Rabu, Jun 30, 2010

Dilema


Dilema telah lama menyapa
mencengkam setiap kali ingatan menerpa
segala fikir dan timbang
tidak lagi melunaskan gejala
kerana segala deria tersiksa
memendam rasa.

Telah kukabarkan pada maya
ketika langkah semakin tidak berdaya
penantian untuk detik pilu
masih jauh dan kabur
tidak tercapai oleh rencana
kerana semua di tangan-Nya.

Akupun mengumpul resah
yang mampu menyekat alir darah
semua usaha telah sirna
dimamah lemah jiwa
kelu bahasa buntu bicara
hanya mampu menunggu derita
di ambang nestapa.

Biarlah aku hanyut
di asak gelombang dilema
kerana laut tidak bergelora sentiasa
nanti tenang musim mendatang
di pantai usia pasti bertandang
setitik kenang
pasti kurenang.

Dangau Marhaen
30/6/10

Isnin, Jun 28, 2010

Buku Ulasan Novel Saya

Buku ini saya tulis bersama-sama Cikgu Ishak A. Rahman. Buku ulasan ini mengupas novel Dari Lembah ke Puncak dari aspek struktural dan panduan jawaban untuk peperiksaan. Sila dapatkan di pasaran.

Ahad, Jun 27, 2010

Bertanyalah Pada Diri

Menikmati satar dan air kelapa di Pantai Kelulut, Trengganu

Tanpa sedar terlafaz soal
tentang rancu hidup ini
dan malang nasib yang mekar
dan kita pun berdiam
pabila setiap soal itu sirna
tiada jawabannya.


Dalam perit keliru membungkam
dan fikir mula menerawang resah
gelisah mendamba di pojok rasa
berkembang kuntum duka
lalu kita memutuskan kata
inilah dunia dan manusia
yang selalu berpura-pura.


Hilang segala semangat
dan hubungan erat
kerana setiap soal yang tumbuh
telah layu dihujung cemburu
kitapun sering menyalahkan
- merekalah kawan yang khianat
- mereka peliharaan yang menyengat


Pernahkah kiranya kita
bertanya pada diri sendiri
bertanya pada iman hakiki
bertanya pada setiap maknawi
bertanya pada setiap mimpi ngeri
bahawa diri sendiri lebih mengerti
semua jawaban yang tidak diberi
adalah kelemahan sendiri
yang sukar untuk diakui.


Selepas ini
bertanyalah pada diri
akan semua musibah yang terjadi
mudah-mudahan kita menyedari
akan kelemahan manusiawi
yang ada dalam diri.


Dangau Marhaen,
Banting
27 Jun 2010

Rabu, Jun 23, 2010

Koleksi Tempayan

Selain seni taman, saya juga gemar mengumpulkan tempayan lama. Hobi ini saya kongsi dengan isteri saya. Setakat ini sudah 10 biji tempayan saya kumpul dan akan saya tambah dari semasa ke semasa jika ada ruang untuk meletakkannya. Koleksi tempayan saya ini ada yang saya dapatkan dari orang kampung, ada yang dibeli, dan ada yang saya dapati dari ahli keluarga dan orang tua saya.



Tempayan besar memang sudah tua usianya. Di pasaran harganya boleh mencecah ribuan ringgit.

Ahad, Jun 20, 2010

Pantai Chenang


Menjejaki landaimu
aku terkesima melihat petanda
kerancuan sudah mula melanda
dan pantaimu hilang damainya.

Ketika aku datang musim lalu
di sini aku meluahkan rindu
dan melepaskan segala buntu
di gigi airmu jernih membiru.

Anak-anak ikan berenang manja
menggamit memori penuh nostalgia
ufuk laut terhias jingga senja
bayu semilir memangkin rasa teruja.

Kini semuanya sudah berubah
Pantai Cenang kini dewasa sudah
bertandang ke sini bukan lagi sesuatu yang indah
jauh sekali mencari damai melepas gundah.

Pantai Chenang kini terlalu ligat
siang dan malam semuanya rasa tergugat
kulit putih dan merah riuh pelbagai gelagat
hitam dan kelabu berbaur warna sejagat.

Aku tidak mahu berlama di sini
kerana ilham tidak lagi berseri
hingga hilang arah diri
dalam igauan buatan sendiri.

Pantai Chenang, Langkawi
20 Jun 2010.


Sabtu, Jun 19, 2010

Di Langkawi 3 hari






















Saya telah menghabiskan sisa-sisa cuti di Langkawi selama tiga hari. Semasa di Langkawi saya menginap di Kuah dan Pantai Chenang. Tujuan saya ke Pantai Chenang adalah untuk berehat dan menenangkan fikiran. Dalam fikiran saya, saya membayangkan keadaan di situ sama seperti ketika saya berkunjung tahun 90-an dulu. Akan tetapi Pantai Chenang hari ini amat berbeza daripada yang saya sangkakan. Keadaannya seperti sebuah pekan yang sibuk, penuh dengan pengunjung mancanegara. Ada restoran Mexico, Arab, India, dll. Pelancong mundar-mandir sepanjang hari. Malamnya meriah dengan lampu berwarna-warni.

Dengan keadaan tersebut saya memendekkan tempahan chalet di Pantai Chenang. Hasrat awam saya untuk berehat di situ terpaksa saya kurangkan. Saya hanya memenuhi hasrat isteri saya untuk beli-belah barangan bebas cukai, terutama pinggan mangkuk.

Saya tertarik dengan stesen minyak ini. Barangkali inilah satu-satunya stesen minyak yang berjenama Buraqoil. Tidak ada di tempat lain kecuali di Langkawi.

Selasa, Jun 15, 2010

Di Kuala Paka


Di Kuala Paka

Lautnya berhaba

panasnya menyiksa

hanya seketika

menyahut sapa

tiada betah rasanya


untuk berlama

kerana berbunga tanya

bagaimana agaknya

mereka bekerja

di tengah samudera

mencari laba

secubit cuma.

Pejuang Budaya

Persembahan Rodat
Semasa di Kuala Trengganu saya sempat menyaksikan persembahan budaya setempat orang Trengganu. Antaranya ialah persembahan rodat yang menjadi warisan budaya Trengganu. Pemain rodat terdiri daripada penari dan pemuzik. Penari wanitanya terdiri daripada golongan muda, tetapi yang lelaki dan pemuziknya rata-rata sudah berusia. Begitu juga dengan pesilat dan pemain gendang silat. Kebanyakannya sudah tua. Dalam kumpulan gendang silat itu hanya peniup serunainya sahaja seorang remaja. Persoalannya, siapakah yang akan meneruskan budaya tersebut dalam masa 10 dan 20 tahun akan datang.

Ahad, Jun 13, 2010

Kenangan di Terengganu

Di Pantai Kelulut
Di Pekan Kuala Marang

Oleh sebab tidak membuat tempahan penginapan, kami tidak dapat menyewa hotel atau chalet. Nasib baik kami dapat menyewa sebuah rumah yang luas dan selesa dengan harga RM250.00 sehari. Rumah baharu, selesa, tapi agak jauh dari bandar kerana terletak di Kuala Ibai.

Bersama-sama seorang gadis penjual satar.

Di Pusat Informasi Penyu, Rantau Abang. Malangnya, tidak banyak maklumat yang disediakan dan keadaan dalam bangunan yang panas dan tidak kreatif. Pihak pengurusan perlu melakukan sesuatu agar pusat ini lebih menarik dan informatif.

Dalam perjalanan pulang, sempat berhenti di Pantai Mak Nik, Cukai. Pantainya baik dan bersih tapi tidak boleh mandi kerana keadaan laut yang berbahaya.

Jumaat, Jun 11, 2010

Rantau Abang

Salahkah aku jika...
aku ingin mencari penyumu
yang suatu ketika datang bertamu
di pantai terhampar
dihias suara laut mengegar.

Salahkah aku jika...
bertandang lagi untuk beberapa kali
ingin menikmati alam semula jadi
yang semakin sunyi
di sini.

Rantau Abang
namamu dulu megah
tempat penyu menyinggah
kini pantaimu gersang
dan malammu kontang.

Aku yang berkunjung lagi
melihat senjamu semakin sepi
dan malammu tanpa mimpi
mengulet diri.

Rantau Abang
kenangan di sini hilang seri
sehingga aku datang lagi
bilakah terjadi.

Rantau Abang,
11/6/2010 4.05 pagi.

Khamis, Jun 10, 2010

Berjalan-jalan ke Terengganu

Makan tengah hari di Bentong
Di kawasan rekreasi Bakau Tinggi, Kemaman
Di Rantau Abang
Saya membawa famili berjalan-jalan ke Terengganu. Kami bertolak pukul 10.30 pagi. Berhenti sekejap untuk makan tengah hari di Bentong. Kami meneruskan perjalanan dan tidur di Rantau Abang.

Selasa, Jun 08, 2010

Ah Bee

Saya sempat bergambar dengan Ah Bee di kedainya yang sudah berpindah dari tempat asal. Watak Ah Bee saya abadikan dalam beberapa buah karya termasuk novel saya Dari Lembah ke Puncak yang menjadi teks kesusasteraan elektif SPM sekarang.
Dia mungkin hanya seorang tauke Cina yang menjalankan perniagaan kedai runcit sejak saya masih kecil. Kedainya terletak di Bukit Jenun, sebuah pekan kecil tempat kelahiran saya. Ah Bee bukanlah orang penting. Akan tetapi bagi saya dia seorang yang penting. Sejak saya kecil saya berkunjung ke kedai Ah Bee, membeli barang keperluan. Saya membeli beras mengikut sukatan cupak dan gantang. Saya membeli ikan tamban kering, minyak masak yang diisi dalam botol, membeli minyak tanah yang diisi di dalam botol juga. Saya membeli semua barang keperluan di kedai kecil milik Ah Bee.

Ah Bee mengenali seluruh keluarga saya, lebih-lebih lagi arwah bapa saya. Dia juga mengenali seluruh kehidupan saya. Kami menjual ayam, telur ayam, padi, kepada Ah Bee. Semasa saya bersekolah rendah, wang saku tidak ada. Jadi sebelum ke sekolah saya akan masuk ke reban itik, mengutip dua atau tiga biji telur itik dan memasukkan ke dalam poket seluar sekolah. Di kedai Ah Bee saya menjual telut tersebut dengan harga 10 sen sebiji. Itulah wang belanja saya. Kadang-kadang telur pecah dalam perjalanan dan terpaksa dibuang.

Ah Bee kehilangan sebelah tangannya kerana kemalangan jalan raya sejak dia masih muda. Akan tetapi dia seorang yang sangat gigih. Dengan sebelah tangan dia masih mampu memandu. Saya sangat mengagumi Ah Bee. Oleh sebab itu dalam novel saya Dari Lembah ke Puncak, saya memasukkan watak Ah Bee. Malah, dalam cerita itu, saya gambarkan situasi sebenar hubungan saya dengan Ah Bee.

Dua hari lepas ketika saya pulang ke kampung, saya sempat mengunjungi Ah Bee. Dia masih mengenali saya dan kami bercerita tentang masa lalu yang penuh nostalgia.

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...