Jumaat, Februari 08, 2008

Santai



Hari ini aku hanya bersantai di rumah. Selepas bersarapan di luar bersama-sama keluarga, aku ke kebun untuk melihat keadaan kebun yang lama tidak kukunjungi. Kebun di Cheeding agak merugikan kerana tidak ada hasil walaupun perlu dibersihkan setiap bulan. Sesiapa yang berminat untuk menyewa atau membeli tanah tersebut bolehlah menghubungiku. Tanah di Cheeding itu berstatus tanah untuk bangunan, sudah ditambak dengan tanah merah 100 lori pada tahun 2004. Luasnya setengah ekar. Kalau ada yang sanggup bayar RM100K, aku rasa aku akan jual tanah itu.


Kebun di Jenjarum sudah bersih dan mula mengeluarkan hasil. Namun aku masih perlu mengeluarkan biaya untuk membeli baja, mengupah orang menjaga dan meracun. Tapi barangkali tanah ini perlu kusimpan sebagai aset jangka panjang.



Semalam, aku ditelefon oleh seorang rakan penulis. Beliau bertanya kepadaku tentang karya cerpenku yang diambil oleh seorang rakan penulis yang lain untuk diantologikan tanpa pengetahuanku. Akan tetapi aku faham benar dengan rakan yang suka mengambil peluang ini. Biarlah dia mengambil karya tersebut tanpa pengetahuanku. Bagiku, aku tidak akan miskin dengan sikapnya itu, dan barangkali dia juga tidak akan kaya dengan berbuat begitu. Rezeki dalam bidang penulisan tidak pernah putus-putus, dan semalam aku menerima satu lagi projek penulisan yang lumayan. Alhamdulillah.


Tentang dunia sastera


Beberapa minggu yang lalu dunia sastera kita bergolak akibat ada pihak yang menggemburkan cerita tentang pemilihan teks Komsas. Entah bagaimana pihak-pihak ini mendapat berita, sedang pemilihan tersebut belum ada keputusan dan dibuat secara sulit. Ekoran dari itu ada beberapa orang individu yang menggelarkan diri sebagai sasterawan melatah dan melenting dengan pelbagai reaksi.


Kadang-kadang aku tidak bersetuju dengan tindakan terburu-buru manusia yang terlibat dengan sastera. Mereka kulihat sebagai terlalu 'selfish'. Oleh sebab itu aku tidak mahu menjadi sasterawan, cukup sekadar menjadi penulis kecil-kecilan, untuk kepuasan dalaman, dan beroleh sedikit rezeki seperti yang ditetapkan oleh Tuhan. Ada kalanya, oleh sebab terlalu ingin menjadi sasterawan yang bergelar, ada pihak yang sanggup membeli gelaran untuk dicanangkan.


Bagiku, biarlah aku begini. Aku sekadar mahu menulis apa-apa sahaja. Pandanganku hanya pandangan peribadi sendiri dan aku bebas menyuarakannya. Aku tidak boleh dipaksa untuk bersetuju dengan orang lain, dan aku juga tidak boleh memaksa orang lain untuk bersetuju dengan pandanganku. Terserah!!



Gambar kini kuambil menggunakan telefon bimbit ketika memandu ke tempat penerbitan di Shah Alam semalam ketika cuti tahun baru Cina. Aku tertarik suasana jalan yang lengang di jalan dari Puchong menghala ke Shah Alam ini. Sebelum ini kawasan inilah yang paling teruk mengalami kesesakan. Kereta akan bergerak bagai semut ketika melalui kawasan ini. Akan tetapi lain benar halnya semalam. Oleh sebab itu aku terpanggil untuk memaparkannya di sini.

Tiada ulasan:

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...