Selasa, Januari 31, 2012

Sik, Sebuah Cinta Abadi



Telah bergema laungan suaramu
memanggilku pulang ke pangkuanmu
membawa jambangan rindu
yang mekar sewangi setanggi
sesegar menghijau lembah mengimbau.

Tika saat kembali menghulur jabat
seakrab Bukit Enggang yang hebat
dalam bicaramu malar berlembut madah
sehening santun Lata Mengkuang yang indah.

Biar kupimpin tanganmu
untuk melangkah jauh pertiwiku
kerana anak-anakmu telah besar dewasa
menakluki seluruh wacana perkasa
dengan mata dan minda terbuka
menjangkau pesona bianglala
melengkari cakerawala.

Sik, tanah ibunda
sedetikpun hati ini tidak pernah alpa
untuk kembali bermanja dan bercanda
beramah mesra di Pekan Selasa
membiarkan anak-anak ketawa di Rimba Taqwa
menikmati bayu berdesir di Pekan Cepir
menyedut nafas nyaman di Bendang Man
menagih bahagia di Begia
mendengar senandung di Caruk Kudung
semangatku bangkit di Caruk Kit,
melarik petua di Kampung Tua,
rindu memekar di Kampung Belukar
nostalgia tersusun di Kampung Dusun
mencongak harapan di Batu Lapan
melebar pandang di Caruk Padang.

Aku membesar dari darahmu, bumiku
merasai debar getar di Hujung Bandar
menyubur tolong-menolong di Kemelung
melerai kasih terpendam di Paya Terendam
mengagumi anggun terungkap di Banggol Derdap
kasih merunduk di Caruk Pelanduk,
cinta tertumpah di Bakar Sampah,
menobat asmara di Kampung Kuala
melebar kesima di Batu Lima.

Aku ingin mendengar lagi alunan gemersik
dan suara-suara mesra yang berbisik
sekolahku tempat mengenal aksara dan angka
kini melebar martabat sampai ke inderaloka
guru-guru yang menabur jasa
menjadikan kami anak-anak bangsa yang perkasa.

Terima kasih seluhur budi
kerana semuanya masih sudi
menyahut seruan tanah abadi
masih kita mengagungkan peribadi
yang kita warisi semulajadi
berkat didikan yang menjadi.

Sik,
aku ingin berteduh di lamanmu
aku ingin bersimpuh di anjungmu
aku ingin berteguh dengan janjiku
mendakapmu dalam imbauan rindu
ke hujung waktu
syahdu!

Dengan ingatan tulus ikhlas,
Dr. Ghazali Lateh,
8/11/11

Jumaat, Januari 27, 2012

Puncak


Sapa bayu mulus,
menghilangkan sedikit cemas perjalanan,
yang kucari tiada di sini,
sekadar melengkap hari,
dengan seri.
Suara alam sirna dek hingar tawa,
orang datang dan lalu lalang, a
ku mengumpul kisah,
dari suara resah.
Aku sekadar datang,
meluas pandang,
meraih tenang.

Bukit Fraser,
25/1/2012

Rabu, Januari 18, 2012

Tersingkir

Rasa seperti tersingkir
atau disingkirkan
kerana suara sering tenggelam
dan warna semakin kusam
ke mana-mana pun orang berpaling muka
tidak mahu berbicara.

Kejayaan kadang-kadang membawa mudarat
kerana pandangan tidak lagi mulus
suara-suara sinis bergema
seperti genta durjana
menyapa gegendang maya.

Haruskah aku berasa tersingkir
hanya noda segelintir
menyongsong semilir
dengan hati yang mungkir.

18/1/2012

Khamis, Januari 12, 2012

Khamis, Januari 05, 2012

Kembara Budi

Posted by PicasaSetiap langkah yang kuatur
kucuba pahatkan tumang jujur
dan keikhlasan yang subur
membias sepuhan takbur
membiak syukur.

Setiap aksara adalah anugerah
untuk menggilap minda yang cerah
anak-anak yang menanti harap
jangan dibiarkan tersilap
kerana mereka adalah masa depan
memangkin modal yang mapan
menebarkan harapan
sebuah peradaban.

Kembara ini kembara budi
bukan nama dan untung diri
tapi demi keikhlasan naluri
dan semangat ingin berbakti
selagi terdaya memberi
secebis impi
anak-anak pertiwi.


Dangau Marhaen,
Banting,
5/1/2012

Rabu, Januari 04, 2012

Kembara Waktu

Detik demi detik berlari
dan bilah waktu telah rimbun
memayungi laman usia
menjadi redup dalam semilir musim
hingga terlupa makna kelmarin
yang rencam.

Kembara menghilangkan jejak
kerana kita saling tenggelam
saat menafsirkan semantik waktu
terburu.

Kita harus menentu arah
lantaran kita yang memilih langkah
matlamat hidup tidak pernah kukuh
sering hanyut dalam sinis keluh
dan rungut yang jujuh.

Saat terpapar destinasi
baru kita tahu di mana letaknya harga diri
amarah dan resah tidak ampuh lagi
insaflah mumpung ada seru
mengubah tuju
dalam kembara waktu.

Dangau Marhaen,
4/1/2012

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...