Isnin, Februari 25, 2008

Di Sebalik Gambar

Gambar ini aku terima dalam yahoo grup anak kedah. Cerita di sebalik gambar ini menunjukkan seorang kanak-kanak mangsa kebuluran merangkak menuju ke kem PBB yang menyediakan makanan. Jurugambar yang merakam gambar ini khabarnya mengalami tekanan emosi akibat subjek yang dirakamkan dan membunuh diri ketika kembali ke negaranya. Seekor burung nasar pula sedang menanti kematian mangsanya.Itulah harga kehidupan dan kematian dalam dunia yang penuh dengan kebuluran.

Ahad, Februari 24, 2008

Isu Komsas Lagi

Hari ini dalam akhbar mingguan, isu komsas timbul lagi. Nampaknya, masih ada tindakan melobi supaya pihak berwajib membuat pilihan karya-karya tertentu. Nampaklah juga sifat tidak profesional penulis makalah (yang barangkali berselindung di sebalik nama). Perkara yang tidak saya setuju apabila penulis mengatakan dalam PPK tidak ada orang sastera. Persoalannya, adakah pihak yang layak membuat pemilihan hanya orang sastera sahaja? Mungkin penulis makalah tersebut terlalu cetek pengetahuan sehingga mendakwa pihak PPK tidak ada kepakaran untuk memilih karya. Jika pun PPK tidak ada kepakaran, ramai kakitangan KPM yang terserlah kewibawaan mereka dalam bidang kesusasteraan.
Kita perlu melihat sesuatu dari sudut yang pelbagai. Penulis tersebut nampak mempunyai mata yang sangat kecil dan melihat satu arah sahaja. Nama-nama yang dicadangkan dalam makalah berkenaan menunjukkan bahawa sastera kita hanya ada orang-orang itu sahaja. Penulis lain tidak layak menghasilkan karya sastera. Kalau begitulah anggapannya, penulis tersebut bukan sahaja mempunyai mata yang kecil tetapi tidak dapat melihat. Harus diingat sastera bukan milik satu-satu kelompok sahaja. Jika kita berterusan menidakkan sumbangan golongan pelapis dalam sastera, maka sastera Melayu akan pupus. Kita perlu bersifat liberal dalam menilai karya sastera. Kita tidak harus meminggirkan mana-mana pihak selagi karya itu dipertimbangkan dengan baik dan sesuai untuk bacaan mana-mana pihak, tidak kira generasi remaja, dewasa, dan sebagainya. Karya tersebut mestilah memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Misi Nasional, semangat patriotisme, berunsur nilai, mempunyai pengajaran, gaya bahasa, struktur yang mantap, maka tidak menjadi halangan karya tersebut dipilih, walaupun karya tersebut bukan hasil ciptaan nama-nama yang disenaraikan.
Sebaiknya, sebagai manusia yang rasional kita hendaklah bersikap adil kepada semua pihak sebelum mengeluarkan pendapat. Jika kita memuja orang tertentu, janganlah pula kita menghina pihak yang lain. Nampaknya, dunia sastera kita juga semakin dipengaruhi dunia politik yang banyak lobi-melobi.

Selasa, Februari 19, 2008

Hanya Sebuah Sajak Lama



Sia-sia

Oleh Ghazali Lateh

(i)
Sore merebahkan bebayang usia pada dinding masa,
Aku terkinja melepas diri dari kurungan nafsu
dalam helanafas payah tergugat musibah,
membuang sisa nyawa di pintu insaf
sebelum malam runduk berlabuh
dalam sepi menghitung petaka warga
sia-sia.

(ii)
Rimbun bangsa telah patah julairanting dan dahan
kerana dedalu merajalela dalam umbi tradisi
daerah huma terpugar dosa seribu celaka
liat kemelut bertaut lendut dalam buana yang kalut
menampung retak dengan liur dan kahak
luluh tenaga runtuh perkasa budaya
sia-sia

(iii)
Padang putih telah tumbuh pucuk-pucuk kerikil
menusuk sujudsuci dengan jarum yang batil
lalu bangun mengacung mimpi-mimpi hitam
tidak pernah kauceritakan isi langkah kesumat
atas cerpu perjuangan semakin kusam
kau laungkan seribu nada dendam
sia-sia.

(iv)
Pedang yang kauhunus itu sarungkan kembali
atas nama bangsa, atas nama agama,
kerana mengambil nyawa dengan kata-kata,
tidak akan membawa apa-apa,
sia-sia!


Banting,
26/2/2001

Ahad, Februari 17, 2008

Penantian

Penantian ini
seperti sebuah kolek yang terikat pada tebing
hanya memandang laut lepas
dalam kerlingan terbatas.
Penantian adalah semangat
yang tidak pernah hilang
biar jawapan mendatang
bukan impian gemilang
tapi kepastian terbentang.
Penantian ini
akan kuteguhkan setiap hari
mencari makna hakiki
sebuah kehidupan bererti
menuju destinasi.
Penantian ini
bukanlah seperti memadam mantari
akan datang juga nanti
saat berangkat pergi
dengan kerelaan terbukti.
Meletakkan diri dalam penantian merupakan amalanku sejak lama. Kata orang penentian itu satu siksa. Bagiku, penantian mendatangkan pelbagai kebaikan. Pertamanya, aku berasa setiap detik amat berharga jika diisi dengan baik. Sekurang-kurangnya kita akan ada sesuatu yang kita tunggu.
Aku kini berada dalam beberapa penantian yang besar. Aku menanti kedatangan bulang Mac, April, Mei, dan seterusnya. Dalam setiap bulan itu akan ada sesuatu yang kunantikan. Namun aku tidak pernah kecewa besar jika semua yang kunantikan tidak menjadi realiti yang kuharapkan. Kurasakan itulah satu KEKUATAN diriku kerana tidak begitu tunduk pada kekecewaan. Setiap kekecewaan kujadikan semangat untuk terus bangun dan menanti. Menanti dan menanti saat indah, manis, dan membolehkan aku bergerak ke penantian yang seterusnya.
Barangkali penantian kali ini akan menjanjikan sesuatu yang bermakna! InsyaAllah.

Rabu, Februari 13, 2008

Puisi Tanpa Tajuk






Kehebatan telah tumbuh menjadi pohon mudarat
Dan bercambah menjadi ancaman
Kepada mereka yang takut
Dengan bayang-bayang.

Sukarnya mengubah fikir
Minda pikun dengan kerentaan lopak iri
Bersipongang, kelinglongan,
Semua tingkah tidak lagi kewajaran.

Lantaran penting diri kian menunjang
Sebuah wajah hanya balikan kosong
Dari jiwa pelbagai warna
Kusam dan getir.

Kehebatan bukan lagi mercu tanda
Setelah jiwa didukung durja
Sukma mereka yang durjana.

Di sini aku berdiri merakam luka
kerana gagal memadam pawaka,
dalam jiwa-jiwa celaka,
bertopeng retorika,
hipokrasi belaka.





13/2/08

Ahad, Februari 10, 2008

Misteri di Angkasa Raya


Aku memuat turun beberapa gambar dari laman web NASA. (Memang menjadi minatku untuk menerokai keajaiban angkasa dan sains penerbangan). Namun ada beberapa gambar yang tidak dapat dipaparkan kerana sebab-sebab hak cipta barangkali. Gambar ini ialah pemandangan dari kapal angkasa USA. Satu pemandangan yang menarik di angkasa.

Sabtu, Februari 09, 2008

Bonsaiku!



Kupaparkan dua pohon bonsaiku yang lama kuabaikan. Pagi ini terasa pula ingin membelai bonsai tersebut. Hobi ini merupakan salah satu daripada hobiku yang banyak (tetapi kelakukan serba sedikit).



Pagi tadi aku sekeluarga menvghantar Ain ke UPSI. Dalam perjalanan balik sempat singgah di Summit, Subang Jaya. Ketika itu juga Haji Latif JPN menelefonku untuk mempelawa aku menjadi penulis ucapan VIP. Aku memberikan persetujuan. Barangkali dapat membantuku dalam penulisan nanti. Aku tetap akan mencuba!




Gambar di depan Hotel Summit, Subang Jaya sebelum berangkat pulang

Jumaat, Februari 08, 2008

Santai



Hari ini aku hanya bersantai di rumah. Selepas bersarapan di luar bersama-sama keluarga, aku ke kebun untuk melihat keadaan kebun yang lama tidak kukunjungi. Kebun di Cheeding agak merugikan kerana tidak ada hasil walaupun perlu dibersihkan setiap bulan. Sesiapa yang berminat untuk menyewa atau membeli tanah tersebut bolehlah menghubungiku. Tanah di Cheeding itu berstatus tanah untuk bangunan, sudah ditambak dengan tanah merah 100 lori pada tahun 2004. Luasnya setengah ekar. Kalau ada yang sanggup bayar RM100K, aku rasa aku akan jual tanah itu.


Kebun di Jenjarum sudah bersih dan mula mengeluarkan hasil. Namun aku masih perlu mengeluarkan biaya untuk membeli baja, mengupah orang menjaga dan meracun. Tapi barangkali tanah ini perlu kusimpan sebagai aset jangka panjang.



Semalam, aku ditelefon oleh seorang rakan penulis. Beliau bertanya kepadaku tentang karya cerpenku yang diambil oleh seorang rakan penulis yang lain untuk diantologikan tanpa pengetahuanku. Akan tetapi aku faham benar dengan rakan yang suka mengambil peluang ini. Biarlah dia mengambil karya tersebut tanpa pengetahuanku. Bagiku, aku tidak akan miskin dengan sikapnya itu, dan barangkali dia juga tidak akan kaya dengan berbuat begitu. Rezeki dalam bidang penulisan tidak pernah putus-putus, dan semalam aku menerima satu lagi projek penulisan yang lumayan. Alhamdulillah.


Tentang dunia sastera


Beberapa minggu yang lalu dunia sastera kita bergolak akibat ada pihak yang menggemburkan cerita tentang pemilihan teks Komsas. Entah bagaimana pihak-pihak ini mendapat berita, sedang pemilihan tersebut belum ada keputusan dan dibuat secara sulit. Ekoran dari itu ada beberapa orang individu yang menggelarkan diri sebagai sasterawan melatah dan melenting dengan pelbagai reaksi.


Kadang-kadang aku tidak bersetuju dengan tindakan terburu-buru manusia yang terlibat dengan sastera. Mereka kulihat sebagai terlalu 'selfish'. Oleh sebab itu aku tidak mahu menjadi sasterawan, cukup sekadar menjadi penulis kecil-kecilan, untuk kepuasan dalaman, dan beroleh sedikit rezeki seperti yang ditetapkan oleh Tuhan. Ada kalanya, oleh sebab terlalu ingin menjadi sasterawan yang bergelar, ada pihak yang sanggup membeli gelaran untuk dicanangkan.


Bagiku, biarlah aku begini. Aku sekadar mahu menulis apa-apa sahaja. Pandanganku hanya pandangan peribadi sendiri dan aku bebas menyuarakannya. Aku tidak boleh dipaksa untuk bersetuju dengan orang lain, dan aku juga tidak boleh memaksa orang lain untuk bersetuju dengan pandanganku. Terserah!!



Gambar kini kuambil menggunakan telefon bimbit ketika memandu ke tempat penerbitan di Shah Alam semalam ketika cuti tahun baru Cina. Aku tertarik suasana jalan yang lengang di jalan dari Puchong menghala ke Shah Alam ini. Sebelum ini kawasan inilah yang paling teruk mengalami kesesakan. Kereta akan bergerak bagai semut ketika melalui kawasan ini. Akan tetapi lain benar halnya semalam. Oleh sebab itu aku terpanggil untuk memaparkannya di sini.

Rabu, Februari 06, 2008

Cuti Tahun Baru Cina


Hari ini cuti Tahun Baru Cina bermula. Hari ini aku dikunjungi tiga orang pelajar UPM untuk menemuramah sebagai memenuhi keperluan assignment mereka. Agakanku tepat kerana mereka sememangnya mengambil kursus kajian puisi yang diajarkan oleh Tuan Haji Nafi. Aku membantu sekadar yang termampu. Aku berharap mereka beroleh kejayaan. (Sayangnya aku terlupa untuk bergambar bersama-sama mereka, jika tidak boleh dipaparkan di sini)


Hari ini aku lebih banyak terperap di depan komputer, sementelah banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Peluang-peluang penulisan yang baharu melimpah ruah, InsyaAllah akan aku kerjakan kerana penulisan merupakan 'passion' yang kudambakan selama ini. Allah telah melimpahkan rezekiku melalui penulisan. Alhamdulillah. Cuma, masa untuk bersantai agak terhad memandangkan aku perlu mengejar sasaran waktu yang ditetapkan.


Aku baru selesai menulis sebuah cerpen untuk menyertai pertandingan menulis sempena perayaan Hari Guru 2008. Cerpen itu berjudul "Segugus Kyuho Untuk Cikgu" berdasarkan tema yang ditetapkan iaitu "Terima Kasih, Cikgu". Cerpen tersebut berkisar tentang penglibatan generasi muda dalam sektor pertanian, kerana masa kini pertanian merupakan sumber pendapatan yang baik. Jika ada rezeki dapatlah aku merayakan Hari Guru peringkat kebangsaan. Tahun lepas aku mendapat tempat pertama, dan aku diraikan di Johor Bahru. Guru-guru patut mengambil peluang ini untuk mengasah bakat. Aku pasti Cikgu Rohaidah Yon dan Cikgu Taufik pasti turut serta. Cerpen Cikgu Rohaidah Yon sangat mantap, tidak hairanlah baru-baru ini beliau memenangi hadiah pertama Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka.
Akan tetapi aku bersimpati dengan Amin yang sudah serik untuk masuk pertandingan ini. Kenapa? Hanya dia yang tahu.


Dua hari lalu aku dihubungi oleh seorang bekas murid. Katanya dia sudah menghadiri Minggu Penulis Remaja. Kini dia semakin aktif menulis dan karyanya sering terbit di majalah-majalah DBP. Tahniah Ghazali Mohd Ros. Teruskan usaha anda. Ciptalah nama ketika masih muda.
Sempena Tahun Baru Cina, aku ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada rakan-rakan sekolah SMK Guar Chempedak yang masih menghubungiku hingga kini termasuk Chong Seng Ming, Lim Swee Lee, Chan Chong, dan Chan Wah.
Semoga Tuan Haji Shamsudin Othman cepat sembuh daripada kemalangan yang dialaminya.

Seloka Proton Saga

Naik Proton Saga Pergi Kuala Kubu Tidur asyik terjaga Nyamuk masuk kelambu. Naik Proton Saga Pergi Sungai Layar Bini sudah ...