Isnin, November 30, 2009

Di Summit Hotel USJ

Saya akan berada di Summit Hotel. USJ sehingga 3 Disember 2009 sempena Seminar Tingkatan 6 Kebangsaan kali ke-2. Saya menggantikan penolong kanan yang tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kehadiran tanpa dirancang ini banyak mengganggu rutin kerja penulisan saya yang semakin mendesak. Akan tetapi, pasti ada manfaat daripada seminar ini hendaknya.
Dari tingkap hotel
Kurenung jalanan yang tersangkut,
dari tingkap hotel,
di sana ada seribu emosi,
yang berbaur
dan aku terkurung
dalam cermin hidup
yang kurang telusnya.
Aku seperti mahu terbang,
pulang ke pintu kamar,
mengulangi malam-malam indah,
dibuai perasaan
melahirkan ilham
di dada maya.
Summit Hotel,
USJ. 30 November 2009.

Sabtu, November 28, 2009

Sesekali Berkumpul Kembali


Sejak anak-anak dah besar-besar, jarang sekali kami sekeluarga dapat berkumpul seperti dahulu. Kini semuanya berada di rumah. Petang semalam kami hanya ronda-ronda sampai Klang dan berpatah balik. Kami sekeluarga makan malam di restoran Pizza Hut, Banting. Seronok dapat bersama-sama semua ahli keluarga yang kecil ini.

Jumaat, November 20, 2009

Bahtera II

Dua hari lepas saya berjumpa dengan Sdr Aminhad di Dengkil untuk memberikan salinan novel Komsas yang akan kami kaji bersama-sama. Dalam pertemuan tersebut Sdr Amin memberikan saya dua naskhah buku Bahtera II iaitu antologi puisi penulis-penulis Selangor yang bernaung di bawah KEMUDI. Tiga buah puisi saya termuat dalam antologi ini iaitu Pabila Bencana Menyapa, Telah Dijemput Pergi, dan Perjalanan. Reka bentuk kulit antologi ialah buah tangan Sdr Aminhad sendiri. Untuk itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada pihak KEMUDI yang sudi menjemput saya menyertai projek ini walaupun saya bukanlah ahli yang aktif. Saya perturunkan salah satu sajak saya yang termuat dalam antologi tersebut.
Telah Dijemput Pergi
(Belasungkawa untuk Mohd Ismail Sarbini)

Telah dijemput pergi
meninggalkan kehebatan
dalam sederhana langkah
menggalas derita dalam diam
kami termangu
percaya, tidak percaya
terima, tidak terima.

Alfatihah,
telah meruap segala emosi
ke udara, intelegensia yang diam
telah diam
selama-lamanya.
dan kami kehilangan budi,
setiap kali melintasi hari sepi,
sebuah nama kembali meniti
di bibir-bibir seni.

Alfatihah
telah pergi dia
telah pergi dia
dalam longlai lambai
dan lemah langkah
teriring dalam syahdu pagi
percaya akhirnya, dia telah pergi!

Percayalah
alasan yang muncul
pada layar kecil itu benar,
runtun sendu jatuh bersama
derai mandian terakhir
diserap takdir.

Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
peribadi mulia
yang terlindung dalam sederhana sarjana
melempar senyum rela
pada setiap hulur bantu
tolong ikhlas
tiada rungut, tiada tidak.


Alfatihah,
tiada lagi, tiada lagi,
sahabat sebaikmu
ke mana lagi harus mengadu!

Ghazali Lateh
DBP, 7/9/06

Rabu, November 18, 2009

Pesanan


Usia telah menguncup
dan masuk ke ruang istirahat terakhir
tangis mengalir ke sungai duka,
tiada makna.

Dosa yang berarak di atas ubun
menurunkan hujan siksa tidak teruja
oleh kata-kata.

Jika ada pelangi
itulah secebis yang tertulis di kanan
dengan pena makrifat
yang pernah kau pertikaikan
warna tintanya.

Jika mampu kembali
pesanlah kepada anak cucu
tentang panas api dan sungai susu
yang membakar dan mengalir
ke salur darah
bersama denyut nadi.

Semoga pesanan berkembang
menjadi layar
tega menahan asak gelora
ke hujung usia
tanpa curiga
akan kudrat-Nya.

Ghazali Lateh.
Banting,
12/2/2004

Khamis, November 12, 2009

Game of Strategies

Gambar mi udang ini tidak kena-mengena dengan entri di bawah. Di tempat saya kini terdapat sebuah restoran mi udang dan nasi bawal dari Pulau Pinang. Rasanya boleh tahan, tapi restoran tersebut masih banyak yang perlu ditingkatkan. Saya kesian melihat tukang masa, seorang lelaki yang sudah berusia. Banyak pesanan tidak ada. Barangkali restoran tersebut masih baru dan kekurangan stok. Pemiliknya perlu meningkatkan servis untuk memajukan perniagaan.

Cakap=cakap politik sekarang sudah menjadi kegemaran masyarakat di negara kita. Walaupun pilihan raya sudah lama berlalu, politik mendominasi kehidupan masyarakat Malaysia hari ini. Saya tidak begitu berminat untuk bercakap tentang isu politik kerana setiap kali saya bercakap, pasti ada pihak yang tersinggung. Mentaliti orang kita (terutama Melayu) tidak suka menerima pertentangan pendapat. Bagi saya biar apa-apa pun fahaman politik, penyokong harus sedar bahawa politik ialah satu bentuk Game of Strategies to Gain Power. Orang politik ialah penstrategi yang berani mengambil risiko.


Malangnya, marhaen tidak memahami perkara tersebut. Di kedai kopi, di kantin sekolah, di warong, mereka bercakap berdegar-degar tentang politik tanpa mengeluarkan fikiran mereka untuk berfikir dari perspektif yang lain. Yang diperkatakan hanya untuk memburukkan parti politik yang tidak mereka sokong. Namun mereka hanya menjadi ahli parti politik yang tidak mantap strateginya.


Jika strategi yang digunakan berkesan, maka mereka akan menperoleh kuasa. Yang kalah tidak semestinya tidak baik tetapi tidak merancang strategi dengan baik. Dalam keadaan sekarang BN masih berkuasa kerana strategi yang diguna pakai masih mampu menarik hati penyokong. Barangkali parti-parti politik menjadi pembangkang masih belum menemukan strategi yang berkesan untuk menawan hati penyokong. Jadi, mereka masih terkial-kial mencari strategi untuk memenangi hati pengundi.


Jika dilihat dari tempoh masa, parti-parti politik utama di negara ini bukan calang-calang usianya. Namun sehingga kini parti tersebut masih gagal memang dengan majoriti. Alasannya mudah, strategi parti tersebut tidak menjadi.


Hanya pendapat peribadi seorang yang tidak begitu gemar dengan perkara-perkara yang memudaratkan diri, bangsa, dan agama.

Ahad, November 08, 2009

Antologi Anak Global


Antologi Anak Global merupakan antologi karya yang menjadi teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Elektif bermula tahun 2010. Sebanyak 24 buah sajak, 8 buah cerpen, dan 3 buah drama dimuatkan dalam Anak Global. Dalam antologi ini juga terdapat dua buah karya saya iaitu sebuah cerpen yang bertajuk Anak-anak Pejuang dan sebuah sajak yang bertajuk Sebuah Pesanan. Sekarang saya sedang membuat ulasan tentang karya-karya dalam antologi ini. Diam tak diam, apabila saya jumlahkan semua, tahun depan saya menghasilkan 12 judul buku untuk pasaran.

Di Laman


Hari ini saya bertukar selera dengan melakukan kerja menulis di halaman rumah. Kadang-kadang bekerja di tempat yang sama untuk jangka masa yang lama akan menjadikan kita jemu. Oleh sebab hendak bertukar angin, saya menghabiskan masa sepagi di laman ini. Tekadnya, hendak menyiapkan buku ulasan untuk sebuah syarikat penerbitan. Saya perlu menyelesaikan satu persatu tugasan saya untuk mengelakkan berlakunya longgokan kerja.

Selasa, November 03, 2009

Ilusi Sebuah Mimpi


Senja mengutuskan resah pada malam,
Malam membingkis mimpi pada lena,
Fajarpun terlalu jauh,
Mengurung diri,
Sepi,
Sepi…

Dalam mimpi itu,
Tuhan datang dengan segala iradat-Nya,
Mata terpana;
- menjeling usia yang hilang.
- menangisi iman yang gersang.
- melirik tawakal yang terbuang.
- Mengerling amal yang kontang.

Tidakkah kau terbangun,
Ketika muazin melaungkan azan pertama,
Dalam hening fajar;
- subuh ini titik mula sebuah perjalanan hari
- langkahlah dengan zuhud dan suci hati
- pilihlah landasan lurus
- pulanglah dengan rezeki kudus.

Pagi mengutus wasiat pada hari,
Biarku keringkan embun dosa di kaki.


Ghazali Lateh,
Banting,
7/7/03

Makan-makan di Rindu Alam


Petang tadi saya ke Dengkil dengan family. Cadangan awal hendak makan di Tasik Idaman, Bangi. Tapi ternampak sebuah gerai di tepi jalan berhampiran lebih raya KLIA - Putrajaya. Jadi kami berhenti makan di gerai yang bernama RINDU ALAM. Makanan laut dan banyak pilihan makanan. Sengaja bawa anak-anak makan sempena ulang tahun anak sulung saya Nurul Ain dan anak kedua Muhammad Affiq. Hari jadi mereka agak hampir antara satu sama lain iaitu pada 28 Okt dan 1 November. Lepas makan terus balik kerana di rumah banyak tugasan sedang menanti.

Ahad, November 01, 2009

Terkejut dan Gembira

Begitulah perasaan saya setelah mendapat tahu novel saya akan dicetak sebanyak 66000 unit untuk tahun 2010 dan 70000 unit untuk 2011. Maksudnya, secara keseluruhan 136000 unit novel saya akan dicetak. Saya amat terkejut kerana jangkaan awal saya dalam lingkungan 20000 hingga 30000 sahaja. Inilah yang dikatakan rezeki. Alhamdulillah. Syukur saya kepada Allah yang mengurniakan kekuatan pada saya untuk berkarya, walaupun saya bukanlah penulis terkenal. Saya hanya penulis kerdil yang tidak mahu dikenali sebagai penulis. Saya akan terus berkarya kerana saya tidak pernah mengejar wang tetapi menulis merupakan kepuasan yang sukar dinyatakan. Saya menerima tugasan menulis sebagai satu cabaran. Apabila saya menyelesaikan tugasan ini, saya berasa sangat berpuas hati kerana cabaran tersebut telah saya atasi. Kini keadaan saya sudah lain pula jadinya, kerana tugasan ini tidak pernah putus-putus dan saya sentiasa berada dalam cabaran yang berterusan. Kadang-kadang terasa seperti tidak sanggup lagi untuk meneruskannya. Namun, selagi kudrat masih asa, saya tetap akan menulis. InsyaAllah.