Jumaat, Julai 30, 2010

Sehari Bersama-sama Sasterawan Negara

Bergambar bersama-sama Sasterawan Negara Dato' Dr Anwar Ridhwan
Bergambar bersama-sama Tuan Haji Hamzah Hamdani dan Cikgu Salahuddin Hassan Jaba'i

Bergambar bersama-sama Dr Ahmad Razali seorang penulis tersohor

Program ini telah diadakan di SMK Telok Datok, Banting, Kuala Langat, Selangor pada 30 Julai 2010. Majlis dirasmikan oleh Dato' Ahmad Termuzi bin Abdul Aziz, Ketua Pengarah DBP. Majlis diserikan dengan ucap utama oleh Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Sasterawan Negara telah merasmikan dewan kuliah sekolah berkenaan yang diberikan nama sempena Dato' Dr Anwar. Pada malamnya diadakan Malam Apresiasi Puisi di halaman rumah Datuk Dr. Shafie Mohd Salleh di Morib.

Selasa, Julai 27, 2010

Perkebunan Cinta (Sempena Jubli Perak Perkahwinan)

Perkebunan cinta yang malar subur ini
Telah lama membuahkan gugus-gugus bahagia
Tanpa sedikitpun cela pada pandangan mata
dan merimbun dedaunan kasih berkilau
memayungi setiap gerimis dan riak ombak
dari membasahi kaki
mendinginkan hati.

Suku abad tanpa gelut gegar mencabar
cuma sesekali angin nakal menampar gusar
namun aksara cinta yang kita pahat bersama
masih jelas ukirannya di perdu rasa
sepanjang masa
sepanjang cinta.

Hingga ke langkah ini taman kita masih akrab
membuakkan wangian dari bebunga malar mekar
meski waktu berlari deras meninggalkan pelabuhan
kita bakal meninggalkan pangkalan
dengan bekalan yang kita adunkan
jamahlah nanti di pojok setiap perhentian.

Inilah perkebunan cinta yang belum lawas jujuhnya
suku abad itu masih manis seperti dahulunya
nikmat kesetiaan dan luhur hati nurani
jalinan yang bersemi adalah mutiara hati
berharum setanggi dan gubahan seri
tidak akan berhenti selagi ada mantari
dan setiap gerak denyut nadi
adalah cinta yang hakiki.

Marilah kita bajai bersama
sebuah pohon rendang di tengah perkebunan bahagia
hijaunya membugar sukma
merahnya analogi cinta kita
kuningnya cahaya dari kelopak asmara
birunya kewangian dari daerah kesima
hitamnya tidak pernah kita lupa gelapnya
dan putihnya kesucian tidak pernah ternoda.

Inilah perkebunan cinta yang kita pugar seadanya
kudrat tersisa akan kita pertahankan selamanya
yang kita petik kini ranum mesra sebuah asmara
jagalah sepanjang masa selama usia
kerana setia sampai ke sana biar bersama.


Dangau Marhaen

27/7/2010

Isnin, Julai 26, 2010

Salah dan betul

Gambar hiasan diambil dari malaysiasensa.net
Satu masalah bagi orang salah ialah dia menganggap dirinya betul. Sikap ini kita dapati di mana-mana hari. Oleh sebab sikap inilah banyak kekalutan berlaku pada masa kini. Apabila orang yang salah menganggap diri betul, lantas secara kebalikannya perbuatan orang lain yang betul akan dianggap salah. Persepsi tentang salah dan betul ini sudah tentu akan mencetuskan konflik yang berpanjangan. Dalam hubungan ini, tidak gunanya dua pihak ini duduk berhadapan untuk bersemuka atau berdiskusi kerana mereka tidak akan mendapat kata putus kerana pandangan persepsi mereka bukan dari perspektif yang sama.


Oleh sebab itu, dalam politik (Melayu) hari ini kita dapati hal ini berlaku. Masing-masing bertegas dengan persepsi sendiri yang dianggap lebib betul. Dari perspektif pihak yang lain, sudah tentu persepsi itu salah. Jadi jika perspektif ini tidak diubah dan dihalakan ke arah yang sama, sampai kiamat pun manusia tidak akan mencapai kata sepakat.


Sama juga halnya dengan kehidupan individu. Adakalanya, ada antara kita yang sentiasa memikirkan dirinya sahaja yang betul sehingga menidakkan semua orang lain. Sedangkan, individu berkenaan tidak sedar akan kesalahan/kesilapan dirinya dari perspektif orang lain. Maka, jika sikap ini berterusan nescaya tidak ada kesejahteraan dan sentiasa berada dalam situasi permusuhan.


Hakikatnya, sebagai manusia kita perlulah bermuhasabah dan bertanya pada diri sendiri. Jika kita terlalu banyak yang memusuhi dan mempertikaikan, barangkali yang kita anggap betul pada diri itu salah bagi orang lain. dan yang kita anggap salah itu betul bagi orang lain. Jika perkara ini dapat dilakukan, maka kita dapat memperbaiki diri sendiri dan membina rangkaian ukhuwah yang lebih luas.

Sabtu, Julai 24, 2010

Laskar Pelangi

Secara kebetulan saya menonton filem Laskar Pelangi di Astro pagi ini. Biasanya saya susah untuk menonton filem sampai usai. Akan tetapi filem ini membuat saya terus setia hingga tayangannya tamat. Bagi saya filem ini sangat menarik, bersahaja, berfalsafah, realistik, dan menjana pemikiran. Pastinya, filem ini mendapat sambutan hanya apabila masuk panggung dahulu.
Persoalannya, mengapakah penggiat filem di Malaysia tidak mampu membikin filem sebegitu. Balik-balik filem komedi ringan dan filem seram. Saya rasa filem seperti Laskar Pelangi dapat menarik masyarakat ke pawagam (walaupun penonton Malaysia kurang mahu berfikir). Untuk mencari bahannya, rasanya tidak sukar kerana kita masih banyak sumber yang belum diterokai. Malahan novel-novel kita juga sesuai diangkat ke filem. Masyarakat di pedalaman Sarawak wajar diketengahkan dalam bentuk yang kreatif. Adakah penggiat kita hanya mengejar keuntungan semata-mata dan sanggup memperbodohkan diri dengan menghasilkan filem-filem tunakualiti.
Terfikir juga, andainya arwah Yasmin Ahmad masih ada....!!

Jumaat, Julai 23, 2010

Pesanan Cuma


Setinggi manapun bintang ingin digapai
jangan sampai lupa jejak kaki di lantai
kerana imbauan mata adakalanya fatamorgana
lembayung jingga di jauh ufuk hanya pesona
barangkali tersungkur langkah sebelum tiba masa
terdampar hina di dasar lara menangis curiga.

Keangkuhan tidak sampai ke mana-mana
kita hidup tidak selalunya di puncak persada
putaran maya pasti tiba menukar rona
bakal sirna gema kencana dambaan kesuma
terjatuh luluh ditusuk siksa tajam pancaroba.

Merendahlah - biarpun kau memegang piala
lantaran kemenangan bukan atas kekal selamanya
buanglah replika gejala dengan ikhlas berlapang dada
yang abadi itu budi bahasa dan hati mulia
adunan peribadi putih rohani bersih seindah mutiara.

Kesombongan bakal mencetus seribu curiga dan cerita
dan resah payah pasti mercup di celah langkah cita-cita
runduklah dan senyum sentiasa menghadapi duga
pasrah dan tawakkal amalan mulia berharga
pasti ceria lorong hidup meniti usia sampai syurga.

Dangau Marhaen
23/7/2010

Rabu, Julai 21, 2010

Pengambil Hati


Salahkah aku menjadi pengambil hati
hanya kerana terlalu menjaga emosi
rakan-rakan yang terlalu menyendiri
dan kerabat yang tidak mahu mengerti.

Ketika aku menjadi pendengar yang setia
menerima setiap kerenah dan riak bicara
akulah paling sukar untuk berkata
kerana sepatah terkhilaf ada hati akan terasa.

Berdiam juga bukan jalan yang lunak
tercetus fikir sesuatu yang tidak enak
bakal membuak nista di dalam benak
bakal mercup umpat keji beranak-pinak.

Akulah yang terpaksa memaksa diri
hanya kerana akulah pengambil hati
biar pedih mendera sanubari
biar tersiksa jiwa nurani
tetap aku mahu begini
terus mengambil hati
agar tiada terasa dilukai
moga tiada terasa dikhianati.

Akulah pengambil hati
yang tidak pernah dimengerti.

Dangau Marhaen
21/7/2010

Selasa, Julai 20, 2010

Egois


Para egois telah menampakkan taring
lantas mahu menggigit ke semua arah
suara yang dulu bungkam
kini gemersik menusuk gegendang
memuntahkan aroma jalang
mengimbau aura jembalang.

Merekapun tertawa dalam jubah pura-pura
membiarkan iblis menari di atas kepala
biarlah
biarlah
asal dendam kesumat terbalas
kenapa harus ada ihsan dan belas.

Egois itu semakin angkuh menuduh
tatkala dirinya kini semakin kukuh
ketika lawannya sudah bertongkat lumpuh
mahu dicantas dan cepat meluluh.

Lalu egois itu terlupa satu perkara
ludahnya ke langit akan jatuh juga
mencemarkan muka
melebarkan noda
kerana semua yang dinista
ada pada dirinya.


Dangau Marhaen
20/7/2010


Sabtu, Julai 17, 2010

Koleksi Terbaru Saya

Tempayan ini merupakan koleksi terbaru saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Sallehudin Samiran yang bermurah hati memberikan tempayan antik ini kepada saya.

Khamis, Julai 15, 2010

Ke Pesta Dunia


Resahkah yang ada di sukma
tika malam melabuhkan tirainya
detik waktu berlalu tiada hentinya
membawa segala duga
ke pojok rasa.

Gelisahkah yang ada di dalam dada
tika embun mula menyapa
angin semilir mendesah di jendela
membawa semua nostalgia
ke rawan canda.

Gundahkah yang ada di mimpi cinta
tika parak tiba di kelopaknya
gerimis mengguyur menekan mata
menggugat secebis rela
di tubir derita.

Pasrahkah yang ada di tirus suria
tika pagi menampakkan gejala
malu membusung di muka jiwa
membantut derap sehala
ke pesta dunia.

Dangau Marhaen
15/7/2010

Isnin, Julai 12, 2010

Hanya Semangat

Sembilan lok pamor waja kersani
warisan legenda bangsa yang agam
membunuh petualang tiada kecundang
megah sebutan leluhur
sampai kini masih tersohor.

Sayangnya sekian lama tersimpan
dalam hasrat yang semakin bungkam
mana loknya mana pamornya
diasap tidak pernah tergilap
dilimau tidak pernah mengimbau.

Mana pewaris yang memegang amanah
untuk menghunus sergah ketika tergugat maruah
semuannya tunduk dibelenggu kuasa dusta
semuanya angguk dikekang acuman nista.

Carilah kembali roh mitos yang sirna
kerana kita akan hilang segalanya
harga nusa, maruah bangsa, mulia agama
pudar dalam alunan warna maya.

Aku tidak rela mengkhianati
sebuah warisan amanah bererti
aku ingin bangun berdiri
dan memarak semangat sampai ke mati.

12/7/2010

Ahad, Julai 11, 2010

Floria 2010 Putrajaya




Petang tadi saya ke Putrajaya untuk melawat Floria 2010. Banyak gambar yang diambil. Nampaknya sepetang tak cukup untuk merakamkan semuanya.

Sabtu, Julai 10, 2010

Malam HSKU 2009 di Istana Budaya

Barisan pemenang
Bergambar bersama-sama Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan
Bersama-sama deklamator tersohor Shukri Abdullah dan penulis novel Abu Hassan Morad.

Bersama-sama penulis terkenal Tuan S.M. Zakir

Malam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil telah berlangsung dengan gilang gemilang di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam 9 Julai 2010. Saya turut hadir dan dapat berjumpa dengan ramai rakan penulis. Saya juga membeli buku karya-karya yang memenangi setiap kategori HSKU.

Majlis diserikan dengan sedutan teater Udan dan Dara. Selain itu persembahan Aizat dan Dayang Nurfaizah turut memeriahkan majlis. Syabas Utusan Melayu dan Exxon-Mobil. Syarikat korporat wajar mengikut jejak memartabatkan bahasa dan sastera tanah air.

Jumaat, Julai 09, 2010

Dirgahayu Kebebasan


Burung-burung putih yang kita lepaskan
telah melayah menyongsong angin
bermain ke ufuk kebebasan
berlegar di lembayung keemasan.

Sekian lama menghirup lazat keamanan
adakalanya kita terlupa kerikil kerancuan
yang ada dalam galur perjuangan
tinta merdeka kian pudar warnanya
lantas kita mahu memadam segalanya
setelah meruap buih-buih takbur
yang tumpah menjadi kerak derhaka.

Di manakah burung-burung putih
yang kita lepas dengan senyuman
kerana saat-saat mungkir perlu dibangkitkan
dengan segala insaf yang muncus
menguak nuansa segala keliru dan malap kabus.

Ketika datang kembali detik kemenangan
segeralah lafazkan kedaulatan harga diri
dalam dirgahayu sebuah kebebasan yang tekal
merona masa depan
merintis denai gemerlapan
buat anak-anak pencorak harapan
sebuah negara bangsa nan mampan.

Dirgahayu kebebasan
aku hanya pencatat keikhlasan
yang tidak mengharap balasan.

9/7/2010

Khamis, Julai 08, 2010

Penjual Aksara


Aku hanyalah penjual aksara
yang kupinjam dalam perjalanan ke sana
melagang kata-kata di datar rasa
melarik ukir bicara
menggubah bunga bahasa
menjadi kelarai sastera
tanpa warna.

Aku hanya penyambung cerita
yang kudengar dalam igauan minda
mengolah cetera di lembar sukma
mendamba usap asmara
mengungkap jendela derita
menjadi jalinan peristiwa
tanpa tanda harga.

Hingga kini aku masih mencari
susunan aksara paling harmoni
jalinan kata paling rapi
dan gubahan bahasa paling berseni
buat membuka gerai lestari
menjual hasil karya sendiri
yang tidak mungkin akan terjadi.

Aku hanyalah penjual aksara
bukan milik hakiki
diri sendiri.


Dangau Marhaen,
8/7/2010


Selasa, Julai 06, 2010

HSKU 2009

Nampaknya, pada tahun ini rezeki saya masih ada untuk memenangi salah satu hadiah dalam HSKU 2009. Berbekalkan hanya sebuah cerpen yang saya hantar tahun lepas, alhaldulillah karya saya masih diterima. Cerpen saya yang berjudul Dari Fail Tribuhak telah terpilih. Terima kasih UTUSAN MELAYU atas usaha gigih memberikan pengiktirafan kepada penulis kecil seperti saya. Sepatutnya lebih banyak organisasi lain yang mengikuti jejak Utusan menganjurkan anugerah seperti ini, lebih-lebih lagi DBP. Majlis penyampaihan hadiah akan berlangsung di ISTANA BUDAYA, pada Jumaat 9 Julai nanti. Jumpa di sana.

Jumaat, Julai 02, 2010

Wajah Baharu Pantai Morib



Angin laut mendesah
membelai wajah
warna sore kian luntur
cahaya mantari mengendur
sesekali ombak menggempur
membasahi landskap Morib yang subur.
Wajahmu semakin ceria
dengan solekan cinta
dataran lapang menanti orang bertandang
jangan sampai jatuh kecundang
sebelum usiamu matang.
Sesekali datanglah
melihat Morib bakal meriah
menikmati angin laut
dan saujana ufuk
kala senja
rindu bertaut.
Dangau Marhaen
Banting
1 Julai 2010


RAYA 2017