Anak saya telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan karya kreatif 1 Malaysia PNB. Majlis penyampaian hadiah diadakan di Menara PNB pada 17 Disember 2009. Hadiah yang diberikan adalah dalam bentuk saham amanah yang bernilai RM3000.00. Kami juga diberukan sebuah apartmen executive suite di Darby Park PNB berdekatan dengan KLCC. Pada pagi Jumaat, sebelum pulang saya sempat ke Pusat Kraf untuk membeli beberapa hasil seni tempatan.
Kadang-kadang saya terfikir, apakah anak-anak dan isteri saya berasa bosan kerana saya terlalu obses dengan kerja-kerja penulisan saya. Rutin saya setiap hari berhadapan dengan laptop dan mengejar deadline penerbitan. Saya tetap berusaha untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang diamanahkan, tetapi setiap kali selesai, akan datang lagi tugasan yang baharu. Satu kelemahan saya ialah saya sukar untuk menyatakan 'tidak' pada setiap permintaan yang saya terima. Mudah-mudahan, mereka tidak terlalu bosan dengan saya.
| Reactions: |
Tiba jua di persimpangan ini,Barulah kita tahu besarnya erti budi,
Makna jalinan kasih yang abadi,
Semarak mesra yang mercup dalam manis bicara,
Dan nilai setia semua yang ada,
Mengadun citra seanggun permata,
Terukir dalam jiwa bahagia.
Setia di sini untuk melengkapi waktu,
Menenun harapan dengan iltizam dan restu,
Tanpa curiga menusuk rasa,
Lantaran di sini semua saudara,
Penghibur duka pemulih lara,
Penyambung pesona ke usia bersara.
Budi segunung tercurah tanpa rencana,
Bakal mengerdip sinar kemilau arca kencana,
Terhias di dinding minda, memarak asas wacana,
Meruap bangga memangkin kesima,
Melarik teladan ikutan bermakna.
Semarak rindu kami nanti,
Mengenang detik manis yang semakin sepi,
Hilang bicara mesra, lupus kiranya gurau senda,
Jarak dan ruang pasti semakin dirasa,
Justeru langkah dan arah kian berbeza.
Kasih ini tetap kukuh,
Terpahat dalam ingatan yang teguh,
Terbit dari ikatan ukhuwah yang ampuh,
Rindu nostalgia di sini berlabuh.
Setia budi semarak kasih,
Untukmu tuan insan terpilih,
Pergimu tuan bukan tersisih,
Budimu tuan di hati membenih.
Setia budi semarak kasih,
Tuan berangkat kami yang merintih.
Dr. Ghazali Lateh,
2/12/09
Hotel Summit, USJ
Sajak ini saya tulis sebagai memenuhi permintaan seorang rakan di JPS untuk dibacakan sempena majlis persaraan kakitangan jabatan.
| Reactions: |
Saya akan berada di Summit Hotel. USJ sehingga 3 Disember 2009 sempena Seminar Tingkatan 6 Kebangsaan kali ke-2. Saya menggantikan penolong kanan yang tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kehadiran tanpa dirancang ini banyak mengganggu rutin kerja penulisan saya yang semakin mendesak. Akan tetapi, pasti ada manfaat daripada seminar ini hendaknya.
Dari tingkap hotel
Kurenung jalanan yang tersangkut,
dari tingkap hotel,
di sana ada seribu emosi,
yang berbaur
dan aku terkurung
dalam cermin hidup
yang kurang telusnya.
Aku seperti mahu terbang,
pulang ke pintu kamar,
mengulangi malam-malam indah,
dibuai perasaan
melahirkan ilham
di dada maya.
Summit Hotel,
USJ. 30 November 2009.
| Reactions: |

Sejak anak-anak dah besar-besar, jarang sekali kami sekeluarga dapat berkumpul seperti dahulu. Kini semuanya berada di rumah. Petang semalam kami hanya ronda-ronda sampai Klang dan berpatah balik. Kami sekeluarga makan malam di restoran Pizza Hut, Banting. Seronok dapat bersama-sama semua ahli keluarga yang kecil ini.
| Reactions: |
Dua hari lepas saya berjumpa dengan Sdr Aminhad di Dengkil untuk memberikan salinan novel Komsas yang akan kami kaji bersama-sama. Dalam pertemuan tersebut Sdr Amin memberikan saya dua naskhah buku Bahtera II iaitu antologi puisi penulis-penulis Selangor yang bernaung di bawah KEMUDI. Tiga buah puisi saya termuat dalam antologi ini iaitu Pabila Bencana Menyapa, Telah Dijemput Pergi, dan Perjalanan. Reka bentuk kulit antologi ialah buah tangan Sdr Aminhad sendiri. Untuk itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada pihak KEMUDI yang sudi menjemput saya menyertai projek ini walaupun saya bukanlah ahli yang aktif. Saya perturunkan salah satu sajak saya yang termuat dalam antologi tersebut.Telah Dijemput Pergi
(Belasungkawa untuk Mohd Ismail Sarbini)
Telah dijemput pergi
meninggalkan kehebatan
dalam sederhana langkah
menggalas derita dalam diam
kami termangu
percaya, tidak percaya
terima, tidak terima.
Alfatihah,
telah meruap segala emosi
ke udara, intelegensia yang diam
telah diam
selama-lamanya.
dan kami kehilangan budi,
setiap kali melintasi hari sepi,
sebuah nama kembali meniti
di bibir-bibir seni.
Alfatihah
telah pergi dia
telah pergi dia
dalam longlai lambai
dan lemah langkah
teriring dalam syahdu pagi
percaya akhirnya, dia telah pergi!
Percayalah
alasan yang muncul
pada layar kecil itu benar,
runtun sendu jatuh bersama
derai mandian terakhir
diserap takdir.
Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
peribadi mulia
yang terlindung dalam sederhana sarjana
melempar senyum rela
pada setiap hulur bantu
tolong ikhlas
tiada rungut, tiada tidak.
Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
sahabat sebaikmu
ke mana lagi harus mengadu!
Ghazali Lateh
DBP, 7/9/06
(Belasungkawa untuk Mohd Ismail Sarbini)
Telah dijemput pergi
meninggalkan kehebatan
dalam sederhana langkah
menggalas derita dalam diam
kami termangu
percaya, tidak percaya
terima, tidak terima.
Alfatihah,
telah meruap segala emosi
ke udara, intelegensia yang diam
telah diam
selama-lamanya.
dan kami kehilangan budi,
setiap kali melintasi hari sepi,
sebuah nama kembali meniti
di bibir-bibir seni.
Alfatihah
telah pergi dia
telah pergi dia
dalam longlai lambai
dan lemah langkah
teriring dalam syahdu pagi
percaya akhirnya, dia telah pergi!
Percayalah
alasan yang muncul
pada layar kecil itu benar,
runtun sendu jatuh bersama
derai mandian terakhir
diserap takdir.
Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
peribadi mulia
yang terlindung dalam sederhana sarjana
melempar senyum rela
pada setiap hulur bantu
tolong ikhlas
tiada rungut, tiada tidak.
Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
sahabat sebaikmu
ke mana lagi harus mengadu!
Ghazali Lateh
DBP, 7/9/06
| Reactions: |
Langgan:
Catatan (Atom)








