Ahad, April 26, 2009

Mengapakah Saya Tidak Menulis tentang yang Lain-lain

Barangkali ada yang bertanya mengapakah saya tidak menulis lebih daripada mencacatkan urusan-urusan peribadi semata-mata. Saya sendiri bertanya pada diri saya mengapakah saya tidak menulis sedemikian, sedangkan banyak perkembangan dunia yang dapat dipaparkan di blog ini, tentang sastera, tentang politik, falsafah, sosial, pendidikan, dan sebagainya. Namun saya mengambil jalan mudah dengan hanya memaparkan kisah diri dan yang terdekat dengan diri. Berbanding rakan-rakan penulis blog yang lain, saya hanya menulis sesuatu yang tidak berkembang.
Akan tetapi saya sebenarnya terlalu mahu menjaga hati dan perasaan pihak lain. Hal ini demikian kerana apabila kita menulis tentang kebenaran, segala yang pahit akan muncul kerana kebenaran itu sebenarnya sesuatu yang pahit. Sementelah kebenaran itu merupakan perkara yang terlalu rapuh di tanah air kita, malah di seluruh sarwajagat ini. Lihatlah di sekeliling kita, dapatkah kita melihat kebenaran yang benar-benar ada kebenarannya. Sukar bukan? Barangkali kebenaran bagi kita, tidak bagi orang lain. Kebenarannya bagi orang lain, tidak bagi kita.
Untuk itu saya terpaksa menulis sesuatu yang tidak menyentuh pihak lain kerana setiap kalil saya menulis tentang sesuatu yang bersifat polemik saya akan berasa bersalah sendiri. Namun begitu saya tetap membaca blog-blog yang memaparkan kehebatan berfalsafah, mengutarakan kritikan, dan apa-apa sahaja yang menarik. Dan tidak salah rasanya, saya hanya menulis tentang sesuatu yang bersifat sembunyi kerana saya tidak mahu terdedah pada polemik, kontroversi, dan salah anggap dalam kalangan pembaca blog. Wallauhua'lam.

1 ulasan:

HBM Consultant berkata...

Sesungguhnya benar, seringkali apabila kita menyuarakan kebenaran maka kita akan dilihat sebagai salah. Kadangkala memang terasa malas hendak bersuara tentang pergolakan semasa tetapi akal fikir sentiasa memujuk, blog sahaja saluran yang kita ada untuk bersuara.

Apapun, tidak ada salahnya berkongsi tentang diri sendiri. Ia lebih manis bagi sesetengah individu. Bukankah setiap orang itu berfikir dengan cara mereka yang tersendiri? Kita serupa, berbeza segalanya.

Apa yang penting, tetap ada perkongsian cerita di sini, bukan begitu?

Raya 2024