Khamis, April 30, 2009

Tujuan Saya Menulis

Gambar ini tidak kena mengena dengan catatan saya hari ini. Petang tadi saya ke Bukit Jugra untuk menyaksikan pertandingan Payung Terjun Tepat Peringkat Antarabangsa, tapi besok baru bermula. Saya ke bahagian belakang Bukit Jugra. Di sini terdapat sebuah bangunan lama yang dibangunkan semula. Bangunan ini merupakan bekas balai polis lama pada zaman Jugra sebagai bandar pelabuhan utama di Selangor suatu ketika dahulu. Kini bangunan ini menjadi artifak sejarah semata-mata.


Semasa saya menulis saya tidak pernah terfikir karya saya akan dirujuk atau diperkatakan oleh orang lain. Saya menulis hanya kerana saya memang suka menulis dan banyak cerita untuk saya paparkan. Semasa saya kecil arwah bapa saya sering bercerita, barangkali arwah bapa saya yang mempengaruhi saya, dan saya juga suka bercerita. Malahan, ada cerita yang arwah bapa saya berikan telah saya dokumenkan sebagai cerpen dan novel saya.


Dalam dunia penulisan tanah air, nama saya tidak ada. Jika orang sastera membicarakan karya-karya penulis, nama saya tidak pernah disebut. Dalam Dewan Sastera juga saya tidak pernah diperkatakan, apatah lagi dijadikan bahan dalam penulis atau karya bulan ini. Nama saya juga tidak ada dalam Biography of Malaysian Writers. Saya juga memang tidak mahu dikenali secara peribadi. Oleh sebab itu saya jarang hadir dalam aktiviti-aktiviti sastera kecuali ada rakan-rakan rapat yang mempelawa.


Saya menulis tanpa bercita-cita tinggi dalam sastera. Saya suka menyertai pertandingan, kerana selain mendapat hadiah jika menang saya mahu mencuba kemampuan minda dan kreativiti saya. Jika tidak memangpun saya tidak kisah apa-apa. Begitu juga jika saya menghantarkan karya ke penerbitan. Jika kebetulan terbit saya gembira. Saya tidak menghubungi editor bertanya bilakah karya saya akan disiarkan. Jika tersiar saya tidak bertanya tentang bayaran. Banyak juga karya saya yang disiarkan tanpa sebarang bayaran. Akan tetapi saya tidak pernah meminta. Ada juga rakan-rakan yang meminta karya saya untuk diterbitkan. Setelah terbit mereka pun menghilangkan diri tanpa pesan dan bayaran. Saya tidak pernah mempertikaikan.


Ada juga penerbit yang menterjemahkan karya saya tanpa memberitahu saya dan meletakkan nama penulis lain. Saya tidak kisah kerana rezeki saya tidak pernah berkurangan dengan tindakan buruk itu. Itulah saya. Sebenarnya saya bukanlah boleh dianggap sebagai penulis. Saya hanya seorang penyampai cerita yang tidak ada apa-apa selain cerita-cerita sahaja.


Selasa, April 28, 2009

Catatan dari Blog Usrahfatihah

Saya kepilkan catatan dari blog usrahfatihah tentang pembacaan beliau terhadap antologi cerpen saya Di Kaki Mimbar.

Malam kelmarin saya telah mula mengisi masa lapang saya dengan membaca antologi cerpen Zaharah Nawawi. Malam semalam pula saya menamatkan antologi cerpen terbaru Ghazali Lateh yang bertajuk Di Kaki Mimbar terbitan Cerdik Publications Sdn Bhd pada tahun 2007.
Berdasarkan perbandingan kedua-dua buku tersebut, saya lebih menikmati pembacaan hasil karya Ghazali Lateh. Hal ini mungkin kerana gaya penulisannya yang lebih santai berbanding dengan gaya Zaharah Nawawi yang saya rasa lebih berat dan memerlukan usaha lebih untuk memahami mesej yang ingin disampaikan melalui penulisannya.
Kumpulan cerpen Di Kaki Mimbar mengandungi 20 cerpen yang menyentuh pelbagai sudut masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Dari segi tema, Ghazali Lateh berjaya menarik minat saya untuk menelusuri penceritaannya. Sebagai contoh, cerpen Di Kaki Mimbar sendiri membincangkan kehendak seorang bapa ke atas anaknya untuk menjadi seorang Imam manakala cerpen Mama, Papa dan Bunga Plastik pula menjenguk perhubungan harmoni di antara anak remaja pelbagai bangsa dalam menghadapi ancaman pencemaran alam sekitar.
Setelah membaca kesemua cerpen yang terdapat di dalam kumpulan cerpen tersebut saya mendapati sekurang-kurangya hampir separuh daripada cerpen mengambil dunia pendidikan sebagai latar cerita. Cerpen Budi Berganti mengisahkan seorang pelajar yang membalas budi
gurunya yang telah menyara pembelajarannya sehingga berjaya di dalam kehidupannya dengan mendermakan buah pinggangnya semasa guru tersebut memerlukan penderma. Kasut Kelopak Jantung juga memanipulasikan tema yang sama di mana sikap seorang guru telah mendorong muridnya yang miskin untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang peniaga kasut yang berjaya. Namun pada masa yang sama pengalaman bersama murid tersebut telah mengubah sikap guru tersebut dari seorang guru yang tegas membuta-tuli kepada seorang pendidik yang lebih perihatin terhadap masalah muridnya.
Walaupun semua cerpen merupakan cerpen yang menarik namun saya amat terkesan dengan cerpen Set Antik Emak. Cerpen ini membicarakan sikap ibu bapa yang lebih mengutamakan perabot mahal sehingga mengekang anak-anak untuk bergerak dengan selesa di rumah. Malahan lebih malang lagi sehingga sanggup mendenda anak dengan berat apabila perabot mahalnya tercalar.
Secara ringkasnya, kumpulan cerpen ini memang sesuai dibaca oleh semua golongan pembaca kerana temanya yang mudah dan penggunaan gaya bahasa yang mudah. Justeru, saya mencadangkan kumpulan cerpen ini dimasukkan ke dalam senarai bacaan anda dan pastinya anda tidak akan kecewa.
Selamat membaca

Di Batu Laut

Minum petang di Batu Laut di sebuah gerai di tepi pantai. Sayangnya laut sedikit terlindung oleh tebing yang dipenuhi semak samun. Bayunya masih terasa. Kedamaian terasa amat kerana suara laut tidak jemu meladeni jiwa

Petang damai,

Di pinggir pantai Batu Laut,

menyedut udara lembut,

dan debur ombak melendut.



Akhir-akhir ini,

Masa terlalu cemburu untuk menunggu,

lantaran hambatan hidup semakin membelenggu,

sesekali ingin mendengar alam berlagu,

dan suara sayu,

dari desaku.



Ke Batu Laut,

hanya sebentar,

melepaskan nanar,

dan sukma gusar.



Singgahlah sedetik,

di pantai, di pojok, di rimba hijau,

untuk melupakan sejenak,

rasa risau dan galau.

Isnin, April 27, 2009

Satu Malaysia

Konsep Satu Malaysia ini merupakan gagasan besar yang perlu dilaksanakan tanpa prejudis dan ikut musim. Setelah lebih setegah abad merdeka, kita sebenarnya masih gagal menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Dan persoalan besar yang harus kita tanya mengapakah setelah setengah abad merdeka, masih ramai orang Malaysia yang tidak mahu menjadi orang Malaysia. Mereka masih berpaksikan negara lain, dan lebih buruk lagi mengapakah masih ramai yang tidak tahu berbahasa Malaysia. Jangan jadikan SATU MALAYSIA sebagai slogan semata-mata, sedangkan rakyat Malaysia hanya menjadi rakyat Malaysia secara permukaan sahaja, tetapi dalam mereka bukan rakyat Malaysia sebenarnya.

Ahad, April 26, 2009

Mengapakah Saya Tidak Menulis tentang yang Lain-lain

Barangkali ada yang bertanya mengapakah saya tidak menulis lebih daripada mencacatkan urusan-urusan peribadi semata-mata. Saya sendiri bertanya pada diri saya mengapakah saya tidak menulis sedemikian, sedangkan banyak perkembangan dunia yang dapat dipaparkan di blog ini, tentang sastera, tentang politik, falsafah, sosial, pendidikan, dan sebagainya. Namun saya mengambil jalan mudah dengan hanya memaparkan kisah diri dan yang terdekat dengan diri. Berbanding rakan-rakan penulis blog yang lain, saya hanya menulis sesuatu yang tidak berkembang.
Akan tetapi saya sebenarnya terlalu mahu menjaga hati dan perasaan pihak lain. Hal ini demikian kerana apabila kita menulis tentang kebenaran, segala yang pahit akan muncul kerana kebenaran itu sebenarnya sesuatu yang pahit. Sementelah kebenaran itu merupakan perkara yang terlalu rapuh di tanah air kita, malah di seluruh sarwajagat ini. Lihatlah di sekeliling kita, dapatkah kita melihat kebenaran yang benar-benar ada kebenarannya. Sukar bukan? Barangkali kebenaran bagi kita, tidak bagi orang lain. Kebenarannya bagi orang lain, tidak bagi kita.
Untuk itu saya terpaksa menulis sesuatu yang tidak menyentuh pihak lain kerana setiap kalil saya menulis tentang sesuatu yang bersifat polemik saya akan berasa bersalah sendiri. Namun begitu saya tetap membaca blog-blog yang memaparkan kehebatan berfalsafah, mengutarakan kritikan, dan apa-apa sahaja yang menarik. Dan tidak salah rasanya, saya hanya menulis tentang sesuatu yang bersifat sembunyi kerana saya tidak mahu terdedah pada polemik, kontroversi, dan salah anggap dalam kalangan pembaca blog. Wallauhua'lam.

Jumaat, April 24, 2009

Di Restoren Jejantas Sungai Buloh

Kembali dari menghantar anak di Tanjung Malim, sempat singgah santai di Restoren Jejantas Sungai Buloh. Berhajat untuk membeli pakaian di Al Ikhsan, tapi sayangnya tidak ada saiz yang sesuai. Sempat juga posing berlatarkan landskap R & R tersebut.

Rabu, April 22, 2009

Memulihkan Semangat Penulisan

Sejak beberapa bulan belakangan ini saya kurang menumpukan perhatian terhadap penulisan, walaupun banyak tugasan penulisan yang perlu selesaikan menjelang bulan Mei. Semalam saya bertekad untuk mengembalikan semangat untuk menulis. Bermula dengan langkah untuk mengemas bilik kerja. Sebenarnya isteri saya yang mengemaskan bilik kerja saya. Kini setelah kelihatan kemas, semangat untuk menulis telah kembali. Saya mula menyiapkan projek penulisan yang perlu disempurnakan sebelum hujung bulan Mei. Saya berharap semangat ini akan berterusan.



Isnin, April 20, 2009

Tabiat Orang Kita

Roti tisu. Rasanya macam roti canai tetapi ada gula.
Pemakanan mempengaruhi kesihatan. Tapi orang kita (termasuk saya) tidak begitu mempedulikan Justify Fullperkara tersebut. Adakalanya, kita terfikir bahawa ajal dan maut itu kuasa Tuhan yang menentukan. Orang yangn aktif dan menjaga makan minum juga tidak terlepas daripada penyakit berbahaya. Namun itu hanya pandangan peribadi saya. Kadang-kadang saya juga bimbang dengan tabiat pemakanan orang kita (termasuk saya) yang tidak mempedulikan langsung soal pemakanan yang sihat dan seimbang.

Jumaat, April 17, 2009

Erti Senyuman


Senyuman adakalanya gambaran sukma
adakalanya ciptaan cuma
untuk menjana kesima
menjadi terlalu saksama
kekadang
senyuman itu kepuasan
yang tidak terlafazkan
dengan perkataan.

Selasa, April 14, 2009

Laman dan Kembara

Salah satu hobi saya ialah seni laman. Namun masa amat terhad untuk membina laman yang menarik di teratak saya.
Selain seni laman, saya juga mengembara bersama-sama keluarga. Hanya destinasi yang dekat-dekat. Baru-baru ini saya memandu ke Tampin, dan ke Melaka melalui jalan lama. Banyak gambar yang diambil di sepanjang perjalanan.


Ahad, April 05, 2009

Masa Untuk Diri


Sebahagian masa kita telah diperuntukkan terhadap orang lain. Kita lakukan tugas kita dengan keutamaan untuk orang lain, untuk majikan, organisasi, dan sebagainya. Kadang-kadang ada juga antara kita yang terlupa untuk memberikan sedikit ruang untuk diri sendiri. Jadi, jika kita ada kelapangan, berilah sedikit masa untuk diri, untuk anak isteri, dan untuk melayan emosi kita sendiri.


Khamis, April 02, 2009

Proses Kreatif


Peserta kursus penulisan cerpen remaja yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk berkarya. Kadang-kadang ilham perlu dipaksa. Ilham paksaan akan menerbitkan karya yang baik.

Proses kreatif dalam penulisan sebenarnya tidak dapat diajarkan atau dipelajari. Biasanya seseorang penulis itu mempunyai bakat semulajadi untuk menghasilkan karya kreatif. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu, kemahiran kreatif dapat dipupuk dan diterapkan secara formal, jika tidak dikatakab secara paksaan.




Selama beberapa hari berkursus dan berbengkel, nampaknya peserta memang mempunyai kreativiti dan idea yang sangat menarik untuk diterjemahkan dalam bentuk cerpen. Idea yang diketengahkan memang sesuai untuk dikongsi dengan pembaca. Malahan, semua peserta sangat berbakat dan kreatif berkarya. Jadi program pemupukan bakat dan idea kreatif kali ini sebenarnya sangat berjaya.




Mudah-mudahan lebih ramai penulis cerpen remaja akan lahir melalui kursus-kursus seperti ini suatu hari nanti.

Rabu, April 01, 2009

Membaca Puisi Sufi Ketika Hujan Malam

Dia telah mencurahkan hujan dari langit-Nya
ketika puisi-puisi sufi Rabiatul Adawiyah
meresap ke dalam nadi imanku
merayap ke akar umbi azaliku.
Malam bungkam selepas hujan diam
ilham pun datang dari bait Sayyidina Ali alaihissalam
“seumurmu bukanlah insan
tanpa takwa dan agama”

Betapa secekal mana manusia kini
tiada setanding pasrah Al Hallaj dan Ibnu Arabi
maka makna hujan sudah lama tidak tertafsirkan
hikmah malampun tidak lagi terukirkan
kerana sungai nafsu telah melimpahi tebing
menghanyutkan sisa-sisa iman yang kering
di jiwa runcing.

Hujan-Nya berhenti menjelang dinihari
sukma terbelah antara hakiki dan kolong mimpi
sufiku kosong lagi ketika mengembang nafsu-nafsi
dibuai alpa ke ufuk pagi
bilakah kiranya hujan itu akan turun lagi
membawa kembali hamparan ambal ukhrawi
biar setitis tetap kuhargai cinta Ilahi tidak bertepi
warisan zuhud wali suci wahyu para nabi.

Membaca puisi sufi ketika melankolia hujan malam
mencetuskan roh perjuangan dengan minda tajam
menjunjung agama dengan semangat agam
terlalu lama teruja dengan langkah duniawi
membangunkan diri dari alunan mimpi hujan pagi
fajar pasti menjelang dengan mentari cemerlang
takwa kembali bertakhta di puncak gemilang
meletakkan martabat agama di mercu terbilang.

Sufi hadhari adunan penuh janji
kifayah ibadah melakar strategi generasi madani
menyeru usrah melunak surah menguak sirah
membelat limpah dengan ampuh syariah.
Hujan malam telah berakhir
litar imanku kembali mengalir
janji syumulku tidak termungkir.