Selasa, Ogos 31, 2010

Sindrom Kelembekan Pimpinan

Satu kelemahan kepemimpinan yang lalu ialah kelambatan bertindak dan kegagalan membuat keputusan. Natijahnya, rakyat kehilangan rasa yakin dengan pucuk pimpinan. Kekecewaan itu ditunjukkan dalam PRU yang lalu apabila parti pemerintah kehilangan banyak kerusi di parlimen dan di dewan undangan negeri.
Kini nampaknya sindrom lambat bertindak dan tidak membuat keputusan segera melanda kembali. Paling jelas apabila ada individu dan kelompok secara terang-terang menghina negara, bangsa Melayu, agama Islam. Rakyat memerhatikan tindakan kerajaan dengan penuh harapan agar tindakan segera diambil. Namun, hal itu tidak terjadi selain daripaka kokokan memberi amaran yang tidak sudah-sudah. Sehingga dalam hati rakyat sekarang sudah ada perasaan mahu bertindak secara sendirian. Jika rakyat bertindak secara sendirian atas alasan sakit hati dan dendam, maka cepat pula tindakan dikenakan ke atas mereka, sedangkan petualang sebenar masih bermaharajalela dengan perlindungan tahap maksimum oleh konco-konco keparatnya. Pemimpin harus sedar, jangan terlalu ingin akan pengaruh sehingga kemarahan rakyat sukar dibendung lagi. Jangan juga sampai rakyat mengambil tindakan untuk bertindak sendiri-sendiri.
Berdasarkan pemerhatian saya, simptom kelembekan tindakan sudah mula menjangkit dari kepimpinan yang lalu. Jika kelembekan ini berterusan, rakyat akan menjadi jelak dan hilang keyakinan. Hasilnya usaha untuk memulihkan keyakinan itu akan hanya menjadi mimpi pada siang hari.

Khamis, Ogos 26, 2010

Pecal Bazar Ramadan Kanchong

Beginilah rupanya timun dan taugeh yang dikatakan pecal itu.

Semalam isteri saya teringin hendak makan pecal. Dia menyuruh anak saya ke bazar Ramadan Kanchong Darat. Lalu anak saya pun pergilah membeli beberapa bungkus pecal untuk berbuka puasa. Akan tetapi saya berasa sangat sedih melihat pecal yang dijual dengan harga RM1.50 sebungkus oleh peniaga di bazar Ramadan itu. Isinya hanyalah timun yang disagat dan beberapa urat taugeh. Nampak sangat mentaliti peniaga yang begitu mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan aspek timbang rasa. Peniaga itu (seorang wanita, menurut anak saya) seolah-olah hilang pertimbangan hanya sekadar untuk mendapat untung beberapa sen. Biasanya pecal dilengkapi dengan pucuk ubi rebus, kacang panjang rebus, timun, dan taugeh. Nampaknya peniaga bermusim ini menggunakan masa sebulan berjualan untuk mengaut keuntungan semahu-mahunya sehingga tidak ada lagi rasa perikemanusiaan. Walaupun bagaimanapun, saya tetap mendoakan peniaga berkenaan beroleh kehidupan yang sejahtera atas usahanya sedemikian itu.

Sabtu, Ogos 21, 2010

Dalam Merdeka

Dalam merdeka ada bahagia,
Merayakan kemenangan sebuah perjuangan,
Setelah sekian lama memasang harap,
Cengkaman biar berakhir,
Ketika laungan rahmat terzahir.

Dalam merdeka ada negara,
Ada sempadan wilayah kemilau,
Ada ideologi memancung risau,
Ada hierarki melakar imbau.

Dalam merdeka ada cinta,
Melunas korban demi nusa permata,
Membuang cemburu, mengubat buntu,
Kasih suci buatmu pertiwi.

Dalam merdeka ada sejahtera,
Anak-anak membina arca hari muka,
Mengendong hasrat ibu dan bapa,
Ke puncak mega-mega anyaman pujangga,
Berseri dalam warna siaga.

Dalam merdeka ada alpa,
Hidup dalam era serba ada,
Memadam nostalgia dalam peta sengsara,
Dengan tinta selesa,
Dan pancawarna renjisan noda.

Jangan lupa dalam merdeka,
Barangkali ada sejarah luka,
Yang bertandang mengirim duka,
Bakal berulang sebuah malapetaka.

Biarlah selamanya mengerti,
Dalam merdeka ada diri,
Dalam diri dalam peribadi,
Biar bertongkat asal terus berdiri!


Ghazali Lateh
Hotel Orkid, Melaka.
29/7/03

Sabtu, Ogos 14, 2010

Sastera Melayu Semakin Tersisih

Kemalapan dunia sastera tanah air memang sedang melanda dunia kecil ini. Sastera Melayu semakin tidak dipedulikan, walaupun ada usaha untuk memperkenalkan karya-karya penulis tempatan dalam kurikulum bahasa Melayu. Subjek kesusasteraan Melayu di sekolah semakin tersisih. Jika adapun, hanya beberapa orang murid sahaja yang mengambilnya sebagai tempelan.
Hal ini berbeza dengan suatu waktu dahulu. Ketika itu setiap murid yang mempelajari subjek Bahasa Melayu perlu juga membawa novel Keluarga Gerilya yang menjadi komponen wajib. Namun kini, walaupun ada teks wajib dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, guru dan murid lebih bergantung pada buku-buku ulasan. Hal ini demikikan kerana teks sastera itu tidak disuguhkan dengan sebaik-baiknya. Soalan peperiksaan hanya memerlukan calon menjawab berdasarkan pemahaman (yang dapat dibaca dalam buku-buku ulasan).
Sewajarnya, murid mesti menyediakan folio atau kerja kursus yang lebih bersifat sastera, apatah lagi untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu itu sendiri. Badan-badan pejuang bahasa dan sastera perlu memperjuangkan hal ini (seperti badan pendidikan Cina memperjuangkan bahasa dan budaya Cina) agar fungsi mereka lebih menyerlah. Mereka tidak harus duduk di kerusi empuk dan bermesyuarat sesama sendiri yang tidak diketahui hasilnya.
Selanjutnya, peranan badan-badan seperti DBP perlu dipertingkatkan. Badan induk ini perlu merancang aktiviti bahasa dan sastera dengan lebih efektif dan signifikan sebagai badan pejuang bahasa dan sastera. Kalau dulu DBP menggerakkan kerjasama dengan pihak swasta untuk mengajurkan pertandingan karya kreatif, kini sejak bertahun-tahun lamanya, usaha itu tidak ada lagi. Tidak banyak usaha yang turun ke akar umbi masyarakat untuk memartabatkan sastera. Para penulis dan penggiat sastera masa kini seperti 'syok sendiri' menanggung perit untuk menganjurkan aktiviti sastera. Namun usaha ini sukar mendapat sokongan badan-badan sastera (kecuali untuk meraih glamor dengan menjemput artis). Natijahnya, golongan sastera yang benar-benar mahu cergas tidak akan ke mana-mana. Persoalannya, mengapakah badan-badan pejuang bahasa dan sastera tidak terfikir untuk membiayai penggiat-penggiat puisi tradisional untuk membuat persembahan, mengajar, mengadakan bengkel, dan malah menjaga kebajikan mereka sendiri? Negara kita tidak kurang dengan penggiat sastera tradisional yang wajar diketengahkan. Nama-nama seperti Aripin Said, Roslan Madun, Prof. Madya Datuk Rosli Saludin, Zurinah Hassan, dan lain-lain wajar diberikan peluang, ruang, dan biaya untuk menghidupkan warisan sastera tradisional kita yang semakin pupus. Begitu juga penggiat-penggiat seni seperti Awang Batil, tok dalang, pemain makyong, menora, jikey, boria, ghazal, zapin, dan sebagainya wakar juga diangkat sebagai tokoh yang berjuang demi seni dan sastera tanah air.
Satu kecenderungan masyarakat kita (Melayu) ialah kita hanya menyanjung sesuatu selepas entiti itu tidak ada lagi. Ketika kita masih memilikinya kita tidak begitu mengambil berat, malah akan mengabaikannya. Amalan ini akan berterusan. Barangkali, jika dunia sastera kita sudah lumpuh sepenuhnya nanti barulah ada usaha untuk mengenangnya kembali dengan acara-acara mega yang memakan belanja mega juga. Barangkali juga waktu itu sastera Melayu akan menjadi 'dinosaur' kecil yang pupus dan hanya tinggal nama sahaja. Wallahua'alam.

Hari yang Malang

Hari ini ialah hari yang agak malang bagi saya. Sejak pagi saya berasa kurang enak. Tengah hari saya bergegas ke UPM kerana menyampaikan kuliah pukul 3.00 ptg. Saya berhenti Jumaat di masjid Bukit Changgang. Ketika mengundurkan kereta, saya berasa seperti terlanggar sesuatu. Rupa-rupanya saya terlanggar tunggul semasa parkir di laman rumah di sebelah masjid. Hanya calar sedikit.
Dalam perjalanan balik, sampai di Bukit Changgang, kereta dilanggar dari belakang ketika jalan sesak akibat lori kren yang berhenti di depan. Kereta di belakang saya tidak berhenti, barangkali pemandunya (seorang wanita, jururawat) leka. Habislah bahagian belakang kereta saya. Apa nak buat, dan nasib malang. Kereta Myvi yang melanggar saya juga agak teruk kerosakannya.
Saya terus ke kedai ketuk di Banting, tapi oleh sebab sudah petang saya akan melakukan kerja baik pulih pada pagi esok. Mungkin kejadian ini berlaku kerana niat saya hendak menjual Estima ACR30 dan membeli ACR50 sebagai ganti.

Khamis, Ogos 12, 2010

Pesanan untuk Seorang Teman

Seperti ada api di bawah telapak kaki
seperti ada duri yang menusuk hati
tika ranum bahagia dirobek ulat durja
busuk luluh dan menanti saat gempa
terbuang disisih cinta
derita.

Perjalanan asmara tiba-tiba terhenti
lantas cahaya lembayung tiba-tiba mati
sinar di ufuk sudah jauh menyepi
pelangi berlari meninggalkan mimpi
ngeri.

Itulah khabar dura yang tiba
tanpa pinta hanya ada dalam bicara
bukan simpati tetapi pasti tidak sampai hati
melihat teman meladeni nista diri
misteri.

Aku tidak punya upaya mega
untuk menumpaskan resah di pojok curiga
dengan sekadar kata-kata tanpa harga
cerminan rasa nuansa hiba memusykil lega.

Perjalanan hidup ini mesti terus
jangan sesekali kau melutut ditelan arus
jika takdir tertulis jalannya lurus
semua kemungkinan sudah sedia kau terima harus.

Banting,
12/8/2010

Rabu, Ogos 11, 2010

Jemputan Ceramah di Kelantan

Sejak akhir-akhir ini saya sering menolak jemputan ceramah. Siang tadi saya dihubungi untuk memberikan ceramah kaedah pengajaran komsas di Kelantan pada hujung September nanti. Saya mencadangkan rakan-rakan penceramah yang lebih berkaliber seperti Cikgu Khir, Cikgu Ghalib, Cikgu Aminhad, Encik Azmi Misron, dan guru-guru cemerlang yang ternama. Namun jika pihak penganjur tidak mendapat penceramah lain, terpaksalah saya pergi juga. Buat masa ini saya terlalu sibuk dengan tugas saya sebagai guru dan pensyarah sambilan. Oleh sebab itu saya cuba sedaya upaya untuk menolak jemputan. Walau bagaimanapun, jika penganjur tidak ada pilihan lain, terpaksa saya mengalah.

Selasa, Ogos 10, 2010

Ramadan

Gema malam mengimbau ke juzuk sukma
ketika ratib zikir mengembang ke udara
jernih khusyuk telah kembali ke ruang maya
berpaut saf dalam ukhuwah yang mesra.

Dan penantian telah usai kembali
mendambakan kasih mulus insani
memercup insaf dalam kerdil diri
menghadap kudus ke pintu Ilahi Rabbi.

Inilah musim pasrah seribu jiwa
mengukir sujud dalam iman dan taqwa
Ramadan berjujuh datang membawa fatwa
memanggil tafakur segala adam dan hawa.

Marilah kita berdiri dalam baris yang sama
serentak menjunjung tauhid suci agama
menumpahkan rindu pada rezeki saksama
memberi itu lebih afdal daripada menerima.

Jalanilah sepurnama kasih unggul terhias indah
menyubur tunas syukur pemanis rimbun akidah
tika ummah sedang cempera dirundung padah
syiar Ramadan pasti mujarab mengubat gundah.

10/8/2010


Jumaat, Ogos 06, 2010

Indah

Bahagia itu indah
kerana manusia memburu sejahtera
dan menggubahnya dengan kata-kata
supaya indah dibicara
indah di pandangan mata.

Derita itu indah
kerana manusia sering menggubah derita
dalam bait-bait sukma
pengalaman derita bermakna
memcorak pelbagai rona
di kanvas maya.

Kecewa itu indah
kerana kita sering mencuba
mengatasi segala pancaroba
tiba waktu kecewa sirna
gelap pun dilimpahi cahaya
penyuluh jiwa.

Masalah itu indah
kerana hidup ini bagai carta
berkeluk tanda turun naiknya
ketika terlerai gejala
kita tersenyum lega
sesekali bangga.

Sakit itu indah
kerana banyak yang kita rasa
berputik insaf besar makna sejahtera
yang terabai sepanjang masa
tersisa.

Sepi itu indah
kerana kita sentiasa berasa
untuk merenung ke dasar jiwa
menilai segala yang terlupa
mengabai waktu-waktu bermakna
sehingga terlerai gelora
di ufuk rasa.

Hidup ini indah
jika kita sentiasa melangkah
menikmati anugerah
dengan hati yang pasrah

Khamis, Ogos 05, 2010

Aku Memang Begitu

Mereka melihat dengan mata cemburu
aku tiba-tiba sahaja menjadi seteru
hanya kerana tafsiran semakin buntu
dan jangkaan yang keliru.

Mereka berbicara dengan lidah yang nista
aku tiba-tiba kehilangan kata-kata
hanya kerana aku senang bercanda
dan adakalanya terlanjur bahasa.

Mereka mengingat dengan ingatan lesu
aku tiba-tiba terasa seperti diburu
hanya kerana aku sering membisu
dan dianggap angkuh sudah tentu.

Rabu, Ogos 04, 2010

Berdiam Diri Lebih Baik

Makan bersama-sama keluarga amat menyeronokkan. Petang semalam saya sekeluarga pergi makan-makan di Kenny Rogers, Alamanda.
Inilah rupanya Ceaser's Salad yang saya tempah. Rasanya enak tapi terlalu banyak

Kadang-kadang saya terfikir persepsi orang lain terhadap diri kita tidak dapat kita jangka. Adakalanya persepsi tersebut menjadi negatif tanpa usul periksa. Jadi, untuk mengelakkan unsur-unsur ketegangan dan apa-apa sahaja yang memudaratkan, elok juga saya mengambil pendekatan mendiamkan diri. Kata-kata kita kadang-kadang akan disalahertikan dan akan membawa rasa kurang senang di hati orang lain, walaupun maksud kita tidak sedemikian. Kita sendiri ada kelemahan yang tidak kita sedari. Mengakui kelemahan diri memberikan kita ruang untuk mencari kaedah terbaik untuk mengatasinya. Moralnya, kita berdiam tidak bermakna kita bersalah, cuma mungkin disalah anggap. Berdiamlah, barangkali tindakan mendiamkan diri akan mengembalikan semangat, hubungan baik, kesedaran, dan apa-apa sahaja yang positif.

Ahad, Ogos 01, 2010

Baca Puisi

Bersama-sama penyair tersohor AGI yang menyampaikan puisi menarik dan menghiburkan
Saya mendeklamasikan sajak Dirgahayu Kebebasan

TRAVELOG SATUN THAILAND 2023

  Kami memasuki Satun Thailand melalui Wang Kelian.   Urusan insurans kereta dan peribadi dibuat di sempadan sebelum masuk bangunan imigrese...