanlah!


Rabu, Mac 12, 2008

Cepatnya Masa Berlalu

Aku sedang memegang wang bernilai satu juta tapi rupiah. Amin tak habis-habis mengira wangnya ketika menjadi jutawan segera di Kukup. Lutfi pula sering bertekak dengan Sudin kerana perbezaan nilai mata wang di warong pengurup wang. Nampaknya Lutfi seorang yang teliti dalam membuat keputusan. Gambar kenangan

Cepat betul masa berlalu. Gambar-gambar ini ialah gambarku bersama-sama rakan-rakan yang menyeberang Selat Melaka ke Kerimun, Indonesia dan ketika berada di Pontian. Sengaja kupaparkan kembali untuk bernostalgia. Cepatnya masa berlalu, dalam seminggu ini pelbagai peristiwa besar yang berlaku. Diam tak diam kepimpinan negeri juga sudah berubah.

Isnin, Mac 10, 2008

Mendiamkan Diri

Sengaja aku mendiamkan diri sejak sebelum pilihan raya. Kini selepas pilihan raya, barulah aku menulis semula dalam blog. Bimbang jika menulis dalam tempoh panas, kadang-kadang perkara yang ditulis bakal disalahtafsirkan dan akan membawa kepada sesuatu yang kurang senang, kepada diri dan kepada orang lain. Pernah terjadi semasa PRU pada tahun 1999, tulisanku telah menyinggung perasaan.
Dengan keputusan pilihan raya yang baru ditunjukkan, banyak perkara yang dapat diperkatakan. Sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh meluahkan pandangan. Nantilah pandanganku kemudian nanti.

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...