Rabu, November 28, 2007

Kemandulan DBP atau Kebaculan MP?

Isu terkini tentang bahasa Melayu ialah dakwaan seorang anggota parlimen berkaitan KEMANDULAN DBP dalam mencipta istilah baharu. Hal ini merujuk kepada entri-entri dalam Kamus Dewan yang banyak diadaptasikan daripada bahasa Inggeris. Tiba-tiba sahaja Dr. Wan Hashim membangkitkan persoalan bahasa Melayu. Persoalan juga di manakah suara anggota parlimen semasa bahasa Melayu diperlekeh suatu masa dahulu. Malah ketika nama bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, mengapakah anggota parlimen berkenaan tidak bangun untuk mempertikaikan sebelum menyatakan persetujuan? Nampak persoalan bacul dan mandul bukan lagi sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat kita.
Sepatutnya ahli-ahli parlimen tidak bacul untuk mempertahankan martabat bahasa Melayu. Hal itulah lebih besar sebenarnya berbanding istilah-istilah dalam korpus bahasa Melayu. Tiba-tiba sahaja melenting dan menuduh orang sebagai mandul adalah tidak wajar. Adakah oleh sebab pilihan raya semakin hampir, wakil-wakil rakyat mahu menonjolkan diri dengan bercakap tanpa pertimbangan.
Bahasa Melayu sebenarnya bukan sekadar entri dalam kamus. Bahasa ialah entiti yang dinamik dan berkembang. Sedarkan kita bahawa sebahagian besar istilah dalam bahasa Melayu sendiri merupakan pinjaman daripada Sanskrit, Inggeris, Parsi, Arab, dan sebagainya. Selagi pengambilan istilah asing membantu perkembangan bahasa, rasa tidak ada apa-apa kesalahan pihak yang bertanggungjawab terhadap bahasa. Lihat sahaja bahasa Indonesia yang begitu serius usaha adaptasinya. Natijahnya bahasa Indonesia berkembang pesat dan tidak berlaku krisis identiti seperti yang dialami oleh bahasa Melayu.
Pemimpin sepatutnya memperjuangkan martabat bahasa, bukan menuduh orang lain untuk menonjolkan diri.

Sabtu, November 24, 2007

Beberapa Hari di Royal Adelphi, Seremban




Bersama-sama Pengarah MBKM yang baharu Encik Abdul Halim


Sejak hari Rabu aku berada di Hotel Royal Adelphi bersama-sama rakan penulis untuk final checking projek buku adaptasi dari Sejarah Melayu. Namun masaku banyak kuhabiskan untuk menyiapkan tugasan membuat soalan komsas novel. Rasanya tugasan ini terlalu menekan kerana masa yang suntuk. Namun aku tetap berusaha untuk memenuhi amanah yang diberikan.

Bersendirian di bilik hotel yang selesa.

Sesi kali ini seperti biasa. Cuma yang menyedihkan banyak cerita sedih yang menyelubungi projek ini. Antara yang paling ketara ialah orang kuat MBKM, Mazlin yang menggerakkan projek ini akan bercuti tanpa gaji kerana mengikut suami ke Bangkok. Masa depan projek yang dalam proses juga tidak dapat ditentukan. Begitulah keadaan kehidupan ini, adakalanya ke atas dan adakalanya ke bawah.



Yang menarik dalam sesi kali ini ialah perbincangan dengan Dr Roselan Baki. Katanya aku sukar untuk mendapat jawatan di IPTA kerana kehadiranku dianggap sebagai ancaman. Betulkah? Aku tidak pernah terfikir tentang perkara ini. Aku hanya manusia biasa dan tidak pernah membelakangi konsep ketentuan dan takdir juga rezeki. Yang penting aku berusaha untuk memajukan diri. Jika ada rezeki, aku akan mendapat jawatan yag kupohon. Jika sudah ditakdirkan bukan rezeki aku terpaksa menerimanya. Malah aku bersyukur sehingga kini rezekiku (terutama dalam bidang penulisan) tidak pernah berkurangan. Hanya yang perlu ialah sikap dan pandangan positif terhadap apa-apa yang diamanahkan.

Bersama-sama Mazlin yang akan meninggalkan MBKM setelah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi. Semoga mendapat kebahagiaan di Bangkok.

Yang menarik juga perbincangan bersama-sama rakan seperti Aminhad, Haji Shamsudin Othman, Lutfi, Haji Nafi, Omar Mamat, Samsiah Mat Nor, dan lain-lain juga amat menghangatkan. Mereka semua merupakan rakan dan individu yang sangat baik dan bermotivasi. Begitu juga dengan Kak Samsul Kamariah yang mesra, Cikgu Zainon, Cikgu Sureini, Cikgu Normah Mustaffa, Hamir Habeed, Cikgu Zaidah, Siti Hajar, Cikgu Niza, dan wakil e-media Encik Ishak. Kehadiran editor dari Cerdik Publication juga turut menyemarakkan sesi kali ini.

Semoga projek seperti ini dapat merapatkan hubungan penulis-penulis terutama dalam kalangan guru. Selamat berjumpa lagi.

Rabu, November 21, 2007

Galeri Seni Shah Alam







Dalam perjalanan menghantar anak ke UPSI semalam, sempat juga aku dan family singgah sekejap di Galeri Shah Alam. Uniknya, semasa lawatan itu hanya aku sekeluarga sahaja yang datang melawat. Mungkin orang Selangor sudah tidak ada kecenderungan lagi untuk menikmati seni lukis sementelah Selangor telah berstatus negeri maju. Suasana di galeri sunyi, hanya dua orang petugas duduk ngobrol sendirian. Dia pejabat, terdengar suara dari luar, barangkali mereka sedang merancang untuk mempromosikan seni di Selangor.



Di luar galeri, daun-daun kering memenuhi laluan, barangkali MB terlupa memberikan penyapu kepada petugas di sini. Almaklumlah, negeri ini sekarang tersohor dengan nama Negeri Penyapu.

Pada pagi minggu aku dan family ke Pulau Indah. Sekadar melihat suasana baharu di sini, menyaksikan pertandingan jetski dan ke kampung-kampung di Pulau Indah. Gambar di bawah ialah gambar di kawasan perumahan baharu di Pulau Indah. Lokasinya menarik kerana terletak di pinggir sungai.


Isnin, November 19, 2007

Gambar Memancing Pagi Isnin


Lihatlah hasil pertama yang dapat kupancing pagi ini. Lihat pula si sepit biru yang berjaya dinaikkan oleh Rezaimi. Pak Ya teruja dengan udang galah jantan itu.

Pagi-pagi lagi aku ke Kg Sawah dengan Pak Ya. Rezaimi telah menunggu di sana. Ptg semalam sempat mengorek cacing di padang sekolah depan rumah. Bukan apa, hanya untuk suka-suka, membuang masa, melepaskan tekanan. Namun pagi ini, rezeki tidak begitu menggalakkan. Begitulah nasib orang yang mencari rezeki di laut/sungai. Nasib nelayan yang tidak tahu akan rezeki yang tersembunyi di dasar sungai. Jika ada, syukurlah. Jika tiada, syukur juga kerana berusaha untuk mendapatkan rezeki.




Sabtu, November 17, 2007

Catatan Hari Pertama Cuti Sekolah 2007

Sungai Langat suatu petang

Pagi-pagi lagi aku bergegas ke Seremban untuk menghadiri temu duga jawatan tutor/pensyarah sambilan di OUM (Open Universiti Malaysia) cawangan Seremban. Dalam temu duga itu aku ditanya mengapa tidak memohon untuk mengajar di universiti tempatan memandangkan aku memiliki PhD. Aku jawab, memang aku ada memohon. Akan tetapi permohonanku ditolak kerana aku tidak ada kenalan atau kabel di mana-mana universiti. Penemuduga itu juga bersetuju dengan jawapan itu. Nah, itulah hakikatnya sekarang di negara Malaysia yang cemerlang, gemilang, dan terbilang ini. Kadang-kadang aku keliru dengan sistem di negara ini. Kalau sesebuah organisasi diketuai oleh orang dari negeri tertentu, maka seluruh warga akan datang dari negeri yang sama. Kalau seorang ahli politik menjadi menteri, maka semua projek akan berpindah ke kawasannya. Mentaliti begini tidak membantu sebenarnya. Orang awam seperti aku mula bosan dengan sistem kronisme yang totok ini.

Ada kegilaan baharu yang aku alami kini. Kegilaan memancing udang galah di Sungai Langat. Dua hari lepas aku menghabiskan petang duduk di tebing sungai. Setelah dua jam, aku dapat memancing lima ekor udang galah. Kira ok jugalah. Yang penting aku dapat meredakan tekanan. Rasa lapang dada dan indah melihat sinar mantari terbias di muka sungai yang penuh keladak. Anehnya, udang galah masih banyak di sungai ini. Kuasa Allah!

Dalam pada itu aku memerhatikan rakanku Rezaimi yang tekun melontarkan umpan ke laut dan mendapat tujuh ekor udang galah bersepit biru.


Seorang Pemancing

Dia tidak tahu nasibnya,
tetapi yakin dengan umpan,
dan rezeki Tuhan,
menunggu tanpa jemu,
khabar yang tidak tentu,
dari sungai yang kelabu,


Seorang pemancing,
adalah seorang wira,
yang tidak pernah berbicara hampa,
tentang nasib yang ditempa,
kerana esok masih ada,
untuk melontarkan cita-cita,
di sungai usia.


Seorang pemancing,
seorang penanti yang sabar,
tidak pernah berasa gusar,
tetapi kekadang tercabar,
ketika onar menghampar,
dan perit menampar,
hingga nasib terdampar.








Ahad, November 11, 2007

Jalan-jalan Hari Minggu


Lukisan yang aku beli di galeri kampung Bagan Lalang dengan harga RM30.00
(Aminhad pasti teruja melihat lukisan ini)

Selepas sarapan di gerai Majlis Daerah, aku memandu ke arah Morib, terus ke Bagan Lalang bersama-sama isteri dan anak-anak. Singgah di pantai Bagan Lalang (yang kotor dipenuhi sampah), dan sempat juga singgah di sebuah galeri lukisan yang menurut tuannya, baru dibuka tiga hari. Lukisan abstraknya agak unik kerana menggunakan pasir laut sebagai medium. Pasir yang dicampur gam dilukis ke kanvas dan dikenakan warna akrilik yang menarik. Sempat juga membeli sekeping lukisan abstrak berharga RM30.00. Kukira murah kerana hasil seni agak baik.

Balik melalui KLIA, singgah melihat kawasan banglo di Bagan Lalang dan di bandar Enstek. Dulu aku pernah berhajat untuk membeli di Enstek, tetapi oleh sebab jaraknya agak jauh ke dalam wilayah Negeri Sembilan, aku membatalkannya.



Di Pantai Bagan Lalang kulihat ramai pengunjung, tetapi sayangnya pantainya agak kotor dengan sampah bertaburan memenuhi kawasan tepi jalan. Mungkin majlis Dearah Sepang tak nampak sampah-sampah itu kerana Gold Coast yang konsepnya seperti di Dubai sedang rancak dalam pembinaan. Projek ini nampaknya gah, tetapi dari aspek ekosistem, nampaknya bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan.


Khamis, November 08, 2007

Mimpi Rekayasa Melayu



(i) Intro mimpi
Aduh, sukarnya jika harus memaksa mimpi. Tambahan pula jika mimpi ini mimpi ngeri. Malah menyeramkan. Sesiapapun akan menyanggah jika mimpi yang kupaksa ini kuceritakan.
Mimpi hanya mainan tidur. Aku tahu akan ungkapan klise itu. Akan tetapi mimpi ini memang kupaksa. Telah lama ini aku ingin bermimpi seperti ini. Dan akhirnya mimpi yang kupaksa ini terjadi juga. Dan mimpi ini menyiksakan. Terlalu menyiksakan jiwa Melayuku.
Aduh! Aku tidak mahu mimpi begini. Terlalu berat. Bagaimanakah akan kuceritakan mimpiku nanti. Tapi, aku tidak mampu. Pagar mimpiku ampuh. Tidurku terlalu nyedar untuk bangun. Dingin dan selesa amat. Aku tidur dalam damai dan nyaman. Dan mimpiku berlangsung terus. Terus dan terus.

(ii) Latar mimpi
Latar mimpi ini tidak jauh dan tidak dekat. Sekitarku dan sekitar siapa-siapa. Sekitar orang Melayu. Dan silogismenya begini;
Aku bermimpi
Aku Melayu
Melayu bermimpi!
Aduhh..!! Latar masa mimpiku panjang amat. Sejak zaman presejarah, zaman kegemilangan Melayu, zaman Islam, zaman penjajahan, zaman ini, dan zaman akan datang. Melayu tidak hilang di dunia, kata Laksamana Hang Tuah. Kata orang ungkapan itu bukan kata Hang Tuah. Akan tetapi kata pengarang Hikayat Hang Tuah.
Ruang lingkup mimpiku amat luas. Seluruh Kepulauan Melayu dan seluruh ketamadunan Melayu. Seluruh orang Melayu. Meliputi tanah semenanjung, kepulauan Indonesia, Mindanao, Madagascar, Sri Lanka, malah semua bumi yang pernah dikenali sebagai bumi Melayu. Sementelah orang Melayu telah memenuhi dunia Melayu ini. Semenjak 2500 sebelum masihi, telah datang orang Melayu. Kemudian datang satu gerombolan lagi, juga orang Melayu, membentuk bangsa Melayu, Banjar, Minangkabau, dan macam-macam lagi. Semuanya Melayu.
Perjalanan mimpi di semua latar tempat dan masa amat pantas. Sekelip fikir. Semakin lama aku semakin pantas, meneroka setiap latar, merasai perbezaan, membuat perbandingan. Sehingga aku menjadi penat. Aduh, bangunkan aku segara dari mimpi ini. Aku penat. Aku tidak mahu bermimpi terus! Tapi mimpi ini berlarutan, berjela-jela!

(iii) Watak mimpi
Watak mimpiku satu tetapi banyak. Yang kukenal pasti ialah watak Melayu. Satu dan banyak. Satu tapi banyak. Banyak tapi satu. Banyak dan kurang. Satu dan kurang. Kurang daripada satu. Maknanya watak Melayu semakin kurang Melayunya. Jika kekurangan ini berterusan watak Melayu akan terus kurang. Kurang Melayu atau Melayu kurang. Aku cuma kaget dalam mimpi ini, apabila Melayu menjadi kurang dan kurang dan tiada lagi. Tiada!! Melayu tiada, Melayu hilang. Lupus. Jati diri Melayu lupus. Minda Melayu lupus. Bahasa Melayu lupus. Tanah Melayu...??!
Watak-watak mimpi juga bersilih ganti. Akan tetapi semuanya watak Melayu. Adakala ada watak asing, bukan berkulit sawo matang tetapi cerah dan gelap. Gelap dan cerah. Semuanya bercampur-baur mewarna mimpi Melayuku. Tapi ini tetap mimpiku. Mimpi Melayu.

(iv) Tema mimpi

Tema mimpiku tetap sama. Sejak dulu, kini, dan selama-lamanya. Tema Melayu. Akan tetapi aku takut untuk menghebahkan tema Melayu ini. Aku ingin mengubah Melayu. Aku ingin mengubah istilah Melayu! Aduh, aku sudah menceritakan. Maafkan aku kerana mimpi tidak tertakluk kepada akta, kepada undang-undang. Mimpiku memang bertemakan Melayu. Asal-usulnya Melayu itu berbagai-bagai teori yang ada. Katanya sempena Sungai Melayu di Jambi, yang airnya berlari deras dan selari pula dengan kata melayu dalam bahasa Jawa. Makna Melayu itu adalah berlari. Akan tetapi aku tidak pernah lari. Aku tetap di bumi Melayu ini. Tanah Melayu.
“Mana Tanah Melayu?”
“Tanah Melayu telah tiada. Namanya sudah ditukar!”
“Kenapa ditukar nama Tanah Melayu itu?”
“Tanah Melayu sudah merdeka. Kemerdekaan menjadikan semuanya bebas. Tukarlah apa-apa sahaja, kerana kita semua merdeka…!!”
Wah! Mimpiku kembali meladeni sejarah. Mengikut sejarah Tanah Melayu yang menerima kemasukan sesiapa sahaja kerana kemewahan Tanah Melayu. Datanglah! Datanglah ke Tanah Melayu. Kami orang Melayu tidak pernah ambil kisah. Datanglahh!!
Aku menangis dalam mimpi ini kerana Tanah Melayu tiada lagi. Tanah untuk orang Melayu tiada lagi. Kami bukan orang Tanah Melayu lagi. Kami sudah jadi orang Malaya! Sedap juga nama negara baharu kami. Malaya!! Ya, Malaya! Malaya pasti merdeka. Merdeka!!!
Dan akhirnya Malaya memang merdeka. Tanah Melayu sudah tiada. Melayu semakin tiada. Semangatnya tiada. Kalau nama Tanah Melayu kekal, semangat Melayu sudah tentu berkobar-kobar. Orang Melayu pasti lebih sayang akan tanah mereka. Mereka tentu tidak akan menjualnya untuk mendapatkan wang, beras, pangkat, kedudukan, dan politik. Orang Melayu sudah pandai main politik, sebab itu negeri kita menjadi Malaya. Penjajahan minda.
Akhirnya Malaya merdeka! Wahhh, seronok hidup dalam kancah kemerdekaan. Bebas! Bebas sampai ke bulu-bulunya, seperti kata sasterawan negara. Dan merdeka menjadikan Melayu terus berlari seperti arus Sungai Jambi. Ke mana arah?
Malaya sudah tidak enak lagi. Mari kita tukar nama Malaya! Mari kita tukar. Wah mimpi ini semakin menerawang jauh dan jauh. Maka suatu ketika dalam mimpi itu Malaya ditukarkan. Malaysia! Yeh, kita ada nama baharu. Akan tetapi apakah makna Malaysia kepada orang Melayu. Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang atas angin? Bagus! Apakah makna Malaysia kepada orang bawah angin? Malay si a! Malay si a! Bagus! Bagus! Bagus! Semuanya bagus!
Waduh, jauh sudah destinasi mimpiku. Bermula dengan kedatangan Melayu Proto, Melayu Deutro, dan Melayu moden yang sudah hilang Melayunya. Kini aku orang Malaysia. Bahasaku bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bahasa untuk semua. Walaupun tidak semua yang tahu bercakap dalam bahasa Malaysia. Masuk kandang mahkamah kena ada jurubahasa. Tulisan jawi sudah tidak ada. Yang ada tulis berjuring tajam tercacak-cacak, berpuntal-puntal. Bukan tulisan Rencong atau huruf Ka Ga Nga warisan persuratan Melayu dahulu. Asing tetapi menguasai.
“Mana bahasa Melayu?”
“Bahasa Melayu telah mati…!”
“Mana tahu mati?”
“Kerandanya telah diusung sekian lama?”
“Di mana pusaranya?”
“Di mana-mana sahaja!”

Mimpiku sudah mula melalut. Bahasa mana boleh mati! Verba volen scripta manent. Maknanya bahasa pertuturan akan terbang, bahasa tulisan akan kekal. Maksudnya bahasa Melayu yang tercatat pada naskhah lama akan kekal. Masalahnya naskhah lama Melayu juga sudah hilang, dibawa orang berkulit merah dalam era penjelajahan dan penjajahan.

(v) Kemuncak Mimpi
Dalam binaan plot mesti ada kemuncak mimpi. Mimpiku sudah sampai ke kemuncaknya. Bukan kemuncak mimpi berahi. Kemuncak mimpi tentang jati diri, tentang bangsa sendiri.
“Aku mahu merekayasa bangsaku! Melayu perlu direkayasa! Melayu mesti direkayasa!”
“Engkau bermimpi…?”
“Ya, aku bermimpi ingin merekayasa bangsaku!”
“Bangsa tidak boleh direkayasa! Hanya orang politik yang boleh mengubah bangsa. Mereka telah mengubah bangsa kita dengan banyaknya. Mereka telah mengubah negeri kita dengan besarnya. Nama negeri kita berubah-ubah. Nama bahasa kita berubah-ubah. Dan mereka akan terus merubah. Kita hanya melopong menelan perubahan itu. Dan jauh sekali kita akan menentang. Kita orang baik. Pantang orang Melayu menderhaka.
“Aku akan mengubah nama bangsaku!”
“Kerja gila!”
“Dalam mimpi tidak ada yang waras, tidak ada yang gila!”
“Ikut suka engkaulah! Selepas terjaga nanti, mimpi kau akan hilang juga.”

Mimpi semakin pekat dan hitam. Awan bergumpal memenuhi langit bumi Melayu ini. Tiba-tiba hujan turun. Lebat dan menghanyutkan kelodak di muka bumi Melayu ini.
Ketika aku menggigil kesejukan dalam mimpi itu, aku disapa oleh seseorang. Riak wajahnya dia seorang berbangsa sepertiku. Bercakap sebahasa denganku. Barangkali dia itu aku. Dia Melayu. Aku Melayu. Dia ialah aku.
“Siapa Tuan yang muncul selepas hujan?”
“Asal-usulku sama seperti kamu! Akan tetapi aku sudah bertukar nama bangsaku,” jawab orang itu jelas. Adakah dia itu aku?
“Tuan pastinya orang Melayu sepertiku! Tuan berbahasa Melayu,”
“Tidak! Aku mahu mengubah Melayuku..!!”
“Kalau tidak Melayu, kamu jadi apa?” tanyaku kepadanya, kepadaku.
“Apa-apa sahaja yang tidak melayu!”
“Melalut?!” Diam.
“Melatah?!” Diam.
“Melepak?!” Diam.
“Mela… yang?!” Diam.
“Mela… cur?!” Jegil tapi diam.
Barangkali dia marah kerana cadanganku untuk menggantikan melayunya itu secara negatif, yang kotor-kotor. Buruk sekali fikiranku terhadap bangsanya. Bangsaku juga!
“Maafkan saya, Tuan..!” Masih takut aku. Masih terasa bersalah aku.
“Aku tidak mahu bangsaku dikaitkan dengan perkara yang buruk-buruk,” tegas orang itu dengan suara yang menggetarkan latar mimpiku. Aku terdiam, menyesali keceloparan. Ahhh… jika aku berbangsa Melayu begitu buruk tanggapan terhadap bangsaku, apatah lagi bangsa lain. Akan tetapi bahasa Melayu telah ditukar namanya. Adakah itu tidak bersalah? Sedangkan dalam perlembagaan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Ahhh…. Perlembagaan itu ciptaan manusia. Sedangkan kalam Tuhan juga sudah banyak yang mentafsirkan sesuka hati.
“Apakah nama yang Tuan cadangkan untuk menggantikan nama Melayu?” Tanyaku semakin berani. Aku memang berani sebab aku bermimpi. Dunia mimpi tidak ada gangguan, tidak ada undang-undang. Tidak ada mahkamah dalam mimpi. Tidak! Perlu apa aku berasa takut?
“Menyegarrrr….!!!” Jawabnya pantas lagi yakin. Lancar sekali sebutannya.
“Menyegarrr…??!!” Kaget amat aku.
“Setiap kali kita menyebut nama bangsa, kita seperti mendoakan bangsa kita. Jika kita terus mendoakan bangsa supaya layu, maka akan layulah bangsa kita,” hujahnya. Dan aku tidak berkata apa-apa. Itu pandanganya, yang dilontarkan dalam mimpiku.
“Jadi, bangsa kita akan segar jika kita sebut Menyegar?!” tanyaku kelinglongan. Gawat. Nama bangsaku sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai bangsa Melayu. Jika ditukar, barangkali ada pihak yang akan menyaman orang yang berdiri di depanku ini. Dia itu sama denganku. Barangkali dia itu aku.
“Apa bangsa kamu?” tiba-tiba orang itu bertanya.
“Mela… err, Menyegar…!!” jawabku terketar-ketar. Lantas orang itu ketawa berdekah-dekah. Mimpi yang kupaksa itu berkecai. Aku terbangun. Aku melompat untuk mencapai kad pengenalan dari dalam dompetku. Aku membacanya terpisat-pisat. Ternyata aku masih Melayu.

(vi) Denouemen mimpi
Di luar, malam masih gelap, masih jauh dari sinar fajar yang pasti akan menyerlah jua. Aku ingin tidur kembali. Aku ingin memaksa mimpi datang lagi. Sekali lagi mimpi rekayasa Melayu, dalam versi yang lain pula; kerana aku sememangnya Melayu.







Ahad, November 04, 2007

Ingin Kembali Menulis Karya Kreatif

Telah lama juga saya tidak menulis cerpen. Bulan ini dalam Dewan Sastera disiarkan cerpen saya yang bertajuk Cerita Andur dan Pedati. Mudah-mudahan cerpen ini akan mengembalikan minat saya untuk menulis karya kreatif. Sesungguhnya menulis karya kreatif merupakan satu kepuasan walaupun imbuhannya tidak sebenar mana. Dan saya menulis bukan untuk imbuhan. Memadailah, apabila karya diterbitkan dan dibaca serta dihayati mesej yang terkandung dalam karya berkenaan (jika ada).
Apabila membicarakan perkara ini, aku jadi teringat akan arwah Mohd Ismail Sarbini. Baru-baru ini, sempena lebaran, saya dan isteri berhasrat untuk menziarahi balu arwah. Sebaik sahaja kami bersiap untuk berbuat demikian, seorang sahabat datang bersama-sama keluarganya dan menceritakan dia baru saja singgah di rumah arwah. Malangnya, setelah beberapa ketika memberi salam, balu arwah seakan-akan tidak bersedia untuk menerima tetamu. Saya, isteri, dan sahabat tersebut faham akan situasi tersebut dan membatalkan hasrat berbuat demikian. Namun dalam hati saya, arwah tetap abadi. Lebih-lebih lagi arwah sangat berjasa dalam merealisasikan kajian PhD saya dahulu.

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...