Ahad, Januari 31, 2010

Makan Angin Bersama-sama Keluarga


Bergambar di jeti Umbai, iaitu jeti untuk ke Pulau Besar, Melaka

Bersedia untuk menjamu selera
Semalam saya ke Melaka. Rancangan awal nak ke Kuantan, tapi takut tak sempat balik saya mengubah haluan ke Melaka. Isteri mengajak kami sekeluarga makan-makan di Serkam. Malangnya, sampai di Serkam, hanya gerai yang ada tapi tidak dibuka. Terpaksa saya berpatah balik ke Umbai tempat yang saya dah dua kali pergi.
Sudah lama juga saya tidak membawa keluarga jalan-jalan. Kalau tidak ada apa-apa aral, 5,6, dan 7 Mac nanti kami akan ke Bandung pula.
Landskap di bandar Melaka sungguh menarik

Pemandangan replika Flor de La Mar dari atas Menara Tamingsari.

Pada sebelah petang dan malamnya, kami menghabiskan masa di Bandar Melaka. Banyak perubahan yang dilakukan dan Bandar Melaka semakin cantik. Cuma, kesesakan lalu lintas amat serius, sehingga saya mengambil masa hampir sejam untuk keluar dari bandar. Saya dan keluarga sempat menaiki Menara Tamingsari. Dengan bayaran RM10 (bagi rakyat Malaysia) kita dapat menikmati keindahan pemandangan malam di bandar Melaka.

Sabtu, Januari 30, 2010

Baru Terfikir

Tiba-tiba saya terfikir betapa Allah memberikan saya kelebihan dalam beberapa perkara. Dalam penulisan, saya memiliki kelebihan kerana menguasai dua bidang iaitu bidang kreatif dan bidang akademik. Nampaknya kedua-dua bidang ini menjanjikan rezeki yang sangat lumayan bagi saya. Baru-baru ini (dalam masa sebulan) saya menghasilkan DUA siri bacaan untuk anak-anak prasekolah. Pihak penerbitan akan menghantarkan karya ini dalam tender suatu projek kebangsaan yang besar juga. Siri ini ialah Siri Teladan Lestari (6 buah buku) dan Siri Atuk Hasan (5 buah buku). Jika dijumlahkan, tahun ini saya telah menghasilkan lebih daripada 20 judul buku, tanpa saya sedari.
Saya juga bersyukur kerana beberapa karya saya terpilih sebagai teks dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.
Dalam bidang penulisan akademik pula dua buah buku saya telah terpilih sebagai teks bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Saya juga menulis untuk beberapa buah syarikat penerbitan besar seperti Longman Pearson, Cerdik, dan lain-lain. Sepanjang masa rezeki saya dalam bidang penulisan tidak pernah berkurangan walaupun saya bukanlah penulis yang berdisiplin tetapi saya tetap menulis secara berterusan, insyaAllah, selagi saya mampu untuk melakukannya. Barangkali, inilah hikmahnya saya tidak dilepaskan oleh KPM untuk bertugas di IPT. Rezeki ada di mana-mana, selagi kita tidak berhenti berusaha.

Khamis, Januari 28, 2010

Di Bawah Satu














Terpecah dengan tafsir dan hujjah,
suarapun sirna,
untuk melaungkan roh dan jiwa,
ke horizon saujana, tiada gema
dari kubah-kubah menerjah angkasa,
seperti sewajarnya sabda.

Lihatlah tangan-tangan tega
memutuskan jemari dan denyut nadi
sakitnya tetap terasa di kelopak mata
seagama bagai satu indera,
luka, dan darahnya menyala.

Sukarnya jika kita terlalu membawa haluan,
dengan keangkuhan menabir kebenaran,
ke mana arah, biar tersemat ingatan dan pesanan,
berdirilah di bawah satu akidah,
seperti di mahsyar nanti tiada bezanya,
tetapi duniawi tetap menampil uji,
hingga kehilangan harga diri,
dipulas dogma sendiri.

Bangunlah di bawah satu keyakinan,
dan berdirilah di bawah satu keberanian,
memadam perbezaan dengan dalil suci,
memancarkan hidayah agama harmoni,
dalam padu duniawi dan ukhrawi,
melebarkan sayap keagungan firman,
ke ufuk zaman.

Bergeraklah kita dengan tangan berpimpin,
di bawah satu,
segalanya.


12/12/05
Banting.

Rabu, Januari 27, 2010

Bahang

Barangkali bahang neraka sedang menyapa
setiap penjuru buana tiba-tiba berbara
salju mula hilang dari ensiklopedia cuaca
luntur dan menutup garis segara
mengubah atur cara alam maya.

Barangkali Tuhan sedang mewahyukan petanda
bahawa perjalanan sudah sampai ke hujungnya
kerana kita semakin lama kian terlupa
untuk menjunjung syumul agenda
dilanggar arus pancaroba.

Renta dunia bakal terbayang di depan mata
dengan robek rupa dan lusuh warna
angkara warga yang semakin cempera
memperagakan pesona kuasa
mempamerkan wacana bernoda.

Ke manakah harus kita sembunyi
dari panasnya amarah bumi
bagaimanakah harus membawa diri
pabila maya kehilangan simpati.

27/1/2010

Selasa, Januari 26, 2010

Seperti Seekor Burung Sepi


Seperti seekor burung sepi
melayah di bingkai senja
mencari ranting nostalgia.
Begitulah aku
perit menampal usia
ketika warna maut
semakin telus
dalam kudrat tersisa
aku menghitung laku
di sebalik debu-debu.
Seperti seekor burung sepi
melarik mimpi dinihari,
mengejar rindu berlari,
Begitulah aku,
jelak memukat impian yang rawan,
sehingga kehilangan jalan,
ketika tega berpaling,
suara takwa semakin sumbang,
dan nafsu bernyanyi garang.
Seperti seekor burung sepi
meredah kelam ke pucuk malam,
menyapa cahaya.
Begitulah aku,
jerih menampung retak iman,
ketika amaran Tuhan,
terpalit pada kedut wajah
dan langkah yang payah,
di pojok ini aku menganyam taubat
dalam tangis yang sarat.
Seperti seekor burung sepi,
Mengirai mersik embun pagi,
dan terbang lagi,
Begitulah aku
jenuh menjemur hasrat yang basah,
ketika sekelip cahaya suria
semakin sirna
dan sebelum tiba musim gerhana
aku ingin bangun berdiri
pabila azan meninggi.


Banting.
12/2/1999

Isnin, Januari 25, 2010

Mencari


Ketika pekat malam disula mimpi
sebuah padang hitam mengufuk
tiada ufuk, jauh
tiada jauh, dekat
tiada dekat!

Dengan tongkat ilalang yang kukutip ketika angin bersuara
memanggil setiap juzuk hati untuk mencari
setiap juzuk mata untuk mencari
setiap juzuk telinga untuk mencari.

Siapakah bakal menempa kersani zuhud
sebelum usia menjadi renta
dan mimpi semakin kabur lalu terpadam?
justeru untuk mencari zauq
untuk mencari cinta Ilahi
siapa pula yang menjunjung hulul al Hallaj
atau wahdatul wujud Ibnu ‘Arabi
sedang kita kehilangan deria pesaka dalam dada.

Dan padang hitam pun dekat, jauh dan mengufuk,
aku kembali mencari dalam peta diri
kerana lorong-lorong dunia telah sirna
dipagut semilir resah
terpana dalam basah
ketika mencari dan mencari
aku perlu melepas tali duniawi
mengikat nurani.

Banting,
28/2/2001

Sabtu, Januari 23, 2010

Pengunjung dari Oslo

Saya sering tertanya-tanya, setiap kali saya membuka blog saya, saya dapati ada pengunjung dari Oslo, Norway. Saya cuba mengesannya tetapi sehingga saya belum dapat menjejaki siapakah pengunjung ini. Oleh saya berharap pengunjung ini dapat memperkenalkan diri, sekadar ingin berkenalan. Saya pernah mempunyai seorang kenalan dari Norway pada awal tahun 2000 yang lalu tetapi kami sudah lama terputus hubungan. Jadi, jika pengunjung berkenaan terbaca entri ini, diharap tidak keberatan untuk menghubungi saya.
I feel curious about one of my regular visitors living in Oslo, Norway. To this particular visitor, if you read my entry pleasu contact me if you dont mind. Thank you.

Bahana

Semilir angin membawa seribu derita warga buana
yang tercengkam dicakar bencana
di sini kita masih menghitung laba
merancang usaha meraih kuasa
sehingga terlupa semua petaka
yang bakal terjadi tanpa rencana.

Selalunya kita tidak pernah berbicara
tentang kemelut dan karut kata-kata
menyumpah sesiapa sahaja
menista tidak kira masa
dan nescaya sanjungan tetap akan tiba.

Renunglah sejenak akan harga agama
kenanglah sejurus akan maruah bangsa
jangan sampai suatu ketika
ummah seagama tidak lagi kita bela
saudara sebangsa kita cela sehabis hina
dan kita bangga atas nama mahkota kuasa
biarpun tega menggadai segalanya.

Insaflah sejenak manusia di barisan hadapan
di tangan mereka tergantung sejuta harapan
usah kuasa menjadi taruhan gemerlapan
sanggup kau gadai masa depan.

Bangsaku jangan kehilangan nama
kerana siasah urusan dunia cuma
bertelingkah bertelagah bukan harganya percuma
pasti kelak kita kesal selama-lama.

23/1/2010

Khamis, Januari 21, 2010

Pencatat Luka


Murung mimpi melebar dan malar
sukma telah tewas dalam deru air mata
malam terlalu tajam menghiris nurani
lena pun terasa ngeri
esok bakal datang dengan seribu misteri.

Hari demi hari akulah yang mencatat luka
sang pengembara yang selesa
kini hilang sebuah peta dan kompas pusaka
lalu dia menghantarkan kecewa
dalam setiap balada tanpa suara
dengan ritma dukalara
menggigit deria.

Saban senja aku membuka kembali helaian
yang kucatat di sepanjang pendengaran
kini aku kehilangan tinta
untuk mengabadikan semuanya
dalam sebuah atur cara
yang tertulis di sana.

Aku masih mencatat luka-luka
yang kudengar lewat kata-kata
yang kurasa lewat derita
yang kubaca lewat aksara
kerana aku ini selamanya
pendengar yang setia.

21/1/2010


Dari Lembah ke Puncak: Sekilas Imbasan Struktural

Saya akan menyampaikan syarahan bertajuk seperti di atas di UPSI pada 25 Feb nanti. Sasaran program ini ialah guru-guru pelatih yang akan menjalani latihan mengajar sesi ini. Mereka ialah guru-guru pelatih yang mengajar mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu. Saya akan mengupas novel ini dari sudut struktural, kaedah pengajaran, dan motivasi asas bagi guru-guru yang baru memulakan kerjaya dalam bidang keguruan.

Rabu, Januari 20, 2010

Jangan Berhenti


Jangan berhenti dan teruslah mencari,
kerana perjalanan masih jauh lagi
untuk menobatkan kepuasan di takhta hati
menikmati dan menghiasi semua mimpi
yang bakal menjadi pasti.

Jangan cepat berkata cukup
kerana pencarian tidak pernah tertutup
Tuhan membuka jalan
memberikan kurniaan
kita hanya tetapkan iman
tepislah segala hasutan
seribu acuman.

Jangan berhenti untuk berharap
kerana citra akan ampuh tergarap
pemenang tidak pernah mengalah
pejuang tidak pernah menyerah.

Jangan berhenti selagi Dia memberkati
kerana semua jalan akan menuju satu destinasi.

Selasa, Januari 19, 2010

Implikasi harga minyak berbeza-beza

Kenaikan baharu saya

Berdasarkan keputusan kerajaan melalui kementerian yang terlibat, rakyat Malaysia akan membayar harga petrol dan diesel yang berbeza-beza tidak lama lagi. Perbezaan harga minyak tersebut berdasarkan kapasiti kenderaan yang dimiliki oleh pengguna. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan subsidi petrolium yang dikatakan terlalu tinggi. Sebagai rakyat Malaysia, saya menerima khabar ini dengan beberapa andaian.

Keputusan membeza-bezakan harga minyak mengikut status rakyat merupakan tindakan yang tidak adil. Walaupun dari segi kemampuan untuk memiliki kenderaan berkapasiti besar dikira sebagai indikasi status, namun kumpulan ini telahpun dikenakan bayaran cukai jalan yang jauh lebih tinggi. Mereka juga terpaksa membayar insurans yang tinggi untuk melindungi kenderaan mereka. Oleh yang demikian tindakan tersebut seolah-olah menghalang rakyat yang berpendapatan tinggi dan sederhana menikmati kemewahan yang dimiliki oleh negara ini.

Selain itu, tindakan ini juga akan mengakibatkan berlakunya penipuan. Pelbagai cara akan dilakukan untuk menipu supaya rakyat mendapat harga minyak yang rendah seperti rakan-rakan yang memiliki kenderaan kapasiti rendah. Tidak mustahil nanti akan ada penjualan petrol di pasaran gelap dan juga masyarakat yang mengambil peluang untuk menjual petrol yang diperoleh dengan harga rendah kepada mereka yang terpaksa membayar harga yang tinggi. Hal ini sudah berlaku semasa kerajaan memberikan subsidi kepada nelayan-nelayan suatu waktu dahulu. Oleh yang demikian, penguatkuasaan ini sudah tentu mencetuskan pelbagai kes jenayah di negara ini.

Pelaksanaan dasar ini juga dilihat sebagai membelakangkan gagasan 1 Malaysia yang berteraskan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Dalam hubungan ini sudah pasti perbezaan layanan kepada golongan tertentu akan menjejaskan usaha merealisasikan gagasan tersebut. Hal ini seolah-olah wujud ‘double standard’ dalam kalangan rakyat Malaysia yang sepatutnya menerima hak dan layanan yang sama dalam apa-apa keadaan sekalipun. Tindakan ini juga tidak menggalakkan rakyat Malaysia berusaha untuk menjadi masyarakat berpendapatan tinggi seperti yang diuar-uarkan dalam Bajet 2010 yang lalu. Rakyat lebih selesa berada dalam kelompok berpendapatan rendah kerana mereka akan lebih mendapat perhatian dan pembelaan kerajaan berbanding pihak yang berpendapatan tinggi dan sederhana.

Tidak keterlaluan juga jika diandaikan keputusan tersebut akan mendatangkan impak besar dalam pilihan raya akan datang. Jika trend ini berterusan kerajaan akan kehilangan sokongan golongan profesional dan elit kerana kumpulan berasa dianaktirikan dalam apa-apa dasar yang digubal. Oleh yang demikian, mereka akan mencari pentadbiran baharu yang lebih mesra rakyat tidak mengira status pendapatan dan latar belakang sosioekonomi. Jika hal ini berlaku maka keadaan politik negara akan menjadi lebih kucar-kacir daripada keadaan yang ada sekarang.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu membuat kajian yang mendalam sebelum sesuatu dasar yang melibatkan rakyat diputuskan. Walaupun rakyat berdiam diri, hal ini tidak semestinya bersetuju dengan keputusan tersebut. Keputusan-keputusan yang tidak mengambil kira perasaan rakyat akan mendatangkan implikasi jangka panjang yang sukar untuk ditangani.

Ucapan Tahniah

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dalam Hadiah Sastera Perdana 2009. Sesungguhnya hadiah sastera ini merupakan anugerah yang berprestij di negara kita. Hanya mereka yang hebat dan paling menonjol diiktiraf dalam anugerah ini. Syabas! Mudah-mudahan karya sastera kita akan terus berkembang dan memugar hati seluruh rakyat Malaysia.

Khamis, Januari 14, 2010

Kasut Kelopak Jantung


Sekali pandang tidak ada apa-apa yang istimewa tentang gambar di atas. Namun demikian, gambar ini melambangkan kreativiti seorang guru dalam melaksanakan pengajarannya di kelas. Seorang guru Bahasa Malaysia tingkatan satu telah menyatakan pada saya bahawa dia ingin menunjukkan sesuatu pada saya. Saya pun tertarik dengan penyataan tersebut. Lalu guru berkenaan telah menunjukkan kelopak jantung dengan tali rafia pada saya. Katanya kelopak jantung dan tali itu akan dijadikan bahan pengajaran yang autentik semasa mengajarkan komponen sastera iaitu cerpen saya yang berjudul Kasut Kelopak Jantung yang digunakan sebagai teks tingkatan 1. Saya berasa sangat teruja atas kesungguhan guru berkenaan mencari bahan tersebut memandangkan generasi masa kini tidak tahu akan kelopak jantung pisang itu. Tahniah Cikgu Ramlan! Cikgu merupakan seorang guru yang inovatif.

Sabtu, Januari 09, 2010

Si Pemain Api

Dia terlalu bangga dengan obornya,
dan minyak yang terhambur dari lidahnya,
memuntahkan bahang dan cahaya,
celaka.

Pemain api itu, dialah,
dengan bodohnya mencucuh hati,
kerana dia tahu di tangan ada belantan kuasa,
atas nama kanun raksasa,
sesiapa jua tidak mampu menahannya.

Dan kini api itu telah marak,
membakar emosi dan aksi,
pemain api itu hanya tersenyum,
kerana di tangannya masih ada obor,
dan bebunga api yang melantun
ke kaki kami.

Siapakah pemain api itu...
langsung namanya tidak diserbu,
kerana dia berada di bawah payung kuasa,
sedangkan di jalanan api mula membakar sukma kami,
rentunglah kesabaran dan semua alasan,
kerana kepanasan sudah tidak tertahan.

Bunuhlah di pemain api itu,
kerana dialah yang mencetuskan segala musibah,
yang mula bercambah.

Politik Ambil Hati

Politik negara kita sekarang bolehlah dikategorikan sebagai politik ambil hati. Setiap keputusan yang dibuat oleh mana-mana parti politik lebih bersifat mahu mengambil hati. Maka, adakalanya keputusan tersebut seperti mahu menjaga perasaan orang lain sama ada yang menyokong atau yang membangkang.
Saya lihat perkara ini daripada pelbagai perspektif. Untuk survival politik nampaknya pemimpin-pemimpin (terutamanya pemimpin Melayu) adakalanya membuat keputusan yang di luar dugaan. Ada yang sanggup membelakangkan segala-galanya semata-mata mahu dilihat sebagai popular. Lebih buruk, ada pemimpin yang sanggup membelakangkan agama dan akidah (dengan alasan dan tafsiran ayat-ayat suci) bagi membolehkan mereka kelihatan popular. Ada yang menggunakan imej, seperti imej agama, imej bangsa, dan sebagainya untuk membolehkan mereka meneruskan survival politik, walaupun secara terang-terang perkara yang dibuat itu bertentangan dengan amalan dan kepercayaan masyarakat terbanyak.
Begitu juga halnya dengan pemimpin kerajaan, kadang-kadang keputusan yang dibuat juga dilihat seperti tidak logik tetapi dibuat atas alasan mahu mengambil hati. Barangkali dari mata rakyat biasa, saya seringkali tersentuh dan sedikit kecewa dengan cara-cara berpolitik masyarakat Melayu kini. Namun, itulah politik adakalanya sesuatu itu tidak dapat dijangka oleh orang biasa seperti saya. Cuma, kadang-kadang segala keputusan untuk mengambil hati orang lain itu secara diam-diam membangkitkan rasa jelek dan benci di sudut hati kecil saya.

Ahad, Januari 03, 2010

Penyair, Cinta, dan Sebuah Masjid (Catatan untuk Seorang Teman)


Lewat kata-kata penyair itu melebarkan pesona
Menyentuh segala deria dan jiwa
Dia memugar ilusi
Menjangkau sanubari
Menawan nurani
Menjajah hati.

Banyak hati terbeli
Dan banyak janji terpatri
Sang penyair pun menghiasi malam-malam suram
Dengan semua puisi yang agam
Meluahkan suara temaram
Membisikkan rindu terpendam
Mengheret hati yang kusam
Ke puncak ilham.

Ketika cinta memuncak
Rindupun membugar kelopak
Di sini sehampar kasih
Di sini selaut cinta
Di sini segunung sayang
Di sini selembah harapan

Cinta yang dibeli dengan kata-kata
Kiranya mengundang mega bencana
Malap malam kini menutup ruang
Menutup matang
Menutup bebayang
Tinta kesumba tidak terbaca lagi
Bait-bait cinta hilang dalam rancu mimpi
Sang penyair pun mencuba sekuat hati
Mengukir arca berahi
Yang pecah di sudut emosi

Muazin yang melaungkan kebesaran
Adalah takdir yang memanggil
Sang penyair gontai membilang langkah
Dan harus pasrah
Dalam sujud yang kalah
Ketika dia meninggalkan laman
Tertoleh melihat kebesaran
Bahawa sebuah masjid harus dipertahankan
Biarpun diancam ribut dan taufan.

Banting
1/1/10
Ghazali Lateh

Di UniKL


Hari ini saya seharian berada di Kuala Lumpur. Sebelah pagi anak saya mendaftar di UniKL. Sebelah petangnya pula menguruskan pendaftaran asramanya di Jalan Pantai Endah, Bangsar. Anak kedua saya ini mengambil bidang kejuruteraan teknologi komputer dengan major dalam networking. Sehingga lewat petang barulah selesai urusan pendaftaran dan penempatannya.

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...