Rabu, Ogos 29, 2007

Ceramah akan datang

Besok aku akan menyampaikan ceramah teknik menjawab soalan karangan bagi murid-murid SMK Telok Datok. Aku sudah menyampaikan ceramah di beberapa buah sekolah lain. Kini masanya aku ingin mencurahkan ilmu kepada anak-anak didikku sendiri. Akan tetapi mereka bukanlah murid yang kuajar kerana buat masa ini aku mengajar di tingkatan 6 bawah.
Pada 5 September, aku akan menyampaikan ceramah kepada guru-guru Bahasa Melayu daerah Petaling Perdana di Kelab Shah Alam. Mudah-mudahan sesi ceramah tersebut akan sukses dan memberikan pengalaman kepada rakan-rakan guru yang lain.
Hari Jumaat nanti aku akan balik ke kampung kerana sudah 2 bulan lebih aku tidak menjenguk kampung lantaran kesibukan tugas dan kerja-kerja penulisan.

Rabu, Ogos 22, 2007

Raptai Konvokesyen





(i)
Pagi tadi aku menghadiri raptai konvokesyen di Dewan Besar UPM. Aku menghadirinya untuk membiasakan diri kerana aku berada dalam sesi 1 konvokesyen yg ke-31 itu. Maknanya aku akan mendapatkan ijazahku daripada DYMM Sultan Selangor selaku Canselor UPM. Namun tidak banyak yang berbeza dengan konvokesyen-konvokesyen terdahulu. Gambar sebelah menunjukkan anakku Nurul Ain menggayakan pakaian konvokesyen Doktor Falsafahku. Aku harap dia bukan sekadar menggayakannya, tetapi akan merasainya sendiri suatu hari nanti. Set yang digayakan oleh Nurul Ain itu telah kutukar kerana terlalu labuh dan topinya (bonnet) terlalu sempit.





Bercakap tentang konvokesyen, acara ini sangat bermakna bagi mereka yang mengalaminya buat kali pertama. Seperti aku mendapat ijazah pertama dulu. Sungguh mengujakan. Oleh sebab itu aku melihat adik-adik yang mendapat ijazah bacelor sangat ghairah dengan majlis tersebut. Bagiku, konvoksyen buat kali yang ketiga ini hanya memenuhi rutin pengajian. Belajar dan menerima ijazah dalam konvokesyen merupakan satu rutin akademik yang biasa.

Sempat berbual-bual dengan Dr. Zaitul Azma di biliknya sebentar, selepas menghantarkan salinan tesis kepada Dr. Arbai. Sebelum itu Haji Shamsudin Othman menghubungi, katanya nak ajak makan-makan. Malangnya, mungkin dia terlalu sibuk dengan kelas, aku balik setelah menunggu setengah jam. Mungkin kami akan berjumpa lagi pada kali yang lain.



(ii)
Membaca blog Tanah Nurani, aku turut terkesima dengan pelbagai kemelut bahasa dan pendidikan kini. Sebagai seorang guru bahasa (semestinya pencinta bahasa Melayu) aku tidak berpuas hati dengan perkembangan yang melanda bangsa dan bahasa Melayu kini. Sepatutnya setelah 50 tahun merdeka, Bahasa Melayu sudah menjadi satu-satunya bahasa yang dituturkan di bumi Melayu ini. Sebaliknya, sudah ada pihak mula menunjukkan taring mereka, yang bakal menidakkan peruntukan perlembagaan tentang bahasa Melayu. Namun, aku bukan orang politik. Aku berharap politikus Melayu supaya merenung kembali hak-hak kita yang sudah terlalu banyak kita berikan kepada orang lain. Padaku hanya orang Melayu sahaja yang sering berkompromi dan mengalah dalam banyak hal. Sudah tiba masanya kita kembalikan martabat Melayu seadanya. Jangan terlalu berlembut. Janganlah kerana terlalu ingin akan kedudukan politik dan mahu menjadi popular kita gadaikan segala-galanya, termasuk martabat bahasa dan bangsa sendiri.

(iii)
Dalam perjalanan ke UPM aku ditelefon oleh Zulkifli (editor Longman) bertanya tentang tarikh pemergian arwah Mohd Ismail Sarbini. Rupa-rupanya sudah setahun arwah meninggalkan kita, iaitu pada 2 Sept 2006. Aku sangat-sangat terasa pemergian arwah, lebih-lebih lagi apabila aku akan berkonvokesyen. Arwahlah yang banyak membantuku dalam menjalankan kajian di sekolah, memungut data, dan membuat rakaman semasa pengajianku berlangsung. Sayangnya, arwah tidak sempat melihat kejayaanku dan aku tidak sempat mengucapkan penghargaan kepada beliau. Alfatihah, aku berdoa agar roh arwah dicucurkan rahmat dan ditempatkan bersama-sama roh mukmin yang soleh. Amin. (Gambar kenangan dengan arwah semasa bermesyuarat di Trengganu dalam tahun 2002).

Sabtu, Ogos 18, 2007

Tentang Batu dan Air






Sesekali aku ingin menjadi batu,

tegar,

biar seribu musim menghempas,

biar seribu musykil membias,

aku tetap bertahan,

segala asakan,

hingga ke akhir zaman.




Sesekali aku ingin menjadi air,

gemalai,

biar seribu liku mengocak,

biar seribu buntu memuncak,

aku tetap mengalir,

tiada mungkir,

hingga usia berakhir.




Kalumpang, Selangor.

18 Ogos 2007.

Khamis, Ogos 16, 2007

Tentang Bunga

Dalam urna menguja,
bunga ada kalanya melukakan,
kerana jemari yang memetik,
terlupa akan duri,
terlupa akan diri.

Tentang bunga,
kita sebenar terlalu terpesona,
dengan warna,
dengan nama,
dan sering juga terkesima,
dengan aroma,
dengan jenama,
lantas kita membuang fikir,
untuk menafsir,
janji yang mungkir,
cinta yang tersingkir.

Isnin, Ogos 13, 2007

Skrip Dokumentari Kemerdekaan Ciplak Sajak

(i) Ciplak lagi

Suatu petang minggu lepas, ketika aku berada di Royal Adelpi aku tertarik dengan dokumentari RTM yang berkaitan Almarhum Tunku. Aku menghayati dokumentari itu sebagai meladeni semangat kemerdekaan yang menguja.


Namun demikian, aku terkejut pada bahagian hujung dokumentari tersebut, skripnya telah mengambil beberapa bahagian sajakku yang tersiar di Mingguan Malaysia 2001. Malah rangkap terakhir sajak tersebut diambil sepenuhnya untuk menggambarkan kewibawaan Almarhum Tunku. Aku cuba melihat penulis tersebut pada penghujung rancangan. Seorang wanita, mungkin kakitangan RTM.


Natijahnya, setelah 50 merdeka masih ada lagi rakyat Malaysia yang suka menciplak. Kalau nak ciplak pun biarlah bijak menggubah semula untuk mengungkapkan maksud yang sama. Aku tidak hairan sajak tersebut diciplak kerana terdapat beberapa blog yang mengambil sajak tersebut kerana aa semangat kemerdekaan termuat dalam sajak itu. Cuma mereka memberi kredit OLEH GHAZALI LATEH pada hujung sajak tersebut.


Aku perturunkan sajak tersebut sepenuhnya untuk tatapan. Rangkap akhir sajak tersebut telah dijadikan skrip dokumentari tersebut sepenuhnya oleh penulis skrip maling itu.


Bapa Kebebasan
(Al-Fatihah Untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra)


Oleh Ghazali Lateh

Dialah yang memugar rimba sejarah
dan meletakkan batu tanda bertatah indah
dialah yang membina sempadan gagah
antara musim terjajah
dan gerbang waktu melepas gundah.

Dialah yang bergelar bapa
mewariskan sebidang tanah menganjur,
dengan bukit-bukau hijau mengimbau
disuburi jernih air sungai masyhur
bumi subur warisan leluhur.

Dalam lembut bicara semanis kata-kata,
dia menolak cengkam tajam
dari kuku-kuku hitam yang kejam
mengikis karat musibat
dengan minda yang padat berkat
lalu dia kembali melepaskan merpati
melayah di mega pelangi.

Dia yang meletakkan makna merdeka
dalam kamus peradaban bangsa
lalu kita meluaskan aksara
mencanai istilah bertuah
sehingga anak-anak warisanmu
berdiri di persada mercu restu
menjamah madu syahdu
dari embun di rumput baldu

31 Ogos tanggal keramat
dia meletak tapak kebebasan di bumi warisan
tahun demi tahun kita kenang dalam insaf
betapa hidup terjajah berbaur seribu masalah.

Dialah bapa !
yang telah mewariskan pada kita
sebuah kemerdekaan
yang perlu dipertahankan.

Banting, 11 Jun 2000



(ii) Konvokesyen


Alhamdulillah, namaku tersenarai dalam barisan graduan yang menerima ijazah kedoktoran pada sesi konvokesyen UPM yang akan berlangsung pada 25 Ogos nanti. 18 ambil jubah, 22 raptai, dan aku sah bergelar Dr. Ghazali Lateh. Semoga gelaran ini memberi dorongan kepadaku, anak-anakku, rakan-rakanku untuk terus memburu kejayaan.





Sabtu, Ogos 11, 2007

Memulakan projek penulisan baharu

Hari ini aku perlu memulakan satu projek penulisan yang agak besar. Projek ini amat penting bagiku. Sementara ini biarlah projek ini tidak dihebahkan. Yang penting, aku tidak kekeringan projek penulisan yang menjanjikan pendapatan sampingan yang agak lumayan.



Dalam hati, ada kemahuan untuk menulis novel kerana idea sudah lama bertapak dalam fikiran. Namun kesuntukan masa sering membuatkan aku menangguhkan hasrat tersebut. Novel Dari Lembah ke Puncak merupakan novel terakhir yang dihasilkan. Novel ini mengisahkan perjuangan seorang anak muda menuntut kembali hak milik yang telah dijual oleh ibunya semata-mata mahu melaksanakan wasiat arwah bapanya. Perjuangan tersebut sangat mencabar kerana terpaksa menggadaikan usia mudanya demi mengumpul sumber selama berbelas-belas tahun sebelum berjaya menebus kembali maruah dan hak milik yang tergadai. Novel ini hanya bacaan ringan. Tidak banyak ilmu bantu yang diterapkan kerana aku menulis secara terburu-buru.


Sempena menyambut kemerdekaan, aku turunkan sebuah sajak patriotik yang telah kutulis dalam tahun 2000. Sajak ini pernah memenangi sayembara Puisi Puteri Pos, dan termuat dalam antologi Jamung Merdeka kelolaan Gapena.

Ini Tanah Air, Tempat Bermula Dan Berakhir

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Kita telusuri batas sejarah ke musim suram terjajah,
Menguak hitam belenggu dalam murup durja yang gundah,
Saat melangkah runduk di bawah serakah telunjuk,
Suara pun hilang terpanar di tengah sorak petualang.

Di denai waktu membiak tunas insaf seluruh warga,
Musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa,
Bumi ini tanah air pesaka warisan pejuang,
Dari darah, dari keringat dan semangat menjulang.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Malaysiaku, bumi mewangi seribu restu,
Melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu,
Menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu biru,
Membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru.

Anak-anak bumiku tercinta,
Hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka,
Rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat,
Segera cantaskan pucuk angkuh rusuh dengan minda yang ampuh.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir!

Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi,
Membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam,
Muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun,
Ini negeri terbaik, bumi tercantik, rakyat terdidik,
Mengorak langkah, berkongsi arah menancap monumen terindah.

Sahutlah gemersik suara nafiri seruan perjuangan,
Cokmar kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman,
Tanah ini milik hakiki zaman berzaman,
Jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Ini tanah kita, padang permainan seluruh anak bangsa,
Ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka,
Nusa ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa,
Wilayah ini wadah wacana hitam putih pemangkin wibawa.

Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir,
Biar luluh jiwa raga, darah setiaku tetap mengalir,
Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir,
Biar nyawa luluh tercicir, janji ini tiada mungkir.

Banting,
September 2000



Sejak akhir-akhir ini aku berasa kurang senang dengan kemelut yang berlaku dalam kehidupan bangsaku. Setelah melawat beberapa negara luar, aku mula menyedari dalam masyarakat yang kelihatan indah di negara ini, terselindung sejuta kebusukan yang sukar untuk dihilangkan pengaruh. Sebagai marhaen aku hanya menyesali tanpa ada kudrat yang cukup untuk mengubah segala yang busuk-busuk itu.

Peristiwa Sepanjang Minggu

(i)

Sepanjang minggu ini, banyak aktiviti yang dijalankan. Sepanjang minggu berada di Hotel Royal Adelphi, Seremban bermesyuarat dan berbengkel untuk kerja-kerja penerbitan siri karya agung. Di sana aku bersama-sama rakan-rakan dan tokoh-tokoh yang hebat dan berkarisme. Sebilik dengan Tuan Haji Shamsudin Othman, bergurau dengan Aminhad, Lutfi, dan berbicara dengan Tn. Haji Nafi Mat, Omar Mamat, Lutfi Ishak, Samsiah Mohd Noor, dan beberapa orang guru termasuk Zaidah, Siti Hajar, dan Ija. Mereka semua merupakan tokoh-tokoh yang hebat. Tidak lupa dengan Mazlin yang sangat aktif bergerak mengendalikan segala urusan perbengkelan, walaupun ada kalanya nampak riak-riak keletihan di wajahnya.

Aku sebenar kurang sihat semasa ke Seremban. Akan tetapi atas kehendak tugas dan tanggungjawab, aku berkorban juga. Gambar di sebelah adalah pada hari pertama sampai ke Royal Adelphi. Berehat sambil memandang ke dalam diri, bermuhasabah, dan mencari kelemahan sendiri.

(ii)


Tertarik dengan kegigihan Samsiah menulis novel. Banyak novel yang sudah ditulis, kebanyakannya tebal-tebal dan laris. Alhamdulillah, penulis masa kini sudah mampu mencari kemewahan hasil titik peluh berkarya. Mudah-mudahan hal ini akan menjadi pendorongku supaya terus menulis.




Gambar menunjukkan Samsiah sedang menandatangi novel untuk diberikan kepada rakan-rakan. Yang menerima novel (termasuk aku) tersenyum lebar kerana mendapat novel percuma. Tapi kami amat menghargai pemberian tersebut.






(ii) Berceramah Sastera di Hotel Seri Malaysia, Sepang.
Hari Jumaat malam Sabtu, aku memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah sastera kepada pelajar-pelajar Kolej Mara Banting. Setelah agak lama meninggalkan bidang sastera, aku ragu-ragu untuk memenuhi undangan tersebut. Namun, aku penuhi juga dengan persediaan yang agak terhad kerana kesibukan. Terima kasih kepada rakan-rakan seperti Shamsudin Othman, Aminhad, dan Lutfi kerana membantu memberikan idea tentang apa-apa yang hendak disampaikan dalam ceramah tersebut.


Kebimbangan tidak dapat memenuhi masa 2 jam yang diperuntukkan berlalu apabila aku mendapati masa tidak cukup. Masih banyak yang ingin diperkatakan kepada pelajar-pelajar ini yang rata-rata beraliran sains dan akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Namun aku bersyukur juga kerana dapat berkongsi sedikit pengetahuan ada dengan mereka. Malah, aku tidak keberatan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman sastera dengan mana-mana pihak pada masa akan datang kerana aku mula mencipta nama dengan sastera. Hanya kesibukan dan kecenderungan menulis buku-buku akademik menjadikan aku sedikit jauh daripada dunia sastera.


(iii) Tentang Dilema

Sepatutnya Isnin 13 Ogos 2007, aku berada di Universiti Malaysia Sabah. Minggu lepas aku dihubungi untuk menghadiri temu duga jawatan pensyarah penulisan kreatif. Aku sudah menghubungi Zaba di KK untuk membantu. Namun sampai saat ini aku belum membuat keputusan sama ada mahu pergi atau tidak.



Sabtu, Ogos 04, 2007

Dulu dan sekarang




Sengaja aku paparkan kedua-dua keping gambar ini untuk perbandingan. Aku dan isteri, 22 tahun yang lalu dan penampilan kami sekarang. Lihatlah perbezaannya!!




Beberapa Penantian

(i)
Minggu depan aku akan berada di Royal Adelphi, Seremban. Projek buku penceritaan semula Hikayat Pasai perlu diteruskan. Kini 70% siap, dan akan dimurnikan di sana nanti. Harap Shamsudin Othman, Lutfi, Aminhad, dan rakan-rakan yang lain tidak menguzurkan diri untuk datang.

10 Ogos aku menerima jemputan Kolej Mara Banting untuk menyampaikan sedikit syarahan tentang dunia sastera secara umum. Kalau sejak akhir-akhir ini aku lebih banyak menyampaikan ceramah tentang bahasa, kini aku beralih angin. Masalahnya, aku terpaksa membuat persediaan, rujukan, dan retrospeksi diri dalam bidang sastera yang semakin kurang bisanya.

Aku teringat tulisan Puan Salbiah Ani dalam kolum sastera Berita Minggu yang lalu. Ada orang mempertikaikan karya yang dihantar tetapi tidak mendapat tempat. Bagiku memang ada kebenarannya, kerana sastera sekarang sudah ada KASTA. Mereka yang berkasta tinggi sahaja akan menjadi sanjungan dan pilihan editor. Yang lain, silalah cari gelanggang lain untuk berpencak. Kini aku sudah mula berpindah gelanggang kerana dalam sastera aku dari kasta yang tidak ada dalam senarai.


(ii)




Menanti rumah baharu siap memang tidak sabar. Tambahan pula sudah hampir sembilan bulan menunggu. Namun, sekurang-kurangnya bentuk rumah baharu itu sudah kelihatan. Petang semalam aku dan isteri melawat rumah baharu kami yang mula diplaster dindingnya. Aku perlu menyediakan peruntukan kewangan yang lebih untuk aksesori rumah itu nanti. Biarlah aku berbelanja lebih sedikit untuk mendapat keselesaan hidup. Setelah lama bekerja keras untuk kehidupan, tidak salah rasanya berhabis sedikit untuk hidup selesa.


Khamis, Ogos 02, 2007

Ulang tahun perkahwinan

Diam tak diam, sudah 22 tahun usia rumah tanggaku dengan isteri tersayang. Kami masih seperti kawan-kawan seperti lebih 22 tahun yang lalu. Alhamdulillah, tidak banyak cabaran rumah tangga. Setiap cabaran ditangani seadanya. 3 Ogos 1985 merupakan hari aku menerima tanggungjawab sebagai seorang suami.

Hidupku bahagia. Anak-anak juga sudah besar. Nurul Ain sudah berada dalam tahun dua di UPSI. Affiq bakal menduduki SPM dan Adilah dalam tingkatan dua. Tidak lama lagi, rumah yang dibeli akan siap. Kami agak terlewat membeli rumah kerana tiada tekanan keperluan sebelum ini. Malah rumah baharu ini merupakan rumah yang ketiga milik kami.

Semoga segala yang baik akan berterusan. Mudah-mudahan Allah akan terus memberkati kehidupan. Aku tetap bersyukur dengan anugerah Allah yang tidak terhingga dalam hidup ini.

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...