Sabtu, Ogos 14, 2010

Sastera Melayu Semakin Tersisih

Kemalapan dunia sastera tanah air memang sedang melanda dunia kecil ini. Sastera Melayu semakin tidak dipedulikan, walaupun ada usaha untuk memperkenalkan karya-karya penulis tempatan dalam kurikulum bahasa Melayu. Subjek kesusasteraan Melayu di sekolah semakin tersisih. Jika adapun, hanya beberapa orang murid sahaja yang mengambilnya sebagai tempelan.
Hal ini berbeza dengan suatu waktu dahulu. Ketika itu setiap murid yang mempelajari subjek Bahasa Melayu perlu juga membawa novel Keluarga Gerilya yang menjadi komponen wajib. Namun kini, walaupun ada teks wajib dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, guru dan murid lebih bergantung pada buku-buku ulasan. Hal ini demikikan kerana teks sastera itu tidak disuguhkan dengan sebaik-baiknya. Soalan peperiksaan hanya memerlukan calon menjawab berdasarkan pemahaman (yang dapat dibaca dalam buku-buku ulasan).
Sewajarnya, murid mesti menyediakan folio atau kerja kursus yang lebih bersifat sastera, apatah lagi untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu itu sendiri. Badan-badan pejuang bahasa dan sastera perlu memperjuangkan hal ini (seperti badan pendidikan Cina memperjuangkan bahasa dan budaya Cina) agar fungsi mereka lebih menyerlah. Mereka tidak harus duduk di kerusi empuk dan bermesyuarat sesama sendiri yang tidak diketahui hasilnya.
Selanjutnya, peranan badan-badan seperti DBP perlu dipertingkatkan. Badan induk ini perlu merancang aktiviti bahasa dan sastera dengan lebih efektif dan signifikan sebagai badan pejuang bahasa dan sastera. Kalau dulu DBP menggerakkan kerjasama dengan pihak swasta untuk mengajurkan pertandingan karya kreatif, kini sejak bertahun-tahun lamanya, usaha itu tidak ada lagi. Tidak banyak usaha yang turun ke akar umbi masyarakat untuk memartabatkan sastera. Para penulis dan penggiat sastera masa kini seperti 'syok sendiri' menanggung perit untuk menganjurkan aktiviti sastera. Namun usaha ini sukar mendapat sokongan badan-badan sastera (kecuali untuk meraih glamor dengan menjemput artis). Natijahnya, golongan sastera yang benar-benar mahu cergas tidak akan ke mana-mana. Persoalannya, mengapakah badan-badan pejuang bahasa dan sastera tidak terfikir untuk membiayai penggiat-penggiat puisi tradisional untuk membuat persembahan, mengajar, mengadakan bengkel, dan malah menjaga kebajikan mereka sendiri? Negara kita tidak kurang dengan penggiat sastera tradisional yang wajar diketengahkan. Nama-nama seperti Aripin Said, Roslan Madun, Prof. Madya Datuk Rosli Saludin, Zurinah Hassan, dan lain-lain wajar diberikan peluang, ruang, dan biaya untuk menghidupkan warisan sastera tradisional kita yang semakin pupus. Begitu juga penggiat-penggiat seni seperti Awang Batil, tok dalang, pemain makyong, menora, jikey, boria, ghazal, zapin, dan sebagainya wakar juga diangkat sebagai tokoh yang berjuang demi seni dan sastera tanah air.
Satu kecenderungan masyarakat kita (Melayu) ialah kita hanya menyanjung sesuatu selepas entiti itu tidak ada lagi. Ketika kita masih memilikinya kita tidak begitu mengambil berat, malah akan mengabaikannya. Amalan ini akan berterusan. Barangkali, jika dunia sastera kita sudah lumpuh sepenuhnya nanti barulah ada usaha untuk mengenangnya kembali dengan acara-acara mega yang memakan belanja mega juga. Barangkali juga waktu itu sastera Melayu akan menjadi 'dinosaur' kecil yang pupus dan hanya tinggal nama sahaja. Wallahua'alam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Negara bangsa yang maju bukan sahaja mementingkan kemajuan daripada segi sains dan teknologi tetapi daripada segi kesusasteraan dan kebudayaannya. Sastera sebagai roh yang menggerakkan jasad seseorang. Malangnya Malaysia hari ini mahu melahirkan 'robot' tanpa roh yang akhirnya hidup dengan berpaksikan kemajuan dan kebendaan yang melulu.

Saya sokong pendapat tuan, sastera amat dipinggirkan. Badan sastera yang ada sekarang terlalu bacul dan makan rezeki haram akibat tidak membuat kerja yang sepatutnya.

mkriza.blogspot.com

TRAVELOG JAKARTA BANTUNG DISEMBER 2024

  Pada 8 haribulan Disember saya telah ke Jakarta.   Di Jakarta saya menginap di hotel Dreamtel.   Pada petangnya kami   ke Thamrin City, ke...